Nota: Artikel ini saya tulis pada 11 Ogos 2006, ketika baru mula berakrab dengan lagu-lagu Dewa 19. Artikel asal (penuh) boleh didapati di sini.
------------------------------------
"Aku berdansa di ujung gelisah
Diiringi syahdu lembut lakuMu
Kau sebar benih anggun jiwaMu
Namun Kau tiada
Menuai buah cintaku
Yang ada hanya sekuntum rindu"
(Roman Picisan, album "Bintang Lima", Dewa19)
Sebenarnya kita yang hidup di zaman teknologi serba canggih ini sering 'take for granted' dengan segala kemudahan yang ada di hadapan mata. Namun satu ketika dahulu --- sebelum teknologi penerbitan pukal diperkenalkan --- amatlah jarang atau sukar sekali bagi masyarakat jelata mendapat inspirasi dari karya-karya agung pemikir terdahulu.
Sekarang mudah --- nak membaca puisi Jalaluddin Rumi, cari saja kitab Mathnawi atau Divan-e-Syams nya. Di gedung MPH pun ada dijual, 'hardbound cover' lagi. Kalau payah sangat, cari saja di Web. Kalau nak bertekak mengenai ayat Al-Quran dan hadith, capai saja indeks kandungannya dan cari ayat-ayat atau riwayat yang berkenaan.
Namun satu ketika dahulu, terutama ketika di zaman era kerasulan, manusia hanya menerima inspirasi melalui pidato-pidato atau ungkapan-ungkapan yang diwartakan orang-orang tertentu.
Seterusnya orang-orang ini --- jika kena aura dan 'ceramahnya' --- akan mendapat segolongan pengikut-pengikut setia yang akan menurut apa sahaja inspirasi atau dogma terbaru orang-orang ini. Segala ungkapan, kiasan, perlakuan dan segala tentang orang-orang ini akan disebarkan melalui kaedah lisan.
Mungkin beberapa puluh (atau ratus tahun) selepas tu barulah ada salah seorang pengikut yang berpengetahuan dan rajin mengambil inisiatif mencatat segalanya di atas kertas (atau pelepah kayu, dsb). Walau pun begitu, akses kepada bahan bacaan tersebut masih terhad.
Masa berlalu, di sebabkan ketiadaan penyebaran kasis literatur secara meluas, masyarakat mengharapkan kemunculan pendita-pendita dan pemikir-pemikir yang seterusnya akan mengintepretasikan apa jua ajaran yang terdahulu mengikut norma, keadaan politik dan sosial zaman masing-masing.
Haruslah diingat bahawa dengan ketiadaan telekomunikasi dan pengangkutan yang amat terhad (menunggang unta dari tanah Arab ke Iraq contohnya mengambil masa 6 bulan pergi balik), semua sektarian dan fahaman-fahaman intepretasi ini berkembang secara berkelumpuk.
Ada antara intepretasi ini kemudiannya berkembang menjadi sesuatu yang baru yang amat berlainan dari sumber asal. Gamaknya jika pencetus sebenarnya melihat mungkin akan terkhezut beruk kerana apa yang ada mungkin lain dari apa yang asalnya ingin disampaikan.
Apapun, jika kita menyelusuri ke belakang, kita akan tiba semula ke INSPIRASI ASAL yang mencetus segalanya. Sedikit lagi ke belakang dan kita akan bertemu pula dengan SUMBER UTAMA yang mewahyukan inspirasi tersebut.
"Dengan tanganMu…aku menyentuh
Dengan kakiMu...aku berjalan
Dengan mataMu...ku memandang
Dengan telingaMu...ku mendengar
Dengan lidahMu...aku bicara
Dengan hatiMu...aku merasa"
(Satu, album 'Laskar Cinta', Dewa19)
Seorang ahli sufi ketika sedang berjalan-jalan di keliling Kaabah, beliau telah melihat seorang wanita. Terpana dengan kejelitaan wajah wanita tersebut, beliau terus memuja-mujanya.
Bukan memuja wanita tersebut secara zahir, tetapi memuja akan anugerah dan keagungan ciptaan Tuhan Yang Satu.
Maknanya bila terpandang saja wanita ini, beliau bukanlah melihat susuk rupa bentuk tetapi suatu nur indah yang membuatkan ahli sufi ini makin mengagumi Yang Mencipta.
Seterusnya berbilang puisi, lagu dan bait-bait sajak beliau nukilkan yang kesemuanya memuji-muji wanita ini. Wanita ini secara amnya telah memberikan ahli sufi ini suatu inspirasi.
Benar, inspirasi yang beliau terima ini hanya terbit ketika matanya ditemukan dengan wanita tersebut. Namun yang lebih penting, jika tiadanya keindahan dan keagungan ciptaan tersebut mungkin saja inspirasi itu tidak akan pernah wujud dari mulanya.
"Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padaMu
Kau seperti udara yang kuhela
Kau selalu ada
Hanya diriMu yang bisa membuatku tenang
Tanpa diriMu aku merasa hilang dan sepi..."
(Dealova, 'Dealova OST', Once - lead vokalis Dewa19)
Sesungguhnya dalam naluri setiap manusia ada suatu kekosongan yang perlu diisi. Kita tidak mahu bersendirian dan kita inginkan kepastian bahawa kita tidak bersendirian. Jadi kita sentiasa mencuba untuk mengisinya --- dengan kepercayaan dan dengan perlakuan tertentu yang kita percaya akan mampu memenuhi kekosongan tersebut.
Namun dengan terhadnya akal kita, kita tidak dapat 'fully comprehend' apakah sebenarnya Realiti yang kita masukkan dalam diri kita itu. Oleh itu kita mencipta lagi metoda-metoda, simbol-simbol atau idola-idola baru seperti perasaan berinspirasi yang ditemui ahli sufi tadi.
Tentunya juga inpirasi-inspirasi baru yang terbit itu bersumberkan Punca yang sama.
Ada antara metoda, simbol atau idola tersebut sebenarnya telahpun lama wujud dalam kelumpuk masyarakat yang didiami turun temurun. Dengan inspirasi baru, kita membuat intepretasi dan penjenamaan baru yang seterusnya menjadikan metoda, simbol atau idola tersebut sebagai 'Jenama' baru.
Sekali lagi, keseluruhannya masih bertumpu terhadap Punca yang sama. Cuma intepretasinya saja yang berlainan.
"Tak akan ada cinta yang lain
Pastikan cintaku hanya untukMu
Pernahkah terbersit olehMu
Akupun takut kehilangan
DiriMu..."
(Takkan Ada Cinta Yang Lain, album 'Format Masa Depan', Dewa19)
Sekali lagi masa berlalu dan kelumpuk-kelumpuk yang masing-masing menzahirkan fahaman tadi makin berkembang hingga akhirnya mungkin mencelah masuk ke sempadan satu sama lain.
Masing-masing mula membanding-bandingkan inspirasi dan intepretasi sesama sendiri. Ada yang melakukannya secara berilmiah tapi ada juga yang melakukannya menggunakan kekerasan. Kekerasan kerana mereka inginkan ekslusiviti dan 'endorsement' bahawa intepretasi merekalah satu-satunya yang berlatarkan kebenaran.
Tapi golongan yang inginkan ekslusiviti ini sering terlupa bahawa tujuan sebenarnya ialah mendekatkan diri dengan Punca inspirasi asal tersebut.
Malah intepretasi yang asalnya dilakukan secara berkelumpuk kerana terhadnya literatur dan teknologi komunikasi ketika itu hanyalah bertujuan menemukan Punca tersebut dan bukanlah untuk mendewakan intepretasi berkenaan.
Jadi bila masing-masing berebut mendakwa memiliki Kebenaran tadi, mereka mula mencipta metoda, simbol atau idola yang baru pula dan semakin menjauhkan diri dengan Punca yang asal.
Lebih dari itu mereka mula meletakkan kalimah sendiri yang kononnya berasal dari Punca tadi. Kalimah tersebut kononnya menghalalkan segala tindak-tanduk mereka untuk menghancurkan sesiapa sahaja yang tidak mempunyai intepretasi yang serupa tentang Sumber inspirasi tadi.
Dan semuanya makin berjalan menjauhkan diri antara satu sama lain. Berprasangka. Berprejudis.
Dan makin berunsur jauh.
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang..
jangan sekali-kali kamu..
Mencoba jadi Tuhan
dengan mengadili dan mengahakimi
Bahwasanya kamu memang tak punya daya dan upaya.
Serta kekuatan untuk menentukan kebenaran yg sejati..
Bukankah kita memang tercipta laki laki & wanita
dan menjadi suku suku bangsa.. yang pasti berbeda
Bukankah kita harus saling mengenal dan menghormati
bukan untuk saling bercerai berai dan berperang angkat senjata"
(Laskar Cinta Chapter II, album 'Republik Cinta', Dewa19)
No comments:
Post a Comment