Wednesday, July 13, 2011

Ucapan Syukran Dari Puan Rosni Malan

Berturut dari entri 'Sumbangan Ikhlas Untuk Allahyarham Baharuddin Ahmad' yang dipos pada 11 Julai 2011, saya menerima SMS berikut dari Puan Rosni Malan, balu Allahyarham sebentar tadi:

"Alhamdulillah. Saya sungguh terharu dengan bantuan derma dan sokongan moral dari seluruh rakyat Malaysia serta luar negara.

Tolong doakan kami agar kuat semangat dan bersama-sama terus berjihad demi menegakkan hukum Allah mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Sampaikan salam ukhwah saya kepada mereka semua. Sekali lagi jutaan terima kasih kepada semua. Semoga ALLAH membalas syurga kepada setiap kamu. Amin. ALLAHUAKBAR"

(Mesej pada 13/7/2011, jam 10:22pm)

Nota: Harap jangan meninggalkan sebarang respons, capaian atau komen berbau politik atau kebencian di sini

Sumbangan Ikhlas Untuk Allahyarham Baharuddin Ahmad

Kemaskini 13/7/11: Saya memang berharap agar entri ini akan diwar-warkan seluas mungkin, sama ada melalui kaedah 'Share' atau 'copy/paste'. Tak perlulah mohon kebenaran saya. Tak meletakkan rujukan atau nama saya pun tak apa.

Cuma janganlah pula disertakan sebarang video atau capaian yang tak sepatutnya pada entri ini.

Sejak entri asal disiarkan pada 11 Julai 2011, saya perhatikan ada yang menyertakan atau 'embed' video kematian Allahyarham, demo 9/7/11 dan berbagai lagi yang berbentuk propaganda. Yang letak link ke laman skim cepat kaya pun ada.

Politik bukanlah tujuan saya menulis entri ini dan sebarang tindakan untuk mempolitikkannya oleh penyokong mana-mana parti atau organisasi sekalipun amatlah saya kesali.

Capaian asal entri ini (di laman Facebook saya) boleh didapati di SINI. Harap maklum.

-------------------

Saya tidak mengenali Allahyarham Baharuddin Ahmad. Rakan-rakan FB saya juga tahu bagaimana pedasnya kritikan saya terhadap perhimpunan Bersih 2.0 yang dianjurkan pada 9 Julai 2011.

Pagi ini di News Feed, berderet capaian artikel-artikel dan berita mengenai kematian Allahyarham sewaktu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Atas dasar kemanusiaan, timbul pula rasa simpati terhadap balu dan anak-anak Allahyarham yang ditinggalkan. Apatah lagi bila menyedari bahawa keluarga beliau tinggal berdekatan sangat dengan blok apartmen yang saya pernah diami ketika bujang dahulu.

Malangnya tiada sebarang laman web atau portal berita yang memaparkan info akan metoda untuk menyalurkan derma.

Oleh itu saya mengambil inisiatif sendiri untuk menelefon beberapa pejabat Keadilan Negeri dan akhirnya berjaya bercakap dengan seorang wakil dari Pejabat Cawangan Wilayah Persekutuan.

Beliau memberikan nombor telefon sel balu Allahyarham, Puan Rosni Malan dan saya telah bercakap sendiri dengan beliau. Suara beliau kedengaran sayu dan sebak.

Selepas menyatakan ucapan takziah dan kekesalan atas tragedi yang menimpa Allahyarham, saya meminta nombor akaun bank beliau untuk perhatian mana-mana individu yang ingin menyalurkan derma ikhlas.

Di sini saya sertakan alamat perhubungan, nombor telefon dan nombor akaun Maybank balu Allahyarham, seandainya ada antara kita yang sudi meringankan beban keluarga beliau dengan menderma sekadar termampu.

Kata-kata dorongan dan semangat juga, saya kira, akan banyak membantu.

Alamat: No 9-0-4, Kelompok Camar A, Jalan AU3, Kuala Lumpur

Telefon: (0133646233 - Puan Rosni binti Malan)

Nombor Akaun Maybank: 164052323091

Nombor Akaun Hong Leong Islamic Bank: 19901000162

Lakukanlah atas dasar kemanusiaan.

Bukan kaum.

Bukan politik.

Sekian, terima kasih.

Nota: Harap jangan meninggalkan sebarang respons, capaian atau komen berbau politik atau kebencian di sini.

Monday, July 11, 2011

Yang Saya Sokong, Yang Saya Tak Sokong

Beberapa rakan mempersoalkan 'di mana saya berpijak' dengan termaktubnya deretan posting panas pedas Anti-Bersih sejak dua minggu sudah.

Walaupun wacana subjek yang ditulis (ditaip?) oleh tangan ini di Facebook dan Twitter sentiasa bercampur baur di antara politik dan seks, pada hemat saya, pendirian saya selama ini sentiasa konsisten. Jadi izinkan saya menggariskannya satu persatu:

Yang Saya Sokong

* Dialog Antara-Agama (Interfaith) - ini merupakan isu utama yang saya sering juangkan. Dan sentiasa menjadi impian saya untuk mewujudkan Pusat Antara-Agama Antarabangsa di Malaysia terdorong inspirasi dari inisiatif Khalifah Harun Al-Rashid di kurun ke 8 Masihi.

* Penterjemahan Bible Dalam Bahasa Malaysia - bukan sahaja Bible, malah kalau diizinkan, saya ingin menterjemah segala kitab-kitab Gautama Buddha, Rig Veda, Enuma Elish, Tanakh, Talmud, Midrash, Responsa dan yang seangkatan ke Bahasa Malaysia untuk kajian. Untuk pemahaman. Agar kita tidak lagi takut terhadap apa yang tidak kita fahami.

* Rakyat Malaysia Yang Satu - saya impikan satu hari bilamana Ahmad tidak lagi berkata "Aku orang Melayu", Ah Seng dengan "Aku orang Cina" dan Linggam dengan "Aku orang India" namun bersama melaungkan "Aku orang Malaysia".

* Pilihanraya Bersih Dan Adil - untuk memastikan tiada lagi isu pengundi hantu dan setiap parti politik dapat berkempen dalam suasana damai, rasional, profesional dan tanpa percakaran.

* Paparan Adil Terhadap Semua Parti Politik Di Media Perdana - teringin juga nak tengok kelibat Lim Kit Siang atau Hadi Awang membentangkan portfolio secara langsung di media elektronik dan cetak yang didokong Parti Pemerintah. Tanpa censorship.

* Perbincangan Berdasarkan Fakta, Bukan Retorik - Jika sesiapa ingin mengutarakan pendapat, bentangkan dengan fakta. Yang boleh diselidiki semula. Bukan sekadar berkata "Rasulullah s.a.w. bersabda..." tapi rujukan riwayat perawi mana tidak disertakan langsung.

* Barisan Nasional Sebagai Pemerintah - walaupun masih terdapat banyak ruang untuk membangun dan memperelok, secara peribadinya, Malaysia di bawah Barisan Nasional membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke luar negara, menyediakan peluang pekerjaan dan memampukan saya memiliki harta seciput yang boleh diturunkan kepada generasi saya yang berikutnya. Setakat ini tak pernah lagi saya dan keluarga terpaksa merempat menjilat dinding.

* PAS dan DAP Sebagai Pembangkang - untuk mewujudkan 'check & balance' serta memastikan demokrasi di Malaysia subur terpelihara.


Yang Saya Tak Sokong

* Fanatik Agama - tak kiralah dalam agama manapun. Kalau sampai menyeru agar diadakan 'pembersihan agama' lain dari agama yang dianuti, itu dah kira fanatik pada saya.

* Paranoia Islamik - segala atitud 'aku lebih warak dari yang lain' hingga menimbulkan rasa bongkak sesetengah pihak yang kemudiannya tergerak menjadi Polis Moral, melabel segalanya 'tak betul', 'tak Islam' atau 'tak mengikut syarak'.

* Eksklusiviti Agama - tiada satu agama pun yang memiliki kebenaran mutlak. Kebenaran yang mutlak hanyalah milik Tuhan Yang Satu. Bilamana saya memilih Islam, maka saya yakin bahawa itulah agama yang terbaik dan benar untuk saya. Mereka yang memilih agama lain pula tentunya juga yakin bahawa pilihan itulah yang terbaik dan benar buat mereka.

* Perkauman - segala bentuk perkauman serta mereka yang memanipulasikan dogma perkauman untuk kepentingan peribadi dan organisasi mereka.

* Anti-PSSMI - apa salahnya diajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Salahkan penerbit buku di Malaysia kerana kurang menterjemah buku ilmiah ke Bahasa Kebangsaan. Selain PTS, rasanya tidak ada penerbit yang benar-benar serius melakukannya. Jika adapun, hanya terjemahan novel siri Twilight atau Harry Potter.

* Ad-Hominem - menyerang individu yang membentangkan argumen dan bukannya argumen beliau.

* Demonstrasi Jalanan - perbuatan yang bodoh, membuang masa dan lebih banyak mendatangkan keburukan kepada majoriti.

* Rosmah Mansor - kecenderungan beliau cuba mencuri 'limelight' daripada suaminya adalah suatu liabiliti terhadap imej Perdana Menteri dan Barisan Nasional.

* Anwar Ibrahim dan PKR - tidak relevan dan hanya menjatuhkan kredibiliti PAS dan DAP sebagai Pembangkang. Belum termasuk bagaimana negara diporak-peranda dan proses 'check & balance' demokrasi Malaysia habis caca merba angkara beliau.

Sekian, terima kasih dan harap maklum.

Wednesday, May 4, 2011

Mangsa, Bangsa, Gangsa, Suasa (Apa-Apalah!)

Seringkalinya kita cenderung meletakkan diri sendiri sebagai Mangsa.

Politikus dan negarawan gemar menggunakan taktik ini untuk mengeratkan ikatan perpaduan sesuatu bangsa atau rakyat sesuatu wilayah.

Seperti puak Zionis menggunakan sejarah Exodus dan Holocaust untuk mewajarkan penubuhan Israel.

Atau bagaimana UMNO menggunakan sejarah 13 Mei untuk mewajarkan kontinuiti hak istimewa orang Melayu.

Atau DAP yang menggunakan statistik peningkatan jenayah di kalangan kaum India untuk mewajarkan peperangan terhadap autoriti seperti PDRM dan ISA.

Atau PKR yang menggunakan video seks Anwar Ibrahim untuk mewajarkan bahawa pengasas mereka sebenarnya adalah anugerah Tuhan yang maksum (oopss...).

Para ulama' dan propagandis Islam juga tidak terkecuali, seperti sebarang 'usaha' peniaga tak bertanggungjawab menggunakan bahan mentah berasaskan haiwan dilihat sebagai usaha menjatuhkan Islam.

Atau sebarang lagu dari Lady GaGa dilihat sebagai 'brainwash' untuk menjebakkan anak muda Islam ke kancah homoseksualiti dan seks bebas.

Atau penerbitan Al-Quran dalam Bahasa Melayu pula dilihat sebagai strategi mengkristiankan umat Islam.

Dan terbaru, pembunuhan Osama bin Laden juga dilihat sebagai 'bukti betapa puak Yahudi dan Nasrani amat memusuhi Islam'.

Mungkin dengan sentiasa meletakkan diri sebagai Mangsa, kita berjaya menyatukan ummah berdasarkan exploitasi suatu elemen kesamaan ('common element').

Sebab secara idealnya, bila kita dilihat sebagai Mangsa, kita akan merapatkan barisan, bersatu dan berusaha bangun menjadi suatu kelompok yang lebih kuat.

Namun strategi ini juga akan melahirkan bangsa penakut. Bangsa 'insecure'. Bangsa yang tak berani untuk berterus terang. Bangsa yang lebih gemar menggunakan penipuan atau penyelewengan fakta demi mencapai apa yang diinginkan.

Seperti metafora sepasang kekasih terlarang yang melakukan pencampuran cecair tubuh secara konsensual, kerana mereka berdua memang mahukannya.

Tiba-tiba, apabila ditangkap (atau orang London kata 'busted'), salah seorang dari pasangan tadi akan mencari alasan untuk meletakkan diri sebagai Mangsa. Kononnya terminum air yang dicampur dadah. Kononnya termakan pujuk rayu mantera Alang Rentak Seribu. Kononnya diguna-gunakan Bapak Jin.

Kita sebenarnya gemar meletakkan diri kita sebagai Mangsa bukanlah kerana kita benar-benar ditindas. Namun disebabkan kesedaran bahawa kita telah melakukan kesilapan.

Kerana kita tahu sebenarnya ada sesuatu yang amat tidak kena dengan hidup kita kini.

Namun, daripada bermuhasabah dan mencari ruang memperbaiki diri, kita menyalahkan itu ini yang kononnya telah membangsatkan diri kita.

Kita menyalahkan suami pendera untuk mewajarkan perselingkuhan padahal hakikatnya si isteri sendiri yang takut untuk keluar dari rumahtangga sampah tersebut.

Kita menyalahkan Nasi Lemak yang kononnya menyebabkan obesiti padahal kitalah antara yang pertama beratur untuk mendapatkan Big Breakfast McD percuma setiap pagi ketika tempoh promosi.

Kita menyalahkan Amerika yang kononnya memerangi Islam padahal kita sebenarnya bergelut untuk menyesuaikan diri dengan arus kemodenan.

Kita menyalahkan anasir luar seperti Poco-Poco atau Yoga yang kononnya mampu melunyaikan aqidah orang Islam padahal kita sendiri sedar bahawa cara pendakwahan Islam di abad ini telah menjadikan agama syumul tersebut seakan tidak menarik, ketinggalan zaman dan tidak relevan.

Seringkalinya, pemaparan diri kita sebagai Mangsa bukanlah kerana kita benar-benar telah dimangsakan.

Tetapi kerana membohongi diri sendiri selalunya adalah lebih mudah dari membohongi orang lain.

Thursday, April 28, 2011

Simpati Untuk Al-Hallaj

Bayangkan pada suatu hari kita sedang berjalan-jalan di Pavilion Bukit Bintang. Tiba-tiba ada seorang Mamat berpakaian serabut mundar mandir berlari sana-sini berteriak menempelak "AKULAH KEBENARAN! AKULAH TUHAN!". Apa persepsi pertama anda terhadap Mamat tersebut?

Kita kini hidup di dalam era kurang-percaya diri, atau 'insecurity'.

Kita mudah gusar bila menerima emel atau SMS mengatakan bahawa kopi latte di Starbucks kononnya bercampur emulsfier berasaskan haiwan.

Kita cepat seronok bila mendengar latahan kononnya pelajar sekolah agama terlihat kalimah Al-Quran di biji buah durian.

Kita mudah tersentak bila menerima khabar angin kononnya tarian Poco-Poco mengagungkan agama menyembah roh dari Jamaica.

Kita lantas marah bila mendengar mitos kononnya lagu 'Baby' oleh Justin Bieber itu menghina agama Islam.

Tapi itulah hakikatnya - kita rasa kurang percaya-diri bila ada sanggahan terhadap sesuatu yang kita telah genggami turun temurun.

Tetapi agama bukanlah sesuatu yang boleh diobjektifkan. Sebarang langkah untuk 'meng-objektifkan' agama akan menelanjangi agama itu dari segala kekaguman, kudus dan rasa kecil insan yang seharusnya dirasa apabila berhadapan dengan Pencipta.

Mungkin sebab itulah golongan Ahli Sunnah begitu obses dengan hukum hakam dan fatwa. Kerana hukum hakam dan fatwa boleh diobjektifkan. Boleh dizahir depan mata, dipraktik, dibincang, ditelaah.

Mungkin sebab itulah kita meminati filem 'Khurafat', 'Senjakala' atau 'Santau' - kerana segala kepercayaan kita terhadap 'perkara ghaib' di-objektifkan, dipertonton dan diiyakan dengan jelas di hadapan mata.

Kerana kita hidup di dalam era kurang-percaya diri. Kita sentiasa mahukan 'bukti' bahawa apa yang kita percaya itu adalah Kebenaran hakiki.

Sufisme, Tarekat, Tasa'uf (atau apapun terma yang ingin dipanggil) bukanlah sesuatu untuk masyarakat umum. Terutama masyarakat yang telah terasuh untuk hanya berfikir secara objektif dan dipaksa menerima secara literal apa saja yang dikatakan oleh Tok-Tok Guru.

Bila berbicara tentang Pencipta, yakinilah bahawa "Wa lam yaqullahu kuffuan Ahad". Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. Tiada sesuatu pun perkara yang telah, sedang atau akan terlintas di kepala manusia adalah sama dengan-Nya.

Dia tidak 'bertutur' dalam Bahasa Arab, Aramik, Hebrew atau Latin (walaupun Dia yang menciptakan bahasa tersebut). Malah bila disebutkan bahawa Dia 'bersemayam', 'berkata' atau 'murka' - kita WAJIB percaya bahawa Dia tidak melakukannya seperti yang kita lakukan.

Bila saja Al-Husayn Mansur Al-Hallaj (858-922) mengatakan bahawa "Ana Al-Haqq", ia bukanlah bermaksud bahawa beliau dan Tuhan telah 'bersatu' secara literal.

Al-Hallaj merujuk kepada suatu situasi di mana segala kedhaifan, keegoan dan ciri duniawi yang ada pada beliau telah hilang lesap apabila ruang hati avatar-nya dikosongkan agar hanya 'tinggal' Kekasihnya semata-mata.

Suatu dimensi di alam metafizikal di mana diri beliau mampu 'lena beradu' dalam 'pelukan' maha kasih Maha Kekasih.

Sesuatu yang amat peribadi.

Sesuatu yang maha indah dan tak mampu diperjelaskan oleh kata-kata atau sebarang bahasa yang wujud di muka bumi.

Sesuatu yang hanya miliknya dan Kekasih yang amat dirindui.

Kekhilafan Al-Hallaj ialah kerana menghebahkannya kepada masyarakat umum suatu rahsia yang hanya sepatutnya dikongsi di antara beliau dan Kekasihnya.

Sebarang gerakan Sufisme, Tarekat atau Tasa'uf yang cuba menghebahkan aktiviti mereka, cuba menarik ramai pengikut, mengajar menyembah kubur guru yang dikatakan 'karamah' atau mengangkat pengasas gerakan itu melebihi darjat Rasulullah sendiri - maka gerakan itu mungkin tidak lebih dari sebuah gerakan devian.

Malah mana-mana guru yang beria-ria melakukan publisiti di kalangan pengikutnya bahawa "Wei... semalam aku dah bersatu dengan Tuhan secara harfiah", maka guru itu tak ubah seperti seorang nabi palsu.

Kerana Dia bukan kita.

Tapi kita adalah Dia.