Kreativiti bukanlah sesuatu yang boleh dipegang secara zahir.
Bukan semua orang mempunyai daya imaginasi yang baik. Bagi mereka yang telah lama berkecimpung dalam industri ini, kita boleh membayangkan visual tertentu bila ada yang menggambarkan sesuatu permandangan atau cerita melalui kata-kata.
Namun bagi sesetengah orang pula, kita perlu meninta (atau melukis) gambaran tersebut di atas kanvas atau kertas sehampir mungkin dengan mesej akhir yang ingin kita sampaikan.
Saya kira inilah antara cabaran terbesar dalam karier mana-mana Pengamal Komunikasi Korporat. Banyak majikan atau klien sebenarnya tidak memiliki imaginasi sebegini.
Terlalu kerap rasanya saya mengalami situasi di mana klien atau majikan mempersoalkan Ringgit dan Sen terhadap sesuatu tugasan yang sebahagian besarnya bergantung kepada kreatif.
"Apesal agensi ni caj murah dan agensi ni caj gila punya tinggi?"
"Apesal kos untuk menerbitkan satu Kenyataan Akhbar lebih mahal dari kos Penganjuran Majlis? Bukan menulis tu lagi senang ke?" (Cuba suruh dia tulis sendiri, baru tau senang ke susah!)
Di sebabkan tanggapan bahawa tugas Komunikasi Korporat ini mudah, banyak agensi-agensi 'cendawan' tumbuh dengan melata sejak akhir-akhir ini. Ada yang ditubuhkan oleh pelajar yang baru sebulan menamatkan pengajian Mascom UiTM. Ada yang diasaskan oleh isteri kedua atau ketiga atau keempat (atau wanita simpanan) orang kaya yang hampir mati kebosanan di rumah. Ada yang didasarkan oleh 'hubungan bawah meja' dengan pegawai atau pengurusan organisasi tertentu.
Mereka menceburi bidang Komunikasi Korporat tanpa pengalaman. Mereka cuma tahu melanggar sesebuah organisasi, cekik wang sebanyak mungkin dan kemudiannya lari menghilangkan diri.
Mangkuk-mangkuk sebeginilah yang sebenarnya meninggalkan tanggapan negatif klien atau majikan terhadap Komunikasi Korporat. Lebih memualkan lagi, mereka meninggalkan persepsi salah akan metod yang betul dalam menjalankan aktiviti-aktiviti Perhubungan Awam, Pengiklanan atau Promosi.
Sebagai contoh, sebuah organisasi mungkin mempunyai polisi 'tiga sebutharga' bagi mana-mana pembelian.
Tapi bagaimanakah kita harus mencari 'tiga sebutharga' contohnya dalam menentukan lokasi majlis yang mahu dianjurkan? Masakan boleh kita membandingkan Hotel Mandarin Oriental dengan Hotel Ah Fatt! Atau Hotel Grand Continental dengan Melaka International Trade Centre!
Bagaimana harus kita bandingkan antara Leo Burnett dengan Syarikat Pengiklanan Ahmad? Atau agensi yang mempunyai 15 tahun pengalaman, memiliki premis dan kakitangan tetap dengan agensi yang terdiri dari orang perseorangan yang beroperasi sepenuhnya dari rumah kediaman sendiri?
Dalam membezakan antara 'Agensi Kaca' dan 'Agensi Intan', empat faktor bolehlah diambilkira:
(a) Pengalaman dan Portfolio Agensi - namun tak semestinya jika agensi tersebut telah bertapak 10 tahun, pengalaman mereka juga luas. Ada kemungkinan ia hanyalah pengalaman setahun yang diulang-ulang selama 10 tahun :)
(b) Saiz Agensi - ada agensi yang tak mengambil ramai pekerja tetap. Ada pula yang hanya beroperasi dari rumah sendiri. Hakikat ini membolehkan mereka meletakkan harga tugasan yang rendah kerana tidak perlu membayar kos 'overhead' tinggi seperti gaji bulanan dan sewa premis.
(c) Skop Kerja dan Jenis Industri Majikan/Klien - sesetengah agensi mempunyai pengkhususan dalam industri tertentu dan begitu arif dengan sepak terajang industri berkenaan.
(d) Agensi Sebenar atau 'Design House'? - satu salah faham yang amat ketara. Saya cukup pantang dengan klien yang merengek meminta berpuluh-puluh visual iklan untuk dipilih. Mungkin pada mereka, makin banyak pilihan dibeli, maka makin 'bagus' agensi berkenaan. Ini adalah pendekatan yang tidak cerdik. Kalau mahu puluhan (atau ratusan) visual, dapatkan khidmat 'Design House' yang rata-rata terdiri dari lepasan universiti yang bergerak secara 'freelance'. Tapi kalau mahukan konsep yang kukuh dan berjaya, dapatkan khidmat agensi yang sebenar-benarnya agensi!
Perniagaan Kreatif bukanlah perniagaan menjual skru, nat atau kekunci yang boleh dipegang, dibelek diotek-otek!
Dan tentunya bukan Perniagaan Pasar Malam!
1 comment:
=D
Post a Comment