Friday, June 20, 2008

Disclaimer: 20 June 2008

© 2008 Asrul Muzaffar Mohammed, Hakcipta Terpelihara

Ini merupakan sebuah blog peribadi. Semua pandangan dan pendapat yang dinyatakan di BandarUtopia@Blogspot dan BandarUtopia@Yahoo!groups merupakan kepunyaan Asrul Muzaffar Mohammed dan tidak melambangkan pendirian individu lain, syarikat, institusi atau organisasi yang berkaitan dengan beliau, melainkan dinyatakan sedemikian.

Pandangan dan pendapat beliau mungkin berubah dari masa ke semasa apabila beliau mempelajari lebih banyak pengetahuan dan maklumat berkenaan perkara dan isu yang diblog. Blog ini hanyalah cetusan minda terhadap pengetahuan, maklumat, pandangan dan pendapat yang dipegang pada sesuatu masa dan ianya mungkin berubah di masa hadapan. Asrul Muzaffar Mohammed memiliki hak untuk membangunkan pengetahuan, pandangan dan pendapat beliau sendiri mengikut masa tanpa memberi sebarang sebab.

Blog ini memiliki capaian untuk ke laman-laman atau blog-blog pihak ketiga yang lain. Ianya disertakan untuk kemudahan akses kepada pembaca terhadap maklumat/pendapat yang terkandung di dalam blog ini. Asrul Muzaffar Mohammed tidak bertanggungjawab terhadap isi kandungan laman-laman lain ini ataupun mana-mana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di laman-laman berkenaan.

Asrul Muzaffar Mohammed juga mempunyai hak untuk memadamkan segala komen yang mengutuk tanpa fakta, bersifat menyerang peribadi dan lari dari konteks. Beliau juga tidak bertanggungjawab terhadap isi mana-mana komen yang dilakukan pembaca melainkan yang ditulis sendiri oleh beliau di sini atau mana-mana capaian yang dibuat.

Apa Itu Sebenarnya Blog?

Saya terbaca artikel ini di The Star, bertarikh 19 Jun 2008.

Kadang-kadang saya pernah juga berbicara dengan rakan-rakan akan apakah sebenarnya yang dikatakan 'Blog'. Adakah ianya merupakan kerahan krim minda intelektual yang diterjemahkan kepada penulisan dan dimuat-naik ke alam siber? Atau adakah ia sekadar diari siber menceritakan pagi tadi breakfast sekeping roti canai dan kemudiannya mengutuk orang menyalahkan itu ini tak keruan (seperti kata rakan saya, 'blog syok sendiri')?

Saya sebenarnya tidak begitu peduli akan tafsiran autoriti mahupun peribadi terhadap 'blog'. Pada saya ia hanyalah satu wadah atau 'medium' yang wujud untuk membolehkan basyar menconteng-conteng sesuatu, tak kiralah sama ada untuk bacaan khalayak atau sekadar syok sendiri. Cuma yang membezakannya di antara berbaloi dikunjung atau sekadar membuang masa, sekali lagi pada pendapat saya, ialah isi atau mesej yang ingin diutarakan.

Kerana kalau setakat nak bercerita pagi tadi breakfast roti canai, tengah hari makan nasi kandar dan di antaranya walhal marahkan orang lain dalam elarti, baik ditulis saja diari konvensional dan dibaca sendiri-sendiri sebagai kisah waktu mahu tidur!

Friday, June 13, 2008

Penulisan Provokatif?

Secara jujur, saya tidak begitu berminat menulis cara ini.

Selain perlu memerah keringat ekstra memikirkan strategi yang provokatif (dan efektif), perlu juga mengambil kira soal pengolahan perenggan, tatabahasa, perkataan... itu belum termasuk isi, fakta, bahan rujukan dan sebagainya. Tambah pula dengan hakikat bahawa penulisan bentuk ini mempunyai banyak konsekuens terutama tak menang tangan cuba membalas respons-respons yang diterima kelak.

Ada tiga sebab kenapa saya menulis begini kadangkalanya:

(a) Untuk memastikan 'the job gets done'. Kadangkala saya tergelak dengan ratusan SMS yang tersiar saban hari di akhbar Kosmo! yang komplen itu ini. Dari membazir wang untuk SMS sedangkan tak sampai ke mana, lebih baik ditulis surat siput, dilekatkan stem dan dialamatkan terus kepada yang empunya. Jangan berhenti di situ saja, cc kan pula kepada mereka-mereka yang perlu. Tak lama dahulu contohnya, ada seorang pegawai bank cuba nak cari dajjal dengan saya. Jadi saya buat laporan polis kemudian diikuti pula dengan sepucuk surat yang tajam bahasanya --- dialamatkan kepada pegawai tertinggi bank berkenaan. Kemudian saya cc kepada satu badan yang digeruni oleh mana-mana institusi perbankan di Malaysia, Bank Negara Malaysia. Belum puas, saya tujukan juga kepada beberapa akhbar tempatan. Hasilnya? Saya menerima surat permohonan maaf dari bank berkenaan dan kini bila kami berurusan, tahap profesionalisme mereka juga jelas meningkat.

(b) Untuk mempelajari argumen-argumen yang menentang. Bila seseorang diprovok, selalunya mereka akan beremosi dan akan cuba pula membalas dengan hujah-hujah sendiri. Ini amat perlu, pada saya. Kerana dalam langkah menuntut ilmu, kita seharusnya juga menilai hujah-hujah yang bertentangan sebelum membuat sesuatu rumusan. Metoda pemikiran saintifik. Kadangkala jika ditulis terlalu 'biasa', respons yang diterima juga mungkin akan terlalu 'biasa'.

(c) Untuk menarik perhatian agar sesuatu yang penting dapat disampaikan. Ibarat kita berada dalam satu bilik yang bingit, mulut berpok-pek pok-pek merapu raban. Anda mulanya menyeru dengan baik, "Hello... Hello..." namun tiada yang menyahut. Malah makin pok-pek pok-pek merapu raban. Anda meninggikan sedikit suara, "Woi... WOi... WOIIII!!!", masih tiada yang mendengar walau ada satu dua wajah berpaling. Tiba-tiba anda menjerit; "HOIII.... HANGPA TAU DAK YANG HANGPA SEMUA NI MALAUN SANGKUT"? Tiba-tiba semua terdiam. Berpaling kepada anda. Ada yang memandang seperti mahu menelan anda. Ada yang tersenyum sinis menggeleng kepala. Ada pula yang terpinga-pinga kebengongan. Hakikatnya, perhatian yang dipohon sudah diterima. Jadi, anda boleh mula berpidato tentang hal yang anda sebenarnya ingin cakapkan dari awal tadi.

Saya bersetuju dengan pendapat salah seorang responden bahawa beliau 'takut ada yang terikut-ikut dengan penulisan begini' bila membaca penulisan saya sebegitu. Untuk rekod, saya seru pembaca supaya tidak mengamalkannya terutama jika anda belum menimbang segala konsekuensnya dengan teliti dan memastikan lubang-lubang yang terbuka dapat ditutup sebanyak mungkin.

Saya pernah menerima ratusan caci nista termasuklah ugutan bunuh kerana beberapa artikel yang saya tulis sekitar tragedi 11 September 2001 dahulu. Juga berturut dari beberapa artikel lain yang saya pernah tulis mempersoalkan tentang Serangan Takut Hidup, Murtad dan sebagainya. Ada yang saya pandang serius dan ada yang saya tidak ambil pot langsung.

Namun sebetulnya saya, dan anda juga, telah mempelajari sesuatu yang baru setiap hari.

Dan kita akan dewasa dengannya.

p.s. Imej stem ini ehsan dari blog 'Wahai Cermin Hikmat' yang berbesar hati memberikan 'tribut' melalui entri istimewa kepada saya. Tengkiu... tengkiu... :)