Tuesday, October 7, 2008

Perutusan Khusus Untuk Netizen Yahoo!Groups

Mohon maaf kerana sudah agak lama tidak menulis di persada Yahoo!Groups - baik di BandarUtopia@Yahoo!Groups, Relexjap, ataupun smtsp8286.

Sesuai dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, boleh dikatakan semua penulisan saya lebih bertumpu kepada BandarUtopia@Blogspot. Memandangkan saya kini gemar menyertakan foto atau video dalam artikel saya (dan Yahoo!Groups tidak 'menyimpan' fail-fail sebegini dalam arkib artikel), blog adalah pilihan yang lebih baik. Emel-emel berbentuk 'spam' skim cepat kaya atau 'pelaburan intensif' juga kurang. Manakala komen atau kritikan pula dapat saya respons dengan kadar lebih segera.

Jika blog merupakan rumah artikel saya kini, pemusatan segala aktiviti pula adalah di laman Facebook saya yang mana segala perkembangan terkini, observasi, komen, fotograf, video, capaian kepada artikel-artikel dan banyak lagi ada di situ. Boleh juga bersantai-santai dengan aplikasi-aplikasi 'gaming' jika mahu atau sekadar mencari-cari teman lama.

Saya juga telah mula menulis semula ke majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise, yang pernah menyiarkan siri 'Dari Sik Ke Stoke, UK' beberapa tahun sudah. Kolumnya kini bergelar 'Aiseymen! Asrul' dan banyak membincangkan hal-hal berkaitan penulisan dan perkembangan semasa.

Selain dari semua yang disebut tadi, pada saya gabungan Blogspot-Facebook memberikan imej 3-dimensi baik kepada saya secara peribadi mahupun kepada krim-krim minda yang dikongsi melalui alam siber. Jika di Relexjap kebanyakan hanya mengenali malaun bernama Asrul Muzaffar ini melalui penulisan saya yang ada kalanya kontroversi, melalut atau merapu; kini imej stereotaip itu dapat diimbangi dengan mengambil tahu latarbelakang saya secara umumnya. Lagipun berbanding MySpace, boleh dikatakan 90% dari ahli Facebook menggunakan nama sebenar mereka. Oleh itu tiada lagi kes lempar batu sembunyi tangan atau berselindung di sebalik nama samaran!

Dan saya masih menganggap MySpace sebagai tempat lepak 'budak ingusan' dan 'remaja bawah umur'... ahaksss!!!

Melebihi segalanya, kita harus berevolusi dan berhijrah dalam hidup. Bila tiba waktu, kita harus berangkat sama ada kepada kehidupan yang membuka lebih banyak peluang baru atau memulakan segalanya semula dari bawah.

Penghijrahan ini bukan bermakna saya melupakan langsung Yahoo!Groups. Bila ada pengumuman yang berkadar penting dan mengkehendakkan audiens sedia ada yang melebihi 25,000 orang, saya akan menulis secara 'lintas langsung' ke semua Yahoo!Groups yang dianggotai! Saya juga akur bahawa bukan semua yang menganggotai Yahoo!Groups mempunyai akses Web di pejabat (atau rumah) dan masih mengharapkan bentuk komunikasi melalui emel, seperti yang ditawarkan oleh Yahoo!Groups.

Relexjap terutamanya adalah ibarat seorang rakan lama yang mulia dan bahagia dijenguk sekali-sekala, bertukar-tukar kisah terkini dan ungkit-mengungkit cerita lama. Saya memulakan segalanya di Relexjap dan di sinilah saya mengasah bakat penulisan seciput ini hingga berjaya menzahirkan buku 'coffee-table' CHANTEK. InsyaAllah, jika tiada aral melintang, CHANTEK akan divisualisasikan pula di salah satu saluran televisyen pada tahun 2009 kelak.

Untuk ini (dan segalanya yang lain) sememangnya saya amat berterima kasih dengan Relexjap.

4 comments:

Lina said...

nanti saya nak add en. asrul di facebook... bole yer...

Asrul Muzaffar Mohammed said...

Lina... boley sajaaa... Go to http://www.facebook.com/profile.php?id=672008109

AbnormalSuam said...

aku juga memohon keizinan untuk meng'add' ini blog ke dalam blogspot aku...

sekurang-kurangnya dapatlah meningkatkan sikit link dalam blog aku tuh...

aahahahaha...

Asrul Muzaffar Mohammed said...

Abnormal... kecik tapak tangan, stadium olimpik beijing aku tadah.... hihihihihi...