Satu ketika dahulu, nenek moyang kita melihat Tarian sebagai suatu upacara suci. Ianya bukanlah sekadar berhibur atau aktiviti menjalin tubuh fizikal dalam keramaian. Namun ia merupakan suatu ritual kehidupan penyatuan insan. Sebagai metafora kasih sayang dua hati. Sebagai imejan konflik dualistik antara manusia dengan Tuhan.
"Kau membuat ku terpikat kepadamu. Dengan gaya yang menarik, pesonakan diriku".
Sedetik muzik berkumandang, hati-hati insan bertemu di Lantai Tarian. Masing-masing melentuk liuk tubuh mengikut alunan tempo dan irama. Dentuman bass menggegar dada. Tiada satu pun lenggok yang formal. Masing-masing mempunyai gaya tersendiri. Melayan hati.
"Dan kini cintaku mula ku rasai. Untukmu gadis".
Dari ratusan tubuh berpusing pusang di Lantai Tarian, di mana lampu-lampu aneka warna gemerlap dipayungi asap dari mesin yang memedihkan mata, tiba-tiba suatu tubuh memasuki fokus mata.
Tubuh yang melangsungkan Tarian mengikut peribadi yang tersendiri. Ceria tapi masih sopan. Ramah tapi masih malu-malu. Menjemput tapi masih seakan menghindari.
Serentak itu kita terlupa akan ratusan tubuh yang lain di Lantai Tarian. Yang ada hanyalah kita dan dia.
"Dan di dunia ini, hanya engkau dan aku. Tiada apa yang pasti menghalangnya".
Mulanya mungkin agak janggal untuk menyamakan rentak derap Tarian kita dengannya. Bila dia ke kanan, kita ke kiri. Kadangkala hampir terpijak kaki. Kadangkala hampir tersondol siku. Segalanya kelihatan canggung. Kelihatan tidak akrab.
"Ingin ku bisikkan kata manisku. Harap kau mengerti maksud di hatiku".
Muzik bertukar. Dia mahu meninggalkan Lantai Tarian. Tangan dia dicapai. Digenggam. Seakan mencadangkan agar Tarian dihentikan seketika. Agar memulakan segalanya semula. Agar derap langkah lebih tersusun. Lebih cendana. Lebih anggun. Lebih seiringan.
Namun muzik terus berkumandang. Tarian harus terus. Tak boleh tercalar. Tak boleh bernoktah.
"Datanglah oh gadis yang ayu. Menarilah bersama denganku. Ikutlah irama dan lagu. Tunjukkanlah gaya Tarianmu".
Tiba-tiba seakan destini memanggil, segala derap langkah kita jadi seiringan dengannya. Dua bibir menguntum senyum. Dua pasang mata akhirnya bertemu. Dua calit hati akhirnya bersatu. Riang terasa dalam hati.
Walau apa rentak muzik yang mendatangi kemudiannya, kita dan dia bersumpah akan kekal berada di Pentas Tarian selama-lamanya. Hingga akhir nanti.
"Tari dan lagu pasti akan berakhir. Dengan wajah yang gembira, ku balas dengan mesra".
Muzik tiba-tiba terhenti. Berdua teragak-agak apa yang harus dilakukan kini. Sekilas kita menyedari bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini. Secara lahiriahnya seakan tiada lagi derap Tarian yang boleh dilangsungkan. Seakan impian telah ternoktah.
"Kini hatiku kau bawa bersama. Bersamamu gadis. Hatiku rasa pilu bila mengenangkanmu. Tak tahu bila kan bermesra lagi".
Yang tinggal hanyalah rasa rindu dan sepalit memori indah ketika bersamanya di Lantai Tarian. Sejuta lapan ratus ribu sembilan ratus tujuh puluh purnama yang lalu.
Dan apabila rindu datang bertamu, Lantai Tarian seakan mengundang semula Tarian bersama. Dengan lagu dahulu. Dan (mungkin) derap langkah yang baru. Yang (mungkin masih) seiringan. Yang (mungkin masih) mengembalikan kuntum senyuman.
"Ingin ku bisikkan kata manisku. Harap kau mengerti maksud di hatiku. Datanglah oh gadis yang ayu. Menarilah bersama denganku. Ikutlah irama dan lagu. Tunjukkanlah gaya Tarianmu".
Malam ini hanya kita berdua di Lantai Tarian.
"Dan di dunia ini..."
Aku mencapai tanganmu. Engkau menyambutnya erat. Tersenyum memandangku. Itulah senyuman yang telah berkurun ku rindu.
"...hanya engkau dan aku..."
Sudikah engkau menari denganku?
"...tiada apa yang pasti menghalangnya..."
Selama-lamanya?
© Lirik lagu 'Bayangan Tarimu' dari album Carefree, 'Kebebasan', 1979. Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment