Friday, October 31, 2008

Hadiah Ulangtahun Ke 39: Urutan Spa!

Ada bertanyakan tentang 'hadiah istimewa' yang diterima untuk tanggal hari lahir yang ke 39 pada 24 Oktober lepas.

'Hadiah istimewa' dari Si Dia merupakan pengalaman pertama menerima urutan ala-Bali di spa. Terfikir juga, kenapa spa?

Mungkin kerana saya asyik mengadu 'tidak boleh mengeliat penuh takut-takut otot kejang' semenjak dua menjak ini. Atau mungkin secara kebetulan sebuah pusat spa baru dibuka berhampiran kediaman kami di Sungai Long. Atau mungkin kerana dirasakan 'prestasi' semakin menurun (naaaaaaahhhhhh... tak mungkin, ahaksss!!!).

Namun yang pasti, beliau sudah beberapa kali melakukannya di berbilang pusat spa daripada yang memang terletak di Bali hinggalah yang terbaru di Samsara Spa, Swiss Garden Resort, Kuantan. Dan beliau menggemarinya, jadi mungkin sekadar berkongsi kegemaran tersebut dengan saya.

Pendekkan cerita, kami menempah satu bilik khusus di mana sehelai tirai memisahkan kami berdua. Selepas meneguk segelas teh cina beberapa kali, saya menanggalkan semua pakaian dan hanya berbalut tuala. Berbaring meniarap di mana wajah saya disisipkan melalui lubang di pembaringan. Lampunya malap dan muzik instrumental nyaman beralun. Bau wangian minyak lavender menusuk hidung.

'Master Rin' yang merupakan Ketua Masseus spa berkenaan itu sendiri yang mengurut saya. Kesempatan diambil untuk bertanyakan tentang industri spa, faedah mengurut sehinggalah fungsi urat-urat badan tertentu terhadap kesihatan tubuh. Beliau mengatakan tubuh saya banyak 'angin' dan cara pernafasan saya kurang betul. Katanya itulah yang menyebabkan kerap berlaku 'stress'.

Sakit tak? Cukuplah jika saya katakan yang ada kalanya saya bertanya sendiri; "Bila lah nak abis niihhh???". Banyak kali juga dalam masa sejam tersebut saya mengetap bibir menahan sakit. Nanti kalau dibilang sakit, dikatakan tak 'macho' pula, ahaks! Bila tiba di bahagian yang katanya 'banyak angin', sakit urutannya mungkin lebih sakit dari waktu tergeliat kaki hingga terpaksa bertongkat dahulu!

Tapi saya mengejutkan diri sendiri bila memberitahu Master Rin di akhir sesi yang saya berhasrat menjadikan aktiviti spa tersebut sebagai 'aktiviti bulanan'.

Dalam perjalanan pulang, isteri saya merungut; "Orang pergi spa, enjoy, duduk diam-diam. You dari awal sampai habis tak henti-henti bising bercakap. Tanya itu ini.... heeeeeeeeeee".

Hmmm... sentiasa ada kali pertama untuk segalanya, kan?

Thanks for the birthday gift, yang!!! :)

Thursday, October 23, 2008

0115241039

Satu Limabelas Pagi.


Dua Puluh Empat Sepuluh.


Tiga Puluh Sembilan.

Tuesday, October 7, 2008

Perutusan Khusus Untuk Netizen Yahoo!Groups

Mohon maaf kerana sudah agak lama tidak menulis di persada Yahoo!Groups - baik di BandarUtopia@Yahoo!Groups, Relexjap, ataupun smtsp8286.

Sesuai dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, boleh dikatakan semua penulisan saya lebih bertumpu kepada BandarUtopia@Blogspot. Memandangkan saya kini gemar menyertakan foto atau video dalam artikel saya (dan Yahoo!Groups tidak 'menyimpan' fail-fail sebegini dalam arkib artikel), blog adalah pilihan yang lebih baik. Emel-emel berbentuk 'spam' skim cepat kaya atau 'pelaburan intensif' juga kurang. Manakala komen atau kritikan pula dapat saya respons dengan kadar lebih segera.

Jika blog merupakan rumah artikel saya kini, pemusatan segala aktiviti pula adalah di laman Facebook saya yang mana segala perkembangan terkini, observasi, komen, fotograf, video, capaian kepada artikel-artikel dan banyak lagi ada di situ. Boleh juga bersantai-santai dengan aplikasi-aplikasi 'gaming' jika mahu atau sekadar mencari-cari teman lama.

Saya juga telah mula menulis semula ke majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise, yang pernah menyiarkan siri 'Dari Sik Ke Stoke, UK' beberapa tahun sudah. Kolumnya kini bergelar 'Aiseymen! Asrul' dan banyak membincangkan hal-hal berkaitan penulisan dan perkembangan semasa.

Selain dari semua yang disebut tadi, pada saya gabungan Blogspot-Facebook memberikan imej 3-dimensi baik kepada saya secara peribadi mahupun kepada krim-krim minda yang dikongsi melalui alam siber. Jika di Relexjap kebanyakan hanya mengenali malaun bernama Asrul Muzaffar ini melalui penulisan saya yang ada kalanya kontroversi, melalut atau merapu; kini imej stereotaip itu dapat diimbangi dengan mengambil tahu latarbelakang saya secara umumnya. Lagipun berbanding MySpace, boleh dikatakan 90% dari ahli Facebook menggunakan nama sebenar mereka. Oleh itu tiada lagi kes lempar batu sembunyi tangan atau berselindung di sebalik nama samaran!

Dan saya masih menganggap MySpace sebagai tempat lepak 'budak ingusan' dan 'remaja bawah umur'... ahaksss!!!

Melebihi segalanya, kita harus berevolusi dan berhijrah dalam hidup. Bila tiba waktu, kita harus berangkat sama ada kepada kehidupan yang membuka lebih banyak peluang baru atau memulakan segalanya semula dari bawah.

Penghijrahan ini bukan bermakna saya melupakan langsung Yahoo!Groups. Bila ada pengumuman yang berkadar penting dan mengkehendakkan audiens sedia ada yang melebihi 25,000 orang, saya akan menulis secara 'lintas langsung' ke semua Yahoo!Groups yang dianggotai! Saya juga akur bahawa bukan semua yang menganggotai Yahoo!Groups mempunyai akses Web di pejabat (atau rumah) dan masih mengharapkan bentuk komunikasi melalui emel, seperti yang ditawarkan oleh Yahoo!Groups.

Relexjap terutamanya adalah ibarat seorang rakan lama yang mulia dan bahagia dijenguk sekali-sekala, bertukar-tukar kisah terkini dan ungkit-mengungkit cerita lama. Saya memulakan segalanya di Relexjap dan di sinilah saya mengasah bakat penulisan seciput ini hingga berjaya menzahirkan buku 'coffee-table' CHANTEK. InsyaAllah, jika tiada aral melintang, CHANTEK akan divisualisasikan pula di salah satu saluran televisyen pada tahun 2009 kelak.

Untuk ini (dan segalanya yang lain) sememangnya saya amat berterima kasih dengan Relexjap.

Kelantan: Eksotik dan Mistikal (Bhg II)

Terlebih dahulu, ingin saya nyatakan di sini bahawa umumnya saya tidak begitu mempercayai hal-hal mistik, tahyul dan khurafat yang agak kental bersarang dalam sosio-budaya masyarakat Malaysia.

Ini termasuklah yang berkaitan dengan hantu, air jampi, pukul orang dengan topi keledar dan penyapu untuk menghilangkan ketagih rokok, UFO, Bermuda Triangle, keramat, guna-guna, pukau untuk curi kad ATM, diculik bunian, berkahwin dengan bunian, pinjam pinggan mangkuk untuk kenduri dari bunian dan segala yang sewaktu dengannya.

Saya banyak menulis tentang ini di BandarUtopia@Yahoo!Groups yang mana kebanyakannya mempunyai subjek trademark 'Enuma Elish (E2)'. Ketika itu (malah sekarang ini) saya cuba berbincang mengenai pentingnya menerapkan Metoda Pemikiran Saintifik sebelum membuat sesuatu keputusan atau mempercayai sesuatu berita. Bentuk pemikiran ini juga boleh diterapkan kepada sesuatu kepercayaan warisan untuk memastikan kejituan sesuatu yang nenek moyang kita anggap sebagai kepercayaan mutlak. Selagi ianya boleh disangkal, pada saya, ianya masih belum mutlak.

Walau begitu, saya tidaklah terlalu sombong menjadi skeptik tegar kerana sejauh mana saya mempercayai bahawa setiap insiden 'paranormal' atau 'mistikal' itu sebenarnya memiliki penjelasan yang lebih mudah (dan tiada kena mengena dengan hantu tetek atau pocong), saya juga akur bahawa masih banyak lagi rahsia alam yang belum diketahui manusia.

Cuma kita tidak harus terus saja mengaitkan sesuatu perkara yang tidak kita fahami kepada 'ehsan makhluk halus'.

Menjejakkan kaki di negeri yang kaya dengan tradisi Puja Pantai, Mak Yong, ritual Wayang Kulit dan Main Puteri, tidak dapat tidak, membuat diri merasa seolah-olah diserap masuk ke dalam sebuah alam mistikal.

Batu Cincin Dari Gua

Pengalaman ini sebenarnya dialami ketika kali pertama beraya di Kelantan setelah bergelar laki orang. Ketika itu ada seorang lelaki (kini arwah) yang dikatakan boleh berkomunikasi dengan bunian yang akan 'memberitahu' tentang lokasi batu-batu cincin yang tertanam jauh di dalam dinding gua.

Namun ketika rombongan kami mengikut beliau meneroka sebuah gua di sekitar Gua Musang, kami tidak menemui apa-apa kerana menurutnya gua itu telah 'dicemari oleh pembuat maksiat dan penyeru nombor ekor'. Mungkin juga kerana beliau sedar ada seorang skeptik dalam rombongan tersebut yang bertanya 'terlalu banyak soalan' malam sebelumnya :)

video

Sewaktu berhari raya di Kelantan baru-baru ini, salah seorang bapa saudara menunjukkan sebutir batu cincin yang ditemuinya ketika mengikuti salah satu kembara tersebut. Tanpa bateri, batu cincin ini mengeluarkan cahaya merah terang apabila dibasahkan dengan air.

Puja Keramat

Salah satu aturcara Aidilfitri 1429 ialah menghadiri perhimpunan keluarga Long Gaffar di Kampung Saring, Pasir Puteh. Long Gaffar merupakan pemerintah negeri Kelantan dari tahun 1762-1775 dan dipercayai merupakan waris sebenar kesultanan negeri tersebut sekarang.

Kami dibawa melawat kubur Tengku Bendahara yang dikatakan menjadi 'keramat' dan sering dikunjungi oleh pemuja-pemuja nombor ekor tanpa mengira bangsa.

'Bakat' Istimewa

Salah seorang saudara dikatakan boleh berkomunikasi dengan haiwan ketika kecil. Saudara sedarah beliau yang lain pula dikatakan mampu mengetahui 'dosa' seseorang sebaik sahaja menyentuh kulit orang tersebut. Adakah termaktub gen-gen keluarga terhadap 'bakat unik' ini yang masih belum mampu ditebak sains? Ataukah sekadar kepercayaan massa (mass belief) seperti mana dakwaan melihat ayat-ayat Al-Quran di langit?

Saya mulanya ingin mengambil foto dua gadis berkenaan (yang kini sudah remaja) dan memaparkannya di blog ini, namun rasa seperti menceroboh privasi pula! Yang pasti, saya tidak dapat menguji kebenaran bakat mereka kerana, hmmm, haram bagi bukan muhrim bersentuhan, kan?

Hilaian Pada Pukul Tiga Pagi

Sekitar pagi Hari Raya kedua, saya dan beberapa orang lagi dikejutkan oleh hilaian wanita. Walaupun kurang pasti sama ada hilaian itu datangnya dari dalam atau luar rumah, saya tidak begitu ambil pot sangat tentangnya dan menyambung tidur.

Keesokkan harinya saya mendapati bahawa hilaian itu datangnya dari Bibik keluarga saya yang bermimpi dikejar hantu!

Al-kisah, anak saudara saya pada senja itu menangis tanpa henti. Oleh itu Bibik keluarganya berkata; "Kalau mau kacau, janganlah kacau anak kecil ini. Pergilah kacau yang besar macam Bibik Su (Bibik keluarga kami)". Oleh itu, mungkin tertanam kesedaran saikologi tanpa sedar pada Bibik kami bahawa malam tersebut beliau akan 'diganggu' hantu sehingga terbawa-bawa dalam mimpi!

Pendeknya, kalau kita percaya bahawa tubuh manusia terdedah kepada rasukan 'semangat' dan 'makhluk halus', maka itulah yang akan kita persepsikan bila saja rakan sekelas tiba-tiba dilanda histeria. Tindakan seterusnya mungkin dengan memanggil pawang atau bomoh berjampi serapah untuk 'menghalau' semangat tersebut. Tidak terlintas pula bahawa rakan kita itu sebenarnya 'tension' dengan masalah keluarga, pembelajaran atau cintan-cintun sehingga tak terkawal!

Namun jika kita percaya bahawa tubuh manusia adalah dipengaruhi oleh faktor saikologi yang bergantung kepada cuaca, persekitaran dan fatig seseorang, kita akan mendapatkan rehat yang cukup, bawa bertenang, menyelesaikan masalah dengan rasional atau setidaknya mengambil preskripsi tertentu.

Sesuatu itu hanya akan berlaku menurut apa yang kita percayai!

Nota: Fotografi untuk Mak Yong dipetik dari laman UNESCO dan Wayang Kulit dari Arkib Negara Malaysia. Pocong pula dari Blog Hantu.

Monday, October 6, 2008

Kelantan: Eksotik dan Mistikal (Bhg I)

Untuk rekod, saya menggemari Kelantan! Cuma perjalanan memandu ke sana dari KL yang agak sedikit 'merimaskan'.

Kebanyakan cuti Aidilfitri 1429 sepanjang minggu lepas telah saya habiskan di Kelantan, secara lebih spesifiknya di sekitar Pasir Puteh dan Kota Bharu. Juga sedikit tempias di Kuala Besut, Terengganu dan Rantau Panjang. Jadi izinkan saya gariskan beberapa ciri eksotik dari pandangan kaca mata ini, yang mana ada antaranya telah ingin saya gariskan sekian lama.

(a) Sekiranya anda belum pernah menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ada kemungkinan persepsi anda akan dikelabui stereotaip yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat: 'Mundur'. 'Ekstrem'. 'Rasis'. Tetapi jika berpeluang ke sini dan beramah mesra dengan penduduk tempatan, anda akan mendapati bahawa stereotaip ini selalunya merupakan 'exaggeration' yang merupakan mainan politik semata-mata.

(b) Mungkin Kelantan merupakan satu-satunya tempat di Malaysia yang mana penduduknya akan mula berniaga sebaik sahaja malam Hari Raya pertama menjelang. Bandingkan dengan pengoperasi kantin di sebuah bangunan pejabat sekitar Damansara ini yang masih 'bercuti' pada hari ini (Hari Raya Keenam) dan menyebabkan saya terpaksa menapak jauh untuk makan tengah hari sebentar tadi... ahaksss!!!

(c) Kedapatan lebih banyak rumah unit banglo di sekitar Kelantan dalam radius kurang dari 10km. Mungkin dari segi rekabentuk dan pilihan warna cat masih 'keterbelakang' sedikit kerana arkiteknya seringkali adalah tuan rumah itu sendiri dan hanya menggunakan rekabentuk rumah-rumah jiran sekeliling semata sebagai rujukan. Namun ada di antaranya merupakan banglo yang besarnya tahap 'terlampau' yang mana itupun selalunya hanyalah sekadar 'rumah percutian' jutawan dan bilionwan tertentu.

(d) Bangunan baru ibu pejabat Parti Kerajaan Negeri yang mirip kepada rekabentuk Masjid Nabawi pada saya adalah 100x lebih mengkagumkan daripada semua inisiatif mewujudkan 'Koridor-Koridor' perniagaan baru di seluruh negara dikumpul menjadi satu.

(e) Kedapatan kawasan-kawasan membeli belah seperti di Rantau Panjang dan Wakaf Che Yeh yang begitu meriah dan menawarkan variasi barangan yang mungkin mampu menggelapkan mata dan menipiskan poket.

(f) Satu-satunya negeri setahu saya yang menerbitkan filem animasi menggunakan loghat Kelantan serta berbilang penyanyi yang mungkin di sini popularitinya melebihi Mawi sendiri. Bukan setakat telah menerbitkan barisan album CD, bahkan ada pula versi Karaoke dan Video Muzik dalam bentuk VCD! Dari segi logik ekonomi, jika kurang atau tiada pasaran, tidak mungkin ada penerbit yang sanggup melabur menghasilkan produk-produk sebegini!

(g) Dalam keghairahan sesetengah kem kononnya mempromosikan 'Bangsa Malaysia' walaupun percakapan Bahasa Malaysia mereka masih dibelenggu telo kaum masing-masing, cuba letakkan seorang Melayu, Cina dan India dari Kelantan di belakang sebuah tabir dan suruh mereka bersembang. Saya pasti agak sukar untuk menebak apakah latar bangsa yang sedang bersembang itu kerana dialek dan slanga Bahasa Malaysia ketiga-tiganya adalah identikal!

(h) Selama ini saya hanya mengenali sejenis ketupat, yakni ketupat 'tawar'. Kelantan memperkenalkan saya bahawasanya ada dua jenis ketupat - manis dan tawar. Namun nasi dagang, ayam percik dan nasi kerabu tetap tergolong dalam senarai kesukaan peribadi!

(i) Perlu juga di sebut berkenaan 'Kedai Kopi White House' yang terletak bertentangan dengan Masjid Muhammadi Kota Bharu. Khabarnya walau betapa hangat sekalipun kempen politik setiap kali pilihanraya di sini, kesemua calon dan penyokong setiap parti tetap berkunjung ke sini di penghujung hari! Mungkin sebagai pembuktian bahawa kedai kopi boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme penyatuan ideologi! Roti bakar bersapu kaya buatan sendiri dan telur separuh masaknya membangkitkan selera!

Untuk rekod, saya menggemari Kelantan! Cuma perjalanan memandu ke sana dari KL yang agak sedikit 'merimaskan'.

Namun apabila tiba sahaja, segala kerimasan tersebut merasa berbaloi!

Nota: Fotografi untuk (d) dan (h) dipetik dari blog LAISI (Life As I See It)

Selamat Ketemu UOA Damansara!

Turutan dari posting tempoh hari bertajuk 'Selamat Tinggal KL Sentral!', ada yang bertanya akan lokasi baru premis pejabat berkenaan.

Lokasinya, kawan-kawan, ialah di Wisma UOA Damansara II yang terletak di Jalan Changkat Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Senang cakap, berhampiran ibu pejabat Shell Malaysia. Lebih senang cakap, di tengah-tengah kawasan eksklusif yang mana parkirnya bernilai RM3 sejam.

Seperti yang tertera dalam foto-foto ini, dekor dan pejabatnya memang 'posh' dan 'lavish', dengan berbilang bilik mesyuarat yang hingga ke hari ini saya masih kurang pasti jumlahnya. Ruang pantrinya sama luasnya dengan kebanyakan outlet Starbucks (malah Pengerusi Eksekutif sendiri berjenaka menyarankan agar dijemput Starbucks membuka cawangan baru di premis pejabat).

Manakala ruang kerja pula adalah berbentuk konsep terbuka, di mana hanya yang berjawatan Pengarah ke atas saja diperuntukkan bilik. Manakala pangkat Pengurus Besar ke bawah perlu berkongsi ruang kerja dengan para Eksekutif, Kulikutif dan Keranikutif. Ada yang menggemari tata atur begini (saya, contohnya) namun ramai juga yang berpendapat sebaliknya.

Ruang parkir juga terhad. Saya diberikan parkir di bangunan ECM Libra yang terletak di seberang jalan. Kiranya berjalan dari parkir kereta hingga ke pejabat bolehlah memeluhkan badan dalam beberapa liter padu.

Adakah saya menggemari lokasi baru ini?

Dari konteks perbandingan lokasi dengan KL Sentral, tentulah Wisma UOA Damansara II akan kalah. Seperti kata orang utara, lokasi sekarang ini entah "kat hulu banat mana tah!!!" Namun dari segi keselesaan, ke'gah'an, perkakasan, sekuriti dan potensi kerahan ide - lokasi kini mungkin boleh mendabik dada sedikit.

Namun itu hanyalah pendapat saya saja!