Saya terbaca entri terbaru dari blog seorang rakan, bertajuk 'Kenapa Perlu Ada PHD?'
Serentak teringat perbualan saya tidak lama dahulu dengan salah seorang pengarah syarikat ULC (UMNO-Linked Company). Perbualan tersebut lebih kepada keluhan dari saya terhadap segelintir golongan yang merasakan diri mereka terancam dengan kemasukan kakitangan baru yang begitu dinamik merubah paradigma lama yang semakin bervirus dan tidak langsung progresif.
Jawapan beliau pada saya, "Biasalah... kompeni Melayu..."
Untuk rekod (buat kesekian kalinya) saya tidak percayakan mitos bahawa asal saja sesebuah syarikat itu mempunyai majoriti kakitangan Melayu, maka kompeni itu akan penuh dengan hasad dengki, tikam belakang dan jatuh-menjatuhkan. Umumnya, pada saya, gejala negatif ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana kaum. Ianya lebih kepada persekitaran, norma dan cara seseorang PHD (meminjam 'anugerah' yang dikias rakan blogger tadi) itu dibesarkan.
Saya juga percaya pada resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk. Mereka yang sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mencetak 'status update' seseorang dan mengedarkannya kepada semua jabatan demi menjatuhkan orang itu adalah mereka yang terdesak, terancam dan memaklumi kekurangan diri mereka sendiri. Ini kerana secara batiniah, manusia akan mula melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan sama sekali tidak beretika bila merasa 'survival' mereka tergugat. Dan mereka yang mengiyakan tindakan itu juga sebenarnya menggalakkan perkara negatif ini dilakukan.
PHD sebenarnya didorong oleh sifat hipokrit diri. Dari satu sudut, kita bersolat, berdoa dengan linangan airmata di masjid, gereja dan kuil agama anutan masing-masing agar hidup kita diberkati Tuhan Yang Satu. Di sudut lain, kita sedap saja mengata memfitnah seseorang dari belakang kononnya beliau melakukan skandal seks dengan salah seorang pekerja syarikat yang lain. Ulama' mengatakan bahawa solat/ibadah menghalang kita dari melakukan perbuatan mungkar. Kecenderungan negatif tersebut mungkin membayangkan bahawa solat/ibadah orang itu tidak diterima sebenarnya. Mungkin.
Dasarnya sifat pendengki ini ada dalam segelintir individu yang berasal dari mana-mana kaum - dari Melayu, Swahili hinggalah Eskimo.
Yang membezakannya ialah sejauh mana barisan pengurusan dan lembaga pengarah syarikat tersebut membenarkan ianya berleluasa. Barisan yang mempunyai autoriti dan mandat menggubal (serta melaksanakan) polisi yang menentukan jatuh bangunnya organisasi.
Fenomena ini menular bila mana kakitangan merasa mangli terhadap budaya yang sudah kekal lumat bersarang sejak organisasi itu ditubuhkan. Inilah yang mungkin menyebabkan lembaga pengarah dan barisan pengurusannya 'menutup sebelah mata' akan sebarang gejala negatif yang berlaku. Mereka telah berjaya 'hidup' sekian lama dengan budaya ini jadi mengapa perlu berubah, fikir mereka.
Lagipun mungkin ada di kalangan lembaga pengarah dan barisan pengurusan tersebut yang berada di tempat mereka sekarang hasil dari sifat pendengki mereka sendiri. Dah jadi sebahagian darah daging mereka. Kalau nak tukar, kenalah buat pemindahan darah baru.
Lagipun saban hari saban bulan saban tahun, kontrak dan untung tetap masyuk kerana ianya merupakan syarikat yang dinaungi parti pemerintah 100 persen!
Namun seperti mana yang pernah dialunkan oleh kumpulan muzik The Eagles:
"Who is gonna make it, you'll find out in The Long Run..."
Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh, dari kejahatan makhluk-Nya, dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki” (Surah Al-Falaq, ayat 1-5)
3 comments:
ye, bkn melayu saja yg ada sifat dengki ni. bangsa lain pun ada. kalau tgk kat forum2 online shopping contohnya, kadang2 org itu dihentam habis2an oleh org2 sebangsa dia juga. kadang2 ada org x suka tgk org lain lebih drpd dia. teringat pepatah ketam yg tarik kawan dia ke atas. dah x boleh pakai skrg.
landaklaut: Begitulah resamnya. Yang penting, janganlah kita pula terikut-ikut melakukan perkara yang sama pada orang lain pula! :)
dulu, kalau melayu nak jatuhkan melayu, di buat secara diam-diam. sekarang ni, terang-terang nampak. bangsa lain pulak, depan dia senyum tapi belakang, dia sembelih habis.
Post a Comment