Antara isu terhangat di Malaysia kini (selain mengenai Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu) ialah seruan pemboikotan barangan USA dan Israel.
Secara umumnya, bila ditanya kebanyakan rakyat Malaysia, "Kenapa kita mesti boikot?", berdasarkan jawapan yang diterima bolehlah dibahagikan kepada kategori-kategori berikut:
(a) Mereka yang memboikot membuta tuli berdasarkan ilusi bahawa ianya akan 'melemahkan' ekonomi USA dan Israel. Mungkin dari golongan sama yang memastikan semua kuku yang dipotong ketika haid dimandi-wajibkan kemudian dan menganggapnya sebagai 'hukum otentik' Islam.
(b) Mereka yang memboikot sekadar mengelak dari rasa bersalah. Mungkin golongan sama yang ingin mengambil jalan mudah, seperti mana yang meminati Skim Cepat Kaya Internet atau Skim Pak Man Telo.
(c) Mereka yang akur terhadap realiti bahawa mustahil mampu memboikot kesemua barangan dari USA dan Israel (terutamanya perkakasan dan perisian komputer) lalu mengambil jalan memboikot secara selektif.
(d) Mereka yang hipokrit melaungkan boikot namun berdesir seperti tikus bila ditanya; "Bila hang nak resign dari kompeni hang yang sememangnya cawangan syarikat dari USA"?
Saya telah menyentuh akan golongan-golongan ini dan hakikat kenapa cara pemboikotan mereka tak akan berhasil (malah buang karan) melalui artikel-artikel saya bertajuk 'Boikot? Ada Retorik Yang Lebih Baik' dan 'Gaza: Penyelesaian Luarbiasa Untuk Situasi Luarbiasa'. Lewat artikel akhir, ada yang bertanya kenapa saya menjadikan boikot ini sebagai 'kes istimewa' dan perlu diteruskan walau bagaimana goyah pun hasil akhir yang mungkin dicapai?
Saya percaya bahawa sebaik mungkin, kita harus melatih diri kita berfikir secara saintifik dan berusaha melihat gambaran alternatif atau yang lebih besar (bigger picture) terhadap sesuatu perkara. Kita sedia maklum bahawa barangan USA merupakan 'rencah hidup' masa kini namun ia tidak bermakna produk dari negara tersebut akan bertahan dalam apa jua keadaan. Setiap yang kuat ada kelemahannya.
Selain mengambil kira sentimen masyarakat Islam khususnya yang agak sensitif tentang isu Gaza sekarang, ada dua sebab utama saya mengatakan boikot ini harus diteruskan.
(a) Seruan memboikot ini harus dilihat sebagai LATIHAN PEMBIASAAN DIRI untuk tidak prejudis dan memilih barangan USA sebagai pilihan utama. Contohnya, jika kita ke hypermarket dan ingin membeli kopi 3 dalam 1, biasakan diri untuk tidak mencapai paket Nescafé di rak barangan tetapi sebaliknya mencapai paket produk seperti AliCafe atau OldTown White Coffee. Perlahan-lahan, bila sudah terbiasa, kita akan menaikkan permintaan untuk produk-produk buatan tempatan dan secara tidak langsung menjana pengeluarannya di samping menaikkan ekonomi lokal. Ini adalah prinsip asas ekonomi. Memang akan ada produk USA yang kita terpaksa gunakan kerana tiada alternatif (seperti Mac OSX dan MS Windows), namun tidak mengapa. Asalkan kita melakukan latihan ini secara berterusan.
(b) Bila sudah terbiasa dan kebiasaan ini meluas di kalangan pasaran termasuklah pemilihan produk-produk perbankan dan insurans berasaskan Islam, secara mutakhirnya, di sinilah peranan DINAR akan digiatkan. Penggunaan DINAR secara strategik di kalangan negara-negara Islam dan seterusnya menetapkannya sebagai syarat wajib bagi sebarang urusniaga dengan mana-mana negara Islam akan 'menendang celah kangkang' dolar USA dan mampu menjadikannya terlingkup jatuh.
Jika sebelum ini USA dan Israel bangga dan angkuh dengan posisi mereka, penggunaan DINAR mampu membuatkan mereka sedar akan tinggi rendahnya langit. Jika anda mahukan sesuatu yang boleh menundukkan samseng ekonomi dunia tersebut, maka inilah dia. Tak perlu nuklear. Tak perlu pengebom bunuh diri. Tak perlu retorik.
Dari riwayat Imam Hanbali, Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; "Akan tiba satu ketika kelak kepada manusia di mana tidak ada apa lagi yang boleh digunakan kecuali Dinar dan Dirham".
Di kesempatan ini juga saya ingin menyatakan sokongan dan komitmen peribadi saya terhadap yang berikut:
(a) Palestine Relief Fund anjuran MERCY Malaysia yang mana sumbangan akan digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan membiayai operasi kemanusiaan persatuan itu di kini sudah pun berada di sempadan Gaza. Saya berpeluang berhubung dengan Dato' Dr Jemilah Mahmood, pengasas MERCY Malaysia, secara peribadi ketika produksi buku CHANTEK dahulu dan yakinilah bila saya nyatakan bahawa sumbangan ini amat berkesan dan banyak membantu setidaknya dalam jangka masa pendek dan terdesak sekarang.
(b) The Kuala Lumpur Foundation to Criminalize War (KLFCW) yang diasas dan dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bertujuan membawa penjenayah-penjenayah perang dari USA dan Israel contohnya ke tribunal pengadilan dunia. Tentunya George W. Bush dan Ehud Olmert berada dalam senarai.
(c) Palestine Children Relief Fund (PCRF) yang telah menjalankan operasinya sejak 1991 untuk membawa keluar kanak-kanak Palestin yang memerlukan perubatan ke pusat-pusat perubatan terbaik di seluruh dunia. Saya difahamkan secara peribadi oleh aktivis NGO ini bahawa Malaysia belum mempunyai sebuah cawangan rasmi. Difahamkan juga bahawa sebuah hospital utama di Malaysia telah dikenalpasti (dan rundingan sedang dilakukan) sebagai rakan strategik.
Saya juga ingin mendesak agar F&N Coca Cola Malaysia dan Starbucks Malaysia mendermakan di antara 10 sen ke RM1 bagi setiap minuman yang mereka jual di negara ini kepada tabung-tabung kemanusiaan Palestin. Setidaknya dengan ini, kita akan maklum di mana pendirian mereka sebenar-benarnya.
Jangan buat sesuatu dengan membuta-tuli!
Lakukan dengan strategik dan dengan perancangan yang baik. Anda akan mengkagumi hasilnya nanti!
No comments:
Post a Comment