Seperti mana tersentaknya rakyat Malaysia dengan kematian Kugan Ananthan ketika ditahan polis pada 20 Januari 2009, begitu juga tersentaknya saya terhadap tindakan sesetengah pihak yang berkepentingan menjadikannya suatu isu perkauman.
Secara peribadi, saya mengucapkan takziah kepada mangsa mendiang dan berharap agar mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal. Penyeksaan yang dialami mendiang adalah sesuatu yang memalukan dan tidak seharusnya berlaku. Malah ianya bertentangan dengan hak-hak individu dan kemanusiaan. Mendiang tidak sepatutnya mati sebegitu.
Walau bagaimanapun, dalam kekalutan ini, fakta bahawa mendiang merupakan saspek sindiket mencuri kereta seakan dilupakan, malah ada yang menjulang beliau sebagai Hero! Tindakan badan-badan seperti HINDRAF dan MIC (ke satu tahap yang tertentu) seakan-akan cuba membakar api perkauman. Daripada menjerit bahawa "seorang saspek jenayah mati dalam tahanan polis" mereka melaungkan bahawa "seorang lelaki India telah dibunuh kejam hasil penindasan polis terhadap kaum India selama ini".
Andai cara saspek diberkas tidak terang-terangan menunjukkan bahawa dia bersalah, mungkin segala emosi keterlaluan ini dapat diperjelaskan rasionalnya. Tapi dalam kes mendiang Kugan, ini tidak berlaku.
Mendiang merupakan saspek dari sindiket yang beroperasi dengan melanggar kereta mangsa dari belakang dan menyamun mangsa dengan menggunakan parang. Kugan diberkas setelah polis mengejarnya ketika mendiang memandu kereta yang dilaporkan dicuri. Beliau dilaporkan bergelut dengan polis sebelum ditangkap. Seterusnya Kugan adalah saspek yang membawa polis menemukan semula 13 buah kereta mewah curi yang telah siap sedia untuk dieksport.
Selain Kugan, tiga lagi saspek juga telah diberkas manakala seorang lagi masih bebas. Lagi nak dijadikan cerita, seorang saspek kes pembunuhan di Johor tahun lepas juga telah diberkas ketika menghadiri pengkebumian Kugan!
Pada tahun 2003, bilangan jenayah yang direkodkan ialah 156,315, manakala tahun 2007, bilangan jenayah meningkat kepada 224,298 kes – satu peningkatan kadar jenayah sebanyak 45% dalam tempoh 4 tahun.
Menurut laporan BERNAMA pada 8 Januari 2008, kes rogol telah meningkat daripada 4 kes sehari pada 2003 kepada 8.5 kes sehari pada 2007 (3,177 kes). Ragut sebanyak 11,074 (2006), 11,127 (2007), 0.48 peratus. Samun, 2723 (2006), 7067 (2007), peningkatan 159.53%. Peras ugut, 6,699 (2006), 8,119 (2007), peningkatan 21.20%. Dan pecah rumah dari 20,080 (2006), 24,440 (2007), peningkatan 21.71%. (capaian)
Dengan tugas anggota polis yang semakin berat, wajarkah bila pihak tertentu memperlekehkan peranan polis dalam memastikan kita, masyarakat Malaysia, dapat kekal hidup tenteram dan aman? Wajarkah bila ada beberapa pengunjung pengkebumian mendiang melaungkan slogan "Polis Pembunuh Kugan" manakala rata-rata laman blog dipenuhi kenyataan-kenyataan rasis dan meloyakan? Adakah kerana seorang dua polis yang mungkin bertanggungjawab, keseluruhan pasukan polis dilabel sebagai pembunuh?
Lebih dari itu, wajarkah insiden ini diberi publisiti meluas untuk membangkitkan api perkauman?
Ataupun mengangkat mendiang sebegitu rupa hingga menjadikannya seperti 'Hero'?
Pada saya ini sebenarnya kes beberapa orang yang bukan Hero (tapi perasan Hero) cuba mengangkat diri sendiri sebagai Hero dengan kematian Kugan. Dan seperti mana puak Zionis menggunakan isu agama untuk menghalalkan pencerobohan terhadap Palestin, golongan 'perasan Hero' ini menggunakan isu perkauman pula.
Selagi Malaysia terus-terusan dibelenggu politik perkauman, selagi itulah eksploitasi sebegini akan berterusan.
Kepada anggota Polis Di Raja Malaysia, kami masih mengharapkan pengorbanan dan komitmen Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang kekal aman dan tenteram. Diharap agar Tuan-Tuan dan Puan-Puan jangan gusar atau merasa kecil di sebabkan peristiwa ini.
Lebih banyak jauhari di luar sana yang mengenali intan daripada kaca.
Daripada pembuat barang kemas palsu yang mengatakan besi karat itu emas!
No comments:
Post a Comment