Dengan berita mengenai Persatuan Hindu Sangam yang meminta agar Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) supaya 'lebih sensitif', diselang-seli dengan penangguhan implementasi fatwa pengharaman Yoga di Selangor dan Perak dan komen dari beberapa mufti negeri lain, saya tidak dapat mengelak dari merasakan bahawa isu ini seakan sudah hilang kawalan.
Kem orang Islam sendiri seakan sudah berpecah: ada yang mendesak agar tindakan dikenakan kepada barangsiapa yang mempersoalkan keputusan MFK, ada yang menerima bulat-bulat memandangkan fatwa itu dibuat oleh sebuah badan diiktiraf, ada yang mempersoalkan kewajaran dan cara pengumuman fatwa tersebut dilakukan dan tentunya ada yang tidak ketahuan punca akan latar belakang segala kekalutan ini.
Artikel ini boleh saja menjadi panjang lebar untuk menghuraikan apa yang ingin saya sampaikan, tetapi buat masa ini cukuplah dengan yang berikut.
FAKTA: Imej Islam sekarang berada di tahap yang paling buruk, terutama selepas insiden 9/11, pengeboman Bali dan beberapa serangan bom bunuh diri yang dilakukan atas nama agama.
FAKTA: Kredibiliti Islam sendiri mula terjejas sebagai satu agama suci yang menitik-beratkan keamanan dan persefahaman. Kedapatan penceramah-penceramah Islam yang masih gah melaungkan isu-isu berbentuk propaganda dan mendorong permusuhan di antara (malah sesama) agama tidak membantu.
FAKTA: Kejatuhan kredibiliti ini sedikit sebanyak akan memberi impak kepada generasi muda Gen-Y yang mungkin melihat Islam sebagai tidak lagi relevan, mundur, berfahaman kolot dan tidak progresif.
Namun daripada kita terus-menerus mencari salah silap tanpa mencari kaedah untuk memperelok dan dalam beberapa kes, memperbetulkan persepsi umum ini, 10 tahun lagi sekalipun Islam akan masih berada dalam Zaman Kegelapan seperti sekarang.
Dari minda yang dhaif ini mungkin yang berikut dapat direnung-renungkan:
(a) Berikan kesedaran kepada umat Islam hari ini bahawa Islam yang ada sekarang merupakan hasil dari evolusi pemikiran dan tamadun Islam sejak dari zaman Khalifah Ar-Rashidun, termasuklah evolusi pemikiran Ahlul Sunnah, Syiah, Muktazilah, Falyasuf, Sufi dan sebagainya. Ini kerana ada umat Islam pada hari ini sudah bercampur aduk fahamannya namun menganggap ia merupakan 100% ajaran yang diamalkan ketika Rasulullah s.a.w masih hidup. Ada seorang rakan mengamalkan ajaran 'membasuh kerat kuku yang dipotong ketika haid' kerana disangkanya itu adalah ajaran Islam yang dituntut. Seorang lagi rakan terkejut bila mendapati bahawa hukuman rejam tidak pernah disebut dalam Al-Quran langsung!
(b) Wujudkan institusi kajian dan pembangunan antara-agama seperti yang pernah diwujudkan oleh Khalifah Harun Al-Rashid satu ketika dahulu, di mana cerdik pandai berbilang agama duduk semeja untuk membincangkan kaedah pembangunan insaniah berdasarkan ruh yang ada dalam setiap agama. Malaysia berpotensi dijadikan sebagai 'hub' institusi pembangunan antara-agama seperti ini. Ini pada saya adalah sejajar dengan tuntutan dalam Islam sendiri, jelas tertulis dalam Surah Al-Ankabuut ayat 46 yang sekira-kiranya bermaksud:
"Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri".
(c) Wujudkan siri-siri program untuk memperjelaskan apa sebenarnya ajaran yang termaktub dalam agama-agama utama di Malaysia, yakni Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan sebagainya. Masalah kita sekarang ialah sikap prejudis dan salah faham akan ajaran-ajaran yang dibawa oleh agama lain daripada agama yang kita dibesarkan. Prejudis seterusnya mewujudkan salah faham dan mungkin menjurus pula kepada kebencian.
(d) Galakkan perbincangan positif dan progresif berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan agama daripada 'menutup mulut orang Islam' dari mempersoalkan mana-mana keputusan majlis agama. Islam bukanlah 'menurut tanpa usul periksa membabi-buta'. Malah Imam Al-Ghazalli sendiri menggalakkan umat Islam mengkaji sesuatu perkara dari berbilang sudut tanpa prejudis sebelum menjatuhkan hukum. Kerana sifat pemikir-pemikir Islam terdahulu seperti Ibnu Sina dan Ibnu Al-Arabi yang 'berani mempersoalkan' itulah berbilang penemuan-penemuan saintifik yang menggemilangkan tamadun Islam satu ketika dahulu berjaya dilakukan. Islam agama Intelek. Cadangan Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk mendakwa mana-mana orang Islam yang 'mempersoalkan' ini tak ubah seperti kaedah yang dilakukan Gereja Katolik terhadap saintis seperti Galilleo dan Issac Newton bila mana penemuan saintifik mereka 'bercanggah' dengan apa yang dimaktubkan oleh institusi berkenaan ketika itu.
InsyaAllah, jika masa mengizinkan, saya akan kupas cadangan-cadangan ini dengan lebih terperinci. Sebarang komen membina dan cadangan-cadangan lain dari pembaca juga amat dialu-alukan.
Sekian, terima kasih.
Asrul Muzaffar Mohammed
No comments:
Post a Comment