Monday, July 11, 2011

Yang Saya Sokong, Yang Saya Tak Sokong

Beberapa rakan mempersoalkan 'di mana saya berpijak' dengan termaktubnya deretan posting panas pedas Anti-Bersih sejak dua minggu sudah.

Walaupun wacana subjek yang ditulis (ditaip?) oleh tangan ini di Facebook dan Twitter sentiasa bercampur baur di antara politik dan seks, pada hemat saya, pendirian saya selama ini sentiasa konsisten. Jadi izinkan saya menggariskannya satu persatu:

Yang Saya Sokong

* Dialog Antara-Agama (Interfaith) - ini merupakan isu utama yang saya sering juangkan. Dan sentiasa menjadi impian saya untuk mewujudkan Pusat Antara-Agama Antarabangsa di Malaysia terdorong inspirasi dari inisiatif Khalifah Harun Al-Rashid di kurun ke 8 Masihi.

* Penterjemahan Bible Dalam Bahasa Malaysia - bukan sahaja Bible, malah kalau diizinkan, saya ingin menterjemah segala kitab-kitab Gautama Buddha, Rig Veda, Enuma Elish, Tanakh, Talmud, Midrash, Responsa dan yang seangkatan ke Bahasa Malaysia untuk kajian. Untuk pemahaman. Agar kita tidak lagi takut terhadap apa yang tidak kita fahami.

* Rakyat Malaysia Yang Satu - saya impikan satu hari bilamana Ahmad tidak lagi berkata "Aku orang Melayu", Ah Seng dengan "Aku orang Cina" dan Linggam dengan "Aku orang India" namun bersama melaungkan "Aku orang Malaysia".

* Pilihanraya Bersih Dan Adil - untuk memastikan tiada lagi isu pengundi hantu dan setiap parti politik dapat berkempen dalam suasana damai, rasional, profesional dan tanpa percakaran.

* Paparan Adil Terhadap Semua Parti Politik Di Media Perdana - teringin juga nak tengok kelibat Lim Kit Siang atau Hadi Awang membentangkan portfolio secara langsung di media elektronik dan cetak yang didokong Parti Pemerintah. Tanpa censorship.

* Perbincangan Berdasarkan Fakta, Bukan Retorik - Jika sesiapa ingin mengutarakan pendapat, bentangkan dengan fakta. Yang boleh diselidiki semula. Bukan sekadar berkata "Rasulullah s.a.w. bersabda..." tapi rujukan riwayat perawi mana tidak disertakan langsung.

* Barisan Nasional Sebagai Pemerintah - walaupun masih terdapat banyak ruang untuk membangun dan memperelok, secara peribadinya, Malaysia di bawah Barisan Nasional membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke luar negara, menyediakan peluang pekerjaan dan memampukan saya memiliki harta seciput yang boleh diturunkan kepada generasi saya yang berikutnya. Setakat ini tak pernah lagi saya dan keluarga terpaksa merempat menjilat dinding.

* PAS dan DAP Sebagai Pembangkang - untuk mewujudkan 'check & balance' serta memastikan demokrasi di Malaysia subur terpelihara.


Yang Saya Tak Sokong

* Fanatik Agama - tak kiralah dalam agama manapun. Kalau sampai menyeru agar diadakan 'pembersihan agama' lain dari agama yang dianuti, itu dah kira fanatik pada saya.

* Paranoia Islamik - segala atitud 'aku lebih warak dari yang lain' hingga menimbulkan rasa bongkak sesetengah pihak yang kemudiannya tergerak menjadi Polis Moral, melabel segalanya 'tak betul', 'tak Islam' atau 'tak mengikut syarak'.

* Eksklusiviti Agama - tiada satu agama pun yang memiliki kebenaran mutlak. Kebenaran yang mutlak hanyalah milik Tuhan Yang Satu. Bilamana saya memilih Islam, maka saya yakin bahawa itulah agama yang terbaik dan benar untuk saya. Mereka yang memilih agama lain pula tentunya juga yakin bahawa pilihan itulah yang terbaik dan benar buat mereka.

* Perkauman - segala bentuk perkauman serta mereka yang memanipulasikan dogma perkauman untuk kepentingan peribadi dan organisasi mereka.

* Anti-PSSMI - apa salahnya diajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Salahkan penerbit buku di Malaysia kerana kurang menterjemah buku ilmiah ke Bahasa Kebangsaan. Selain PTS, rasanya tidak ada penerbit yang benar-benar serius melakukannya. Jika adapun, hanya terjemahan novel siri Twilight atau Harry Potter.

* Ad-Hominem - menyerang individu yang membentangkan argumen dan bukannya argumen beliau.

* Demonstrasi Jalanan - perbuatan yang bodoh, membuang masa dan lebih banyak mendatangkan keburukan kepada majoriti.

* Rosmah Mansor - kecenderungan beliau cuba mencuri 'limelight' daripada suaminya adalah suatu liabiliti terhadap imej Perdana Menteri dan Barisan Nasional.

* Anwar Ibrahim dan PKR - tidak relevan dan hanya menjatuhkan kredibiliti PAS dan DAP sebagai Pembangkang. Belum termasuk bagaimana negara diporak-peranda dan proses 'check & balance' demokrasi Malaysia habis caca merba angkara beliau.

Sekian, terima kasih dan harap maklum.

No comments: