Wednesday, January 28, 2009

Hudud: Penilaian Semula

Tidak, anda tidak silap membaca. Memang saya yang menulis artikel ini :)

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, saya sering dilabel sebagai 'anti-Islam' mungkin di sebabkan sesetengah artikel saya yang agak berbau kontroversi. Antara tentangan yang paling kuat disuarakan oleh saya ialah terhadap cadangan mengimplimentasikan hukum Hudud yang sering di war-warkan oleh PAS, andai mereka berkuasa.

Sebelum PRU12, PAS memiliki stereotaip sebagai pengamal Islam ortodoks, terutama dengan berbagai polisi yang diperkenalkan mereka seperti larangan mengenakan kosmetik bagi kakitangan kerajaan negeri atau pengasingan lelaki-wanita dalam pawagam dan kaunter pusat beli-belah. Dan siapa boleh melupakan Amanat Haji Hadi yang memfatwakan UMNO dan penyokongnya sebagai 'kafir' dan penentangan terhadapnya diisytiharkan 'syahid' pada tahun 1981?

Kesempatan ini telah dieksploitasikan sepenuhnya oleh UMNO selama ini. Di satu pihak, mereka yang memiliki imej Islam Ortodoks mencanangkan Hudud seolah-olah ia merupakan suatu niat untuk menghalalkan cara. Di satu pihak lagi, ianya diguna untuk menakut-nakutkan masyarakat akan tahana yang akan mereka terima andai pihak pertama tadi berkuasa.

Sayangnya, usaha kedua-dua pihak ini telah membantutkan keindahan dan hukum Hudud itu sendiri, terutama dari segi sosiologi dan kemanusiaan. Ianya dilihat sebagai barbarik, ketinggalan zaman dan tidak berperikemanusiaan. Lebih buruk lagi, ianya sedikit sebanyak menyumbang terhadap kejatuhan imej Islam terutama selepas Tragedi 9-11, di mana ada pihak yang menyamakan Islam=Hudud.

Namun perkembangan-perkembangan semasa telah membuat saya merenung sejenak akan kewajaran diperkenalkan hukum Hudud di Malaysia. Terus terang, saya bukanlah peguam dan tidak tahu sepatah haram mengenai hukum syariah mahupun sivil. Jadi apa yang dituliskan di sini ialah berdasarkan observasi dangkal saya sebagai warga biasa tanpa nama.

(a) Saya harap masih ada yang belum melupakan tragedi adik Nurin Jazlin Jazimin pada tahun 2007. Itu belum dikira kes adik Sharlinie Mohd Nahar yang masih hilang hingga ke hari ini. Jangan juga dilupakan adik Nor Syuhada Borak yang ditemui mati dalam tangki air berdekatan rumahnya. Ataupun adik Nurul Huda Abdul Ghani yang diliwat dan dirogol sebelum dibunuh di sebuah stesen pencawang elektrik. Penjenayah-penjenayah paedofilia ini ada yang masih berkeliaran di kalangan kita. Ada pihak 'bermoral' yang mempersoalkan kewajaran hukuman Hudud dikenakan terhadap penjenayah ini. Namun berdasarkan statistik tahun 2001 yang dikeluarkan oleh Pusat Pengurusan Jenayah Seksual, sebuah badan kelolaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, penjenayah paedofilia mempunyai peratusan penangkapan semula yang lebih tinggi dari perogol, yakni 52% berbanding 39% dalam tempoh 25 tahun, menjadikan golongan ini bukan sahaja lebih 'sakit' malah lebih merbahaya dari perogol. (capaian)

(b) Peningkatan kes sumbang mahram di kalangan orang Islam Malaysia. Johor dan Selangor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi di negara ini sepanjang tahun 2000 hingga Jun 2008 iaitu masing-masing sebanyak 308 kes daripada keseluruhan 2,158 kes yang dilaporkan kepada polis. Bagi tempoh sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu pula, Johor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu sebanyak 33 kes daripada keseluruhan 177 kes yang dilaporkan. Selangor mencatatkan kes sumbang mahram kedua tertinggi bagi tempoh itu iaitu sebanyak 27 kes diikuti Sabah (20), Pahang (20), Kedah (16), Sarawak (13) dan Perak (12). Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 10 kes, Melaka (9), Kelantan (7), Negeri Sembilan (5), Pulau Pinang (3), Terengganu (1) dan Perlis (1). (capaian)

(c) Keruntuhan akhlak masyarakat yang terlibat dengan pesta-pesta seks, aktiviti rempit, pengkid, lesbian, homoseksual dan gejala maksiat yang lain. Itu belum termasuk mereka yang terjebak dalam pelacuran, zina luar nikah dan seumpamanya. Jika anda ingin maklum akan betapa seriusnya gejala ini sekarang, cuba google di YouTube, MySpace dan Friendster (atau sebarang enjin carian Web) dan anda mungkin terkhezut dengan aksi-aksi panas segelintir masyarakat Islam kita pada masa ini. Mungkin ada antaranya adalah saudara, kenalan atau anak-anak kenalan anda sendiri. (capaian - cari sendiri)

(d) Dengan kelembapan ekonomi global yang melanda kini, adalah dijangka kadar jenayah seperti merompak, ragut, rasuah, bunuh dan sebagainya akan meningkat bilamana ramai yang mungkin kehilangan sumber pendapatan dan terdesak. Menurut taklimat polis kepada YAB Perdana Menteri di awal 2008, jenayah ganas meningkat 13.4 peratus. Kes rogol naik 30 peratus manakala rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus. Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus, pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus, pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus, curi motosikal meningkat 3.2 peratus, curi kereta naik 11.4 peratus dan kecurian lain naik 5.1 peratus. (capaian)

Jadi, berikut adalah cadangan-cadangan naif saya:

(a) Penjenamaan eksklusif terhadap Islam yang tidak mengaitkannya dengan mana-mana parti politik, badan atau NGO.

(b) Ini disusuli dengan penerangan secara sistematik dan berfakta terhadap apa yang sebenarnya disarankan dalam Islam dari konteks sosiologi, perundangan, ekonomi dan kemanusiaan. Serlahkan keindahannya. Tumpukan kepada praktikalitinya. Lebih dari itu, tunjukkan bahawa itu semua hanyalah 'means' dalam mencapai 'ends' yang hakiki, yakni mendapat keredhaan dari Tuhan Yang Satu.

(c) Pergiatkan forum, ceramah-ceramah dan kuliah antara-agama untuk membincangkan tentang metoda terbaik melaksanakan Hudud dalam masyarakat majmuk Malaysia. Saya percaya bahawa sesuatu yang baik akan diterima baik akhirnya dengan pendekatan yang bijaksana.

(d) Membangunkan jawatankuasa kerja perlaksanaan Hudud negara yang diwakili oleh para mufti, ulama', tokoh agama, peguam, majistret, ahli politik (termasuk PAS dan UMNO sendiri) serta editor kanan media massa. Pakar-pakar teologi dari kalangan bukan Islam juga wajar dijemput untuk memberikan buah fikiran mereka.

Akan ada yang mempersoalkan peratusan kejayaan sistem Hudud terutamanya di negara-negara seperti Iran dan Arab Saudi, terutamanya kerana belum ada statistik yang benar-benar kukuh terhadap keberkesanannya. Kalau adapun, ianya adalah terlalu umum, prejudis dan dibuat mengikut acuan para orientalis barat. Metoda perlaksanaan Hudud di negara-negara berkenaan juga terdedah dengan korupsi dan tidak efisien.

Persoalannya, kenapakah kita hanya harus melihat yang buruk? Kenapa tidak dicari sudut yang baik dan memperelokkannya dari situ?

Memang akan ada penentangan, namun saya berpegang kepada prinsip "kalau tak buat salah, mengapa harus takut?"

No comments: