Saya gemarkan KL Sentral sebagaimana satu ketika dahulu saya menggemari Puduraya.
Sekadar melepak memerhati gelagat orang ramai lalu-lalang. Berbalas senyum atau sapaan mata dengan seorang dua yang sudi. Banyak yang boleh dipelajari sebenarnya. Mungkin itulah di antara sebab kenapa sehingga hari ini Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said lebih gemar menaiki elarti atau bas berbanding kereta!
Selain merupakan pusat perkhidmatan tren intra-kota dan intra-negeri, KL Sentral juga adalah pusat transportasi urban Lembah Kelang dan pot menjamu selera yang memiliki variasi tersendiri. Ingin ke KLCC ketika waktu makan tengahari? Lompat saja ke elarti RapidKL menghala ke Terminal Putra. Ingin menjenguk peralatan komputer terbaru? Naik saja KL Monorail menghala ke Plaza Low Yatt. Terliur dengan sandwich 6" Subway? Atau New York Cheesecake Secret Recipe? Atau sekadar melayan tetamu di Starbucks? Atau selera lebih cenderung kepada roti canai, ikan keli bakar atau nasi ayam berempah? Segalanya ada di KL Sentral.
Sejak Mei 2008, saya telah membabitkan diri memberi khidmat Komunikasi Korporat dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di KL Sentral. Namun mulai 22 September 2008, syarikat tersebut akan memulakan operasi di premis baru. Oleh itu sepanjang minggu lepas, aktiviti mengemas dan membungkus barangan yang ingin di bawa berpindah hampir memenuhi jadual tugasan.
Selamat tinggal KL Sentral, buat masa ini!
Dan selamat tinggal bilik pejabat terbesar yang pernah didiami saya setakat ini! :p
1 comment:
this room kinda familiar
Post a Comment