Tuesday, December 21, 2010

Daud Dan Bathsheba

Nota: Entri ini adalah berbentuk observasi umum dan tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu atau pasangan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum.

__________________________

Mengikut Bible versi Hebrew, Nabi Daud a.s. merupakan adipati kedua Kesultanan Israel, di antara tahun 1003 hingga 970 sebelum era biasa (common era).

Nabi Daud a.s. dikatakan mengahwini sekurang-kurangnya 8 orang isteri - bermula dengan Michal, diikuti Ahinoam, Abigail, Maachah, Haggith, Abital dan Eglah. Dari masa ke semasa, baginda secara konsisten menambah jumlah koleksi isteri dan gundik setelah berpindah ke Jerusalem.

Menurut kitab, jumlah isteri dan gundik baginda akhirnya mencecah 99 orang.

(Nota: Walau bagaimanapun, haruslah dinyatakan di sini bahawa sosiologi dan norma kelompok masyarakat ketika itu adalah jauh bezanya dengan kita. Apabila seseorang adipati berkahwin, ia tidak semestinya kerana cinta tetapi sebagai strategi diplomatik di antara penakluk terhadap bandar-bandar yang ditakluk.

Dari justifikasi agama, perkahwinan itu dilihat sebagai langkah bagi membawa wanita-wanita tadi lebih 'karib' dengan Tuhan)

Al-kisahnya pada satu hari Nabi Daud a.s. bertemu dengan seorang wanita bernama Bathsheba yang menarik perhatian baginda. Bathsheba merupakan isteri kepada Uriah, salah seorang jeneral soldadu angkatan perangnya.

Namun, label 'isteri orang' bukanlah penghalang terhadap sifat persisten baginda dan tak lama kemudian Bathsheba akhirnya membalas cinta yang diunjurkan Nabi Daud a.s.

Lalu Tuhan mengutuskan dua malaikat untuk menegur perbuatan Nabi Daud a.s. hingga baginda akhirnya kesal dan memohon taubat. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s., Tuhan mengampunkan baginda pada 10 Muharram.

"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu" (Surah Sad, ayat 26)

Dari segala kitab yang ditelaah, tiada satupun menyatakan sebab kenapa Nabi Daud a.s. yang telah mempunyai 99 isteri dan gundik masih berdegil ingin membinikan Bathsheba yang pada mulanya sudah mempunyai suami.

Apakah yang tiada pada 99 wanita tersebut namun ada pada Bathsheba?

Apakah ruang emosi yang kekosongan di dada Nabi Daud a.s. yang hanya mampu diisi Bathsheba?

Dari perspektif Bathsheba pula, bagaimanakah wanita ini boleh terbuka hati, jatuh cinta dan menjalin hubungan dengan Nabi Daud a.s. padahal ketika itu beliau sudah bergelar isteri orang?

Mungkinkah kerana Uriah sendiri tidak mampu memenuhi ruang emosi yang kekosongan di dada Bathsheba pula?

Bahawasanya hidup ini telah zahir dengan hikmah ketentuan Al-Khaliq. Mungkin hikmahNya tidak dapat digarap sekarang. Mungkin setelah dua atau tiga generasi selepasnya barulah hikmah tadi perlahan-lahan berpijar.

Bila Uriah terbunuh, Nabi Daud a.s. akhirnya menyunting Bathsheba untuk dijadikan isteri. Namun Bathsheba meletakkan beberapa syarat sebelum baginda menikahinya.

Pertama, anak mereka haruslah seorang putera. Seterusnya, Bathsheba bersyarat bahawa putera mereka akan memiliki kekuasaan dan kekayaan yang tiada tandingannya dengan segenap adipati dahulukala, kini dan masa hadapan.

Putera yang dimaksudkan itu ialah Nabi Sulaiman a.s.

"Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman" (Surah An-Naml, ayat 15)

Selebihnya, seperti yang telah tertinta di Luh Mahfuz, kini telah menjadi sejarah.