Terus terang, saya gemar mengunjungi Starbucks. Tapi bukanlah kerana kopinya yang tak lah sedap sangat di samping berharga tak logik. Saya mengunjunginya untuk memanfaatkan perkhidmatan WiFi percuma yang disediakan di situ. Ada kalanya saya merancang mesyuarat dengan klien di sana, sekali lagi bukanlah kerana kopinya tetapi lokasinya yang strategik membolehkan saya memerhati orang lalu lalang. Untuk kopi 'premium' saya lebih suka mengunjungi Old Town White Coffee.
Namun sejak seruan pemboikotan barangan dan perkhidmatan dari USA dan Israel kebelakangan ini, saya akui bahawa saya merasa bersalah walau untuk menjeling Starbucks hanya dengan sebelah mata. Itu belum termasuk jari yang mendesak-desak memicit nombor 411, 412 dan 413 di alat kawalan jauh Astro untuk menonton siaran HBO, Cinemax dan Star Movies. Begitu juga dengan koleksi VCD/DVD berlambak di rumah yang mana sebahagian besarnya merupakan filem Hollywood. CD Muzik? Tak payah ceritalah. Nasib baik U2 berasal dari Ireland... hehehe. Tapi yang terutamanya, bagaimana pula dengan jemari yang menekan-nekan kekunci MacBook menulis posting ini sekarang?
Saya menganggap diri saya sebagai seorang praktikal. Seperti mana saya percaya pada usaha, saya juga mementingkan hasil. Ini kerana saya berpegang pada prinsip walau bagaimana sesetengah orang menganggap atitud saya haprak, bodoh sombong dan perasan bagus sekalipun - mereka tidak akan pernah boleh mempertikaikan pencapaian dan hasil kerja saya. Oleh itu saya sentiasa memastikan strategi yang dibangunkan mampu mencapai hasil sebaik mungkin.
Jadi bila ada yang mengatakan bahawa tak perlu mempersoalkan berkesan atau tidak hasil boikot barangan USA/Israel dan hasilnya adalah 'perkara kedua', saya tertanya pada diri sendiri --- sampai bilakah kita harus melakukan sesuatu sekadar 'tangkap muat' secara membabi buta tanpa perancangan dan implementasi yang berkesan? Kenapakah kita tidak menanam semangat untuk melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh mengikut kudrat yang ada?
Untuk memujuk hati? Bahawa kita telah melakukan yang terbaik? Sekadar termampu? Padahal jauh di dalam hati kita tahu bahawa potensi kita lebih dari itu?
Kita tahu bahawa kita boleh mengusulkan pada majikan agar menolak gaji sehari untuk disedekahkan kepada rakyat Palestin. Kita tahu bahawa umat Islam sekarang lemah sedangkan kita sendiri malas menambah ilmu. Kita tahu kita boleh saja kansel pinjaman perumahan berasaskan riba dan menukarkannya kepada yang berasaskan konsep Islamik. Boleh juga kansel terus skim insurans konvensional dan mendaftar dengan Takaful. Atau format cakera keras PC anda yang menggunakan MS Windows dan menggantikannya dengan perisian 'open source' seperti LINUX.
Lebih dari itu, kita boleh saja meletakkan notis berhenti kerja di syarikat sekarang yang terang-terangan merupakan syarikat dari USA (syabas kepada rakan yang mengirim SMS pada saya mengatakan beliau sedang berusaha ke arah itu).
Tapi kita tidak melakukannya. Kita memilih untuk boikot produk yang kita sendiri jarang atau tidak pernah guna. Kenapa? Kerana ianya MUDAH. Itu saja. Kita mahu yang mudah. Tak memeningkan kepala. Sebagaimana skim-skim cepat kaya yang sering memenuhi peti emel kita. Kita mahu mudah. Cepat. Firasat saya menyatakan bahawa kita memboikot bukanlah untuk mententeramkan dhamir sendiri tetapi sebab kita mahu memilih cara mudah.
Jangan diperkecilkan potensi diri. Kalau kita mahu menjadi seorang Muslim, jadilah Muslim yang terbaik. Sebaik mungkin. Bukan setakat tangkap muat. Bukan melakukan ibadat 'ikut dan' demi mententeramkan hati bahawa kita dah 'lepas' dengan apa yang diwajibkan. Juga tak perlulah membebel menyebarkan emel mengenai otak Albert Einstein, seorang Yahudi yang kononnya menggalakkan penciptaan bom atom, di mana faktanya pun tidak betul.
Situasi di Gaza kini adalah sesuatu yang luarbiasa. Penyelesaiannya juga perlulah luarbiasa. Bukan remeh dan retorik seperti memboikot secara selektif barangan pengguna tertentu yang mana hasilnya tidak seberapa.
Walau bagaimanapun....
Secara ironinya saya faham akan situasi, perasaan marah dan sentimen masyarakat Islam (dan mereka yang mencintai keamanan) terhadap rejim Zionis laknatullah di Gaza sekarang. Oleh itu, untuk rekod (buat kali ini saja), ingin saya sarankan agar kita semua lakukanlah apa yang anda rasa mampu dan patut biarpun ianya sekadar memboikot barangan tertentu dan selektif. Tak apa. Untuk kali ini saja. Saya faham dengan analogi burung yang berusaha mengangkut air dengan paruh untuk memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim a.s. dan saya hormati keputusan anda.
Cuma janganlah dijadikan sindrom 'jangan persoal hasil' ini sebagai satu habit.
2 comments:
wah... aku suka gambar tu... hehehehehe!
Tengkiu... tengkiu... the wonders of Photoshop and a bit of imagination :D
Post a Comment