Friday, November 28, 2008

Kebenaran Milik Siapa?

Saya tidak sempat untuk mengupas dengan panjang lebar akan respon-respon yang diterima tentang artikel 'AKRAB: Empat Cadangan Untuk Institusi Agama Malaysia'. Jadi cukuplah dengan yang ini buat sementara waktu.

Pertama sekali, sesiapa yang ingin memetik ayat-ayat Al-Quran dan Hadith, sila berikan rujukan penuh - dari Surah mana, ayat mana atau riwayat mana. Ini bukan sebarang buku yang boleh dipetik sesuka hati. Jadi hormatilah sikit kesucian kitab teragung ini.

Ada yang mempersoalkan apakah yang dimaksudkan tentang 'Islam sudah hilang kredibiliti'? Tak perlu kupas panjang lebar, ianya kini berlaku di Mumbai ketika saya sedang menulis entri ini.
Masalahnya sekarang ialah apabila ada segelintir Muslim yang masih merasakan mereka hidup dalam persekitaran, sosio-politik dan ekonomi seperti mana 500 tahun dahulu - ketika perjalanan hanya menggunakan unta dan kapal layar. Zaman di mana warkah utusan hanya akan tiba di destinasi berbulan-bulan dari tarikh penghantaran. Zaman di mana empayar-empayar terpisah dari segi komunikasi. Zaman di mana maklumat hanyalah milik golongan tertentu semata-mata.

Seperti mana sesetengah orang politik masih memiliki sindrom penidakan selepas Pilihanraya 2008, begitulah juga sesetengah orang Islam yang tidak dapat menerima hakikat bahawa imej Islam kini berada di tahap yang buruk seburuk-buruknya.

Ironinya, golongan Islam inilah juga yang gah menyeru agar kita berdakwah kepada bukan Islam demi 'memperkembangkan syiar agama'. Seruan sebegini pada saya bukannya mustahil, tetapi seperti kata pepatah; "There's no second chance for first impression".

Bila pandangan pertama telah pun 'buruk', bagaimana pula hendak mengajak orang bukan Islam mempelajari keindahan agama kita dengan lebih mendalam?
Kredibiliti yang hilang tidak akan membuatkan kita merasa bangga ingin bersama dengan sesuatu/seseorang. Kredibiliti yang hilang akan membuatkan kita merasa sesuatu/seseorang itu sudah tidak relevan dan perlu disingkirkan dari kehidupan seharian.

Apakah ini yang ingin kita lihat terjadi terhadap agama yang kita sayangi ini?
Kita memilih Islam kerana kita percaya ia adalah agama yang benar. Setidaknya itulah anggapan majoriti dari kita yang mana telah dilahirkan dalam Islam. Namun bagaimana dengan mereka yang juga dilahirkan dalam Kristian, Judaism, Buddha, Hindu atau Sikh? Pada mereka kebenaran juga berpihak kepada mereka.

Seperti mana di dalam sebuah bilik mesyuarat di mana semua eksekutif berkeras mengatakan dialah yang benar. Sampai esok pagi pun takkan habis mesyuarat tadi!
Jadi daripada kita memusatkan hanya kepada 'siapa yang benar', mengapa tidak kita memusatkan perbincangan untuk mencari kaedah terbaik untuk semua rakyat tak mengira agama dapat hidup aman dan saling memahami?

Apabila kita telah memilih Islam, cukuplah kita saja memaklumi bahawa kita telah memilih yang terbaik. Kalau ianya bukan yang terbaik, tentu kita telah memilih yang lain. Tak perlulah kita mendabik dada mengatakan 'agama kau salah, agama aku saja yang betul'. Ianya cuma akan mencetuskan lebih banyak perbalahan.
Sekiranya kita melihat mereka yang dilahirkan dalam agama lain sebagai satu jenayah, mereka akan melihat kelahiran kita dalam Islam juga sebagai satu jenayah.

Wednesday, November 26, 2008

'Hotel California' Mempromosikan 'Church Of Satan'?

Nota: Artikel ini bukanlah satu artikel intelektual. Ianya ditulis sekadar suka-suka kerana kebosanan menunggu panggilan telefon dari beberapa klien dan rakan perniagaan. Jangan diambil isi artikel ini bulat-bulat kerana saya menulisnya dengan penuh sinikal, ahaksss!!!


Antara artikel saya yang paling banyak tersebar di laman-laman web dan melalui emel ialah 'Hin Atirec Kan Ayas' yang ditulis sekitar tahun 2001, mengisahkan tentang 'mesej songsang' yang kononnya terkandung dalam beberapa lagu-lagu popular.

Dengan lebih ringkas, ia menjurus kepada teknik 'backmasking' dalam rakaman audio, yang mana segalanya kedengaran 'biasa' bila dimainkan secara, well... biasa. Namun bila dimainkan secara songsang, ada kedengaran 'mesej-mesej' dan 'bunyi-bunyi' yang tafsirannya begitu meluas dari 'saranan pengiklanan tanpa sedar', 'mempengaruhi pendengar mengambil dadah' sehinggalah 'mesej daripada syaitan'.

Antara lagu yang paling kerap dikaitkan dengan fenomena ini ialah 'Hotel California' nyanyian The Eagles, seperti yang terkandung dalam album yang bertajuk serupa, diterbitkan pada tahun 1977.

Al-kisahnya, lirik lagu ini menceritakan tentang seorang pengembara yang sesat di waktu malam sekitar sebuah lebuh raya di tengah padang pasir. Dalam keletihan dan kerabunan, beliau terlihat satu cahaya malap dari jauh dan mendapati ianya sebuah rumah tumpangan. Jadi beliau berkeputusan berhenti bermalam.

Namun persekitaran rumah tumpangan itu penuh misteri, dengan suara-suara halus yang membisik entah dari mana, karakter-karakter pelik, bar yang kehabisan wain sejak tahun 1969 dan sebagainya. Kemuncaknya ialah bila pengembara itu mendapati penghuni lain sedang melakukan satu 'upacara' di dalam dewan yang mana mereka cuba 'menikam makhluk liar dengan pisau' namun 'tak berdaya membunuhnya'.

Ketakutan, pengembara tadi cuba lari tetapi dihalang oleh penjaga pintu yang menyatakan bahawa semua penghuni di situ boleh keluar masuk sesuka hati dari premis berkenaan namun mereka tidak boleh 'meninggalkan' rumah itu sampai bila-bila... :)

Tafsiran yang paling popular mengenai lagu ini ialah berkenaan Church of Satan yang dimulakan oleh Anton LaVey di Amerika Syarikat pada tahun 1966. Malah tajuk 'Hotel California' itu dikatakan merujuk kepada ibu pejabat pertubuhan tersebut yang terletak di 6114, California Street, San Francisco; juga dikenali sebagai 'Black House'.

Antara bait lirik yang kononnya mengiyakan mitos Church of Satan dalam lagu ini ialah: "So I called up the Captain, please bring me my wine. And he said we haven't had that spirit here since 1969". Sumber-sumber mendakwa bahawa 'spirit' ini merujuk kepada 'Holy Spirit' dalam Triniti Kristian manakala 1969 merupakan tahun di mana pertubuhan tersebut menerbitkan 'Satanic Bible' yang merupakan deklamasi dogma rasmi mereka.

Kemudian tentunya bait yang merujuk kepada 'upacara di dalam dewan utama' yang mana; "They tried to stab it with their steely knives but they just can't kill the beast". 'Beast' di sini merupakan nama lain yang ada digunakan dalam Bible untuk 'Iblis'.

Tidak cukup dengan itu, kulit album 'Hotel California' juga dikatakan mempunyai imej-imej gothika yang juga merujuk kepada penyembahan Syaitan. Kulit bahagian dalam, jika diperhatikan betul-betul, ada terdapat seorang wanita (hantu?) yang seakan melompat sambil mendepakan tangan di atas orang ramai yang berkumpul di lobi utama.

Walaupun kesemua model dalam kulit album ini adalah manusia betul tetapi di belakang kaunter penyambut tetamu pula terdapat imej manusia yang seakan-akan lukisan. Kononnya juga ini merupakan imej Aleister Crowley, seorang pengasas ajaran agama songsang.

Memandangkan mereka yang berumur 30 tahun ke atas gemar menyanyikan lagu ini di karaoke atau mendengar persembahannya dari kugiran-kugiran di kelab-kelab, mungkin ada wakil dari majlis agama atau Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) sendiri yang ingin menyiasat kalau-kalau akidah umat Islam 'boleh terpesong' kerana mendengar lagu ini.

Dan apabila kajian telah dibuat, mungkin MFK akan mengharamkannya juga seperti mana mereka mengharamkan Kongsi Raya dan Yoga.

AKRAB: Empat Cadangan Untuk Institusi Agama Di Malaysia

Dengan berita mengenai Persatuan Hindu Sangam yang meminta agar Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) supaya 'lebih sensitif', diselang-seli dengan penangguhan implementasi fatwa pengharaman Yoga di Selangor dan Perak dan komen dari beberapa mufti negeri lain, saya tidak dapat mengelak dari merasakan bahawa isu ini seakan sudah hilang kawalan.

Kem orang Islam sendiri seakan sudah berpecah: ada yang mendesak agar tindakan dikenakan kepada barangsiapa yang mempersoalkan keputusan MFK, ada yang menerima bulat-bulat memandangkan fatwa itu dibuat oleh sebuah badan diiktiraf, ada yang mempersoalkan kewajaran dan cara pengumuman fatwa tersebut dilakukan dan tentunya ada yang tidak ketahuan punca akan latar belakang segala kekalutan ini.

Artikel ini boleh saja menjadi panjang lebar untuk menghuraikan apa yang ingin saya sampaikan, tetapi buat masa ini cukuplah dengan yang berikut.

FAKTA: Imej Islam sekarang berada di tahap yang paling buruk, terutama selepas insiden 9/11, pengeboman Bali dan beberapa serangan bom bunuh diri yang dilakukan atas nama agama.

FAKTA: Kredibiliti Islam sendiri mula terjejas sebagai satu agama suci yang menitik-beratkan keamanan dan persefahaman. Kedapatan penceramah-penceramah Islam yang masih gah melaungkan isu-isu berbentuk propaganda dan mendorong permusuhan di antara (malah sesama) agama tidak membantu.

FAKTA: Kejatuhan kredibiliti ini sedikit sebanyak akan memberi impak kepada generasi muda Gen-Y yang mungkin melihat Islam sebagai tidak lagi relevan, mundur, berfahaman kolot dan tidak progresif.

Namun daripada kita terus-menerus mencari salah silap tanpa mencari kaedah untuk memperelok dan dalam beberapa kes, memperbetulkan persepsi umum ini, 10 tahun lagi sekalipun Islam akan masih berada dalam Zaman Kegelapan seperti sekarang.

Dari minda yang dhaif ini mungkin yang berikut dapat direnung-renungkan:

(a) Berikan kesedaran kepada umat Islam hari ini bahawa Islam yang ada sekarang merupakan hasil dari evolusi pemikiran dan tamadun Islam sejak dari zaman Khalifah Ar-Rashidun, termasuklah evolusi pemikiran Ahlul Sunnah, Syiah, Muktazilah, Falyasuf, Sufi dan sebagainya. Ini kerana ada umat Islam pada hari ini sudah bercampur aduk fahamannya namun menganggap ia merupakan 100% ajaran yang diamalkan ketika Rasulullah s.a.w masih hidup. Ada seorang rakan mengamalkan ajaran 'membasuh kerat kuku yang dipotong ketika haid' kerana disangkanya itu adalah ajaran Islam yang dituntut. Seorang lagi rakan terkejut bila mendapati bahawa hukuman rejam tidak pernah disebut dalam Al-Quran langsung!

(b) Wujudkan institusi kajian dan pembangunan antara-agama seperti yang pernah diwujudkan oleh Khalifah Harun Al-Rashid satu ketika dahulu, di mana cerdik pandai berbilang agama duduk semeja untuk membincangkan kaedah pembangunan insaniah berdasarkan ruh yang ada dalam setiap agama. Malaysia berpotensi dijadikan sebagai 'hub' institusi pembangunan antara-agama seperti ini. Ini pada saya adalah sejajar dengan tuntutan dalam Islam sendiri, jelas tertulis dalam Surah Al-Ankabuut ayat 46 yang sekira-kiranya bermaksud:

"Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri".

(c) Wujudkan siri-siri program untuk memperjelaskan apa sebenarnya ajaran yang termaktub dalam agama-agama utama di Malaysia, yakni Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan sebagainya. Masalah kita sekarang ialah sikap prejudis dan salah faham akan ajaran-ajaran yang dibawa oleh agama lain daripada agama yang kita dibesarkan. Prejudis seterusnya mewujudkan salah faham dan mungkin menjurus pula kepada kebencian.

(d) Galakkan perbincangan positif dan progresif berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan agama daripada 'menutup mulut orang Islam' dari mempersoalkan mana-mana keputusan majlis agama. Islam bukanlah 'menurut tanpa usul periksa membabi-buta'. Malah Imam Al-Ghazalli sendiri menggalakkan umat Islam mengkaji sesuatu perkara dari berbilang sudut tanpa prejudis sebelum menjatuhkan hukum. Kerana sifat pemikir-pemikir Islam terdahulu seperti Ibnu Sina dan Ibnu Al-Arabi yang 'berani mempersoalkan' itulah berbilang penemuan-penemuan saintifik yang menggemilangkan tamadun Islam satu ketika dahulu berjaya dilakukan. Islam agama Intelek. Cadangan Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk mendakwa mana-mana orang Islam yang 'mempersoalkan' ini tak ubah seperti kaedah yang dilakukan Gereja Katolik terhadap saintis seperti Galilleo dan Issac Newton bila mana penemuan saintifik mereka 'bercanggah' dengan apa yang dimaktubkan oleh institusi berkenaan ketika itu.

InsyaAllah, jika masa mengizinkan, saya akan kupas cadangan-cadangan ini dengan lebih terperinci. Sebarang komen membina dan cadangan-cadangan lain dari pembaca juga amat dialu-alukan.

Sekian, terima kasih.

Asrul Muzaffar Mohammed
Pengasas dan Presiden
Persatuan AKRAB Malaysia (Nombor Pendaftaran 0961-05-5)

Monday, November 24, 2008

TAKUT! TAKUT! TAKUT!

Nota: Artikel ini pernah disiarkan di Bandar Utopia@Yahoo!Groups pada 12 Mac 2003. Saya berhasrat mengeposnya semula sebagai entri baru memandangkan ia relevan dengan kenyataan Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk mengambil tindakan kepada barangsiapa yang mempertikaikan institusi fatwa.


******************
Dalam setiap kelumpuk masyarakat Islam contohnya, akan sentiasa ada satu kelumpuk yang merasakan bahawa mereka lebih Islam dari orang Islam lain walaupun hukum syariah dijalankan 1000% dalam negara. Mereka inilah yang sering mencari salah silap orang lain... hanya tahu komplen tanpa memberikan sebarang solution yang praktikal. Di sebabkan pertentangan budaya, kurang variasi pendidikan dan kegagalan mengadaptasikan diri dengan perkembangan semasa, mereka menganggap siapa saja yang tidak mengikut stail hidup mereka sebagai "bukan Islam sejati" dan perlu ditentang.

Sejarah Islam, seperti konflik golongan Syiah dan Sunni ketika zaman Ar-Rashidun lagi, merupakan bukti teguh akan kekalutan golongan ini. Khalifah Omar pula contohnya dibunuh oleh terroris dari golongan Kharajit.
 
Tapi hakikatnya golongan seperti ini, dengan pandangan fundamentalis mereka terhadap dunia dan kefahaman Islam yang telah dimanipulasikan, akan "pi mai pi mai dok tang tu" terutama dalam arus globalisasi dunia yang makin mencabar dan seperti kopi dengan susu berbanding cara hidup agrarian yang mereka modelkan mengikut cara hidup suatu kelumpuk 1,400 tahun yang lampau.
 
Tapi mati idup balik kemudian mati idup balik 100 kali pun, kita yang hidup pada tahun 2003 nih tidak akan pernah sama dengan mereka yang hidup 1,400 tahun dahulu. Ini adalah hukum alam ciptaan Allah swt. Melainkan mereka hidup kat sebuah pulau terpencil yang tak der dalam peta, golongan ini akan mendapati bahawa cara hidup mereka nih makin ditelan arus peredaran masa dan zaman. Masalahnya mereka TERPAKSA hidup dalam alur kontemporari ini walaupun ideal mereka masih terperuk di zaman lampau.
 
Ada satu perkataan yang men'summarise'kan dilema mereka nih --- TAKUT.
 
Golongan ini TAKUT jika cara hidup mereka nih lenyap terus dan terpaksa terkontang kanting hidup dalam suatu masyarakat yang amat asing budayanya. Lebih teruk lagi jika kemodenan ini DIPAKSAKAN terhadap mereka seperti yang dilakukan Attarturk.
 
Bila manusia TAKUT, mereka tak akan berfikir dengan waras. Macam orang TAKUT bila jumpa hantu lerr --- terkencing dalam seluar, tak leh bergerak, etc, etc. Walaupun musuh Islam itu ada (golongan fundamentalis agama lain dan rejim Zionis contohnya), golongan ini mula memusuhi apa saja yang bertentangan dengan cara hidup agrarian yang mereka amalkan. Kalau tak pakai macam depa pakai, musuh. Kalau tak buat facial macam muka depa, musuh. Kalau tak belajar kat madrasah seperti depa, musuh. Kalau tak amalkan cara pemerintahan ideal mereka, musuh. Pendeknya habih semua depa musuhkan.
 
Perbuatan memusuhi semua orang nih (kecuali yang bersefahaman dengan mereka) kerapkali diperjuangkan atas alasan ingin "menjaga akidah" atau "nur Islam". Alasan ini bukanlah sebenarnya untuk "menjaga akidah" namun sekadar didorong rasa TAKUT kalau-kalau budaya mereka disanggah, walhal kemungkinan "budaya" yang mereka pakai tadi sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
 
Bila keTAKUTan ini mula menyelinap masuk ke dalam minda mereka dan bilamana ia bercampur aduk dengan agama, fahaman agama mereka akan menjadi agak agak distorted dan dalam banyak segi tersimpang jauh dari ajaran Islam yang sebenar. Kemajuan Internet contohnya, telah memudahkan penyebaran "keTAKUTan" ini yang didisguise sebagai "peringatan", walaupun selalunya sumber tersebut boleh dipertikaikan dan agak ridiculous.
 
Oleh kerana depa dah TAKUT, "dakwah" golongan ini lebih banyak tertumpu pada metoda menakut-nakutkan orang dengan berita/khabar angin sebegini. Ia belum termasuk kisah-kisah rekaan yang disinonimkan dengan riwayat Rasulullah dan petikan Al-Quran out of context atau secara cantas. Sahabat sekelian pun tentu pernah menerima, membaca atau memforward e-mel berikut:
 
a) Kisah remaja Islam yang diKristiankan setelah meminum mineral water yang sebenarnya "holy water".
b) Larangan melawat laman web Answering Islam (walaupun berasas, namun saya akan bincangkan isu ini dalam artikel lain)
c) Gambar ayam hybrid yang didakwa digunakan untuk Kentucky Fried Chicken (setelah gagal dalam usaha menyebarkan fitnah bahawa ayam KFC adalah ayam katok)
d) Pokemon yang didakwa berunsur syaitan dan athisme
e) Lagu Asereje yang didakwa memuja syaitan (he...he...)
f) Kisah makanan nih makanan tuh yang didakwa mengandungi bahan yang haram dimakan
g) Restoran Sate Kajang Hj Samuri yang dikatakan tidak menyediakan makanan secara Islamik.
h) Tiang lampu di KLCC yang dikatakan menyerupai lambang salib
 
DAN BANYAK LAGI. You can add-on to the list if you wish.
 
Peringatan "Dunia Di Ambang Akhir Zaman" juga boleh dilihat dari konteks ini, yang mana cara pendakwahannya di buat hingga satu ketika dahulu saya musykil apa sebenarnya yang perlu kita TAKUTkan ---- Qiamah atau Allah???
 
(Nota: Artikel E2 di bawah subtitle berkenaan sebenarnya membincangkan perihal sikap segelintir umat Islam yang terlalu murah mengucapkan kalimah tersebut sebagai "figure of speech". Artikel tersebut tiada langsung menidakkan hakikat bahawa Qiamah pasti terjadi dan Rasulullah merupakan utusan terakhir. Cuba baca balik elok-elok, beb...)
 
Bila TAKUT tersebut mencapai klimaksnya dan ianya di"Islam"kan, di sinilah manusia akan mula bertindak secara agressif. TAKUT tadi bertukar pada suatu tindakan yang walaupun secara rambangnya kelihatan berani, namun ianya tetap berpunca dari rasa TAKUT...
 
Untuk menyingkirkan rasa TAKUT ini dari kalangan umat Islam, pertama sekali kita haruslah mengenal pasti siapakah sebenarnya musuh kita, dan bukannya pakai serkap jarang sahaja. Nak tangkap ayam pun ada strateginya sebab jika kita pakai redah saja, silap-silap tangan akan terpalit tahi.
 
Ahmad Deedat, pejuang Islam yang sepanjang hayatnya digunakan untuk membalas serangan missionari Kristian contohnya, boleh dijadikan iktibar. Beliau mengenal pasti siapa dan bagaimana cara golongan missionari ini menyebarkan dakwah --- yang berasaskan metoda memperkecil-kecilkan penganut dan agama lain. Oleh itu Deedat telah menggunakan hujah missionari ini sendiri against them, yang rata-rata mempunyai kecenderungan meng"approach" Bible secara literal, seperti pegangan bahawa setiap ayat, perkataan, noktah dan koma dalam kitab mereka adalah 100% dari Tuhan dan perlu ditelan bulat-bulat.
 
Dari konteks Palestin-Israel pula, adalah salah jika kita mengandaikan bahawa SEMUA Yahudi adalah musuh, walhal musuh sebenar yang wajib ditentang ialah rejim Zionis, yang hanya memperjuangkan pembentukan negara Israel secara apa jua metoda sekalipun. Perlulah diperjelaskan bahawa Zionis sebenarnya BUKANLAH suatu pertubuhan agama, malah ia adalah berdasarkan "pure secularism" dan mendapat tentangan dari ahli-ahli kitab Yahudi sendiri. Hanya sejak akhir 1960an barulah terbitnya "fatwa" dari beberapa Rabbi Yahudi fundamentalis mengaitkan rejim Zionis dengan agama dan sekaligus "menghalalkannya".
 
Selain dari itu, golongan Nazi dan Neo-Nazi yang menganggap puak mereka sebagai superior race juga adalah salah satu musuh yang harus diberi perhatian. Nazi mengutamakan "ethnic cleansing" dan cenderung menyiksa sesiapa sahaja yang tidak sependapat atau mempunyai latarbelakang sama dengan mereka.
 
Dan dalam perspektif ini, saya rasa tidak keterlaluan jika disamakan modus operandi segelintir golongan Islam yang saya nukilkan dalam siri "Serangan Takut Hidup" nih dengan cara Nazi yang hanya menganggap kaum mereka saja betul dan yang lain semuanya salah.
 
Malah saya merasa mual dan jelek bila menulis mengenai ideologi mereka seperti Mawdudi, Qutb, (dan dalam siri berikutnya) Shukri Mustafa dan ultimatenya, Faraj (yep...that's his name) yang sememangnya memperkuatkan lagi pendapat saya bahawa "jihad" a'la merekalah yang perlu dihadapkan dengan my infamous "F*#K The Jihad" quote....
 
Bila mengambil kira segala manipulasi dan penyelewengan yang telah mereka lakukan, dan bagaimana tindakan mereka telah memburukkan imej Islam di mata dunia (serta mengakibatkan ribuan Muslim Muslimah yang tidak berdosa melayang nyawanya), the quote to me is justifiable.
 
Mereka bukanlah memperjuangkan agama, malah MENGHANCURKAN agama itu sendiri.
 
Jadi apakah tindakan kita dalam membendung gejala ini di kalangan umat Islam?
 
Prevention is always better than cure...
 
Jika kita percaya dan yakin bahawa agama Islam itu benar, apakah yang kita TAKUTkan? Jadi kenapa mesti TAKUT...?

Sunday, November 23, 2008

Lemah Sangatkah Akidah Umat Islam?

Mungkin berita yang paling 'hangat' dalam sehari dua ini ialah pengharaman Yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK). Menurut berita, keputusan mengenai fatwa yoga itu dilakukan pada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-83 di Kota Bharu, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober lalu.

Saya tidak ingin komen akan kewajaran pengharaman tersebut, kerana ia telah dilakukan oleh berbilang blogger sana sini sejak sipi-sipi angin ada membawa khabar bahawa ianya 'bertentangan dengan akidah umat Islam'.

Cuma beberapa perkara ingin saya persoalkan:

(a) Yoga telah diamalkan di antara 450-500 BCE (Before Common Era), malah lebih awal dari kedatangan agama Islam. Kenapa baru sekarang, di tahun 2008, MFK melabelkannya sebagai haram? Malah MFK sendiri menyatakan bahawa Singapura dan Egypt telah mengharamkannya lebih awal. Adakah MFK ketinggalan keretapi? Kenapa MFK 'memperjudikan' akidah umat Islam Malaysia selama ini dengan 'menutup sebelah mata' akan pengaruh agama Hindu dalam Yoga dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan? Kenapa bila Prof. Zakaria Stapa, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah, barulah MFK bertindak?

(b) Pengharaman ini memberikan gambaran bahawa akidah seseorang Islam adalah begitu rapuh sehingga mudah tergugat dengan melakukan beberapa senaman untuk kesihatan, tanpa mengira ianya ada berkaitan dengan tenet-tenet atau dogma agama lain atau tidak. Dengan erti kata lain, MFK seolah mengakui bahawa dalam era Teknologi Maklumat ini, umat Islam sebenarnya adalah terlalu lemah sehingga wajib menghalang diri dari berinjak melakukan (malah memikirkan) barang sedikit tentang apa-apa yang berbau-bau bacang tentang agama lain. Lemah sangatkah akidah kita sekarang? Dalam era Internet di mana maklumat tentang agama lain boleh didapati di hujung jari, 'gangguan akidah' boleh terangsang sekelip mata bila dengan sengaja atau tidak sengaja kita melayari laman-laman web anti-Islam. Jadi haruskah MFK memfatwakan Internet juga sebagai haram?

(c) Telah jelas terbukti bahawa tahyul, kepercayaan terhadap keramat, pawang, bunian dan seumpamanya juga mampu melanggar akidah. Malah tragedi kematian sepasang suami isteri yang mengamalkan fahaman sesat (rawatan dipukul dengan topi keledar) ketika umat Islam berhari raya tempoh hari menjadi bukti kukuh akan hal ini. Kalau terbukti ianya mendorong pada kesesatan, adalah lebih baik agar ia jangan didekati langsung - sama seperti dosa berzina, minum arak dan seumpamanya. Saya ingin tahu pendirian MFK terhadap premis-premis yang mempropagandakan tahyul di Malaysia seperti rancangan 'Seekers', 'Misteri Nusantara', majalah Mastika, Variasari dan sebagainya. Adakah mereka juga pantas dijatuhkan fatwa sebagai haram kerana menggalakkan orang Islam mempercayai tahyul? Seperti mana ramai di antara kita sedia maklum, ada di antara kepercayaan tersebut berasal dari agama Hindu dan membawa fahaman animisme, seperti menurun dan sebagainya.

Saya berharap ada wakil dari MFK atau mereka dari golongan cerdik pandai sudi memperjelaskan hal berkenaan kepada saya yang dhaif ini.

Saturday, November 22, 2008

Duduk Bersamaku


I'll sing myself to sleep
A song from the darkest hour
Secrets I can't keep
Inside of the day

Swing from high to deep
Extremes of sweet and sour
Hope that God exists
I hope I pray

Drawn by the undertow
My life is out of control
I believe this wave will bear my weight
So let it flow

Oh sit down
Sit down next to me
Sit down, down, down, down, down
In sympathy

Now I'm relieved to hear
That you've been to some far out places
It's hard to carry on
When you feel all alone

Now I've swung back down again
It's worse than it was before
If I hadn't seen such riches
I could live with being poor

Oh sit down
Sit down next to me
Sit down, down, down, down, down
In sympathy

Those who feel the breath of sadness
Sit down next to me
Those who find theyre touched by madness
Sit down next to me
Those who find themselves ridiculous
Sit down next to me
Love, in fear, in hate, in tears

Down
Down

Oh sit down
Sit down next to me
Sit down, down, down, down, down
In sympathy...

- 'Sit Down' by James, from the album 'Gold Mother' (1991) -

Tuesday, November 18, 2008

Buku Tebal, Buku Nipis

Semalam saya berkesempatan menjengah blog John Norafizan, rakan penulis yang dikenali secara peribadi sejak awal pembabitannya di e-grup Relexjap awal 2001 dahulu. Entri blognya yang terbaru membincangkan tentang senario permintaan novel tempatan. Mitosnya ialah mengenai andaian penerbit dan pengedar buku tempatan bahawa novel/buku bermukasurat tebal lebih senang dijual di pasaran. Lebih tebal, lebih bagus.

Saya ada meninggalkan beberapa baris komen yang kemudiannya dijawab pula oleh wakil (bos?) Jemari Seni Publishing, salah sebuah penerbit bahan bercetak yang makin memperluaskan tapak di persada penerbitan negara:

"Sebenarnya apa yang cuba diterangkan oleh John tidak mewakili pendapat penerbit mahupun pengedar. Tetapi ia menggambarkan senario permintaan novel di Malaysia. Sekiranya kita ingin mengubah keadaan ini, pembaca mestilah sanggup berubah. 
Sila semak hukum permintaan dan penawaran dalam ekonomi untuk memahami situasi ini. Dan penerbit serta pengedar terpaksa akur dengan 'keputusan' pembaca ini".

Terasa sedikit terkilan kerana penerbit lantang sahaja 'menyalahkan' pembaca bilamana sesuatu 'keadaan' tidak menyebelahi perancangan korporat mereka. Suatu fenomena yang telah menjadi kebiasaan bukan sahaja dalam industri penerbitan malah industri filem atau muzik tempatan. Bilamana produk tidak laku, disalahkan pengguna yang kononnya 'tidak berpelajaran', 'lebih meminati produk luar' atau 'gejala cetak rompak'.

Sekitar 2002-2003, saya berpeluang terlibat dengan pelancaran novel 'Bukan Puteri Lindungan Bulan (BPLB)' karya Liana Afiera Malik, terbitan Creative Enterprise (CESB) tidak lama dahulu - sebuah novel 'tebal' yang mana beberapa skeptik mengatakan tidak boleh dijual kerana harganya yang agak tinggi berbanding harga purata novel-novel remaja yang lain.

Saya gemar menyertakan 'case study' BPLB dalam senarai portfolio pencapaian saya kerana metoda pemasarannya yang agak komprehensif dan belum pernah dilakukan mana-mana penerbit tempatan sebelum ini. Antaranya:

  • Pemasaran strategik melalui gabungan pengurusan majlis, pengurusan media, pengiklanan dan promosi yang mensasarkan promosi terhadap tiga elemen - produk (yakni novel BPLB sendiri), penulis dan penerbit.
  • Pelancarannya dibahagikan kepada dua - 'soft launch' yang dilangsungkan di Johor, negeri kelahiran penulis dan pelancaran rasmi bertempat di Kuala Lumpur beberapa minggu kemudiannya, disempurnakan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
  • Pelancarannya disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui radio - pertama kali seumpamanya diadakan di Malaysia. Pelancaran album Siti Nurhaliza pun belum pernah diwar-warkan sebegini!
  • Ulasan editorial dan paparan wawancara secara langsung di akhbar-akhbar aliran utama, stesen TV dan radio.
  • Iklan di akhbar tempatan dan radio
  • Produksi 'spin-off' dari novel berkenaan dalam bentuk poster cetakan terhad, baju T, poskad dan beg kertas.
  • Penganjuran peraduan-peraduan yang mana pemenangnya memenangi novel BPLB yang ditandatangani penulis dan produk-produk 'spin-off'.
  • Penganjuran 'Roadshow BPLB' ke seluruh negara.
  • Pemasaran melalui laman web dan e-grup.
  • Pemaparan 'tidak langsung' melalui drama-drama swasta, seperti karakter sedang membaca novel BPLB di rumah, sambil menunggu 'hero' dan sebagainya.

Hasilnya, novel yang dikatakan 'tidak boleh dijual' itu memasuki cetakan kedua dalam masa kurang dari 2 minggu! Liana pula makin dikenali ramai sebagai salah seorang novelis tersohor negara dan Creative Enterprise dimaklumi sebagai sebuah syarikat penerbitan yang disegani.

Lebih penting lagi, pasukan kami berjaya mencetuskan minat daripada golongan pembaca yang belum atau tidak pernah membaca novel Bahasa Malaysia di samping memperkukuhkan posisi di kalangan golongan sasar utama iaitu penggemar novel remaja.

Jadi poin utama di sini ialah 'cetusan minat' atau menimbulkan 'curiosity'. Ini kerana orang ramai akan berasional bahawa jika sesebuah penerbit sanggup melabur dan melangsungkan aktiviti promosi seumpama ini, maka produk tersebut tentu ada merit yang tersendiri. Dorongan ini seterusnya akan diterjemahkan kepada ringgit dan sen.

Berapakah nilai pelaburan aktiviti promosi tersebut? Secara rasmi (menurut kenyataan akhbar yang diedarkan), ia bernilai RM1.5 juta. Secara tak rasmi, sila rujuk kepada Jaafar Taib, bos besar CESB, ahaksss!!! Namun cukuplah dinyatakan bahawa R.O.I (Return Of Investment) projek ini mencapai objektif-objektifnya. Objektif untuk mempromosikan BPLB hanyalah 1/3 daripada gambaran yang lebih besar.

Kesimpulannya, tidak perlulah asyik-asyik pembaca yang disalahkan. Yang terhasil di sini ialah andaian bahawa 'pembaca nak macam ini' jadi penerbit/pengedar harus melakukan 'macam itu'. Memang ini adalah hukum asas dalam ekonomi tetapi Adam Smith membangunkan hukum ini sekitar tahun 1700an dan sekarang sudah nak masuk tahun 2009. Jika hukum ini terlalu dikiblatkan maka Microsoft tidak akan mendominasi industri IT pada hari ini!

Ada yang mengatakan bahawa kesemua penerbit, pengedar, penulis dan pembaca harus 'berubah'. Benar, tapi statemen ini adalah seperti menunggu buah yang tidak mungkin jatuh melainkan kita mengambil galah dan berusaha mengaitnya sendiri. Yang penting ialah penerbit harus mempunyai suatu wawasan dan diperkukuhkan pula dengan strategi perniagaan yang bijak. Lebih penting lagi, sanggup mengambil risiko.

Di seberang sana, penerbit adalah pendorong industri manakala penulis adalah pencetus ideologi. Pembaca di seberang sini seterusnya akan menentukan sama ada produk tersebut baik atau sebaliknya - tanpa mengira elemen-elemen mitos seperti ketebalan atau kenipisan novel tersebut.

Pengedar pula selalunya akan berdiri di atas pagar semata-mata. Asal saja duit masuk, tiada komplen!

Monday, November 17, 2008

Melayu Memang Pendengki?

Saya terbaca entri terbaru dari blog seorang rakan, bertajuk 'Kenapa Perlu Ada PHD?'

Serentak teringat perbualan saya tidak lama dahulu dengan salah seorang pengarah syarikat ULC (UMNO-Linked Company). Perbualan tersebut lebih kepada keluhan dari saya terhadap segelintir golongan yang merasakan diri mereka terancam dengan kemasukan kakitangan baru yang begitu dinamik merubah paradigma lama yang semakin bervirus dan tidak langsung progresif.

Jawapan beliau pada saya, "Biasalah... kompeni Melayu..."

Untuk rekod (buat kesekian kalinya) saya tidak percayakan mitos bahawa asal saja sesebuah syarikat itu mempunyai majoriti kakitangan Melayu, maka kompeni itu akan penuh dengan hasad dengki, tikam belakang dan jatuh-menjatuhkan. Umumnya, pada saya, gejala negatif ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana kaum. Ianya lebih kepada persekitaran, norma dan cara seseorang PHD (meminjam 'anugerah' yang dikias rakan blogger tadi) itu dibesarkan.

Saya juga percaya pada resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk. Mereka yang sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mencetak 'status update' seseorang dan mengedarkannya kepada semua jabatan demi menjatuhkan orang itu adalah mereka yang terdesak, terancam dan memaklumi kekurangan diri mereka sendiri. Ini kerana secara batiniah, manusia akan mula melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan sama sekali tidak beretika bila merasa 'survival' mereka tergugat. Dan mereka yang mengiyakan tindakan itu juga sebenarnya menggalakkan perkara negatif ini dilakukan.

PHD sebenarnya didorong oleh sifat hipokrit diri. Dari satu sudut, kita bersolat, berdoa dengan linangan airmata di masjid, gereja dan kuil agama anutan masing-masing agar hidup kita diberkati Tuhan Yang Satu. Di sudut lain, kita sedap saja mengata memfitnah seseorang dari belakang kononnya beliau melakukan skandal seks dengan salah seorang pekerja syarikat yang lain. Ulama' mengatakan bahawa solat/ibadah menghalang kita dari melakukan perbuatan mungkar. Kecenderungan negatif tersebut mungkin membayangkan bahawa solat/ibadah orang itu tidak diterima sebenarnya. Mungkin.

Dasarnya sifat pendengki ini ada dalam segelintir individu yang berasal dari mana-mana kaum - dari Melayu, Swahili hinggalah Eskimo.

Yang membezakannya ialah sejauh mana barisan pengurusan dan lembaga pengarah syarikat tersebut membenarkan ianya berleluasa. Barisan yang mempunyai autoriti dan mandat menggubal (serta melaksanakan) polisi yang menentukan jatuh bangunnya organisasi.

Fenomena ini menular bila mana kakitangan merasa mangli terhadap budaya yang sudah kekal lumat bersarang sejak organisasi itu ditubuhkan. Inilah yang mungkin menyebabkan lembaga pengarah dan barisan pengurusannya 'menutup sebelah mata' akan sebarang gejala negatif yang berlaku. Mereka telah berjaya 'hidup' sekian lama dengan budaya ini jadi mengapa perlu berubah, fikir mereka.

Lagipun mungkin ada di kalangan lembaga pengarah dan barisan pengurusan tersebut yang berada di tempat mereka sekarang hasil dari sifat pendengki mereka sendiri. Dah jadi sebahagian darah daging mereka. Kalau nak tukar, kenalah buat pemindahan darah baru.

Lagipun saban hari saban bulan saban tahun, kontrak dan untung tetap masyuk kerana ianya merupakan syarikat yang dinaungi parti pemerintah 100 persen!

Namun seperti mana yang pernah dialunkan oleh kumpulan muzik The Eagles:

"Who is gonna make it, you'll find out in The Long Run..."

Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh, dari kejahatan makhluk-Nya, dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki” (Surah Al-Falaq, ayat 1-5)

Thursday, November 6, 2008

'Akulah Orang Malaysia!'

Satu ketika dahulu di Tingkatan Empat (1985), saya dipilih untuk menyertai Khemah Kerja Perpaduan di Kota Bharu, Kelantan. Ianya juga dihadiri pelajar berbilang bangsa dari sekolah-sekolah sekitar Malaysia.

Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan diberi beberapa tajuk untuk dibincangkan. Perbincangan kumpulan itu seterusnya dibentangkan melalui sesi pleno kepada semua peserta yang hadir. Saya menjadi pembentang kepada tajuk 'Memupuk Semangat Perpaduan Di Sekolah' dan melaluinya saya menggariskan beberapa cadangan seperti 'menetapkan hari untuk memakai baju kebangsaan secara bergilir di sekolah' dan seumpamanya.

Sewaktu sesi soal jawab, rasanya mungkin itulah sesi yang terpanjang di antara sesi-sesi pleno lain sepanjang Khemah Kerja tersebut. Ada yang menyokong. Lebih ramai yang menentang. Tentangan tersebut datangnya dari rakan-rakan berbangsa lain yang merasa seolah-olah saya 'mengenepikan' elemen bangsa mereka dalam cadangan-cadangan saya. Setiap kritik dan komen dijawab. Ada yang saya rasakan mantap dan ada pula seakan tidak pasti, sesuai dengan ketidak-cerdikan saya mengenal dunia waktu itu.

Saya dibesarkan dalam keadaan di mana saya merasa 'natural' dengan label 'Orang Melayu', 'Orang Cina' dan 'Orang India'. Kemudian ianya dipupuk lagi dengan siri-siri ceramah motivasi yang menggunakan lagu 'Anak Kecil Main Api... (Warisan)' untuk membangkitkan semangat bangsa. Panggilan-panggilan berbau perkauman sering dilontarkan sesama bangsa, ada secara berjenaka dan ada pula dengan penuh kebencian. Malah ada antara panggilan tersebut datang dari guru dan ustaz.

Ironinya, keluarga angkat kami adik beradik adalah berketurunan India. Jiran-jiran terdekat di sekeliling rumah pula semuanya berketurunan Cina. Walaupun 'semangat UMNO' kuat dalam keluarga kami, ibubapa saya yang kedua-duanya merupakan guru sejarah banyak menceritakan kisah perjuangan dan silaturrahim parti-parti berlainan bangsa yang bergerak sebagai satu dalam menuntut kemerdekaan. Malah perhubungan intra-bangsa tersebut merupakan syarat dari kolonis British dalam mempertimbangkan permohonan untuk membebaskan negara dari jajahan mereka.

Setelah agak cerdik mengenal dunia, saya memaklumi bahawa Dasar-Dasar Ekonomi yang termetrai pula adalah untuk 'mengimbangi' semula perbezaan sosio-ekonomi antara tiga bangsa utama di Malaysia yang telah dipisahkan melalui polisi penjajah selama 446 tahun (jika dikira dari penjajahan Portugis hinggalah kemerdekaan). Malah saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom berkat biasiswa yang terhasil dari dasar ini untuk kaum Melayu. Untuk itu, saya bersyukur.

Namun setelah 51 tahun merdeka, didorong pula dengan perkembangan-perkembangan kontemporari dalam politik lokal dan antarabangsa, terdetik juga sama ada politik 'kaum' ini masih relevan di Malaysia. Bukannya mudah untuk menyingkir semangat perkauman yang dipupuk secara langsung dan tidak langsung selama lebih 500 tahun. Dari mata daif ini, saya melihat isu 'kami vs mereka' ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Satu pihak mencium keris, pihak lain mengeksploitnya sebagai rasis. Pihak ini membangunkan ladang khinzir secara sistematik, pihak itu melihatnya sebagai melebihkan kaum sana. Pihak yangni membuat penambah-baikkan polisi, pihak yangtu pula memutar-belitkan fakta membuat demonstrasi demi mempromosikan persatuan mereka.

Dunia semakin berubah. Minda juga harus berubah. Begitupun dengan cara hidup, pergaulan dan metoda kita melakukan intepretasi.

Di akhir sesi pleno yang saya bentangkan, saya berucap; "Saya harap satu hari nanti Abu tidak lagi akan mengatakan 'Aku Orang Melayu' atau Ah Seng, 'Aku Orang Cina' dan Muthu, 'Aku Orang India'. Tetapi ketiga mereka akan bersatu senafas senada mengatakan 'AKULAH ORANG MALAYSIA'".

Seluruh hadirin bertepuk. Ada yang bangun. Mungkin tepukan paling bergemuruh di antara sesi-sesi pleno yang ada.

Setidaknya saya tahu ketika itu, dan mungkin juga ketika ini, bahawa saya tidak berseorangan.

Nota: Fotografi oleh Ted Adnan

Sunday, November 2, 2008

Cintaku, Destiniku

Isteri,

Terima kasih kerana menyintaiku.

Terima kasih kerana menjadi ibu kepada Alyssa dan Adam.

Terima kasih kerana tetap bersama dalam susah dan senang.

Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke 13.

Aku cinta padamu.

Friday, October 31, 2008

Hadiah Ulangtahun Ke 39: Urutan Spa!

Ada bertanyakan tentang 'hadiah istimewa' yang diterima untuk tanggal hari lahir yang ke 39 pada 24 Oktober lepas.

'Hadiah istimewa' dari Si Dia merupakan pengalaman pertama menerima urutan ala-Bali di spa. Terfikir juga, kenapa spa?

Mungkin kerana saya asyik mengadu 'tidak boleh mengeliat penuh takut-takut otot kejang' semenjak dua menjak ini. Atau mungkin secara kebetulan sebuah pusat spa baru dibuka berhampiran kediaman kami di Sungai Long. Atau mungkin kerana dirasakan 'prestasi' semakin menurun (naaaaaaahhhhhh... tak mungkin, ahaksss!!!).

Namun yang pasti, beliau sudah beberapa kali melakukannya di berbilang pusat spa daripada yang memang terletak di Bali hinggalah yang terbaru di Samsara Spa, Swiss Garden Resort, Kuantan. Dan beliau menggemarinya, jadi mungkin sekadar berkongsi kegemaran tersebut dengan saya.

Pendekkan cerita, kami menempah satu bilik khusus di mana sehelai tirai memisahkan kami berdua. Selepas meneguk segelas teh cina beberapa kali, saya menanggalkan semua pakaian dan hanya berbalut tuala. Berbaring meniarap di mana wajah saya disisipkan melalui lubang di pembaringan. Lampunya malap dan muzik instrumental nyaman beralun. Bau wangian minyak lavender menusuk hidung.

'Master Rin' yang merupakan Ketua Masseus spa berkenaan itu sendiri yang mengurut saya. Kesempatan diambil untuk bertanyakan tentang industri spa, faedah mengurut sehinggalah fungsi urat-urat badan tertentu terhadap kesihatan tubuh. Beliau mengatakan tubuh saya banyak 'angin' dan cara pernafasan saya kurang betul. Katanya itulah yang menyebabkan kerap berlaku 'stress'.

Sakit tak? Cukuplah jika saya katakan yang ada kalanya saya bertanya sendiri; "Bila lah nak abis niihhh???". Banyak kali juga dalam masa sejam tersebut saya mengetap bibir menahan sakit. Nanti kalau dibilang sakit, dikatakan tak 'macho' pula, ahaks! Bila tiba di bahagian yang katanya 'banyak angin', sakit urutannya mungkin lebih sakit dari waktu tergeliat kaki hingga terpaksa bertongkat dahulu!

Tapi saya mengejutkan diri sendiri bila memberitahu Master Rin di akhir sesi yang saya berhasrat menjadikan aktiviti spa tersebut sebagai 'aktiviti bulanan'.

Dalam perjalanan pulang, isteri saya merungut; "Orang pergi spa, enjoy, duduk diam-diam. You dari awal sampai habis tak henti-henti bising bercakap. Tanya itu ini.... heeeeeeeeeee".

Hmmm... sentiasa ada kali pertama untuk segalanya, kan?

Thanks for the birthday gift, yang!!! :)

Thursday, October 23, 2008

0115241039

Satu Limabelas Pagi.


Dua Puluh Empat Sepuluh.


Tiga Puluh Sembilan.

Tuesday, October 7, 2008

Perutusan Khusus Untuk Netizen Yahoo!Groups

Mohon maaf kerana sudah agak lama tidak menulis di persada Yahoo!Groups - baik di BandarUtopia@Yahoo!Groups, Relexjap, ataupun smtsp8286.

Sesuai dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, boleh dikatakan semua penulisan saya lebih bertumpu kepada BandarUtopia@Blogspot. Memandangkan saya kini gemar menyertakan foto atau video dalam artikel saya (dan Yahoo!Groups tidak 'menyimpan' fail-fail sebegini dalam arkib artikel), blog adalah pilihan yang lebih baik. Emel-emel berbentuk 'spam' skim cepat kaya atau 'pelaburan intensif' juga kurang. Manakala komen atau kritikan pula dapat saya respons dengan kadar lebih segera.

Jika blog merupakan rumah artikel saya kini, pemusatan segala aktiviti pula adalah di laman Facebook saya yang mana segala perkembangan terkini, observasi, komen, fotograf, video, capaian kepada artikel-artikel dan banyak lagi ada di situ. Boleh juga bersantai-santai dengan aplikasi-aplikasi 'gaming' jika mahu atau sekadar mencari-cari teman lama.

Saya juga telah mula menulis semula ke majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise, yang pernah menyiarkan siri 'Dari Sik Ke Stoke, UK' beberapa tahun sudah. Kolumnya kini bergelar 'Aiseymen! Asrul' dan banyak membincangkan hal-hal berkaitan penulisan dan perkembangan semasa.

Selain dari semua yang disebut tadi, pada saya gabungan Blogspot-Facebook memberikan imej 3-dimensi baik kepada saya secara peribadi mahupun kepada krim-krim minda yang dikongsi melalui alam siber. Jika di Relexjap kebanyakan hanya mengenali malaun bernama Asrul Muzaffar ini melalui penulisan saya yang ada kalanya kontroversi, melalut atau merapu; kini imej stereotaip itu dapat diimbangi dengan mengambil tahu latarbelakang saya secara umumnya. Lagipun berbanding MySpace, boleh dikatakan 90% dari ahli Facebook menggunakan nama sebenar mereka. Oleh itu tiada lagi kes lempar batu sembunyi tangan atau berselindung di sebalik nama samaran!

Dan saya masih menganggap MySpace sebagai tempat lepak 'budak ingusan' dan 'remaja bawah umur'... ahaksss!!!

Melebihi segalanya, kita harus berevolusi dan berhijrah dalam hidup. Bila tiba waktu, kita harus berangkat sama ada kepada kehidupan yang membuka lebih banyak peluang baru atau memulakan segalanya semula dari bawah.

Penghijrahan ini bukan bermakna saya melupakan langsung Yahoo!Groups. Bila ada pengumuman yang berkadar penting dan mengkehendakkan audiens sedia ada yang melebihi 25,000 orang, saya akan menulis secara 'lintas langsung' ke semua Yahoo!Groups yang dianggotai! Saya juga akur bahawa bukan semua yang menganggotai Yahoo!Groups mempunyai akses Web di pejabat (atau rumah) dan masih mengharapkan bentuk komunikasi melalui emel, seperti yang ditawarkan oleh Yahoo!Groups.

Relexjap terutamanya adalah ibarat seorang rakan lama yang mulia dan bahagia dijenguk sekali-sekala, bertukar-tukar kisah terkini dan ungkit-mengungkit cerita lama. Saya memulakan segalanya di Relexjap dan di sinilah saya mengasah bakat penulisan seciput ini hingga berjaya menzahirkan buku 'coffee-table' CHANTEK. InsyaAllah, jika tiada aral melintang, CHANTEK akan divisualisasikan pula di salah satu saluran televisyen pada tahun 2009 kelak.

Untuk ini (dan segalanya yang lain) sememangnya saya amat berterima kasih dengan Relexjap.

Kelantan: Eksotik dan Mistikal (Bhg II)

Terlebih dahulu, ingin saya nyatakan di sini bahawa umumnya saya tidak begitu mempercayai hal-hal mistik, tahyul dan khurafat yang agak kental bersarang dalam sosio-budaya masyarakat Malaysia.

Ini termasuklah yang berkaitan dengan hantu, air jampi, pukul orang dengan topi keledar dan penyapu untuk menghilangkan ketagih rokok, UFO, Bermuda Triangle, keramat, guna-guna, pukau untuk curi kad ATM, diculik bunian, berkahwin dengan bunian, pinjam pinggan mangkuk untuk kenduri dari bunian dan segala yang sewaktu dengannya.

Saya banyak menulis tentang ini di BandarUtopia@Yahoo!Groups yang mana kebanyakannya mempunyai subjek trademark 'Enuma Elish (E2)'. Ketika itu (malah sekarang ini) saya cuba berbincang mengenai pentingnya menerapkan Metoda Pemikiran Saintifik sebelum membuat sesuatu keputusan atau mempercayai sesuatu berita. Bentuk pemikiran ini juga boleh diterapkan kepada sesuatu kepercayaan warisan untuk memastikan kejituan sesuatu yang nenek moyang kita anggap sebagai kepercayaan mutlak. Selagi ianya boleh disangkal, pada saya, ianya masih belum mutlak.

Walau begitu, saya tidaklah terlalu sombong menjadi skeptik tegar kerana sejauh mana saya mempercayai bahawa setiap insiden 'paranormal' atau 'mistikal' itu sebenarnya memiliki penjelasan yang lebih mudah (dan tiada kena mengena dengan hantu tetek atau pocong), saya juga akur bahawa masih banyak lagi rahsia alam yang belum diketahui manusia.

Cuma kita tidak harus terus saja mengaitkan sesuatu perkara yang tidak kita fahami kepada 'ehsan makhluk halus'.

Menjejakkan kaki di negeri yang kaya dengan tradisi Puja Pantai, Mak Yong, ritual Wayang Kulit dan Main Puteri, tidak dapat tidak, membuat diri merasa seolah-olah diserap masuk ke dalam sebuah alam mistikal.

Batu Cincin Dari Gua

Pengalaman ini sebenarnya dialami ketika kali pertama beraya di Kelantan setelah bergelar laki orang. Ketika itu ada seorang lelaki (kini arwah) yang dikatakan boleh berkomunikasi dengan bunian yang akan 'memberitahu' tentang lokasi batu-batu cincin yang tertanam jauh di dalam dinding gua.

Namun ketika rombongan kami mengikut beliau meneroka sebuah gua di sekitar Gua Musang, kami tidak menemui apa-apa kerana menurutnya gua itu telah 'dicemari oleh pembuat maksiat dan penyeru nombor ekor'. Mungkin juga kerana beliau sedar ada seorang skeptik dalam rombongan tersebut yang bertanya 'terlalu banyak soalan' malam sebelumnya :)


Sewaktu berhari raya di Kelantan baru-baru ini, salah seorang bapa saudara menunjukkan sebutir batu cincin yang ditemuinya ketika mengikuti salah satu kembara tersebut. Tanpa bateri, batu cincin ini mengeluarkan cahaya merah terang apabila dibasahkan dengan air.

Puja Keramat

Salah satu aturcara Aidilfitri 1429 ialah menghadiri perhimpunan keluarga Long Gaffar di Kampung Saring, Pasir Puteh. Long Gaffar merupakan pemerintah negeri Kelantan dari tahun 1762-1775 dan dipercayai merupakan waris sebenar kesultanan negeri tersebut sekarang.

Kami dibawa melawat kubur Tengku Bendahara yang dikatakan menjadi 'keramat' dan sering dikunjungi oleh pemuja-pemuja nombor ekor tanpa mengira bangsa.

'Bakat' Istimewa

Salah seorang saudara dikatakan boleh berkomunikasi dengan haiwan ketika kecil. Saudara sedarah beliau yang lain pula dikatakan mampu mengetahui 'dosa' seseorang sebaik sahaja menyentuh kulit orang tersebut. Adakah termaktub gen-gen keluarga terhadap 'bakat unik' ini yang masih belum mampu ditebak sains? Ataukah sekadar kepercayaan massa (mass belief) seperti mana dakwaan melihat ayat-ayat Al-Quran di langit?

Saya mulanya ingin mengambil foto dua gadis berkenaan (yang kini sudah remaja) dan memaparkannya di blog ini, namun rasa seperti menceroboh privasi pula! Yang pasti, saya tidak dapat menguji kebenaran bakat mereka kerana, hmmm, haram bagi bukan muhrim bersentuhan, kan?

Hilaian Pada Pukul Tiga Pagi

Sekitar pagi Hari Raya kedua, saya dan beberapa orang lagi dikejutkan oleh hilaian wanita. Walaupun kurang pasti sama ada hilaian itu datangnya dari dalam atau luar rumah, saya tidak begitu ambil pot sangat tentangnya dan menyambung tidur.

Keesokkan harinya saya mendapati bahawa hilaian itu datangnya dari Bibik keluarga saya yang bermimpi dikejar hantu!

Al-kisah, anak saudara saya pada senja itu menangis tanpa henti. Oleh itu Bibik keluarganya berkata; "Kalau mau kacau, janganlah kacau anak kecil ini. Pergilah kacau yang besar macam Bibik Su (Bibik keluarga kami)". Oleh itu, mungkin tertanam kesedaran saikologi tanpa sedar pada Bibik kami bahawa malam tersebut beliau akan 'diganggu' hantu sehingga terbawa-bawa dalam mimpi!

Pendeknya, kalau kita percaya bahawa tubuh manusia terdedah kepada rasukan 'semangat' dan 'makhluk halus', maka itulah yang akan kita persepsikan bila saja rakan sekelas tiba-tiba dilanda histeria. Tindakan seterusnya mungkin dengan memanggil pawang atau bomoh berjampi serapah untuk 'menghalau' semangat tersebut. Tidak terlintas pula bahawa rakan kita itu sebenarnya 'tension' dengan masalah keluarga, pembelajaran atau cintan-cintun sehingga tak terkawal!

Namun jika kita percaya bahawa tubuh manusia adalah dipengaruhi oleh faktor saikologi yang bergantung kepada cuaca, persekitaran dan fatig seseorang, kita akan mendapatkan rehat yang cukup, bawa bertenang, menyelesaikan masalah dengan rasional atau setidaknya mengambil preskripsi tertentu.

Sesuatu itu hanya akan berlaku menurut apa yang kita percayai!

Nota: Fotografi untuk Mak Yong dipetik dari laman UNESCO dan Wayang Kulit dari Arkib Negara Malaysia. Pocong pula dari Blog Hantu.

Monday, October 6, 2008

Kelantan: Eksotik dan Mistikal (Bhg I)

Untuk rekod, saya menggemari Kelantan! Cuma perjalanan memandu ke sana dari KL yang agak sedikit 'merimaskan'.

Kebanyakan cuti Aidilfitri 1429 sepanjang minggu lepas telah saya habiskan di Kelantan, secara lebih spesifiknya di sekitar Pasir Puteh dan Kota Bharu. Juga sedikit tempias di Kuala Besut, Terengganu dan Rantau Panjang. Jadi izinkan saya gariskan beberapa ciri eksotik dari pandangan kaca mata ini, yang mana ada antaranya telah ingin saya gariskan sekian lama.

(a) Sekiranya anda belum pernah menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ada kemungkinan persepsi anda akan dikelabui stereotaip yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat: 'Mundur'. 'Ekstrem'. 'Rasis'. Tetapi jika berpeluang ke sini dan beramah mesra dengan penduduk tempatan, anda akan mendapati bahawa stereotaip ini selalunya merupakan 'exaggeration' yang merupakan mainan politik semata-mata.

(b) Mungkin Kelantan merupakan satu-satunya tempat di Malaysia yang mana penduduknya akan mula berniaga sebaik sahaja malam Hari Raya pertama menjelang. Bandingkan dengan pengoperasi kantin di sebuah bangunan pejabat sekitar Damansara ini yang masih 'bercuti' pada hari ini (Hari Raya Keenam) dan menyebabkan saya terpaksa menapak jauh untuk makan tengah hari sebentar tadi... ahaksss!!!

(c) Kedapatan lebih banyak rumah unit banglo di sekitar Kelantan dalam radius kurang dari 10km. Mungkin dari segi rekabentuk dan pilihan warna cat masih 'keterbelakang' sedikit kerana arkiteknya seringkali adalah tuan rumah itu sendiri dan hanya menggunakan rekabentuk rumah-rumah jiran sekeliling semata sebagai rujukan. Namun ada di antaranya merupakan banglo yang besarnya tahap 'terlampau' yang mana itupun selalunya hanyalah sekadar 'rumah percutian' jutawan dan bilionwan tertentu.

(d) Bangunan baru ibu pejabat Parti Kerajaan Negeri yang mirip kepada rekabentuk Masjid Nabawi pada saya adalah 100x lebih mengkagumkan daripada semua inisiatif mewujudkan 'Koridor-Koridor' perniagaan baru di seluruh negara dikumpul menjadi satu.

(e) Kedapatan kawasan-kawasan membeli belah seperti di Rantau Panjang dan Wakaf Che Yeh yang begitu meriah dan menawarkan variasi barangan yang mungkin mampu menggelapkan mata dan menipiskan poket.

(f) Satu-satunya negeri setahu saya yang menerbitkan filem animasi menggunakan loghat Kelantan serta berbilang penyanyi yang mungkin di sini popularitinya melebihi Mawi sendiri. Bukan setakat telah menerbitkan barisan album CD, bahkan ada pula versi Karaoke dan Video Muzik dalam bentuk VCD! Dari segi logik ekonomi, jika kurang atau tiada pasaran, tidak mungkin ada penerbit yang sanggup melabur menghasilkan produk-produk sebegini!

(g) Dalam keghairahan sesetengah kem kononnya mempromosikan 'Bangsa Malaysia' walaupun percakapan Bahasa Malaysia mereka masih dibelenggu telo kaum masing-masing, cuba letakkan seorang Melayu, Cina dan India dari Kelantan di belakang sebuah tabir dan suruh mereka bersembang. Saya pasti agak sukar untuk menebak apakah latar bangsa yang sedang bersembang itu kerana dialek dan slanga Bahasa Malaysia ketiga-tiganya adalah identikal!

(h) Selama ini saya hanya mengenali sejenis ketupat, yakni ketupat 'tawar'. Kelantan memperkenalkan saya bahawasanya ada dua jenis ketupat - manis dan tawar. Namun nasi dagang, ayam percik dan nasi kerabu tetap tergolong dalam senarai kesukaan peribadi!

(i) Perlu juga di sebut berkenaan 'Kedai Kopi White House' yang terletak bertentangan dengan Masjid Muhammadi Kota Bharu. Khabarnya walau betapa hangat sekalipun kempen politik setiap kali pilihanraya di sini, kesemua calon dan penyokong setiap parti tetap berkunjung ke sini di penghujung hari! Mungkin sebagai pembuktian bahawa kedai kopi boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme penyatuan ideologi! Roti bakar bersapu kaya buatan sendiri dan telur separuh masaknya membangkitkan selera!

Untuk rekod, saya menggemari Kelantan! Cuma perjalanan memandu ke sana dari KL yang agak sedikit 'merimaskan'.

Namun apabila tiba sahaja, segala kerimasan tersebut merasa berbaloi!

Nota: Fotografi untuk (d) dan (h) dipetik dari blog LAISI (Life As I See It)

Selamat Ketemu UOA Damansara!

Turutan dari posting tempoh hari bertajuk 'Selamat Tinggal KL Sentral!', ada yang bertanya akan lokasi baru premis pejabat berkenaan.

Lokasinya, kawan-kawan, ialah di Wisma UOA Damansara II yang terletak di Jalan Changkat Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Senang cakap, berhampiran ibu pejabat Shell Malaysia. Lebih senang cakap, di tengah-tengah kawasan eksklusif yang mana parkirnya bernilai RM3 sejam.

Seperti yang tertera dalam foto-foto ini, dekor dan pejabatnya memang 'posh' dan 'lavish', dengan berbilang bilik mesyuarat yang hingga ke hari ini saya masih kurang pasti jumlahnya. Ruang pantrinya sama luasnya dengan kebanyakan outlet Starbucks (malah Pengerusi Eksekutif sendiri berjenaka menyarankan agar dijemput Starbucks membuka cawangan baru di premis pejabat).

Manakala ruang kerja pula adalah berbentuk konsep terbuka, di mana hanya yang berjawatan Pengarah ke atas saja diperuntukkan bilik. Manakala pangkat Pengurus Besar ke bawah perlu berkongsi ruang kerja dengan para Eksekutif, Kulikutif dan Keranikutif. Ada yang menggemari tata atur begini (saya, contohnya) namun ramai juga yang berpendapat sebaliknya.

Ruang parkir juga terhad. Saya diberikan parkir di bangunan ECM Libra yang terletak di seberang jalan. Kiranya berjalan dari parkir kereta hingga ke pejabat bolehlah memeluhkan badan dalam beberapa liter padu.

Adakah saya menggemari lokasi baru ini?

Dari konteks perbandingan lokasi dengan KL Sentral, tentulah Wisma UOA Damansara II akan kalah. Seperti kata orang utara, lokasi sekarang ini entah "kat hulu banat mana tah!!!" Namun dari segi keselesaan, ke'gah'an, perkakasan, sekuriti dan potensi kerahan ide - lokasi kini mungkin boleh mendabik dada sedikit.

Namun itu hanyalah pendapat saya saja!

Sunday, September 21, 2008

Selamat Tinggal KL Sentral!

Saya gemarkan KL Sentral sebagaimana satu ketika dahulu saya menggemari Puduraya.

Sekadar melepak memerhati gelagat orang ramai lalu-lalang. Berbalas senyum atau sapaan mata dengan seorang dua yang sudi. Banyak yang boleh dipelajari sebenarnya. Mungkin itulah di antara sebab kenapa sehingga hari ini Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said lebih gemar menaiki elarti atau bas berbanding kereta!

Selain merupakan pusat perkhidmatan tren intra-kota dan intra-negeri, KL Sentral juga adalah pusat transportasi urban Lembah Kelang dan pot menjamu selera yang memiliki variasi tersendiri. Ingin ke KLCC ketika waktu makan tengahari? Lompat saja ke elarti RapidKL menghala ke Terminal Putra. Ingin menjenguk peralatan komputer terbaru? Naik saja KL Monorail menghala ke Plaza Low Yatt. Terliur dengan sandwich 6" Subway? Atau New York Cheesecake Secret Recipe? Atau sekadar melayan tetamu di Starbucks? Atau selera lebih cenderung kepada roti canai, ikan keli bakar atau nasi ayam berempah? Segalanya ada di KL Sentral.

Sejak Mei 2008, saya telah membabitkan diri memberi khidmat Komunikasi Korporat dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di KL Sentral. Namun mulai 22 September 2008, syarikat tersebut akan memulakan operasi di premis baru. Oleh itu sepanjang minggu lepas, aktiviti mengemas dan membungkus barangan yang ingin di bawa berpindah hampir memenuhi jadual tugasan.

Selamat tinggal KL Sentral, buat masa ini!

Dan selamat tinggal bilik pejabat terbesar yang pernah didiami saya setakat ini! :p

Monday, September 15, 2008

Kemaafan Adalah Anugerah Terindah

Monday, August 25, 2008

Parasailing dan Jatuh 50m Ke Laut

Saya gemarkan aktiviti-aktiviti berbentuk 'adrenalin rush'. Dari menaiki roller-coaster sehinggalah terjun setinggi 233m dari Macau Tower, hampir segalanya ingin dicuba andai diberi peluang. Saya gemarkan deruan angin laju ke muka di samping detik detuk jantung kencang seiring kelajuan yang ditempuh.

Kebetulan bila kami sekeluarga bercuti ke Pulau Pinang penghujung minggu lepas, saya tidak melepaskan peluang mencuba Parasailing di pantai Batu Feringghi. Harganya pun berpatutan, RM50 untuk satu pusingan selama lebih kurang 5 minit. Isteri saya pun tergerak hendak mencuba kerana kelihatan menyeronokkan.

Operator mula memasang jaket keselamatan, cangkuk, tali dan sebagainya untuk persediaan. Saya yang berada di belakang turut diberi beberapa arahan untuk diikuti, seperti tali mana hendak ditarik, dilepas, ditarik semula dan dilepas semula. Kiranya ada lima arahan yang perlu diingat. Agak kontras berbanding ketika terjun dari Macau Tower dahulu yang semata-mata; "Open your hand... now JUMP"!!!

Tiba waktu, bot laju yang akan menarik kami mula bergerak dan kami berlari-lari anak mengikutnya. 1..2..3.. whooosshhh kami terangkat ke udara. Memang thrill! Jauh di bawah sana terlihat biru laut. Kira-kira 50m tinggi. Terdetik juga, kalau jatuh pun, sekurang-kurangnya akan ditampan lautan.

Selepas itu segala-galanya berlaku sekelip mata. Terdengar bunyi 'snap' dan isteri saya yang berada di hadapan terjatuh dari kusyen yang menampan ponggong. Kedua tangannya hanya bergayut di tali payung terjun. Kemudian serasa payung terjun itu mula melelong dan sesaat dua kemudian, SPLASSHHHHH!!! Jatuh 50m ke dalam laut. Cermin mata saya tercampak.

Dalam kerabunan itu, saya cuba menggapai isteri saya. Kaki cuba diinjak mencari pasir dasar laut dan ketika itu baru tersedar bahawa kami di tengah lautan. Kepala saya tenggelam timbul beberapa kali namun bila teringat agar jangan panik, perlahan-lahan saya mengapung. Dari kejauhan, bot laju yang menarik kami tadi menghampiri diiringi oleh dua jetski. Seorang dari pemandunya terjun ke dalam laut menceraikan tali payung terjun yang mengikat badan kami dan seorang lagi membantu kami menaiki jetski. Setelah itu, saya memandu jetski pula memecut ke pantai.

Maknanya dengan RM50 tadi, kami mendapat pengalaman Parasailing, kemalangan, diselamatkan dan akhir sekali menaiki jetski! Kerana itulah saya menolak pelawaan operator parasailing tersebut untuk mencuba sekali lagi. Cukuplah keseronokan untuk sehari ini!

Cuma semalam terpaksalah berabun sepanjang jalan dari Pulau Pinang untuk pulang ke ibukota. Dan bangun pagi ini baru mula terasa sengal-sengal dan lenguh seluruh badan.

Saya akan berbohong jika saya katakan saya tidak langsung merasa takut barang seketika. Namun keseluruhannya, secara ironik, agak menyeronokkan.

Penambahan terhadap 'cerita' yang boleh didongengkan kepada cucu cicit kelak!