Wednesday, November 26, 2008

'Hotel California' Mempromosikan 'Church Of Satan'?

Nota: Artikel ini bukanlah satu artikel intelektual. Ianya ditulis sekadar suka-suka kerana kebosanan menunggu panggilan telefon dari beberapa klien dan rakan perniagaan. Jangan diambil isi artikel ini bulat-bulat kerana saya menulisnya dengan penuh sinikal, ahaksss!!!


Antara artikel saya yang paling banyak tersebar di laman-laman web dan melalui emel ialah 'Hin Atirec Kan Ayas' yang ditulis sekitar tahun 2001, mengisahkan tentang 'mesej songsang' yang kononnya terkandung dalam beberapa lagu-lagu popular.

Dengan lebih ringkas, ia menjurus kepada teknik 'backmasking' dalam rakaman audio, yang mana segalanya kedengaran 'biasa' bila dimainkan secara, well... biasa. Namun bila dimainkan secara songsang, ada kedengaran 'mesej-mesej' dan 'bunyi-bunyi' yang tafsirannya begitu meluas dari 'saranan pengiklanan tanpa sedar', 'mempengaruhi pendengar mengambil dadah' sehinggalah 'mesej daripada syaitan'.

Antara lagu yang paling kerap dikaitkan dengan fenomena ini ialah 'Hotel California' nyanyian The Eagles, seperti yang terkandung dalam album yang bertajuk serupa, diterbitkan pada tahun 1977.

Al-kisahnya, lirik lagu ini menceritakan tentang seorang pengembara yang sesat di waktu malam sekitar sebuah lebuh raya di tengah padang pasir. Dalam keletihan dan kerabunan, beliau terlihat satu cahaya malap dari jauh dan mendapati ianya sebuah rumah tumpangan. Jadi beliau berkeputusan berhenti bermalam.

Namun persekitaran rumah tumpangan itu penuh misteri, dengan suara-suara halus yang membisik entah dari mana, karakter-karakter pelik, bar yang kehabisan wain sejak tahun 1969 dan sebagainya. Kemuncaknya ialah bila pengembara itu mendapati penghuni lain sedang melakukan satu 'upacara' di dalam dewan yang mana mereka cuba 'menikam makhluk liar dengan pisau' namun 'tak berdaya membunuhnya'.

Ketakutan, pengembara tadi cuba lari tetapi dihalang oleh penjaga pintu yang menyatakan bahawa semua penghuni di situ boleh keluar masuk sesuka hati dari premis berkenaan namun mereka tidak boleh 'meninggalkan' rumah itu sampai bila-bila... :)

Tafsiran yang paling popular mengenai lagu ini ialah berkenaan Church of Satan yang dimulakan oleh Anton LaVey di Amerika Syarikat pada tahun 1966. Malah tajuk 'Hotel California' itu dikatakan merujuk kepada ibu pejabat pertubuhan tersebut yang terletak di 6114, California Street, San Francisco; juga dikenali sebagai 'Black House'.

Antara bait lirik yang kononnya mengiyakan mitos Church of Satan dalam lagu ini ialah: "So I called up the Captain, please bring me my wine. And he said we haven't had that spirit here since 1969". Sumber-sumber mendakwa bahawa 'spirit' ini merujuk kepada 'Holy Spirit' dalam Triniti Kristian manakala 1969 merupakan tahun di mana pertubuhan tersebut menerbitkan 'Satanic Bible' yang merupakan deklamasi dogma rasmi mereka.

Kemudian tentunya bait yang merujuk kepada 'upacara di dalam dewan utama' yang mana; "They tried to stab it with their steely knives but they just can't kill the beast". 'Beast' di sini merupakan nama lain yang ada digunakan dalam Bible untuk 'Iblis'.

Tidak cukup dengan itu, kulit album 'Hotel California' juga dikatakan mempunyai imej-imej gothika yang juga merujuk kepada penyembahan Syaitan. Kulit bahagian dalam, jika diperhatikan betul-betul, ada terdapat seorang wanita (hantu?) yang seakan melompat sambil mendepakan tangan di atas orang ramai yang berkumpul di lobi utama.

Walaupun kesemua model dalam kulit album ini adalah manusia betul tetapi di belakang kaunter penyambut tetamu pula terdapat imej manusia yang seakan-akan lukisan. Kononnya juga ini merupakan imej Aleister Crowley, seorang pengasas ajaran agama songsang.

Memandangkan mereka yang berumur 30 tahun ke atas gemar menyanyikan lagu ini di karaoke atau mendengar persembahannya dari kugiran-kugiran di kelab-kelab, mungkin ada wakil dari majlis agama atau Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) sendiri yang ingin menyiasat kalau-kalau akidah umat Islam 'boleh terpesong' kerana mendengar lagu ini.

Dan apabila kajian telah dibuat, mungkin MFK akan mengharamkannya juga seperti mana mereka mengharamkan Kongsi Raya dan Yoga.

No comments: