Wednesday, April 21, 2010

"It's What I Wrote, Not What I Meant"

Satu ketika dahulu, dua buah kapal terbang menghentam dua bangunan. Ribuan terbunuh serta merta. Ratusan ribu pula terbunuh kemudiannya. Saya menukilkan frustrasi tersebut melalui kalimah 'FUCK THE JIHAD' yang mengutuk atrositi berkenaan.

Respons yang diterima kemudiannya, secara terus terang, agak mengejutkan. Tulisan saya tersebut tersebar di laman-laman web. Berbagai makian dan cercaan diterima termasuklah ugutan bunuh.

Artikel yang secara umumnya mempunyai mesej keseluruhan bahawa 'Islam tak mengajar membunuh yang tak berdosa' diketepikan dan yang mereka nampak hanyalah perkataan 'FUCK' yang kononnya diasosiasikan dengan 'JIHAD' (mereka tak perasan atau buat-buat tak perasan ada perkataan 'THE' di tengahnya)

Tak lama kemudian, saya mengusulkan Metoda Pemikiran Saintifik dan mencemuh segala macam hantu raya, hantu tetek, tok nenek hantu sebagai imaginasi manusia yang hanya bertitik tolak dari adat kepercayaan kuno turun temurun.

Berturut dari situ pula, saya dituduh mengagungkan elemen pemikiran kuning dan cuba menerapkan atheisme di kalangan pembaca beragama Islam.

Mungkin yang menuduh itu tidak sedar bahawa tiada yang baru dalam usul saya tersebut - kerana ianya saya adaptasikan hampir bulat-bulat dari Al-Quran dan ajaran ulama'-ulama' di zaman kegemilangan Empayar Islam dahulu.

Mungkin kerana kita tidak membaca atau memahami betul-betul apa yang tersirat dan tersurat. Kita celapak melakukan kesimpulan. Kita seringkali hanya menitip satu dua patah perkataan yang ditutur (atau ditulis) dan kemudiannya melakukan kesimpulan yang seringkalinya juga tersasar.

Dalam keterlaluan dan emosi, kita tidak mampu melihat gambaran penuh. Kita berkecil hati. Kita berubah rasa. Kita marah.

Atau mungkin kerana kita mempunyai imej stereotaip terhadap seseorang yang kita baru kenal, sama ada secara zahir apatah lagi melalui komunikasi bisu di Internet. Kita mengandaikan bahawa penulis tersebut adalah begini begitu berdasarkan apa yang sering ditulis beliau.

Jadi apabila penulis melontarkan sesuatu ide atau kenyataan yang bercanggah dengan rasa dan kepercayaan diri, kita merasa kecewa. "Tak sangka mamat ni sebenarnya macam tu"; juih kita.

Akhirnya, mungkin kita merasa apa yang ditulis itu ditujukan kepada kita secara spesifik. Padahal penintanya tidak langsung mensasarkan tulisan tersebut kepada sesiapapun secara umumnya.

Lainlah kalau ditulis; "Sememangnya (nama) memang mangkuk hayun" barulah benar-benar tulisan itu ditujukan kepada individu berkenaan!

Bukan semua yang saya tulis mempunyai maksud tersirat. Kadangkalanya yang tersurat pun tak semestinya ada, kerana ia mungkin hanya omongan kosong melelah bosan.

Bahawasanya si peninta kadang-kadang dengan canggung kemusykilan hairan kenapa tiba-tiba dia dimarahi, dibenci dan dimusuhi sedemikian rupa.

Segala senda gurau gelak ketawa sebelumnya tiba-tiba melakukan pusingan 360 darjah kepada sesuatu yang begitu dingin sepi.

Dan membingungkan.

Mungkin kadang-kadang berdiam diri adalah lebih bermakna.

No comments: