Untuk rekod, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai 'bos yang baik'. Sebetulnya juga, saya tidak tahu bagaimana untuk menjadi 'seorang bos yang baik'.
Kadangkala saya merasa hairan akan ego sesetengah orang yang bergelar bos bila saja mereka mahu memperkenalkan orang bawahan mereka kepada orang lain; "Oh... kenalkan. Ni Minah binti Polan dan Abu bin Asap, MY STAFF". My Staff. Staff. Mungkin sekadar satu panggilan untuk memuaskan ego sendiri setelah agak lama beliau digelar 'staff' orang lain.
Ada yang berpendapat, seorang bos harus menjaga disiplin kakitangannya. Disiplin ketat. Tiada tolak ansur. Seperti mengetatkan waktu masuk bekerja walhal dalam masa yang sama membebel bila saja kakitangan mahu pulang tepat pada penghujung waktu bekerja. "Awak takdak komitmen. Tak reti ke nak stay back?"; dengusnya. "Tengok macam saya, selagi kerja tak habis, saya takkan balik"; sambil menunjukkan jam Rolex Jalan Petalingnya yang memaparkan waktu 11 malam.
Ada pula bos yang hanya mahu orang mendengar katanya saja. "Aku maksum mengalah nabi!"; ujar beliau. Walaupun terbukti kemudian bahawa pilihan yang dibuatnya itu salah, dia akan tetap mati hidup balik 100x menyalahkan orang lain. Mencari kambing hitam. Andai tak ada kambing hitam, yang biru, kelabu, jingga semua pun boleh. Asalkan persepsi umum akan kemaksumannya terpelihara.
Berdasarkan pengalaman bekerja dengan berbilang klien, pertama sekali ingin saya jelaskan bahawa bangsa dan agama tidak ada kena mengena dalam mendefinasikan antara 'bos baik' dan 'bos bangang'. Saya pernah bertemu dengan bos berbangsa Eropah yang mana 'kemelayuannya' adalah lebih 'Melayu' dari sterotaip yang selalu dilemparkan kepada bangsa Melayu. Atau bos beragama Hindu yang lebih 'Yahudi' dari yang sering ditakrif sebagai Yahudi. Atau bos berbangsa Cina yang mana kemengarutannya adalah lebih mengarut dari yang sering dilemparkan kepada yang berbangsa India.
Tentunya juga saya pernah bertemu bos berbangsa Melayu yang begitu efisien, menginspirasikan, arif berstrategi bisnes dan mengundang rasa hormat berbanding semua bos berbangsa Cina, India atau Eropah yang saya pernah bertemu. Pendeknya, bangsa dan agama bukanlah faktor utama.
Kedua, pada saya, seorang bos haruslah mampu menginspirasikan. Maknanya bos tersebut wajib mengetahui skop kerja yang dilakukan secara menyeluruh. Walaupun perinciannya pada saya bukanlah patut menjadi fokus utama mana-mana bos, beliau harus mampu melihat keseluruhan gambaran (the bigger picture) dengan baik dan merubah strategi andai satu-satu perancangan itu terbantut. Bos yang terlalu obses dengan perincian adalah sama ada tidak faham akan skop kerja berkenaan ataupun memang beliau dah 'tak ada kerja lain' sehingga mempunyai masa untuk mengambil tahu perkara yang sekelipit seciput... ahaksss!!!
Akhir sekali, seorang bos tidak seharusnya memaksa orang untuk hormat padanya. Rasa hormat akan timbul dari penilaian kakitangan bawahan terhadap skop pengetahuan, pembawaan dan merit seseorang bos. Sebab itulah karakter seperti Dr House dihormati walau hakikatnya pembawaan beliau begitu kurang ajar, cakap tak berlapik dan tidak langsung mempedulikan perasaan orang lain.
Lebih baik seseorang bos itu dihormati di atas merit pencapaian beliau daripada dihormati secara paksa hanya kerana dalam surat tawaran bekerja beliau ada terpapar jawatan 'Manager', 'General Manager', 'Chief Executive Officer' atau 'Director' semata-mata.
Beberapa minggu lepas, salah seorang rakan pasukan saya terpaksa mengundurkan diri di atas sebab-sebab peribadi. Di laman Facebook saya, beliau menulis; "Frankly, you are the best boss I've ever had". Kembanglah juga barang lima inci.
Mungkin pujian tersebut bersalut coklat Hersheys. Mungkin pujian tersebut terlontar kerana hakikat bahawa beliau meninggalkan pasukan saya kerana lebih menyayangi Siti Nurhaliza, bos baru beliau (hahahaha). Mungkin beliau masih belum bertemu ramai bos untuk membolehkannya menilai yang mana satu bos yang 'best' dan yang mana pula 'kurang best'.
Namun apa yang pasti, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai bos. Saya cuma tahu mencungkil bakat terendam dalam seseorang, menggilapnya dan cuba mengeluarkan yang terbaik andai dipunyai masa yang cukup. Saya lebih gemar 'bekerja dengan bakat' daripada 'bekerja dengan orang'. Bila kita fokus kepada bakat, kita tidak akan mengendahkan sangat kekurangan-kekurangan yang lain. Kerana kita maklum bahawa kita juga mempunyai kekurangan --- jadi buat apa membuang masa fokus terhadapnya?
Dan dalam bebilang bakat yang saya pernah bekerja bersama, ada juga yang telah bermurah hati membuka selendang yang melitupi manusia sebenar di sebalik bakat tersebut.
Dan saya pun dengan rendah diri membuka selendang yang melitupi wajah saya pula.
3 comments:
Sejak bila encik Asrul memakai selendang?
Untuk jadi kuli yang baik, amat mudah untuk menjadi boss yang kurang baik pun amat mudah...
Kesimpulannya tidak mudah bekerja dengan manusia...lebih rela bekerja dengan kucen, ayam dan itik...
Walaupun begitu, binatang juga mempunyai sifat kasih sayang pada tuannya...lebih dari 'my staff' yang suka mengelitek dari belakang...
Mana lama menghilang...buat pilem baru ke?
Bila berada di atas memang payah memandang ke bawah.
Seciput rasa hormat yang diberi oleh bos pada staff bawahan akan membuatkan mereka berasa dihargai.
Bukan membuat serangan peribadi yang melulu dan tidak professional...
STK... dah lama dah... selendang halimunan sebagai topeng yang kadang-kadang serlah hasilnya!
Lizahaliza... memang pun. Selalunya bila dah sampai atas, mungkin lenguh tengkuk kalau dia orang nak pandang ke bawah :p
Post a Comment