Entri terakhir yang saya tulis sebelum ini ialah pada 21 Disember 2010, mengenai 'Daud dan Bathsheba' - lakaran hakikat bahawa semua yang terjadi ada hikmah yang mungkin belum mampu digarap ketika ini dan hanya terdaya dicalik lama kemudiannya.
Dah lebih 2 bulan rasanya tiada sebarang bagan benak ini dapat tertinta secara lahiriah.
Akhir minggu lepas, saya menukar foto profil Facebook kepada sebuah citra berbentuk konseptual. Walaupun ide asalnya dicuri dari poster filem 'Desperado' (hehehe) namun masih daya memiliki mesej sendiri.
Saya menamakan citra ini sebagai 'Remorse' (Keinsafan).
Pistol merupakan simbolisme sebuah alat keperkasaan yang boleh membunuh, mempengaruhi oknum untuk menuruti perintah dan setidaknya bak kata Generasi-Y, nampak 'cool' ketika menggenggamnya.
Umpamanya dengan sebuah alat keperkasaan seperti pistol dalam tangan untuk dimanfaatkan, citra ini merupakan refleksi diri yang akur dan insaf terhadap diryah dan kekhilafan lalu.
Walau mungkin 'kuasa' itu masih ditangan, namun keinsafan tadi telah 'menahan' diri untuk tidak kembali menggunakannya.
Bukanlah untuk mengatakan jangan langsung menggunakan pistol ini kelak. Apa yang telah berlaku merupakan pengajaran agar lebih berhati-hati di masa hadapan. Agar pistol itu hanya digunakan bila benar-benar perlu sahaja.
Seorang bekas rakan serumah ketika di U.K. sekitar 1990-1992 dahulu mengeluarkan komen terhadap citra ini. Katanya; "Asrul, as usual, you always have to be different". Saya tersengih membacanya.
Merenung semula akan evolusi diri, saya kira ketika remaja kita selalunya cuba untuk berkelumpuk dengan mereka yang popular. Untuk merasakan bahawa diri 'tergolong' dalam suara ramai dan tidak mahu dichop sebagai 'deviant'.
Namun saya tidak begitu. Sebolehnya saya cuba menjadi 'lain'. Bila orang diam, saya bangun bertepuk. Bila orang bangun bertepuk, saya diam.
Mungkin ketika itu saya masih tercari-cari diri, mengebek personaliti dan halatuju hidup yang masih agak kabur.
Segala perlakuan untuk menjadi 'lain' itu seakan kandas dengan berakhirnya zaman sebagai studen.
Bukanlah saya mengatakan bahawa perkahwinan, karier atau anugerah arek yang diterima sejak itu sebagai sawar.
Malah semua itu merupakan penetapan titik fokus hidup yang lebih utuh - menjadikan urip ini lebih bermakna.
Cuma anggaplah saya seperti seekor ular yang masih bersalin kulit dari masa ke semasa. Mungkin hidup, karier, pemikiran dan impian diri ini memerlukan metamorphosis sekali lagi.
Mungkin telah tiba masanya untuk menjadi 'lain' semula.
Mungkin menjadi 'lain' dengan suatu Keinsafan baru. Lebih gagah namun semakin merunduk.
Dengan pistol masih ditangan, tentunya! :)
1 comment:
welcome back ...he he he dok nanti2 update dr bandar utopia
Post a Comment