"Orang kita kalau nak buat event mesti gah. Belanja juta-juta. Bawak Jackie Chan, Shah Rukh Khan. Lepas event, hutang buat event tak bayar. Last-last, aku saman hang, hang saman aku!"
Itulah statemen seorang yang rapat dengan saya pada hujung minggu lepas. Beliau merujuk pada majlis pelancaran e-Village yang mana buat masa ini lokasinya sedang dibangunkan menjadi sesuatu yang begitu berlainan dari perancangan asal. Itupun setelah sekian lama menjadi padang jarak padang tekukur. Memang jauh panggang dari api berbanding gemerlip gemerlap pelancarannya dahulu.
Hakikatnya begitulah, orang Malaysia gemarkan majlis. Kalau majlis pelancaran korporat, gimik pelancarannya mesti berkilau-kilau, high tech dengan teknik pyro laser bercambuk dentum dentam. Kalau nak lagi gempak, panggil Siti Nurhaliza.
Pengurusan Majlis hanyalah salah satu dari kaedah yang digunakan oleh pengamal Komunikasi Korporat untuk memastikan objektif dan mesej yang mahu dikomunikasikan lancar. Event Management is the means, not an end.
Secara peribadi, melainkan jika saya diberikan bajet berjuta lemon, saya sebenarnya tak begitu ambil pot tentang gimik pelancaran contohnya. Saya melihat sesuatu Majlis itu secara 'keseluruhan' dan bukan setakat gimik yang tak sampai 5 minit.
Apa objektif yang hendak dicapai? Melancarkan produk? Mengumumkan usahasama atau inovasi baru? Ada tak wakil media massa yang dijemput? Bagaimana dengan angle kenyataan akhbar - adakah ia merupakan news material atau setakat karangan budak tadika? Apakah program-program kesinambungan dari Majlis itu? Atau adakah Majlis tadi sekadar perabis duit (dan beras)?
Dalam mana-mana organisasi korporat pula, adalah menjadi lazim bila saja kedengaran ada Majlis Syarikat yang hendak dilangsungkan tiba-tiba semua kakitangan menjadi ghairah.
Mungkin kerana kepingin merasai glamor. Mungkin kerana baju beratus ringgit yang dibeli dua tahun lepas memanggil untuk diperagakan semula setelah berabuk tersorok dalam almari. Ataupun memang selama ini hidup terlalu terperuk di antara dokumen dan Majlis ini dilihat sebagai 'pelepas lelah kerja' (dibaca: GET A LIFE, OK?)
"There is a Corporate Communications person in every department"; kata seorang lagi kenalan saya. Secara sinis, tentunya.
Faktor ini amat terserlah terutamanya bila ada sesuatu Majlis Korporat yang akan atau telah dilangsungkan. Masing-masing mahu menjadi pengkritik. Makanan tak sedaplah. Gimik tak gempaklah. Pot pet pot pet.
Nak komplen memang senang. Tapi bila dijemput menjadi ahli jawatankuasa penganjur Majlis, semua mengelak!
Jom buat Majlis.
Jangan rosak Majlis!
No comments:
Post a Comment