Satu ketika, tidak lama dahulu ketika berada di kampung. Alyssa Sofea dan Adam Jefril girang bermain di ruang tamu. Saya berpura sibuk membaca surat khabar namun mata dan telinga tetap menjalar takut-takut ada yang terkasar hingga menyebabkan termenangis.
Ibu saya datang mencelah; "Does Adam remind you of yourself?"
Saya berfikir seketika lalu menjawab; "Bukan Adam... tapi Alyssa".
Terus terang, ada kalanya serasa gusar kerana semakin hari saya melihat semakin banyak yang ada (atau pernah ada) dalam diri saya kini menyerlah melalui Alyssa. Dari minat mengatur blok-blok mainan menjadikan sebuah 'bandar', kebolehan menghafal lirik berbilang lagu, kecenderungan menggubah irama (dan lirik) sendiri sehinggalah baru-baru ini, minat terhadap penulisan. Satu pembuktian terhadap kesahihan teori genetik dari sudut saintifik dan perumpamaan "bapa borek anak rintik" dari pepatah Melayu!
Dalam usia 10, Alyssa telah mula menampakkan kebangkitan adrenalin remaja bilamana beliau semakin akrab menerima SMS 'puppy love'. Agak awal dirasa kerana seingat saya, diri ini hanya mengenali yang lelaki itu lelaki dan wanita itu wanita jelang Darjah Enam (sekitar usia 12).
Saya mempunyai pilihan untuk terus saja membatalkan khidmat talian Maxis untuk Alyssa demi menghentikan semua 'kekarutan' ini. Bapa saya dahulu pastinya akan melakukan demikian jika ciptaan telefon selular sedia wujud ketika saya sebaya Alyssa.
Namun menyedari betapa banyaknya saya di dalam dia, mungkin yang terbaik ialah memberikan bimbingan secara natural dari terus saja membina penghalang. Saya memang protektif namun dalam masa yang sama ada beberapa perkara yang perlu diterokai dan dipelajari sendiri oleh Alyssa, yang tidak dapat saya bantu.
Mengenang betapa tertekannya saya dahulu ketika ibubapa menyumbat beberapa 'pengajaran' melalui rotan, jerkahan dan tangan-tangan, saya perlu memastikan bahawa legasi era dahulu terus kekal dalam era dahulu. Tentu saja ada yang terpaksa dilakukan bila perlu namun pastinya tidak mungkin Alyssa akan merasai tekanan sebagaimana yang saya pernah rasai meningkat remaja.
Lagipun saya tidak akan pernah berada dalam umur Alyssa.
Sebagaimana saya kini berada di dalam dia.
3 comments:
ada benarnya kita lahir di waktu manusia baru mencipta teknologi dan anak-anak kita lahir waktu teknologi berkembang pesat...
my 11 yrs old son pun ada hp sendiri, tapi selalu di pantau oleh si umi kerana umi amat sgt prihatin gejala menvideo dan melekatkan ia di youtube...
si gadis genit 9 tahun pun sudah mula menulis di blog sendiri menjak tahun lalu, very expressive tapi kadang kala semua hal ehwal keluarga di cerita, umi juga harus memantau...
teknologi dan kehidupan dah menjadi satu kemestian...untuk merotan mungkin tidak bersesuaian lagi...
mau di laserkan ajer...kalau begitu...LOL
11 is the new 21, dengan segala wadah teknologi dan pendedahan yang agak banyak, itulah hakikatnya, memang sukar disangkal.
Tapi saya pasti, apa juga langkah yang awak ambil adalah yang terbagus buat mereka.
STK... sebenarnya kalau boleh dilaserpun tak mahu. Sebab nanti kena darah tinggi! Saya praktikkan renungan tajam tanpa berkata apa-apa bila saja ada salah dilakukan. Kadang-kadang diam itu sendiri akan lebih membawa kesan dari bersuara :)
Aida... hmmm... sebenarnya kita cuma akan mengetahui sama ada itu yang terbaik atau tidak setelah mereka meningkat dewasa. What you give, normally you'll get back...
Post a Comment