Turutan dari posting tempoh hari bertajuk 'Selamat Tinggal KL Sentral!', ada yang bertanya akan lokasi baru premis pejabat berkenaan.
Lokasinya, kawan-kawan, ialah di Wisma UOA Damansara II yang terletak di Jalan Changkat Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Senang cakap, berhampiran ibu pejabat Shell Malaysia. Lebih senang cakap, di tengah-tengah kawasan eksklusif yang mana parkirnya bernilai RM3 sejam.
Seperti yang tertera dalam foto-foto ini, dekor dan pejabatnya memang 'posh' dan 'lavish', dengan berbilang bilik mesyuarat yang hingga ke hari ini saya masih kurang pasti jumlahnya. Ruang pantrinya sama luasnya dengan kebanyakan outlet Starbucks (malah Pengerusi Eksekutif sendiri berjenaka menyarankan agar dijemput Starbucks membuka cawangan baru di premis pejabat).
Manakala ruang kerja pula adalah berbentuk konsep terbuka, di mana hanya yang berjawatan Pengarah ke atas saja diperuntukkan bilik. Manakala pangkat Pengurus Besar ke bawah perlu berkongsi ruang kerja dengan para Eksekutif, Kulikutif dan Keranikutif. Ada yang menggemari tata atur begini (saya, contohnya) namun ramai juga yang berpendapat sebaliknya.
Ruang parkir juga terhad. Saya diberikan parkir di bangunan ECM Libra yang terletak di seberang jalan. Kiranya berjalan dari parkir kereta hingga ke pejabat bolehlah memeluhkan badan dalam beberapa liter padu.
Adakah saya menggemari lokasi baru ini?
Dari konteks perbandingan lokasi dengan KL Sentral, tentulah Wisma UOA Damansara II akan kalah. Seperti kata orang utara, lokasi sekarang ini entah "kat hulu banat mana tah!!!" Namun dari segi keselesaan, ke'gah'an, perkakasan, sekuriti dan potensi kerahan ide - lokasi kini mungkin boleh mendabik dada sedikit.
Namun itu hanyalah pendapat saya saja!
No comments:
Post a Comment