Untuk rekod, saya memang 'giler' Nasi Briyani. Apa saja jenis Briyani - gam, bukhara, bilal, arab, briyani ayam, briyani kambing, briyani daging, briyani udang, rusa, arnab, ikan dan segalanya - pernah atau ingin saya cuba. Malah saya tak kisah kalau hanya makan Briyani setiap hari sekalipun.
Mungkin kecenderungan tersebutlah yang mengakibatkan saya mengunjungi satu gerai Briyani di Bazaar Ramadhan Prima Saujana hampir setiap hari sewaktu Ramadhan 1431H ini.
Walaupun tak pernah ditauliah, saya menganggap diri saya 'pelanggan tetap' gerai tersebut pada setiap kali Ramadhan sejak bertahun sudah (walaupun lokasi perniagaan mereka berubah-ubah).
Masakan tidak. Bila nampak saja kelibat saya, dua lelaki pekerja gerai berkenaan akan mula membungkus satu set Briyani daging dan sebaik kaki hinggap kurang 1 meter dari mereka, segalanya telah siap terbungkus dalam beg plastik! Cuma tinggal saya melengkapkan transaksi jualan dengan wang :)
Walaupun mungkin pada hari tersebut saya sebenarnya teringin nak beli makanan lain. Tapi memandangkan segalanya dah siap dibungkus, beli sajalah... hahahahaha.
Namun bermula awal minggu ini, saya dapati dua lelaki pekerja gerai berkenaan sudah tidak kelihatan dan sebaliknya diganti beberapa gadis.
Kali terakhir saya membeli dari mereka, saya dapati 'portion' nasi yang dibungkus agak kurang dari biasa. Jadi sebentar tadi saya menggatalkan mulut untuk komplen.
"Last saya beli sini, nasi sikit sangatlah"; kata saya.
"Dari dulu lagi memang banyak tu lah nasi yang kami bagi"; gadis bertudung yang sedang melayan saya menjawab agak kasar.
"Eh... tak jugak. Saya dok beli kat sini boleh kata tiap-tiap hari masa Ramadhan tahun ni. Hari tu memang awak bagi sikit sangat"; jawab saya pula.
"Taklah. Mana ada" (eh... dia menjawab balik!)
Cuaca terik membantu menaikkan sedikit hawa tubuh setelah mendengar jawapan tadi. "Dah lah... tak mau cakap banyak. Boleh tambah sikit lagi nasi?"; pinta saya.
Gadis tersebut membuka periuk nasi, mencedok alang tak sampai sejemput dan memasukkan kurang sejemput nasi tadi dalam bekas makanan. Dengan tangan. Bukan dengan mangkuk cedok!
"Dulu kami beli beras RM10. Sekarang kami guna beras mahal. RM12 sekilo tau!"; kata gadis tersebut sambil mencebik. Dengan erti kata lain, beliau sudah terlepas cakap dan mengakui bahawa 'portion' nasi yang dibungkus sejak akhir-akhir ini sememangnya kurang dari kebiasaan.
Saya memotong; "Ya ke? Kesiannya awak (dengan sinis, bukannnya kesian pun). Eh... mana pi dua orang lelaki yang selalu jaga gerai ni dari tahun lepas? Dia orang kenal saya. Memang selalu akan bungkus nasi lebih".
"Dari dulu kami guna mangkuk cedok nasi yang ni lah"; gadis tersebut mencelah pula sambil menyuakan mangkuk cedok nasinya hampir ke muka saya. "Budak dua orang tu pekerja saya jer. Saya bos kat sini".
Oh... minah ini bos gerai rupanya!
Wang RM8 dikeluarkan. Gadis tersebut mengambilnya. Tanpa sebarang ucapan terima kasih langsung.
Mereka yang mengenali saya tentu sudah maklum bahawa saya tidak suka merendah atau membunuh minat orang lain. Walau sehaprak dan semalas manapun dia. Atau sebodoh mana sekalipun saya dapati minat berkenaan.
"Dik. Saya nak bagi nasihat sikit. Kalau nak meniaga, jangan bagi alasan kat customer. Bagi solution. Minta maaf cara baik kalau takleh nak ikut apa customer minta"; kata saya.
Gadis tersebut menjuihkan bibir bila mendengar 'rundingcara perniagaan' saya. Kalau bibir macam Angelina Jolie tak apalah juga! Paling koman macam bibir Fasha Sandha pun dah okey.
Seperti yang dijelaskan tadi, saya tak suka menjatuhkan semangat orang lain. Selalunya saya akan terus memberi peluang dan kata motivasi berulang kali sehingga ke satu tahap yang mana saya merasakan beliau 'gagal diselamatkan'. Ketika itu baru saya berhenti.
Tapi sebentar tadi, saya tidak dapat mengelak.
"Kalau tak reti nak meniaga, toksah meniaga lah. Dok rumah, kawin, buat anak. Buang duit modal saja!"; kata saya agak meninggikan suara. Beberapa orang yang berdekatan menoleh terpinga-pinga.
Sedetik terjeling, saya lihat bibit-bibit air jernih tergenang di mata gadis tadi. Mungkin terguris dengan statemen terakhir saya.
Lantaklah. Dia baru saja kehilangan seorang pelanggan tetap!
2 comments:
Asrul: I would understand the situation that you went through. Been through that a few times tapi macam rasa malaih nak tegoq. Makes no sense. But you see, that is the mission that SME Corp is trying to attend to starting this year...to educate the SMEs towards better services and staffing. Though I guess that effort would be towards those with 'industrial' business je kot. Sedih kan...
She's sure a snob but if you could maintain your cool, I think I'd give you more brownie points
Post a Comment