Sunday, July 5, 2009

Neil Armstrong 'Abdullah'?

Nota: Saya telah menulis artikel ini ke BandarUtopia/Relexjap pada 25 September 2002. Saya edit sedikit untuk siaran blog. Artikel penuhnya boleh didapati di sini.

Sekadar 'perencah' untuk entri 'Michael Or Mikaeel Jackson' yang dinukilkan sebelum ini. Jelas bahawa MJ telah pun 'memeluk Islam' sejak tahun 2002 lagi, ahaks!

Saya tetap berpegang kepada kenyataan bahawa umat Islam kelihatan bodoh bila mempercayai khabar angin sebegini, terutamanya bila ia kemudian dibuktikan sebagai palsu.

Jadi sebelum umat Islam diperbodohkan lagi, di masa hadapan, baik dikaji mana-mana khabar yang bersalut 'Islam' dengan lebih terperinci.

--------------------------------

Sekitar tahun 1970 dan 80an, khabar-khabar angin telah heboh di serata dunia Islam mengatakan bahawa Neil Armstrong, manusia pertama menjejak kaki ke bulan, telah memeluk Islam. Menurut khabar ini, Armstrong telah melihat suatu garisan putih di bulan dan terdengar 'bunyi' ketika berada di angkasa.

Setelah pulang ke bumi dan melakukan ceramah di seluruh dunia, beliau telah bertemu seorang Imam ketika tiba di Kaherah dan mempelajari bahawa 'bunyi' tersebut ialah laungan azan manakala 'garisan putih' di bulan ialah bekas 'bulan terbelah dua' dari mukjizat amali Rasulullah s.a.w.

Seterusnya, beliau merasa kagum dan terus memeluk Islam, bersara dari NASA dan kini menetap bersama isterinya di Lebanon.

Kadangkala saya rasa malu alah dengan sikap sesetengah kita, umat Islam yang memerlukan seorang 'hero' atau selebriti. Propaganda Islam dari pihak-pihak tertentu yang berkepentingan peribadi - seperti mana agen memanipulasi/merekacipta Hadis serta Riwayat Sahabat palsu juga tergolong dalam puak ini - telah banyak mempengaruhi umat Islam untuk 'menyedapkan hati' dengan sesuatu yang palsu tetapi diharap sangat akan kebenarannya.

Pertama sekali, Neil Armstrong TIDAK PERNAH memeluk Islam. Begitu juga Jacques Cousteau, Princess Diana, Michael Jackson dan yang terbaru, Will Smith. Andai filem 'The 13th Warrior' tak 'flop', mungkin sekarang ada juga yang ingat Antonio Banderas pun memeluk Islam.

Selebriti yang BENAR-BENAR telah memeluk Islam ialah Cassius Clay (Muhammad Ali), Cat Stevens (Yusuf Islam), Kareem Abdul Jabar dan Malcolm X.

Apa yang mungkin terjadi sebenarnya ialah ketika Armstrong berada di Cairo dan mendengar bunyi azan, beliau membuat kenyataan bahawa "It sounds spacey", maksudnya gema azan tersebut kedengaran luas berkumandang di serata tempat.

Malangnya, ada pihak propaganda Islam yang tidak bertanggung jawab telah memutarbelitkan kenyataan ini.

Atau mungkin juga mereka hanya terdengar perkataan 'space' yang datangnya pula dari mulut orang yang pertama kali menjejak kaki ke bulan.

Atau mungkin juga mereka tak faham ekspresi yang Armstrong cuba kiaskan!

Khabar angin ini mencapai puncaknya pada tahun 1983. Pada tahun yang sama, dalam satu temubual telefon melalui Kedutaan US di Delhi, Armstrong sendiri TELAH MENAFIKAN bahawa beliau memeluk Islam.

Dengan pengakuan Armstrong, khabar angin inipun mula reda, walaupun ada kalangan orang Islam yang merasa kecewa dengan pengakuan ini. Tipah tertipu!!

Tetapi dari masa ke semasa, khabar angin ini muncul semula, dan yang terbaru, di Relexjap sendiri. Dari menjadikan sahabat Islam saya sebagai bahan ketawa musuh Islam, saya rasa perlu untuk memperbetulkan keadaan.

Ahaks.. tetapi MEMANG Armstrong kini menetap di Lebanon bersama keluarganya - bandar Lebanon yang terletak dalam daerah Ohio di USA dan bukannya Lebanon yang sering umat Islam kita ingat-ingati!!!

Segenap pelusuk bulan juga telah difotograf dan dipetakan sejak era Apollo 11 dan sekali lagi, TIADA LANGSUNG rekod mengatakan bahawa terdapat 'garisan putih' di tengah bulan. Mukjizat terunggul Rasulullah ialah Al Quran, dan ianya lebih agung dari sebarang mukjizat tongkat menjadi ular atau laut/bulan yang terbelah.

Umat Islam kita begitu gah bila mendengar mana-mana selebriti memeluk Islam, apatah lagi mereka yang proportion popularitinya seperti Armstrong, Cousteau (yang meneroka lautan dalam) atau Michael Jackson.

Islam kuat bukan dengan adanya selebriti memeluk Islam dan bukan dengan mereka yang dilabel ulama atau imam agung. Status selebriti tersebut tidak relevan dengan pembuktian keluhuran Islam itu sendiri.

Tetapi Islam menjadi kuat bila mana ummahnya bersatu dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam segenap cabang ilmu.

Dan Islam akan lemah bilamana masih ada ummah kita yang cenderung mempercayai khabar sebegini tanpa mengambil sebarang usaha untuk mengkaji akan kebenarannya.

Manakala musuh-musuh Islam pula ketawa dengan kedangkalan pengetahuan kita dan betapa mudahnya umat Islam mempercayai fiksyen rekaan manusia!!!

Sekadar trivia, Armstrong ada melakukan 'cameo appearance' dalam filem 'Apollo 13' lakonan Tom Hanks. Berlakon sebagai 'diri sendiri' yang datang melawat keluarga Jim Lowell ketika Apollo 13 dalam kegawatan di ruang angkasa.

Secara peribadi, Armstrong yang saya harap akan memeluk Islam ialah KAREN Armstrong, penulis buku 'A History of God' dan 'The Battle For God' yang juga antara pengarang favorit saya...!!!

Mengenai 'alien' dan 'UFO', bagi saya ia hanyalah 'extension' pada kisah-kisah bunian dan hantu jembalang setelah manusia hidup dalam era penerokaan angkasa dan 'The X-Files', berbanding zaman dahulu yang mempercayai segala benda alah 'berpenunggu'.

Di Malaysia pun dah ada 'alien' yang 'mendarat'. Kita sering nampak 'alien' ini bekerja di stesen-stesen minyak...

No comments: