Monday, June 7, 2010

Flotilla Keamanan Gaza: Lepas Ini Apa?

Terlebih dahulu, saya ucapkan selamat pulang ke tanah air kepada semua anggota pasukan misi Flotilla Keamanan Gaza. Keberanian, kesungguhan dan kecekalan anda semua adalah kebanggaan kami dan bakal ditinta sebagai inspirasi turun temurun negara.

Walaupun 'gagal' menyempurnakan misi untuk memastikan semua bantuan tiba di sempadan Gaza, sebenarnya semua pihak yang selama ini mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel telah 'menang' dari beberapa aspek.

'Menang' dari aspek mempertingkatkan kesedaran global akan kesengsaraan penduduk Palestin. 'Menang' dalam peperangan 'Perhubungan Awam (PR)' bahawa Israel sebenarnya tidaklah sekuat mana pabila perlu didokong oleh gergasi Amerika. 'Menang' dalam menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan Israel dan memeruknya makin dalam di tong sampah yang paling busuk. 'Menang' dalam memutus atau meleraikan hubungan diplomatik rejim itu dengan semakin banyak negara.

Lebih dari itu, 'menang' dalam memahat hakikat bahawa keamanan dan perjuangan tanpa keganasan adalah orde yang sebenar-benarnya.

Berkisar kepada Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini terhadap pembentangan usul oleh YAB Perdana Menteri untuk mengutuk tindakan rejim Israel terhadap Flotilla Keamanan Gaza, berikut adalah beberapa pengamatan dhaif saya.

Pertama sekali, tanpa kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah 'terperangkap' dengan dakyah yang cuba diketengahkan Israel selepas tragedi berdarah Mavi Marmara. Fokus terhadap 'melontar selut pada satu sama lain' dengan persoalan 'siapa yang tembak dahulu' adalah mainan strategi PR kerajaan Israel semata-mata.

Ia bertujuan mengalihkan pandangan dunia terhadap isu-isu sebenar krisis Israel-Palestin, iaitu 'blockade' terhadap Gaza setelah Hamas memegang teraju pemerintahan Palestin, pengambil-alihan tanah penduduk Palestin secara haram dan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Bacalah mana-mana artikel berita media arus perdana kebelakangan ini - kebanyakannya berkisar tentang 'saat-saat ngeri' ketika komando Israel menaiki Mavi Marmara, pengalaman dalam tahanan penjara atau bagaimana 'mayat beberapa orang yang terbunuh berbau kasturi'.

Kita tak mahu generasi akan datang berjuang hanya untuk memastikan mayat mereka 'berbau kasturi' andai mereka gugur. Kita mahu pejuang yang benar-benar fokus terhadap objektif realitas misi keamanan ini. Bau kasturi atau sekadar bau sabun biarlah Tuhan sahaja yang menentukan.

Kedua, seperti biasa, dengan kepulangan pasukan misi Flotilla Keamanan Gaza ini, bergegaslah semua politikus dan yang berkepentingan untuk tumpang sekaki menumpang glamor cuba menjadi hero. Ada yang melancarkan kempen SMS untuk meraih sokongan (walau hakikatnya 40%-60% dari 'sumbangan' SMS itu akan masuk kantung syarikat telekomunikasi berkenaan sebagai 'kos operasi') atau seruan boikot barangan yang kononnya berkait dengan Israel (walau dari masa ke semasa terbukti bahawa boikot sebegitu hanya potong stim dan umpama melepas batuk di tangga).

Saya pernah menyentuh tentang retorik boikot-memboikot ini tak lama dahulu melalui entri 'Boikot? Ada Retorik Yang Lebih Baik?'.

Atau bakar bendera. Menunjuk perasaan sebab kita dah terlalu melimpah perasaan yang mahu ditunjuk. Mencapai matlamat? Meninta inspirasi? Kosong! Klise!

Terbaru, dengarnya ada ura-ura mengumpulkan beratus ribu rakyat Malaysia dalam satu 'konsert percuma' di Stadium Bukit Jalil. Memanglah 'percuma' kerana pengunjung tak perlu membayar tiket, namun pastinya segala sewa tapak, peralatan bunyi, lampu, logistik dan lain-lain perlu ditanggung 'seseorang' akan kosnya.

Elemen 'hangat-hangat tahi ayam' ini seakan sudah 'sebati' dengan Malaysia. Anjur majlis besar-besar, kemudiannya tiada aktiviti susulan dan akhirnya masyarakat pun lupa lama kelamaannya. Seperti kata Tun M, "Melayu mudah lupa" :)

(Nota: Tahniah kepada Tun M dan Perdana Global Peace Organization dan MV Rachel Corrie. Amat membanggakan!)

Secara rambang, mungkin strategi-strategi berikut boleh diperkemaskan dari terus-terusan beretorik.

(a) Anjurkan projek kesedaran yang intensif, konsisten dan menyeluruh ke seluruh negara untuk suatu jangkamasa. Ia harus meliputi penganjuran acara, penerbitan literatur, penghebahan media massa (dan jaringan web), ceramah dan program 'reach' ke sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

(b) Menjalin kerjasama dengan NGO serta aktivis-aktivis lokal dan luar negara secara neutral tanpa berpaksi pada mana-mana medan atau aliran politik, bangsa atau agama tertentu. Walau seletih mana pun organisasi seperti AMAN MALAYSIA cuba menidakkannya, ia telahpun dijenama sebagai 'jentera propaganda BN' dan dari aspek ini, sokongan dari puak 'yang lagi satu' agak sukar dirilis.

(c) Dalam setiap program yang berkaitan, penekanan haruslah diberi dalam membezakan di antara agama Judaism dan Zionism. Ini kerana walaupun semua Zionis itu beragama Judaism, bukan semua penganut Judaism menyokong Zionism. Seperti mana garis pemisah yang ingin para Muslim tekankan di antara 'Islam' dan 'Terorism'.

(d) Sepanjang tahun 1970an hinggalah selepas Tragedi 9/11, propaganda Zionis telah memutarkan mesin propaganda mereka ke tahap maksima dan meresapi segenap pelusuk wadah informasi, hiburan dan sukan seluruh negara. Dari kita tak tentu hala menerbitkan filem-filem hantu komedi (yang asalnya tak bermaksud menjadi komedi) atau mengagungkan rempit, masanya telah tiba untuk menerbitkan literatur dan filem-filem fiksyen (atau bukan fiksyen) berkaitan perjuangan Israel-Palestin dari kacamata kita sendiri.

Filem mengenai riwayat Mendiang Rachel Corrie (atau kisah perjalanan kapal yang dinama bersempena beliau) mungkin boleh menjadi projek rintis.

Di sini, saya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk merealisasikan projek-projek seperti ini - baik dari aspek bertukar ide, membangunkan usul dan/atau implimentasi.

Saya boleh dihubungi secara terus di asrulmm(at)hotmail(dot)com. Bagi yang merupakan rakan Facebook saya, nombor telefon bimbit saya ada tertera di bahagian Info.

Jadi, lepas ini apa?

Thursday, June 3, 2010

"Write The Future": Meninta Statemen

Beberapa minggu sudah saya berkesempatan bertemu seorang rakan lama. Kami berbual berbilang topik daripada kenangan ketika zaman persekolahan sehinggalah mengenai impian dan beberapa projek yang sedang saya usahakan.

Antara soalan yang bertubi-tubi diterjahnya ialah "Hang rasa plan hang ni efektif tak?"

Sesuai dengan jawatannya sebagai seorang yang (ehem...) agak penting, saya faham bahawa dia menginginkan penyelesaian yang pragmatik. Yang praktikal. Di mana hasilnya boleh dihitung sebagai barangan 'tangible'. Dalam ringgit dan sen.

Namun saya sentiasa percaya bahawa statemen dan penyelesaian pragmatik adalah dua perkara yang berbeza. Tetapi saling berkait rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Saya sering melabelkan diri saya sebagai realis. Namun sebagai penulis, saya juga ingin bersifat idealistik bertunjangkan aspirasi. Kerana aspirasi kemudiannya akan diterjemahkan kepada zahiriah, andai si pengaspirasi tersebut benar-benar percaya dan berusaha merealisasikan impiannya.

Lagipun semua inovasi dalam tamadun manusia - baik dari segi agama, sains, politik dan ideologi - semuanya bermula dari aspirasi yang pada dasarnya bersifat idealistik.

Kempen 'Band Aid' dan 'We Are The World' bermula dengan aspirasi. Begitu juga pembinaan mercu-mercu tanda agung dunia, dari Piramid Giza, Menara Eiffel sehinggalah Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Dan dari aspek tertentu, penganjuran Freedom Flotilla 2010 ke Gaza.

Adakalanya aspirasi harus disusuli dengan penzahiran kepada realiti yang boleh dipegang, diusap, dikira (yang dikaitkan sebagai 'penyelesaian pragmatik' tadi).

Tetapi ada kalanya, sebelum semua penyelesaian pragmatik tersebut mampu dizahirkan, ia harus dimulai dengan suatu Statemen. Suatu Statemen yang cukup besar hingga mampu terpahat dalam sejarah tamadun manusia. Suatu Statemen yang mampu didengar dan diperhalusi oleh seluruh masyarakat dunia. Sesuatu Statemen yang mampu menginspirasikan manusia berbilang bangsa dan generasi untuk menyusul dengan aspirasi atau tindakan yang identikal.

Statemen tak semestinya hanya berpaksi pada penulisan atau propaganda melalui media, walaupun karya-karya klasik seperti 'Das Kapital', 'The Wealth Of Nations' dan '孫子兵法' telah diketahui pengaruhnya.

Sesuatu Statemen juga boleh dizahirkan melalui suatu 'acara' yang mana andai penganjurannya dilakukan dengan nawaitu baik dan strategi implimentasi yang mantap, akan mampu menembusi tembok sekebal mana sekalipun.

Dan saya tidak membicarakan tentang 'acara-acara kecil' seperti Kempen TakNak!, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia atau demonstrasi di hadapan kedutaan-kedutaan asing. Dari masa ke semasa, sudah terlalu banyak 'acara' seperti itu dilangsungkan hingga kedengaran klise dan seakan tiada makna lagi (juga membazirkan sumber).

Saya membayangkan suatu 'acara' yang mana kebesaran magnitudnya belum pernah dilangsungkan sesiapa. Suatu 'acara' yang mampu membuka mata dunia terhadap aspirasi, iltizam dan harapan ke arah dunia yang lebih aman. Suatu 'acara' yang mampu menginspirasi dan meleraikan (walau seketika) segala perbezaan antara kita dan menyatukan semua dalam dakapan sejagat.

"Apa kata kalau hang start kecik-kecik dulu? Macam pilot project?"; kata seorang lagi rakan yang turut sama dalam pertemuan tersebut.

"Kalau kecik, kalau senang nak buat, nanti orang cepat lupa"; jawab saya.

"Tapi kalau hang betui-betui boleh buat projek ni... puhhhhh... memang aku respek hang la"; sampuk rakan saya yang memegang jawatan 'penting' tadi.

Saya menganggapnya sebagai suatu cabaran.

Kerana saya mahu Write The Future.

Dan mahu meninta Statemen.

Tuesday, June 1, 2010

"Write The Future"

Segala tentang kita telah diluhur dan dimetrai di Luh Mahfuz dan tiada apa yang mampu merubahnya.

Namun saya percaya bahawa kita diberi deretan pilihan. Setiap pilihan yang dilakukan akan menemukan kita pula dengan berbilang pilihan yang lain.

Baik atau buruk. Kanan atau kiri. Kegemilangan atau kemudaratan.

Kita berkuasa memilihnya. Dan bertanggungjawab terhadapnya.

Andai saya mampu 'Write The Future' (Menulis Untuk Masa Hadapan), ingin saya tintakan suatu epik utopia terhadap kemanusiaan, di mana sekelian basyar tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan mampu menyatu bagai pucuk-pucuk pinus.

Saya akan nukilkan dongengan warisan mengenai sebuah keluarga bahagia yang penuh kasih sayang di antara bapa, ibu dan anak-anaknya.

Atau lakaran potret dengan calitan warna-warni akan persahabatan tanpa syarat yang sentiasa mendokong membantu satu sama lain baik di kala senang atau susah.

Mungkin itu semua kedengarannya klise. Namun pada saya menulis kadangkalanya seakan bermimpi. Kita mempunyai pilihan untuk mengimpikan kegemilangan atau mengigau akan kesengsaraan.

Kalau dah alang-alang nak menulis atau bermimpi, kenapa tidak melakukannya dengan penuh grandeur?

Tiada apa yang akan mampu merubah kudrat titik kelahiran dan titik kematian kita kelak.

Namun di antara dua titik itu, kita masih mampu memilih untuk bermimpi apa. Atau menulis untuk Hari Ini dan Masa Hadapan. Terpulanglah pada kita untuk menjadikan impian dan tulisan tadi suatu realiti.

Izinkan saya berkongsi satu rahsia.

Dari masa ke semasa, kadangkalanya saya didatangi mimpi tidur yang berulang-ulang. Sejak dari zaman persekolahan rendah lagi.

Mungkin saiz badan saya dalam mimpi itu berubah-ubah mengikut umur ketika saya bermimpikannya. Namun lokasinya tetap sama.

Dalam mimpi tersebut, saya sedang menunggu detik-detik kematian, berbaring di atas sebuah katil bujang di tengah-tengah bilik yang dekornya seakan istana.

Tiba-tiba seorang wanita memasuki bilik tersebut. Di rambutnya terselit tiara bertatah berlian manakala lengan lehernya dipenuhi perhiasan emas yang berkilauan.

Saya tak pernah mampu mengingati wajah wanita itu dan apa yang dituturkannya.

Seketika, wanita itupun berlalu keluar dari bilik meninggalkan saya berseorangan.

Kesunyian menyelinap. Kepala semakin berat. Dan saya memejamkan mata...

Namun memori yang paling jelas dari mimpi tadi ialah rasa emosi terhadap kesepian melampau pada 'saat-saat akhir' tersebut.

Sesungguhnya saya tak mahu menghabiskan nafas terakhir dalam penuh kesunyian dan keseorangan seperti di dalam mimpi itu!

Tuesday, May 11, 2010

Apa Yang Tak Kena Dengan Repot Polis Ini?

Ada bertanya kenapakah saya begitu gah dan beria-ria mempertahankan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam insiden yang membabitkan Aminulrasyid Amzah, 15 tahun, yang dikatakan ditembak polis secara membabi-buta.

Tanpa niat dan prejudis untuk 'menghina' keluarga mangsa, saya hanya akan menumpukan kepada dua dokumen bertulis yang berkait rapat dengan kejadian ini - Repot Polis yang dibuat oleh saksi utama kejadian dan entri blog YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Yang Di Pertua PAS untuk kawasan sama.

Saya juga tidak akan menyentuh isu 'laporan rasmi' yang dikatakan bercanggah dengan Repot Polis ini. Biarlah mahkamah menentukannya, memandangkan perbicaraan sedang berlangsung.

Repot Polis dan entri blog tersebutlah, pada saya, yang sebenarnya memulakan semarak kebencian umum terhadap PDRM.

Repot Polis ini secara umumnya mempunyai 4 isi utama - Aminulrasyid dan rakan keluar membantu seorang rakan lain yang tayar motosikalnya pancit pada tengah malam, dikejar sekumpulan motosikal kerana bergesel dengan sebuah Mercedes, dikejar kereta peronda polis dan akhirnya bagaimana Aminulrasyid ditembak dari belakang.

(a) Isi pertama, yakni 'keluar membantu rakan' adalah bersifat apologetik, sekadar memberikan justifikasi kenapa mereka keluar pada malam tersebut, iaitu 'untuk membantu rakan'. Ini adalah untuk memberi gambaran bahawa Aminulrasyid merupakan seorang yang 'mulia' kerana sanggup berkorban untuk 'membantu' rakannya - walaupun beliau tahu beliau tidak memiliki lesen memandu yang sah dan kereta tersebut diambil tanpa kebenaran empunya.

(b) Isi kedua, yakni 'dikejar sekumpulan motosikal' juga bersifat apologetik. Sekali lagi sebagai justifikasi untuk mereka 'memandu laju' demi melarikan diri.

(c) Untuk isi ketiga, saya tertarik dengan petikan "AMINUL RASHID menjadi bertambah takut dan membawa kereta dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan kami dan juga orang awam" (setelah dikejar kereta peronda polis). Ada dua tebakan boleh dibuat. Pertama pengarang Repot Polis ini cuba menekankan pada aspek 'takut' dan yang keduanya, dalam masa yang sama mengakui bahawa mereka tidak menghiraukan keselamatan sendiri dan orang awam dengan pemanduan merbahaya tersebut. Kenapa? Hanya untuk 'pulang ke rumah'. Dua aspek ini - 'takut' dan 'ingin pulang ke rumah' sudah cukup untuk menimbulkan simpati dari orang awam.

(d) Pengarang Repot Polis kemudiannya mengatakan bahawa 'tembakan bertubi-tubi' telah dilepaskan yang mana telah menembusi tayar belakang kereta, membuatkan kereta tersebut 'terhoyong-hayang dan tergelincir'. Ketika dalam keadaan kelam kabut inilah, pengarang mengatakan bahawa "tembakan kali terakhir terkena pada AMINUL RASHID".

Persoalan dan penelitian saya setelah meneliti Repot Polis ini ialah:

(i) Karangannya Bersifat Apologetik. Isi pertama dan kedua bertujuan memberikan justifikasi kenapa Aminulrasyid memandu tanpa lesen dan kenapa beliau memecut laju. Repot Polis ini boleh saja dimulakan terus dengan "Sekitar jam 2 pagi, saya bersama AMINUL RASHID telah dikejar sekumpulan motosikal..." Tetapi tidak, pengarangnya merasakan perlu untuk 'rewind' atau imbas semula ke belakang lagi untuk mencari justifikasi.

(ii) Karangannya Bertujuan Meraih Simpati. Saya mendapatkan salinan Repot Polis ini dari laman blog Perisik Rakyat dan ketika itu ia telahpun tersebar rata. Perlu ditanya apakah tujuan Repot Polis ini disebarkan? Tentunya untuk menumpukan pada kontradiksi antara 'laporan rasmi' dan 'laporan saksi'. Namun yang penting lagi, pada saya, ialah untuk meraih simpati kerana mereka tahu bahawa Repot Polis ini akan disebarkan kemudiannya. (Nota: Salinan Repot Polis ini telah pun dipadam dari laman blog yang berkenaan ketika entri ini ditulis)

(iii) Tiada Sebarang Kenyataan Mengenai Salahlaku Aminulrasyid. Tiada langsung barang satu ayat yang mengatakan bahawa Aminulrasyid 'mencuri' kereta keluarganya, keluar malam tanpa kebenaran, memandu tanpa lesen, memandu laju dan gagal berhenti apabila diarahkan polis. Yang disebut hanyalah poin-poin apologetik dan justifikasi yang bertujuan meraih simpati.

Persoalan saya - Mampukah seorang pelajar 15 tahun 'mengarang' Repot Polis ini dengan begitu berstruktur dan dipenuhi elemen-elemen yang digariskan tadi? Atau adakah beliau telah diberi tunjuk ajar secukupnya oleh 'orang tertentu' akan apa yang mesti ditulis dan bagaimana mahu menulisnya?

Manakala entri blog Khalid Samad kemudiannya mewar-warkan dakyah bahawa:

- Media massa Malaysa 'tidak boleh dipercayai' kerana melabel Aminulrasyid sebagai 'penjenayah'

- Pihak PDRM 'cenderung berbohong' untuk menutup kesalahan sendiri

- PDRM 'cenderung memaksa saksi' untuk merubah kenyataan "bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis".

Tindakan Khalid yang memetik kes Teoh Beng Hock, Norizan Salleh, Kugan dan Altantuya sejurus selepas poin-poin ini adalah bertujuan untuk 'mengukuhkah hujah' beliau di atas dan terus-terusan melakukan implikasi negatif terhadap PDRM.

Walau apapun jawapannya, hasil dari 'propaganda' ini, masyarakat telah mempunyai tanggapan negatif terhadap PDRM secara keseluruhannya.

Dalam jangka waktu sekarang yang mana peningkatan kadar jenayah adalah terlalu membimbangkan, 'propaganda' seperti ini adalah tidak diperlukan.

Pembaca dan masyarakat harus lebih arif meneliti yang tersirat daripada menjamah bulat-bulat yang tersurat lalu secara emosional meletakkan label bahawa 'Polis Adalah Penjenayah'.

Label sebegini hanya akan menggembirakan Penjenayah yang sebenarnya Penjenayah.

Hentikanlah mainan 'propaganda' ini. Banyak lagi 'propaganda' lain yang boleh dimainkan.

Ini pinta saya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Tolonglah.


Nota: Entri ini adalah bersifat 'analytical', yakni sekadar mengkaji poin-poin yang diutarakan dalam dokumen-dokumen tersebut. Ia boleh juga dilihat sebagai galakan agar pembaca berfikir dan banyak mempersoalkan sesuatu sebelum membuat kesimpulan - dan bukanlah untuk melemparkan tuduhan kepada mana-mana pihak.

Tuesday, May 4, 2010

Citra Cinta

Mulanya kita keseorangan.

Kemudian ada yang menemani.

Bisik Suami; “Isteriku. Di kala aku melafazkan cinta dan engkau menyambutnya, langit terbelah awan tersibak mengalirkan hujan kama yang membasahi kedua kita.

Kamulah satu dalam seribu yang aku pilih untuk menjalani kehidupan bersamaku.

Akan ku bawa dikau bersama dalam gembira, memapahmu dalam duka dan terbang menukik pelangi hingga bertemu destinasi abadi”.

Bisik Isteri: “Suamiku. Aku syukuri pertemuan ini. Aku berterima kasih di atas cintamu. Di sini aku juga menyerahkan setiap butir kasih sayangku kepada kamu yang menyuntingku sebagai suri hidupmu”.

Satu menjadi dua. Dua menjadi tiga. Dan seterusnya.

Lafaz “Aku terima nikahnya….” hanya merupakan permulaan untuk suatu Citra Cinta yang layak dibariskan sebagai Epik peribadi.

Dengan lafaz tersebut, bermulalah kehidupan yang ada bersimpang siur di antara gembira dan duka.

Namun yang akan menjadikan Citra Cinta tersebut kekal merupakan pengorbanan yang didasarkan atas rasa Cinta Tanpa Syarat yang mendalam terhadap satu sama lain.

Bahawasanya Hidup ini terus. Hidup ini tidak selalunya indah. Itu realiti Hidup.

Dan Hidup juga merupakan suatu kitaran.

Mulanya kita keseorangan.

Kemudian ada yang menemani.

Seterusnya kita bersatu, berkeluarga. Bila tiba waktunya, anak-anak dan cucu-cucu kita pula yang mulanya juga keseorangan akan ada yang menemani. Dan seterusnya mereka akan juga bersatu, berkeluarga. Ini ketentuan perjalanan hidup.

Yang akan menjadi asas terhadap segala perjalanan hidup itu ialah Citra Cinta asal yang ditulis berdasarkan kisah-kisah pengorbanan dan Cinta Tanpa Syarat itu sendiri.

Seterusnya Citra Cinta ini akan disampaikan turun temurun sebagai mitos-mitos dan lagenda agung sebagai renungan warisan.

Ini bukanlah Citra Cinta Romeo dan Juliet. Atau Laila dan Majnun.

Ini adalah Citra Cinta Kita.

Kita.

(Diedit untuk entri BandarUtopia @ Blogspot. Artikel penuh boleh didapati dalam 'CHANTEK' terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pillar Graphics Sdn Bhd. Tinta prosa oleh Asrul Muzaffar Mohammed. © 2007 Hakcipta terpelihara)