Akhir-akhir ini saya menerima banyak emel dan SMS menyeru agar diboikot barangan-barangan Israel dan USA. Mungkin ada yang akan menempelak dengan posting ini, tapi cukuplah jika saya katakan bahawa besar kemungkinan boikot ini tidak akan berhasil, malah 'buang karan' saja.
Ini bukan kali pertama saya mendengar seruan boikot barangan USA, malah ianya agak konsisten sejak pencerobohan tentera USA di Afghanistan berikutan Tragedi 9/11 dahulu. Dan setiap kali itu jugalah boikot ini akan menjadi hangat-hangat tahi ayam setelah seminggu dua. Lama kelamaan, perkataan 'boikot' itu sendiri menjadi klise yang sinonim dengan metoda para propagandis dan ahli politik yang mencari makan dengan mencipta isu daripada berusaha menyelesaikan isu tersebut.
Ada beberapa sebab ianya berkemungkinan gagal:
(a) Isu Koordinasi - boikot pengguna cuma akan berhasil andai ia dilakukan dengan strategik dan bukannya membabi-buta. Boikot produk pengguna semata-mata tidak akan mencapai objektif yang dimitoskan. Perlu ada boikot terhadap operasi perniagaan, sumber semulajadi dan perkhidmatan 'non-tangible' yang juga berpusat dari USA. Berapa ramaikah dari anda yang kini bekerja di syarikat USA sanggup berhenti kerja?
(b) Kerugian Bagi Mereka Yang Benar-Benar Boleh Memboikot - mereka yang mampu memberikan kesan terhadap ekonomi USA sebenarnya adalah mereka yang akan mengalami kerugian besar jika melakukan sedemikian. Kalau setakat berhenti membeli Snack Plate KFC yang berharga RM9 atau Big Mac McValue tak sampai RM8, rasanya kesan itu masih berada di tahap 0. Berapa ramaikah peniaga-peniaga yang telah melabur berjuta ringgit membawa masuk produk dan perkhidmatan dari USA yang sanggup 'write-off' keuntungan mereka akibat boikot ini? Atau sanggupkah sesetengah pengeksport barang mentah ke USA menghentikan penjualan mereka dan mencari pasaran-pasaran alternatif lain?
(c) Yang Memboikot Selalunya Mempunyai Nilai Penggunaan Yang Kecil Sahaja - persoalannya, berapa ramaikah yang menyeru agar diboikot barangan seperti Coca Cola, Starbucks, McDonald's dan seumpamanya benar-benar menggunakan jenama-jenama tersebut sebelum ini? Jika anda hanya minum Coca Cola segelas sehari dalam seminggu, contohnya, langkah anda memboikot Coca Cola tidak akan berhasil langsung berbanding orang lain yang ketagih Coca Cola dan minum 3 liter sehari.
(d) Kurang Atau Tiada Alternatif - saya menaip posting ini menggunakan perkakasan dan perisian dari Apple Inc, sebuah syarikat dari USA. Anda membacanya juga besar kemungkinan menggunakan MS Windows dan perisian Outlook atau pelayar Firefox/Internet Explorer yang kesemuanya juga berasal dari USA. Adakah boikot yang dicanangkan sebenarnya adalah 'boikot selektif'? Jika benar, maka boikot anda tidak ubah seperti retorik politik semata-mata.
Anda boleh saja terus memboikot andai ianya memberikan anda rasa 'feel good'. Maknanya anda rasa gembira tidak lagi membeli dan menggunakan barangan USA dan sekadar itulah sahaja. Namun jika anda benar-benar ingin menyumbang ke arah kejatuhan Israel/rejim Zionis laknatullah dan membantu rakyat Palestin, maka inilah saranan saya:
(a) Sumbangkan sedikit dari pendapatan anda ke tabung-tabung bantuan Palestin seperti yang dianjurkan oleh MERCY Malaysia dan kumpulan NSTP. Sumbangan anda akan dapat digunakan secara terus untuk membawa masuk ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas di samping membiayai operasi penyelamat di sana. Anda boleh juga mendaftar dengan persatuan-persatuan sukarela yang kini telahpun berada di sempadan Gaza.
(b) Bergiat aktif dalam persatuan-persatuan yang kini berusaha membawa penjenayah-penjenayah perang Zionis dan USA ke muka pengadilan, seperti The Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW) yang diasas dan dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
(c) Jika anda rajin memblog, luangkan masa untuk menjawab tohmahan dan tanggapan khilaf ramai pihak yang menganggap serangan Zionis terhadap Gaza sebagai 'berbaloi' kerana kononnya 'Israel hanya mempertahankan diri dari serangan roket puak HAMAS'. Anda perlu memberi gambaran sebenar dari perspektif sejarah bahawa rejim Zionis laknatullah yang sebenarnya bertanggungjawab menghalau penduduk Palestin dari tanah asal mereka dari tahun 1948 dan menjalankan kolonialisme moden mereka sejak itu.
(d) Bangunkan produk-produk IT lokal, termasuklah perisian Sistem Operasi yang sama atau melebihi kecanggihan MS Windows, Mac OSX, LINUX dan seumpamanya.
(e) Bangunkan tahap kesedaran terutamanya masyarakat Islam akan kepentingan ilmu seperti Sains dan Matematik. Ini termasuklah penguasaan Bahasa Inggeris yang baik kerana hakikatnya majoriti bahan ilmiah di dunia sekarang adalah dalam bahasa tersebut. Bukannya melatah berkokok beretorik menentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.
Kalau anda benar-benar ingin memboikot, boikotlah telur ayam yang pada saya harganya kian melambung ke tahap tak logik sejak akhir-akhir ini, ahaksss...
No comments:
Post a Comment