Wednesday, May 4, 2011

Mangsa, Bangsa, Gangsa, Suasa (Apa-Apalah!)

Seringkalinya kita cenderung meletakkan diri sendiri sebagai Mangsa.

Politikus dan negarawan gemar menggunakan taktik ini untuk mengeratkan ikatan perpaduan sesuatu bangsa atau rakyat sesuatu wilayah.

Seperti puak Zionis menggunakan sejarah Exodus dan Holocaust untuk mewajarkan penubuhan Israel.

Atau bagaimana UMNO menggunakan sejarah 13 Mei untuk mewajarkan kontinuiti hak istimewa orang Melayu.

Atau DAP yang menggunakan statistik peningkatan jenayah di kalangan kaum India untuk mewajarkan peperangan terhadap autoriti seperti PDRM dan ISA.

Atau PKR yang menggunakan video seks Anwar Ibrahim untuk mewajarkan bahawa pengasas mereka sebenarnya adalah anugerah Tuhan yang maksum (oopss...).

Para ulama' dan propagandis Islam juga tidak terkecuali, seperti sebarang 'usaha' peniaga tak bertanggungjawab menggunakan bahan mentah berasaskan haiwan dilihat sebagai usaha menjatuhkan Islam.

Atau sebarang lagu dari Lady GaGa dilihat sebagai 'brainwash' untuk menjebakkan anak muda Islam ke kancah homoseksualiti dan seks bebas.

Atau penerbitan Al-Quran dalam Bahasa Melayu pula dilihat sebagai strategi mengkristiankan umat Islam.

Dan terbaru, pembunuhan Osama bin Laden juga dilihat sebagai 'bukti betapa puak Yahudi dan Nasrani amat memusuhi Islam'.

Mungkin dengan sentiasa meletakkan diri sebagai Mangsa, kita berjaya menyatukan ummah berdasarkan exploitasi suatu elemen kesamaan ('common element').

Sebab secara idealnya, bila kita dilihat sebagai Mangsa, kita akan merapatkan barisan, bersatu dan berusaha bangun menjadi suatu kelompok yang lebih kuat.

Namun strategi ini juga akan melahirkan bangsa penakut. Bangsa 'insecure'. Bangsa yang tak berani untuk berterus terang. Bangsa yang lebih gemar menggunakan penipuan atau penyelewengan fakta demi mencapai apa yang diinginkan.

Seperti metafora sepasang kekasih terlarang yang melakukan pencampuran cecair tubuh secara konsensual, kerana mereka berdua memang mahukannya.

Tiba-tiba, apabila ditangkap (atau orang London kata 'busted'), salah seorang dari pasangan tadi akan mencari alasan untuk meletakkan diri sebagai Mangsa. Kononnya terminum air yang dicampur dadah. Kononnya termakan pujuk rayu mantera Alang Rentak Seribu. Kononnya diguna-gunakan Bapak Jin.

Kita sebenarnya gemar meletakkan diri kita sebagai Mangsa bukanlah kerana kita benar-benar ditindas. Namun disebabkan kesedaran bahawa kita telah melakukan kesilapan.

Kerana kita tahu sebenarnya ada sesuatu yang amat tidak kena dengan hidup kita kini.

Namun, daripada bermuhasabah dan mencari ruang memperbaiki diri, kita menyalahkan itu ini yang kononnya telah membangsatkan diri kita.

Kita menyalahkan suami pendera untuk mewajarkan perselingkuhan padahal hakikatnya si isteri sendiri yang takut untuk keluar dari rumahtangga sampah tersebut.

Kita menyalahkan Nasi Lemak yang kononnya menyebabkan obesiti padahal kitalah antara yang pertama beratur untuk mendapatkan Big Breakfast McD percuma setiap pagi ketika tempoh promosi.

Kita menyalahkan Amerika yang kononnya memerangi Islam padahal kita sebenarnya bergelut untuk menyesuaikan diri dengan arus kemodenan.

Kita menyalahkan anasir luar seperti Poco-Poco atau Yoga yang kononnya mampu melunyaikan aqidah orang Islam padahal kita sendiri sedar bahawa cara pendakwahan Islam di abad ini telah menjadikan agama syumul tersebut seakan tidak menarik, ketinggalan zaman dan tidak relevan.

Seringkalinya, pemaparan diri kita sebagai Mangsa bukanlah kerana kita benar-benar telah dimangsakan.

Tetapi kerana membohongi diri sendiri selalunya adalah lebih mudah dari membohongi orang lain.

2 comments:

Nazz said...

Betul! Betul! Betul!

Mak anak enam said...

jazakallah...asrul x tahu nak ckp really luv ur idea....buatkan berfikir sendiri