Satu ketika dahulu di Tingkatan Empat (1985), saya dipilih untuk menyertai Khemah Kerja Perpaduan di Kota Bharu, Kelantan. Ianya juga dihadiri pelajar berbilang bangsa dari sekolah-sekolah sekitar Malaysia.
Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan diberi beberapa tajuk untuk dibincangkan. Perbincangan kumpulan itu seterusnya dibentangkan melalui sesi pleno kepada semua peserta yang hadir. Saya menjadi pembentang kepada tajuk 'Memupuk Semangat Perpaduan Di Sekolah' dan melaluinya saya menggariskan beberapa cadangan seperti 'menetapkan hari untuk memakai baju kebangsaan secara bergilir di sekolah' dan seumpamanya.
Sewaktu sesi soal jawab, rasanya mungkin itulah sesi yang terpanjang di antara sesi-sesi pleno lain sepanjang Khemah Kerja tersebut. Ada yang menyokong. Lebih ramai yang menentang. Tentangan tersebut datangnya dari rakan-rakan berbangsa lain yang merasa seolah-olah saya 'mengenepikan' elemen bangsa mereka dalam cadangan-cadangan saya. Setiap kritik dan komen dijawab. Ada yang saya rasakan mantap dan ada pula seakan tidak pasti, sesuai dengan ketidak-cerdikan saya mengenal dunia waktu itu.
Saya dibesarkan dalam keadaan di mana saya merasa 'natural' dengan label 'Orang Melayu', 'Orang Cina' dan 'Orang India'. Kemudian ianya dipupuk lagi dengan siri-siri ceramah motivasi yang menggunakan lagu 'Anak Kecil Main Api... (Warisan)' untuk membangkitkan semangat bangsa. Panggilan-panggilan berbau perkauman sering dilontarkan sesama bangsa, ada secara berjenaka dan ada pula dengan penuh kebencian. Malah ada antara panggilan tersebut datang dari guru dan ustaz.
Ironinya, keluarga angkat kami adik beradik adalah berketurunan India. Jiran-jiran terdekat di sekeliling rumah pula semuanya berketurunan Cina. Walaupun 'semangat UMNO' kuat dalam keluarga kami, ibubapa saya yang kedua-duanya merupakan guru sejarah banyak menceritakan kisah perjuangan dan silaturrahim parti-parti berlainan bangsa yang bergerak sebagai satu dalam menuntut kemerdekaan. Malah perhubungan intra-bangsa tersebut merupakan syarat dari kolonis British dalam mempertimbangkan permohonan untuk membebaskan negara dari jajahan mereka.
Setelah agak cerdik mengenal dunia, saya memaklumi bahawa Dasar-Dasar Ekonomi yang termetrai pula adalah untuk 'mengimbangi' semula perbezaan sosio-ekonomi antara tiga bangsa utama di Malaysia yang telah dipisahkan melalui polisi penjajah selama 446 tahun (jika dikira dari penjajahan Portugis hinggalah kemerdekaan). Malah saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom berkat biasiswa yang terhasil dari dasar ini untuk kaum Melayu. Untuk itu, saya bersyukur.
Namun setelah 51 tahun merdeka, didorong pula dengan perkembangan-perkembangan kontemporari dalam politik lokal dan antarabangsa, terdetik juga sama ada politik 'kaum' ini masih relevan di Malaysia. Bukannya mudah untuk menyingkir semangat perkauman yang dipupuk secara langsung dan tidak langsung selama lebih 500 tahun. Dari mata daif ini, saya melihat isu 'kami vs mereka' ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Satu pihak mencium keris, pihak lain mengeksploitnya sebagai rasis. Pihak ini membangunkan ladang khinzir secara sistematik, pihak itu melihatnya sebagai melebihkan kaum sana. Pihak yangni membuat penambah-baikkan polisi, pihak yangtu pula memutar-belitkan fakta membuat demonstrasi demi mempromosikan persatuan mereka.
Dunia semakin berubah. Minda juga harus berubah. Begitupun dengan cara hidup, pergaulan dan metoda kita melakukan intepretasi.
Di akhir sesi pleno yang saya bentangkan, saya berucap; "Saya harap satu hari nanti Abu tidak lagi akan mengatakan 'Aku Orang Melayu' atau Ah Seng, 'Aku Orang Cina' dan Muthu, 'Aku Orang India'. Tetapi ketiga mereka akan bersatu senafas senada mengatakan 'AKULAH ORANG MALAYSIA'".
Seluruh hadirin bertepuk. Ada yang bangun. Mungkin tepukan paling bergemuruh di antara sesi-sesi pleno yang ada.
Setidaknya saya tahu ketika itu, dan mungkin juga ketika ini, bahawa saya tidak berseorangan.
Nota: Fotografi oleh Ted Adnan
No comments:
Post a Comment