Saya tidak sempat untuk mengupas dengan panjang lebar akan respon-respon yang diterima tentang artikel 'AKRAB: Empat Cadangan Untuk Institusi Agama Malaysia'. Jadi cukuplah dengan yang ini buat sementara waktu.
Pertama sekali, sesiapa yang ingin memetik ayat-ayat Al-Quran dan Hadith, sila berikan rujukan penuh - dari Surah mana, ayat mana atau riwayat mana. Ini bukan sebarang buku yang boleh dipetik sesuka hati. Jadi hormatilah sikit kesucian kitab teragung ini.
Ada yang mempersoalkan apakah yang dimaksudkan tentang 'Islam sudah hilang kredibiliti'? Tak perlu kupas panjang lebar, ianya kini berlaku di Mumbai ketika saya sedang menulis entri ini.
Masalahnya sekarang ialah apabila ada segelintir Muslim yang masih merasakan mereka hidup dalam persekitaran, sosio-politik dan ekonomi seperti mana 500 tahun dahulu - ketika perjalanan hanya menggunakan unta dan kapal layar. Zaman di mana warkah utusan hanya akan tiba di destinasi berbulan-bulan dari tarikh penghantaran. Zaman di mana empayar-empayar terpisah dari segi komunikasi. Zaman di mana maklumat hanyalah milik golongan tertentu semata-mata.
Seperti mana sesetengah orang politik masih memiliki sindrom penidakan selepas Pilihanraya 2008, begitulah juga sesetengah orang Islam yang tidak dapat menerima hakikat bahawa imej Islam kini berada di tahap yang buruk seburuk-buruknya.
Ironinya, golongan Islam inilah juga yang gah menyeru agar kita berdakwah kepada bukan Islam demi 'memperkembangkan syiar agama'. Seruan sebegini pada saya bukannya mustahil, tetapi seperti kata pepatah; "There's no second chance for first impression".
Bila pandangan pertama telah pun 'buruk', bagaimana pula hendak mengajak orang bukan Islam mempelajari keindahan agama kita dengan lebih mendalam?
Kredibiliti yang hilang tidak akan membuatkan kita merasa bangga ingin bersama dengan sesuatu/seseorang. Kredibiliti yang hilang akan membuatkan kita merasa sesuatu/seseorang itu sudah tidak relevan dan perlu disingkirkan dari kehidupan seharian.
Apakah ini yang ingin kita lihat terjadi terhadap agama yang kita sayangi ini?
Kita memilih Islam kerana kita percaya ia adalah agama yang benar. Setidaknya itulah anggapan majoriti dari kita yang mana telah dilahirkan dalam Islam. Namun bagaimana dengan mereka yang juga dilahirkan dalam Kristian, Judaism, Buddha, Hindu atau Sikh? Pada mereka kebenaran juga berpihak kepada mereka.
Seperti mana di dalam sebuah bilik mesyuarat di mana semua eksekutif berkeras mengatakan dialah yang benar. Sampai esok pagi pun takkan habis mesyuarat tadi!
Jadi daripada kita memusatkan hanya kepada 'siapa yang benar', mengapa tidak kita memusatkan perbincangan untuk mencari kaedah terbaik untuk semua rakyat tak mengira agama dapat hidup aman dan saling memahami?
Apabila kita telah memilih Islam, cukuplah kita saja memaklumi bahawa kita telah memilih yang terbaik. Kalau ianya bukan yang terbaik, tentu kita telah memilih yang lain. Tak perlulah kita mendabik dada mengatakan 'agama kau salah, agama aku saja yang betul'. Ianya cuma akan mencetuskan lebih banyak perbalahan.
Sekiranya kita melihat mereka yang dilahirkan dalam agama lain sebagai satu jenayah, mereka akan melihat kelahiran kita dalam Islam juga sebagai satu jenayah.
No comments:
Post a Comment