Tuesday, November 18, 2008

Buku Tebal, Buku Nipis

Semalam saya berkesempatan menjengah blog John Norafizan, rakan penulis yang dikenali secara peribadi sejak awal pembabitannya di e-grup Relexjap awal 2001 dahulu. Entri blognya yang terbaru membincangkan tentang senario permintaan novel tempatan. Mitosnya ialah mengenai andaian penerbit dan pengedar buku tempatan bahawa novel/buku bermukasurat tebal lebih senang dijual di pasaran. Lebih tebal, lebih bagus.

Saya ada meninggalkan beberapa baris komen yang kemudiannya dijawab pula oleh wakil (bos?) Jemari Seni Publishing, salah sebuah penerbit bahan bercetak yang makin memperluaskan tapak di persada penerbitan negara:

"Sebenarnya apa yang cuba diterangkan oleh John tidak mewakili pendapat penerbit mahupun pengedar. Tetapi ia menggambarkan senario permintaan novel di Malaysia. Sekiranya kita ingin mengubah keadaan ini, pembaca mestilah sanggup berubah. 
Sila semak hukum permintaan dan penawaran dalam ekonomi untuk memahami situasi ini. Dan penerbit serta pengedar terpaksa akur dengan 'keputusan' pembaca ini".

Terasa sedikit terkilan kerana penerbit lantang sahaja 'menyalahkan' pembaca bilamana sesuatu 'keadaan' tidak menyebelahi perancangan korporat mereka. Suatu fenomena yang telah menjadi kebiasaan bukan sahaja dalam industri penerbitan malah industri filem atau muzik tempatan. Bilamana produk tidak laku, disalahkan pengguna yang kononnya 'tidak berpelajaran', 'lebih meminati produk luar' atau 'gejala cetak rompak'.

Sekitar 2002-2003, saya berpeluang terlibat dengan pelancaran novel 'Bukan Puteri Lindungan Bulan (BPLB)' karya Liana Afiera Malik, terbitan Creative Enterprise (CESB) tidak lama dahulu - sebuah novel 'tebal' yang mana beberapa skeptik mengatakan tidak boleh dijual kerana harganya yang agak tinggi berbanding harga purata novel-novel remaja yang lain.

Saya gemar menyertakan 'case study' BPLB dalam senarai portfolio pencapaian saya kerana metoda pemasarannya yang agak komprehensif dan belum pernah dilakukan mana-mana penerbit tempatan sebelum ini. Antaranya:

  • Pemasaran strategik melalui gabungan pengurusan majlis, pengurusan media, pengiklanan dan promosi yang mensasarkan promosi terhadap tiga elemen - produk (yakni novel BPLB sendiri), penulis dan penerbit.
  • Pelancarannya dibahagikan kepada dua - 'soft launch' yang dilangsungkan di Johor, negeri kelahiran penulis dan pelancaran rasmi bertempat di Kuala Lumpur beberapa minggu kemudiannya, disempurnakan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
  • Pelancarannya disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui radio - pertama kali seumpamanya diadakan di Malaysia. Pelancaran album Siti Nurhaliza pun belum pernah diwar-warkan sebegini!
  • Ulasan editorial dan paparan wawancara secara langsung di akhbar-akhbar aliran utama, stesen TV dan radio.
  • Iklan di akhbar tempatan dan radio
  • Produksi 'spin-off' dari novel berkenaan dalam bentuk poster cetakan terhad, baju T, poskad dan beg kertas.
  • Penganjuran peraduan-peraduan yang mana pemenangnya memenangi novel BPLB yang ditandatangani penulis dan produk-produk 'spin-off'.
  • Penganjuran 'Roadshow BPLB' ke seluruh negara.
  • Pemasaran melalui laman web dan e-grup.
  • Pemaparan 'tidak langsung' melalui drama-drama swasta, seperti karakter sedang membaca novel BPLB di rumah, sambil menunggu 'hero' dan sebagainya.

Hasilnya, novel yang dikatakan 'tidak boleh dijual' itu memasuki cetakan kedua dalam masa kurang dari 2 minggu! Liana pula makin dikenali ramai sebagai salah seorang novelis tersohor negara dan Creative Enterprise dimaklumi sebagai sebuah syarikat penerbitan yang disegani.

Lebih penting lagi, pasukan kami berjaya mencetuskan minat daripada golongan pembaca yang belum atau tidak pernah membaca novel Bahasa Malaysia di samping memperkukuhkan posisi di kalangan golongan sasar utama iaitu penggemar novel remaja.

Jadi poin utama di sini ialah 'cetusan minat' atau menimbulkan 'curiosity'. Ini kerana orang ramai akan berasional bahawa jika sesebuah penerbit sanggup melabur dan melangsungkan aktiviti promosi seumpama ini, maka produk tersebut tentu ada merit yang tersendiri. Dorongan ini seterusnya akan diterjemahkan kepada ringgit dan sen.

Berapakah nilai pelaburan aktiviti promosi tersebut? Secara rasmi (menurut kenyataan akhbar yang diedarkan), ia bernilai RM1.5 juta. Secara tak rasmi, sila rujuk kepada Jaafar Taib, bos besar CESB, ahaksss!!! Namun cukuplah dinyatakan bahawa R.O.I (Return Of Investment) projek ini mencapai objektif-objektifnya. Objektif untuk mempromosikan BPLB hanyalah 1/3 daripada gambaran yang lebih besar.

Kesimpulannya, tidak perlulah asyik-asyik pembaca yang disalahkan. Yang terhasil di sini ialah andaian bahawa 'pembaca nak macam ini' jadi penerbit/pengedar harus melakukan 'macam itu'. Memang ini adalah hukum asas dalam ekonomi tetapi Adam Smith membangunkan hukum ini sekitar tahun 1700an dan sekarang sudah nak masuk tahun 2009. Jika hukum ini terlalu dikiblatkan maka Microsoft tidak akan mendominasi industri IT pada hari ini!

Ada yang mengatakan bahawa kesemua penerbit, pengedar, penulis dan pembaca harus 'berubah'. Benar, tapi statemen ini adalah seperti menunggu buah yang tidak mungkin jatuh melainkan kita mengambil galah dan berusaha mengaitnya sendiri. Yang penting ialah penerbit harus mempunyai suatu wawasan dan diperkukuhkan pula dengan strategi perniagaan yang bijak. Lebih penting lagi, sanggup mengambil risiko.

Di seberang sana, penerbit adalah pendorong industri manakala penulis adalah pencetus ideologi. Pembaca di seberang sini seterusnya akan menentukan sama ada produk tersebut baik atau sebaliknya - tanpa mengira elemen-elemen mitos seperti ketebalan atau kenipisan novel tersebut.

Pengedar pula selalunya akan berdiri di atas pagar semata-mata. Asal saja duit masuk, tiada komplen!

No comments: