Nota: Entri ini adalah berbentuk observasi umum dan tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu atau pasangan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum.
__________________________
Arakian suatu ketika dahulu di zaman Greek purba, di sebuah bandar tepian pantai bernama Thessaly, seorang gadis jelita bernama Caenis berlari menyusuri pasir sambil kakinya mencecah ombak yang datang dan pergi.
Kegirangan dan kejelitaan Caenis diperhatikan dari jauh oleh Poseidon, Dewa Lautan.
Apabila keghairahannya memuncak, Poseidon terus menyerang Caenis, membaringkannya di atas pasir dan mengoyak baju yang dipakai gadis jelita itu
"DIAM!"; kata Poseidon dan seterusnya merogol Caenis sehingga gadis itu lemas terkulai tidak berdaya.
Selepas itu, Poseidon merasa kesal dengan tindakannya dan membenarkan Caenis meminta apa saja sebagai tebus perkosaan tersebut.
Caenis berkata; "Jadikan aku seorang lelaki yang kebal dan gagah agar aku tidak akan diperkosa atau dimalukan sebegini lagi".
Caenis kemudiannya dimetamorphosis sebagai Caenus, seorang Lelaki.
*************************
Dalam sesuatu perhubungan Lanang-Inang (dibaca: lelaki-wanita) selalunya Si Lanang akan kekal Lanang dan Si Inang akan berserah pada nasibnya sebagai seorang Inang bila saja sesuatu ketidakadilan berlaku - seperti kisah pemerkosaan Caenis tadi.
Si Lanang selalunya akan disebelahi oleh rukun hukum hakam yang menuntutnya sebagai ketua. Selalunya hukum ini akan dimanipulasi Lanang untuk terus-terusan menyetrap Inang.
Bila saja Inang cuba mempertahankan haknya, Lanang akan menakut-nakutkan Inang dengan dosa api neraka andai Inang tidak menurut perintahnya.
"JANGAN JADI INANG NUSYUZZZ!!!!"; jerit Lanang sambil melayangkan sela pada Inang yang sedang berlinangan airmata.
Sehari kemudian, Lanang cuba memujuk Inang yang disakiti.
"Inang mahu apa, nanti Lanang belikan"; pujuk Lanang lembut.
Masa berlalu. Kelahi dan baik semula. Kado dipersembahkan. Kelahi dan baik semula. Kado dipersembahkan. Kelahi dan baik semula. Kado dipersembahkan. Berulang-ulang.
Lanang masih lagi dengan honarnya memperlakukan Inang sesuka hati. Malah adakalanya bila Inang merasa tidak berupaya, Lanang akan memaksa Inang menerima penetrasinya. Inang merasa seperti diperkosa.
Namun apa boleh buat, Inang hanyalah Inang. Kalau terkhilaf ujar, nanti dipelempang pula. Itupun kalau tak pula ditakutkan dengan balasan api neraka.
Inang mengalami transformasi psikologi dari seorang wanita periang kepada seseorang yang gusar, takut-takut dan hanya memendam rasa. Inang berevolusi menjadi seseorang yang amat berlainan dari asalnya.
Inang sebenarnya bukan lagi Inang.
*************************
Caenis yang telah menjadi Caenus pada satu hari telah diserang oleh segerombolan centaur (haiwan separuh kuda separuh manusia). Walaupun beliau cuba melawan, namun Caenus akhirnya tewas juga. Satu melawan sepuluh.
Ketika mayat Caenus diturunkan ke lahad untuk dikebumikan, semua yang ada di pusara tersebut tergeramang.
Ini kerana jasad Caenus telah berubah semula kepada asal.
Semula menjadi seorang Wanita.
1 comment:
wanita akan selamanya wanita...ianya satu anugerah walupun dlm rasis yg berbeza
Post a Comment