Selamat Tahun Baru 2009!
Saya sedang cuba menghabiskan buku 'Holy War: The Crusades and Their Impact on Today's World' nukilan penulis teologi favorit saya, Karen Armstrong. Buku ini sudah agak lama (cetakan pertamanya pada tahun 1988), malah lebih terdahulu dari 'A History of God' oleh penulis yang sama. Mungkin kebetulan, beberapa hari setelah membeli buku ini, Israel melancarkan perang ofensifnya (lagi) terhadap Palestin. Kebetulannya juga mungkin, saya mula menjamah banyak fakta-fakta sejarah yang sebelum ini tidak diketahui mengenai Perang Salib melalui buku ini.
Jika selama ini saya banyak didedahkan kepada ekstremis Islam seperti Shukri Mustafa, Abdul Salam Al-Faraj dan tentunya Osama Laden, kini saya mula mengenali ekstremis-ekstremis keparat agama lain sepanjang zaman yang berperanan besar mewujudkan permusuhan antara-agama seperti yang dialami dunia kontemporari.
Bagaimana lancangnya Pope Urban II melancarkan Perang Salib Pertama pada tahun 1095 untuk meraih populariti dan seterusnya memulakan propaganda terencat Barat kononnya Islam merupakan agama pedang. Bagaimana hasutan Reynauld of Chatillon yang lebih bersifat materialisme mendorong ribuan nyawa melayang ketika Perang Salib Kedua. Yang terutama, betapa celakanya Rabbi David Kahane yang sebenarnya memulakan sindrom anti-Arab di kalangan penduduk Israel hingga menyebabkan permusuhan buta di antara penganut Judaism dan Islam - dua agama yang susur galurnya akrab pada awalnya.
Melalui sejarah, kita mula menyedari bahawa dajal perkauman sebenarnya dicetus oleh golongan minoriti yang fanatik dan ekstrem. Dakyah-dakyah bodoh mereka menyelewengkan ayat-ayat Tuhan manakala orang-orang yang bodoh pula terikut-ikut hingga yang cetus api kecil kemudiannya menjadi besar marak sampai terpahat sebagai kalam warisan.
Amatlah penting bagi kita, orang-orang yang tidak bodoh, melengkapkan diri dengan ilmu agar kita dapat mengenal pasti siapakah musuh sebenar kita secara spesifik dan bukannya membabi buta memusuhi semua yang tidak sepegangan dan sealiran dengan kita.
Selamat Tahun Baru 2009.
Perlukah semuanya kekal sama?
No comments:
Post a Comment