Setelah diri celik dan mengenal apa itu Ringgit dan Dolar, saya diperkenalkan kepada komputer secara ekstensif dengan penggunaan sistem operasi DOS dan perisian Wordstar. Ianya begitu asas, begitu terus, begitu lurus.
Tak lama kemudian, saya membeli sebuah komputer peribadi untuk kegunaan di rumah dengan sistem operasi Windows 95. Saya bereksperimen, merobek, memasang semula, menggodam, mengkaji.
Berpuluh-puluh buku saya beli dari yang dikhususkan kepada pengguna baru sehinggalah yang telah mahir. Perisian-perisian seperti Microsoft Office, Norton Utilities, Netscape, McAfee Anti-Virus, Windows C++, Visual Basic, Java semuanya saya tebak seperti beruk yang mendapat bunga.
Ketika Windows 98 dilancarkan, komputer saya mewajarkan 'upgrade' kerana menurut Microsoft sokongan terhadap Windows 95 akan ditamatkan tak lama selepas itu. Ada perisian yang dahulunya boleh digunakan, tidak lagi boleh dilatam seperti dahulu.
Bila Windows ME tiba dipasaran, saya teragak-agak untuk 'upgrade' kerana khabar awam menyatakan bahawa sistem operasi itu bermasalah.
Saya kekal menggunakan Windows 98 sehinggalah Windows XP diperkenalkan. Akhirnya, fikir saya, permasalahan dan isu pemecutan sistem-sistem operasi terdahulu dapat diminimakan. Walaupun migrain skrin biru, virus, spyware dan seumpamanya masih wujud, saya tetap menyokong Windows XP kerana ia kelihatan mudah. Pada pandangan pertama.
Mungkin kekalnya saya dengan Windows XP adalah kerana saya menyangka sudah tiada pilihan lain sebaiknya.
Sehinggalah saya diperkenalkan kepada Mac OSX Leopard.
Saya masih menggunakan Windows XP untuk komputer peribadi di rumah.
Namun untuk bekerja, memerah otak atau melakukan segala macam perkara 'advance' yang hanya mampu dilakukan komputer, saya tetap memilih Mac OSX, yang kini telah dibangunkan kepada versi Snow Leopard.
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan saya andai ada mereka yang masih memilih untuk menggunakan Windows 95. Perubahan adalah sesuatu yang sukar.
Tapi bagi yang masih memilih menggunakan Windows 95, janganlah pula disanggah mereka yang memilih untuk menggunakan sistem yang lebih baik, lebih maju dan lebih sesuai dengan cara hidup, pemikiran dan sosiologi dunia kontemporari.
Bagi yang telah lanjut menggunakan yang terkini seperti Windows 7 sekalipun, rasanya tak perlulah terlalu prejudis terhadap mereka yang masih menggunakan Windows XP, ME, 2000, NT, 98 atau 95 (atau 3.1). Mungkin ada perkara yang boleh dipelajari dari sistem-sistem operasi terdahulu.
Ketaksuban dan keegoan akan kekal bersarang walau sistem operasi apapun yang dipilih untuk diamalkan.
Jika anda dah terlalu biasa dengan Windows 98, janganlah pula cuba mengandaikan bahawa pengguna Windows XP, 7 atau Mac OSX juga memilih untuk menjalani kehidupan seharian seperti anda.
Jangan hanya kerana anda diiktiraf Sifu Windows 98, terus pula anda mencaci dan memperlekehkan Sifu-Sifu sistem yang lain.
Hakikatnya mungkin Sifu-Sifu yang lebih muda, lebih luas minda namun kurang tumbuh rambut di muka itu memiliki kepakaran, cara berfikir dan ilmu yang lebih tinggi dan terkini dari anda.
Yang penting ialah berkompromi, menggembleng tenaga bersama ke arah dunia yang lebih baik. Lebih aman. Lebih makmur.
Tak kiralah sistem operasi manapun yang anda pilih.
Penghujungnya hanyalah bertumpu dan menjurus kepada matlamat yang SATU.
No comments:
Post a Comment