Mungkin berita yang paling 'hangat' dalam sehari dua ini ialah pengharaman Yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK). Menurut berita, keputusan mengenai fatwa yoga itu dilakukan pada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-83 di Kota Bharu, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober lalu.
Saya tidak ingin komen akan kewajaran pengharaman tersebut, kerana ia telah dilakukan oleh berbilang blogger sana sini sejak sipi-sipi angin ada membawa khabar bahawa ianya 'bertentangan dengan akidah umat Islam'.
Cuma beberapa perkara ingin saya persoalkan:
(a) Yoga telah diamalkan di antara 450-500 BCE (Before Common Era), malah lebih awal dari kedatangan agama Islam. Kenapa baru sekarang, di tahun 2008, MFK melabelkannya sebagai haram? Malah MFK sendiri menyatakan bahawa Singapura dan Egypt telah mengharamkannya lebih awal. Adakah MFK ketinggalan keretapi? Kenapa MFK 'memperjudikan' akidah umat Islam Malaysia selama ini dengan 'menutup sebelah mata' akan pengaruh agama Hindu dalam Yoga dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan? Kenapa bila Prof. Zakaria Stapa, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah, barulah MFK bertindak?
(b) Pengharaman ini memberikan gambaran bahawa akidah seseorang Islam adalah begitu rapuh sehingga mudah tergugat dengan melakukan beberapa senaman untuk kesihatan, tanpa mengira ianya ada berkaitan dengan tenet-tenet atau dogma agama lain atau tidak. Dengan erti kata lain, MFK seolah mengakui bahawa dalam era Teknologi Maklumat ini, umat Islam sebenarnya adalah terlalu lemah sehingga wajib menghalang diri dari berinjak melakukan (malah memikirkan) barang sedikit tentang apa-apa yang berbau-bau bacang tentang agama lain. Lemah sangatkah akidah kita sekarang? Dalam era Internet di mana maklumat tentang agama lain boleh didapati di hujung jari, 'gangguan akidah' boleh terangsang sekelip mata bila dengan sengaja atau tidak sengaja kita melayari laman-laman web anti-Islam. Jadi haruskah MFK memfatwakan Internet juga sebagai haram?
(c) Telah jelas terbukti bahawa tahyul, kepercayaan terhadap keramat, pawang, bunian dan seumpamanya juga mampu melanggar akidah. Malah tragedi kematian sepasang suami isteri yang mengamalkan fahaman sesat (rawatan dipukul dengan topi keledar) ketika umat Islam berhari raya tempoh hari menjadi bukti kukuh akan hal ini. Kalau terbukti ianya mendorong pada kesesatan, adalah lebih baik agar ia jangan didekati langsung - sama seperti dosa berzina, minum arak dan seumpamanya. Saya ingin tahu pendirian MFK terhadap premis-premis yang mempropagandakan tahyul di Malaysia seperti rancangan 'Seekers', 'Misteri Nusantara', majalah Mastika, Variasari dan sebagainya. Adakah mereka juga pantas dijatuhkan fatwa sebagai haram kerana menggalakkan orang Islam mempercayai tahyul? Seperti mana ramai di antara kita sedia maklum, ada di antara kepercayaan tersebut berasal dari agama Hindu dan membawa fahaman animisme, seperti menurun dan sebagainya.
Saya berharap ada wakil dari MFK atau mereka dari golongan cerdik pandai sudi memperjelaskan hal berkenaan kepada saya yang dhaif ini.
No comments:
Post a Comment