Monday, October 6, 2008

Kelantan: Eksotik dan Mistikal (Bhg I)

Untuk rekod, saya menggemari Kelantan! Cuma perjalanan memandu ke sana dari KL yang agak sedikit 'merimaskan'.

Kebanyakan cuti Aidilfitri 1429 sepanjang minggu lepas telah saya habiskan di Kelantan, secara lebih spesifiknya di sekitar Pasir Puteh dan Kota Bharu. Juga sedikit tempias di Kuala Besut, Terengganu dan Rantau Panjang. Jadi izinkan saya gariskan beberapa ciri eksotik dari pandangan kaca mata ini, yang mana ada antaranya telah ingin saya gariskan sekian lama.

(a) Sekiranya anda belum pernah menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ada kemungkinan persepsi anda akan dikelabui stereotaip yang sering dilakukan oleh Kerajaan Pusat: 'Mundur'. 'Ekstrem'. 'Rasis'. Tetapi jika berpeluang ke sini dan beramah mesra dengan penduduk tempatan, anda akan mendapati bahawa stereotaip ini selalunya merupakan 'exaggeration' yang merupakan mainan politik semata-mata.

(b) Mungkin Kelantan merupakan satu-satunya tempat di Malaysia yang mana penduduknya akan mula berniaga sebaik sahaja malam Hari Raya pertama menjelang. Bandingkan dengan pengoperasi kantin di sebuah bangunan pejabat sekitar Damansara ini yang masih 'bercuti' pada hari ini (Hari Raya Keenam) dan menyebabkan saya terpaksa menapak jauh untuk makan tengah hari sebentar tadi... ahaksss!!!

(c) Kedapatan lebih banyak rumah unit banglo di sekitar Kelantan dalam radius kurang dari 10km. Mungkin dari segi rekabentuk dan pilihan warna cat masih 'keterbelakang' sedikit kerana arkiteknya seringkali adalah tuan rumah itu sendiri dan hanya menggunakan rekabentuk rumah-rumah jiran sekeliling semata sebagai rujukan. Namun ada di antaranya merupakan banglo yang besarnya tahap 'terlampau' yang mana itupun selalunya hanyalah sekadar 'rumah percutian' jutawan dan bilionwan tertentu.

(d) Bangunan baru ibu pejabat Parti Kerajaan Negeri yang mirip kepada rekabentuk Masjid Nabawi pada saya adalah 100x lebih mengkagumkan daripada semua inisiatif mewujudkan 'Koridor-Koridor' perniagaan baru di seluruh negara dikumpul menjadi satu.

(e) Kedapatan kawasan-kawasan membeli belah seperti di Rantau Panjang dan Wakaf Che Yeh yang begitu meriah dan menawarkan variasi barangan yang mungkin mampu menggelapkan mata dan menipiskan poket.

(f) Satu-satunya negeri setahu saya yang menerbitkan filem animasi menggunakan loghat Kelantan serta berbilang penyanyi yang mungkin di sini popularitinya melebihi Mawi sendiri. Bukan setakat telah menerbitkan barisan album CD, bahkan ada pula versi Karaoke dan Video Muzik dalam bentuk VCD! Dari segi logik ekonomi, jika kurang atau tiada pasaran, tidak mungkin ada penerbit yang sanggup melabur menghasilkan produk-produk sebegini!

(g) Dalam keghairahan sesetengah kem kononnya mempromosikan 'Bangsa Malaysia' walaupun percakapan Bahasa Malaysia mereka masih dibelenggu telo kaum masing-masing, cuba letakkan seorang Melayu, Cina dan India dari Kelantan di belakang sebuah tabir dan suruh mereka bersembang. Saya pasti agak sukar untuk menebak apakah latar bangsa yang sedang bersembang itu kerana dialek dan slanga Bahasa Malaysia ketiga-tiganya adalah identikal!

(h) Selama ini saya hanya mengenali sejenis ketupat, yakni ketupat 'tawar'. Kelantan memperkenalkan saya bahawasanya ada dua jenis ketupat - manis dan tawar. Namun nasi dagang, ayam percik dan nasi kerabu tetap tergolong dalam senarai kesukaan peribadi!

(i) Perlu juga di sebut berkenaan 'Kedai Kopi White House' yang terletak bertentangan dengan Masjid Muhammadi Kota Bharu. Khabarnya walau betapa hangat sekalipun kempen politik setiap kali pilihanraya di sini, kesemua calon dan penyokong setiap parti tetap berkunjung ke sini di penghujung hari! Mungkin sebagai pembuktian bahawa kedai kopi boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme penyatuan ideologi! Roti bakar bersapu kaya buatan sendiri dan telur separuh masaknya membangkitkan selera!

Untuk rekod, saya menggemari Kelantan! Cuma perjalanan memandu ke sana dari KL yang agak sedikit 'merimaskan'.

Namun apabila tiba sahaja, segala kerimasan tersebut merasa berbaloi!

Nota: Fotografi untuk (d) dan (h) dipetik dari blog LAISI (Life As I See It)

2 comments:

Lina said...

salam en. asrul, selama ni cuma mengikuti tulisan en. asrol di relexjap... baru skrg tergerak ati nak buka blog anda... tentang Kelantan... baru 3x saya jejakkan di sana... 1st masa rombongan sekolah, 2nd berjalan ke rumah kawan & 3rd rombongan pejabat saya... sesungguhnya kunjungan yg ketiga itu paling menyedarkan saya... berkunjung ke wisma darul naim saya jadi malu sendiri... begitu cantiknya bangunan... begitu indahnya kawasan tak terbanding dengan wisma sri pahang... buat saya terpk slama ni saya dimomokkan dgn media dgn kemunduran Kelantan tp rupanye kene lihat sendiri keadaannya barulah bole menilai...

Asrul Muzaffar Mohammed said...

Betul tu Lina. Kena tengok sendiri baru tahu betapa Kelantan sebenarnya diperkecilkan potensinya selama ni!!!