Thursday, April 29, 2010

Tanpa Syarat, Tanpa Balasan

Kita cenderung menyakiti mereka yang menyintai kita.

Mungkin kerana dugaan. Atau kerana maruah. Namun selalunya kerana ego.

Kita tak hidup bersendirian. Terdapat banyak faktor-faktor luar yang sering mempengaruhi hati dan perasaan. Mempengaruhi cara kita berfikir. Mempengaruhi cara kita menyintai mereka yang menyintai kita.

Seringnya kita disogok dengan berbagai rentetan yang ditafsir cerdik pandai sebagai 'prioriti', 'materialisme' dan segala apa kejadah lagi. Kita dikondisi dengan apa yang masyarakat mahu kita merasa. Walau seteguh mana pun kepercayaan bahawa apa yang kita lakukan itu benar, andai masyarakat mengatakannya 'salah', tidak dapat tidak kita akan terpengaruh juga akhirnya.

Kita marah bila kita merasa diketepikan oleh orang yang kita cintai. "Buat apa menjadikan seseorang itu prioriti bila kita sendiri dijadikan pilihan bagi beliau", kata kita.

Kita memaksa sunyi menguasai diri bila kelibat si dia lebih cenderung berkeliaran di pejabat dari di dalam rumah. Kita menjemput sepi bila fokusnya lebih leka tajam tertumpu ke kaca TV daripada leka erat memeluk kita. Kita mengundang amarah apabila pemberian hadiah harijadi dari dia bukanlah seperti (atau semahal, atau secantik) yang kita harapkan.

Adakah kita terlalu mementingkan diri sebenarnya? Kita merasakan bahawa Cinta yang kita beri terhadap seseorang itu terlalu 'agung' dan memohon agar dia menyintai kita 'seperti kita menyintai dia'.

Kita mahu diingati setiap masa. Kita mahu menjadi setiap hembus udara yang dia hirup. Kita mahu membolot segala-galanya tentang dia.

Sebab kita merasa kita telah memberikan segalanya dan kita mengharapkan balasan Cinta yang setimpal dari dia.

Bukankah Cinta itu sesuatu yang indah? Yang agung? Kenapa pula kita harus mengeruhkan Cinta dengan prejudis dan pengaruh duniawi?

Cinta adalah rasa yang disalurkan terus dari Pencipta untuk kita nikmati dengan dia yang juga 'mungkin' menyintai kita. Persoalannya - adakah perlu kita mengharapkan Cinta balas dari dia yang kita cintai?

Cukuplah sekadar dia tahu yang bahawasanya kita menyintai dia. Dan apa saja yang kita lakukan adalah hanya untuk menggembirakan dia semata-mata. Tak perlulah kita mengharapkan balasan.

Andai 'agung' Cinta kita itu juga dirasai dia dan dia membalasnya seperti yang kita harapkan - maka itu adalah satu bonus.

Ketika Cinta datang kepadamu, ikutlah dia. Walaupun jalannya sukar dan curam.

Pabila sayapnya mendakap kamu, menyerahlah padanya. Walaupun pedang yang tersembunyi di celah sayapnya itu mungkin melukakan.

Pabila dia bertutur kepadamu, percayakanlah dia. Walaupun suaranya mungkin menggegarkan mimpi-mimpimu seperti angin utara yang terdampar sepi di taman.

"Jika aku menyembahMu kerana takutkan Neraka, maka bakarlah aku di dalam Neraka. Jika aku menyembahMu kerana mengharapkan Syurga, sisihkanlah aku daripada Syurga.
Tetapi jika aku menyembahMu kerana diriMu semata-mata, janganlah Engkau sembunyikan KecantikanMu Yang Abadi" (Rabiah, penyair Islam kurun ke 8)

Kita cenderung menyakiti mereka yang menyintai kita.

Namun jangan pernah terfikir bahawa kita mampu menentukan arah Cinta.

Kerana Cinta, andai ia mendapati kita wajar, akan menentukan arah kita.

(Nota: Entri ini diinspirasikan oleh 'The Prophet' karya Kahlil Gibran, 1883-1931, seorang penyair, filsuf dan pelukis dari Lebanon)

No comments: