Monday, July 14, 2008

Jadikan Rumah Buruk Itu Istana!

Minggu lepas, saya berpeluang bertemu dengan seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat penerbitan tersohor di Malaysia. Perlu dinyatakan bahawa ia adalah antara pertemuan paling 'awkward' pernah saya lalui. Beliau yang selalunya ceria berkongsi cerita seakan tiada semangat ketika mula-mula melabuhkan diri di kerusi restoran lokasi pertemuan. Serba salah dibuatnya.

"Industri penerbitan Malaysia dah makin hancur!!!"; katanya mendengus.

"Minyak naik. Kos pengangkutan naik. Harga kertas naik. Bulan ni tarif elektrik pula naik. Sudahlah rakyat Malaysia jarang beli buku. Ni lepas semua harga naik, makin jaranglah mereka beli. Tengoklah nanti... banyak syarikat penerbitan terutama yang baru ditubuhkan akan bungkus!"; sambungnya sambil mengeluh tanpa henti.

"Lebih 20 tahun aku dalam bidang penerbitan ni, cuma dua kali aku rasa macam jatuh tersungkur. Masa krisis matawang 1998 dahulu dan sekarang. Tapi sekarang ni nampaknya lebih teruk dari 1998!"; suaranya jelas berbaur frustrasi.

Ketika Menunggu.jpg

Sekadar cuba 'menjernihkan' suasana, saya mula melemparkan bertubi-tubi cadangan. Dari menerbitkan majalah baru yang lebih konvensional (seperti majalah hiburan bangsat atau komik manga), menerbitkan atau menjual lesen hakcipta untuk filem animasi sehinggalah bisnes e-book. Sekadar mempelbagaikan produk untuk tujuan 'survival'. Semuanya ditolak dengan sinis oleh beliau.

"Kalau rumah kita buruk, walaupun tak ada duit, janganlah pula kita pindah ke istana. Jadikan rumah buruk kita itu istana"; katanya tegas (dan dalam maknanya).

"Kalau kawan kita sedang terkapai-kapai, janganlah biar dia mati lemas dan kita pergi cari kawan lain pula!"

"Kalau rasa bini kita dah tak lawa, belilah make-up atau suruh dia pergi rawatan badan, jangan nak kawin lagi satu pulak!". Satu demi satu perumpamaan diberikan.

Setelah hampir sejam cadangan kosong dan jawapan sinis berbalas, akhirnya saya mula menyedari tujuan sebenar beliau mengajak saya bertemu pada petang itu. Beliau cuba mengajar saya supaya fokus kepada menyelesaikan masalah prioriti kerana selalunya dengan sendiri masalah-masalah kecil lain akan turut diselesaikan.

Di akhir pertemuan, kami berjaya mempersetujui beberapa strategi realistik untuk mengukuhkan lagi produk-produk yang sedia ada.

"Kukuhkan produk sedia ada. Biar syarikat lain yang alami kegawatan ekonomi lingkup. Bila syarikat lain dah makin kurang, haaaa... masa tu lah kita mantapkan kedudukan"; jelasnya sambil tersenyum. Jauh beza dari awal pertemuan kami tadi.

Saya tidak akan bertekak dengan orang yang telah berada dalam bidang penerbitan (dan masih kekal berdiri) setelah lebih 20 tahun!

2 comments:

wallpapersdeco said...

hi have a nice day.. looking for wallpapers for your house? or your friends/relatives interested, visit my blog! thanks

Anonymous said...

nice! thumbs up