Dari masa ke semasa saya ada didatangi atau dihubungi pelajar-pelajar jurusan Mass Communications (Mascom) bertanyakan tips atau kemusykilan mengenai hal-ehwal Komunikasi Korporat.
Untuk rekod, saya tidak pernah melihat diri sendiri sebagai 'pakar' dalam bidang ini. Malah saya tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dalam Mascom. Al-kisahnya, saya merupakan graduan sarjana Perhubungan Antarabangsa dari Staffordshire University, U.K.
Sekembalinya ke tanah air, saya diberi pilihan memulakan karier sama ada sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Jurnalis di Berita Harian/NST atau Pegawai Perhubungan Awam di CELCOM.
Mungkin darah muda kebujangan membuat saya memilih yang akhir daripada pilihan-pilihan tadi kerana gajinya lebih 'lumayan'. :)
Segalanya yang berturut dari situ menjadi sejarah.
Oleh kerana saya tidak pernah memiliki didikan formal dalam bidang ini (dan berdegil tidak mahu menyentuh sepatah haram pun buku tentangnya), saban tahun saya telah membangunkan formula Komunikasi Korporat sendiri berdasarkan pengalaman dan observasi.
Jadi di sini saya gariskan formula-formula ringkas yang sering saya gunakan dalam mana-mana kempen atau tugasan Komunikasi Korporat yang mana saya pernah atau sedang diberi penghormatan melaksanakannya.
(a) Pastikan Mesej Utama Yang Ingin Disampaikan
Tak perlu berbilang mesej. Nanti orang keliru. Saya menggunakan formula 'Rumah Tiga Tiang' di mana bumbungnya merupakan mesej utama yang disokong oleh tiga poin mutlak.
Manakala tiangnya pula terdiri dari faktor atau testimonial yang digunakan untuk menyokong keseluruhan rumah.
Jangan setakat berkokok kosong bahawa organisasi andalah yang 'terbaik, tercanggih, terterror di Malaysia' padahal tiada langsung sebarang poin yang boleh mengiyakan kata-kata anda!
(b) Bangunkan Jenama
Antara salah faham utama kebanyakan organisasi ialah mengaitkan Jenama dengan Logo. Logo hanyalah Pengenalan Jenama. Macam pakaian diluar.
Menukar logo syarikat semata-mata adalah ibarat menukar pakaian baru walhal tubuh badan masih dipenuhi kudis, kurap dan panau, yang mana membawa kita kepada formula berikutnya:
(c) Menjenamakan Kakitangan
Analoginya ialah andai kita ingin mengenakan pakaian baru, pastikan juga segala kudis, kurap dan panau diubati terlebih dahulu. Jika tidak darah dan nanah sedia ada akan meresapi pula pakaian baru tersebut dan meninggalkan tompokan-tompokan seperti sebelumnya.
Tentukan bahawa kakitangan faham akan halatuju dan Mesej Utama yang ingin disebar pada umum.
(d) Lakukan Pelancaran Komemoratif Jenama Secara Konsisten
Di sinilah segala elemen Komunikasi Korporat seperti Pengurusan Majlis, Hubungan Media, Perhubungan Awam, Pengiklanan dan Komunikasi Pemasaran memainkan peranan. Semua ini hanyalah alatan yang diguna untuk menyebarkan Mesej Utama tadi.
Alatan-alatan ini bukanlah pengakhir projek (seperti yang selalu disalah anggap oleh klien) tetapi hanyalah anak-anak tangga yang perlu didaki untuk tiba ke puncak.
Pelaksanaannya juga haruslah konsisten. Tak guna berbelanja beratus ribu untuk menganjurkan sebuah Majlis namun kemudiannya senyap beberapa bulan (atau tahun). Kalau terlalu lama senyap, orang akan lupa.
Bila mahu memulakan semula setelah 'senyap' sekian lama, ia akan menuntut lebih banyak tenaga dan sumber berbanding pelaksanaan yang dilakukan secara konsisten.
(e) Lindungi Jenama
Di luar sana terdapat banyak faktor yang mungkin menjatuhkan segala yang telah atau ingin anda bina. Bencana alam. Mereka yang mendengki. Khabar angin. Fitnah. Kekhilafan dalam beroperasi. Tikus masuk dalam tin makanan. Bariskan semuanya, anda tentu lebih arif.
Kemudian lakukan strategi-strategi pencegahan sama ada untuk mengelak krisis-krisis di atas dari berlaku atau bangunkan polisi/proses menanganinya andai ianya berlaku.
Satu elemen yang boleh digunakan di sini ialah projek-projek kemasyarakatan atau Corporate Social Responsibility (CSR). InsyaAllah saya akan menyentuh tentangnya dalam salah satu entri yang akan datang.
(f) Nilaikan Tahap Sukses Projek Penjenamaan
Jalankan kaji selidik untuk menentukan tahap Kesihatan Jenama (Brand Health) syarikat atau produk. Tetapkan 'target' yang harus dicapai dan bandingkannya dengan keputusan kajiselidik tadi.
Ini merupakan metoda terbaik untuk memperbaiki dan memperelok strategi penjenamaan di masa hadapan. Serta menentukan sama ada anda benar-benar telah melakukan tugasan dengan sukses atau sekadar menghabiskan wang syarikat.
(g) Dapatkan Pasukan Yang Cemerlang
Saya selalunya memilih sendiri ahli pasukan untuk mana-mana projek yang saya laksanakan. Walaupun kadangkalanya ahli pasukan tersebut telah di'assign' kepada saya, sebaik mungkin saya akan cuba melatih mereka.
Tapi secara peribadi, saya rasa saya bukanlah seorang bos yang baik. Cuma saya suka bekerja dengan mereka yang berkebolehan, suka mengambil inisiatif belajar menambah ilmu dan tidak lokek berkongsi pengalaman.
(h) Jauhi Politik Pejabat
Inilah dajjal utama yang membuatkan mana-mana tugasan menjadi hambar. Seperti keperluan membodek orang-orang atasan tertentu. Walaupun anda seorang Pengamal Perhubungan Awam, saya tidak melihat ini sebagai kewajiban untuk memuaskan semua orang.
Kalau anda cenderung membodek orang tertentu, adalah lebih baik jika anda menceburi bidang pelacuran atau menjadi gigolo. Dengan ini anda akan pasti memuaskan SEMUA orang.
Tumpukan kepada pelaksanaan tugasan dengan cemerlang. Jangan takut bersuara andai ada yang anda rasa perlu diperbetulkan. Namun lakukan pembetulan tersebut secara berhemah, contohnya bukan di hadapan semua barisan pengurusan/pengarah sewaktu mesyuarat.
Bos pun ada air muka sendiri. Mereka tak mahu dimalukan di hadapan kakitangan lain.
(i) Jangan Takut Mengemukakan Ide
Anda tidak akan tahu sejauh mana ide anda berkesan selagi anda tidak menyuarakannya. Mungkin ide anda kedengaran pelik, menelan kos yang banyak atau tidak praktikal kadangkalanya.
Jangan takut diketawakan kerana sejarah telah membuktikan bahawa mereka yang diketawakan itu selalunya akan mampu terbahak-bahak akhirnya.
Jika bos menolak ide anda, beranikan diri bertanya kenapa. Andai bos anda kemudiannya mencuri ide tadi atau setiap masa menganggapnya sebagai sampah, mungkin tiba masanya anda mencari bos baru.
(j) Cari Dan Dekati Mentor
Sepanjang 17 tahun karier saya, mentor-mentor inilah yang banyak membantu, memberikan ide, membuat teguran konstruktif dan menjadi rakan baik.
Tapi saya bukanlah seorang mentor. Belum lagi. Banyak perkara yang harus saya pelajari sebelum saya berani menggelar diri sebagai mentor :)
Itu saja.
Yang selebihnya belajarlah dari pengalaman, 'trial and error' serta melalui tunjuk ajar dari mereka yang lebih arif.
Dan yang lebih penting - DON'T STOP BELIEVING!
1 comment:
Asrul,
Ada minat untuk membantu sebuah organisasi Bank tempatan? Bank tersebut memerlukan 'talent' seperti anda untuk menerajui Head, Corporate & Communications.
Nama saya May. Email: mayhwang@mpskl.com.
Post a Comment