Tuesday, November 8, 2011

Malaysia Bukan Amerika: Nota Ikhlas Untuk Seksualiti Merdeka

Seringkali apabila kita terlalu berkobar-kobar memperjuangkan sesuatu kepercayaan, fahaman atau gerakan, kita menjadi emosional.

Ini tidak menghairankan kerana apa yang kita perjuangkan itu bertitik-tolak dari naluri, prinsip dan pandangan peribadi kita sendiri terhadap kehidupan.

Oleh yang demikian, bila saja ada tentangan terhadap perjuangan tersebut, kita mengambilnya secara peribadi. Kita menganggap mereka yang menentang itu sedang menghempuk kita secara peribadi atas dasar kebencian. Padahal hakikatnya perjuangan tadi adalah lebih besar dari diri sendiri atau mana-mana individu yang bersama memperjuangkannya.

Kadangkala kita merasa hilang sabar bilamana masyarakat sekeliling masih tidak menerima (atau tidak memahami) mesej perjuangan kita. Serentak itu pula, tertoleh akan sukses gerakan seumpamanya yang semakin mendapat perhatian positif di negara lain. Kita mengetap bibir dalam frustrasi. Kita mahukan perubahan segera untuk Malaysia seperti mana negara tersebut. Kita mahukannya cepat. Kita mahukannya sekarang.

Apabila kepercayaan, emosi dan rasa hilang sabar bercampur gaul dalam sebuah periuk yang dijerang atas api panas membara, selalunya hasil masakan itu akan kurang menyenangkan - dari segi bau, rasa atau bentuk akhir. Kita kemudiannya mula menyalahkan orang lain. Kita mencemuh masyarakat yang tidak memahami sebagai kolot. Hingga sebarang kritikan membina untuk memperelok keadaan juga disalah tafsir sebagai suatu penentangan.

Kita bersifat apologetik dan menebak cari segala sumber - dari kitab agama hinggalah literatur liberal - akan poin-poin yang menjustifikasikan perjuangan kita. Walaupun mungkin poin tersebut lari ke laut dari maksud asal. Atau cenderung memetik poin yang mengiyakan sahaja (walhal yang jelas menidak tidak dipedulikan).

Itu belum termasuk jentera politikus yang seterusnya mencelah masuk mendabik dada, menculik dan memanipulasikan segalanya demi memenuhi kehendak politik mereka. Menjadikan masyarakat yang sudah sememangnya kabur dengan maksud asal perjuangan kita tadi bertambah kabur.

Lebih malang lagi apabila kekaburan itu kini kian ditambah pula dengan rasa meluat.

Inilah sebenarnya yang sedang berlaku pada gerakan Seksualiti Merdeka (SM) yang telah dihentikan penganjuran program tahunannya oleh Polis Di Raja Malaysia minggu lepas. Program yang telah dianjurkan sejak tahun 2008 dengan sungutan masyarakat yang minima (atau hampir tiada langsung) tiba-tiba menjadi kecoh pada tahun 2011.

Sepintas lalu, saya berpendapat kegagalan SM 2011 mungkin berkisar terhadap faktor-faktor berikut:

(a) Provokasi Membuta-Tuli

Penganjuran SM 2008 membawa tema "If One Of Us Ain't Free, None Of Us Are". Manakala pada tahun 2009 temanya berbunyi "Our Bodies, Our Rights". Dua tema tersebut (atau Mesej Penjenamaan yang disampaikan) adalah agak sopan, generik dan pada saya, ada mengambil kira faktor sensitiviti, norma dan nilai masyarakat setempat.

Tiba-tiba pada tahun 2011, penganjur gah melaungkan "QUEER WITHOUT FEAR" yang tidak dapat tidak mampu mengangkat kening seseorang Muslim tidak kiralah betapa 'sederhana' atau 'terbuka' sekalipun beliau.

Tidak cukup dengan itu, SM 2011 menjemput Dato' Ambiga Sreenevasan untuk menyempurnakan perasmiannya. Ambiga, seorang figura kontroversial yang dikaitkan dengan sokongan gerakan 'memurtadkan umat Islam' di Malaysia dan 'kambing-hitam' mudah terhadap 'kekecohan' yang berlaku sewaktu insiden Bersih 2.0 pertengahan tahun ini.

Mungkin penganjur SM 2011 (atau mereka yang bersimpati) akan berkata; "Ambiga melakukannya atas dasar peribadi dan bukan di sebabkan keahlian beliau dengan mana-mana organisasi". Namun tak perlulah membohongi diri sendiri. Apa yang dipersepsikan masyarakat dengan persepsi yang kita cuba canangkan adalah dua perkara yang berbeza.

Selagi Ambiga masih dikaitkan dengan gerakan murtad dan Bersih 2.0 (tanpa sebarang susulan langkah untuk menangani jurang persepsi berkenaan) sampai bila-bila pun masyarakat tetap akan menjenamakan beliau sebegitu. Persepsi umum akan penyempurnaan SM 2011 oleh Ambiga adalah seakan mengiyakan bahawa beliau memang berhasrat untuk 'menghancurkan umat Islam'. Inilah persepsi yang dilakar pada Ambiga dan calitan cat jenama tersebut masih melekat.

Kadangkala provokasi perlu untuk menarik perhatian. Namun ianya haruslah bertumpu terhadap matlamat kenapa provokasi tersebut dilakukan. Perlu ada penelitian (dan cara menangani) akibat yang mungkin timbul. Bila provokasi dilakukan membuta-tuli, jadilah ia seperti SM 2011.

Dengan laungan tema yang lantang, terlalu terus, ditokok pula dengan pembabitan figura kontroversi seperti Ambiga, kegagalan SM 2011 merupakan kegagalan penganjur untuk berstrategi dengan bijak.

(b) Kegagalan Memahami Sensitiviti Dan Norma-Nilai Tempatan

Saya tidak pernah bersetuju akan sebarang langkah untuk menerapkan sosio-budaya dan pembawaan masyarakat Semenanjung Arab yang hidup 1,500 tahun dahulu di sebuah lokasi yang asing dari segi jarak, masa dan latarbelakang seperti Malaysia.

Seperti mana saya tidak akan bersetuju terhadap sebarang usaha membangunkan sosio-politik dan sosio-budaya Malaysia berdasarkan acuan liberal yang dipraktikkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Dengan erti kata lain, 'MALAYSIA BUKAN AMERIKA' seperti mana 'MALAYSIA BUKAN MADINAH'.

Kejayaan gerakan menuntut Hak Asasi Gay/Lesbian yang diperjuangkan oleh Harvey Milk di San Francisco pada tahun 70an adalah kerana ia disesuaikan dengan persekitaran dan pemikiran masyarakat Amerika ketika itu. Namun jika model perjuangan serupa mahu diterapkan di Malaysia, ia tak boleh dilakukan secara 'salinan karbon' berdasarkan acuan Amerika. Ia harus disesuaikan dengan acuan Malaysia - berdasarkan budaya, sensitiviti, norma dan nilai-nilai tempatan.

Malaysia harus berevolusi secara natural mengikut acuan sendiri. Bukannya dipaksa menjalani evolusi dengan kriteria-kriteria asing. Sejarah telah membuktikan bahawa paksaan sedemikian akan lebih banyak membawa mudarat terhadap masyarakat secara keseluruhannya, baik dalam jangka pendek atau jangka panjang. Ia akan menerbitkan rantaian musabab warisan yang dipenuhi rasa marah, benci dan prejudis terhadap pihak yang cuba memaksa evolusi tersebut disumbat ke anak tekak yang menerima.

(c) Kontradiksi Rujukan Kitab-Kitab Agama

Pihak autoriti agama dan aktivis sesuatu gerakan gemar merujuk dan memetik kitab-kitab agama untuk memberikan justifikasi terhadap kebenaran dan kewajaran perjuangan masing-masing. Namun selalunya kedua pihak cenderung bersikap pilih bulu dalam melakukan sedemikian - memetik yang mengiyakan dan mengenepikan sebarang ayat yang menidakkan.

Sebagai contoh, Islam ada menyebut perihal 'Jantina Ketiga' atau 'Khunsa'. Ianya diwartakan sebagai suatu kejadian natural yang terbit sejak lahir lagi. Malah diskriminasi, penghinaan dan ugutan terhadap golongan ini adalah dilarang sama sekali.

Walau bagaimanapun kegiatan gay, lesbian dan dwi-seksual telah jelas dikutuk dalam Al-Quran dan Hadith. Para ulama dari dulu sehingga kini, adalah bersepakat mengatakan bahawa ianya HARAM - seperti mana pengharaman khinzir, arak dan yang seumpamanya.

Kesalahan pihak penganjur SM 2011 dan yang bersimpati dengan gerakan ini adalah mengaplikasikan secara membuta tuli ayat-ayat mutasyabihat (berbilang tafsiran) dalam Quran yang menyentuh hal-hal toleransi, kesefahaman dan sebagainya terhadap golongan ini padahal dalam nafas yang serupa tidak mengendahkan langsung ayat-ayat muhkamaat (jelas maksud) yang terang benderang mengutuk mereka.

Ini merupakan pendekatan yang salah, mengelirukan dan tak seharusnya berlaku.

Islam menegah diskriminasi terhadap kaum Khunsa. Ini adalah FAKTA. Namun Islam juga jelas mengharamkan kegiatan gay, lesbian dan dwi-seksual. Ini juga adalah FAKTA. Jadi tak perlulah mengiyakan yang memang mungkar atau menyalah-petik ayat Quran untuk memberikan justifikasi terhadap kegiatan yang memang terbukti salah dari sudut agama.

(d) Terlalu Cenderung Menggunakan Definisi dan Pendekatan Barat

Definisi LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah merupakan definisi 'moden' yang lahir di Amerika sekitar 1990an, yang melonggokkan golongan-golongan tersebut sebagai satu. Secara teknikal, ianya adalah untuk memudahkan gerakan tersebut menentukan golongan sasar yang harus tergolong dalam perjuangan mereka.

Walaupun definisi ini sesuai dengan sosiologi masyarakat pluralis Amerika, ia tidak begitu tepat untuk diaplikasikan secara terus di Malaysia atau mana-mana negara Islam yang lain.

Ini kerana, seperti yang dijelaskan dalam (c), bilamana Khunsa (golongan T) di-'acknowledge' dalam Al-Quran sebagai kejadian natural, golongan-golongan Lesbian, Gay dan Dwi-seksual (LGB) pula adalah terang-terangan dikutuk.

Saya akui bahawa golongan Khunsa atau Transgender di Malaysia (atau di mana saja) merupakan golongan yang paling cenderung dizalimi, diugut dan disakiti masyarakat. Sebabnya jelas - kerana perawakan dan pembawaan zahiriah Khunsa itu sendiri yang menjadikan mereka sasaran mudah.

Dengan melonggokkan L, B, G dan T bersama, penganjur SM 2011 sebenarnya telah (dengan tidak sengaja, saya pasti) meletakkan golongan Khunsa (T) yang terainiaya dan seharusnya dilindungi itu 'sebaris' dengan L, B dan G.

Dari perspektif Hak Asasi Manusia, ianya tiada masalah. Namun dari perspektif Islam, ia tidak seharusnya berlaku. Ianya seperti cuba mencampurkan wiski, wain dan brandy semangkuk dengan kopi cap Kapal Api dan meminta masyarakat meneguknya secara paksa.

Strategi yang kurang tepat ini telah memburukkan lagi tanggapan masyarakat terhadap golongan T, yakni golongan yang SEBENARNYA PALING RAMAI menerima siksa-prejudis masyarakat berbanding L, B dan G.

Berikut adalah cadangan-cadangan ikhlas dari saya untuk penganjur Seksualiti Merdeka.

(a) Asingkan T dari L, G dan B

Untuk implementasi di sebuah negara yang mana majoriti penduduknya beragama Islam seperti Malaysia, penganjur harus bijak membezakan yang mana dibenarkan dan yang mana jelas ditegah menurut syarak. Dalam hal ini, fokus yang terutama seharusnya diberi terhadap golongan T atau Khunsa dan bukannya melonggokkan sekali Lesbian, Gay dan Dwi-Seksual. Keluarkan T dari L, G dan B.

(b) Dapatkan Pendapat Sebelum Merapat

Sebelum gelojoh mengadakan festival, seminar dan perhimpunan umum golongan LGBT di masa hadapan, janganlah terlalu angkuh untuk mendapatkan pendapat autoriti-autoriti agama. Ketahui had-had yang tidak harus dilangkaui dan seterusnya merangka strategi yang munasabah dan berpijak di bumi nyata daripada berkiblatkan kepada model gerakan seumpamanya di negara lain. Lakukannya menurut prosedur yang ditetapkan. Malaysia ada undang-undang. Ini tidak, rupa-rupanya permit pun tak ada!

Berpijaklah di bumi nyata. Walau apapun alasan yang diberi, Malaysia masih tetap merupakan negara yang mana majoriti penduduknya masih kuat berpegang kepada nilai-nilai keagamaan dan budaya timur. Menjolok sesuatu secara paksa ke dalam anak tekak majoriti yang tidak menyenangi budaya LGB seperti yang dipraktikkan di Barat hanya akan mengundang muntah jelek. Walau betapa mulia sekalipun objektif asal perjuangan.

(c) Dapatkan Sokongan Baris-Hadapan (Frontline) Dari Figura Muslim

Majoriti penduduk adalah Melayu Islam. Mengundang figura bukan Islam yang selama ini dikaitkan dengan fenomena Murtad dan Pluralisme untuk merasmikan SM 2011 tidak mungkin akan membantu. Tiga tokoh beragama Islam yang saya boleh bayangkan ketika ini ialah Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Datin Paduka Marina Mahathir atau Zainah Anwar.

(d) Bina Jambatan, Bukan Memperluaskan Jurang

Di satu pihak, penganjur SM 2011 ghairah dengan perjuangan tanpa berpijak di bumi nyata serta mengambil kira sensitiviti, nilai dan norma masyarakat. Di satu pihak, masyarakat Muslim tersentak dengan apa yang disifatkan cuba mencabar kedaulatan Islam tanpa langsung cuba memahami latar belakang dan perjuangan SM terhadap diskriminasi yang diterima oleh golongan Khunsa. Kemudian anasir politikus dengan jentera propaganda mereka menyelinap masuk memanipulasikan keadaan demi kepentingan peribadi. Segalanya habis caca merba.

Masing-masing tak mahu berganjak. Masing-masing terlalu angkuh. Dan masing-masing bodoh sombong.

Semua pihak harus bertenang, bertemu dan berbincang secara tertutup. Jangan terlalu cepat menghebahkan di blog atau laman FB akan poin-poin yang sedang dibincang ketika pendekatan empat-mata ini berlangsung. Tunggulah hingga mendapat kata putus yang memuaskan hati semua pihak, barulah dihebahkan.

Lagipun ini Malaysia. Orang-orang kita sebenarnya mudah dibawa berbincang. Namun harus tahu caranya, sopannya dan santunnya.

Kerana MALAYSIA BUKAN AMERIKA!

3 comments:

matilda said...

tenang je baca, harap mereka di luar sana baca dan faham

Anonymous said...

FOREX
TRADING FOREX
TRADING GOLD
BEST BROKER FOREX
IKOFX
BELAJAR FOREX

Anonymous said...

salam cik asrul. saya tidak paham akan konsep saudara. mana ada gerakan memurtadkan umat islam?

i thought faith should be of his or her concern, not anyone elses. saya islam. kalau saya nk kelua agama islam pn itu hak saya. betul?