Saturday, February 20, 2010

Hubungan Media: Jual Ais Kepada Eskimo!

"Asrul... kami nak launch produk baru. Memang canggih. Tolong organize Press Conference"; kata seorang klien tak lama dahulu.

"Wokay... tapi apa yang bagus sangat pasal produk tu?"; tanya saya.

"Woooo... ni memang lain. Kami guna teknologi Korea. Kalau sapu kat muka, 5 hari lepas tu sure putih melepak. Vitamin A, B, C, X, Z semua kami taruh. Hang try la dulu produk ni"; kata klien tadi dengan penuh semangat.

Saya tersengih sekejap. "Tapi tu lah ayat sama yang diguna beribu pengeluar produk kosmetik untuk berpuluh ribu barisan produk dia orang. So tell me... apa yang spesel sangat dengan produk hangpa?"; tanya saya dengan amat sinis.

"Kalau hang tak mau job ni tak apalah. Banyak lagi agensi lain sanggup buat". Dan klien tadi meletakkan telefon. Menamatkan perbualan.

Sepanjang 17 tahun karier saya sebagai Pengamal Komunikasi Korporat, rentetan dialog di atas sering berlaku dari masa ke semasa. Kadang-kadang saya terima juga tugasan tersebut sama ada untuk 'penetrate' organisasi berkenaan ataupun kerana... err... terdesak dan terpaksa (biasalah... ekonomi turun naik)

Tapi selalunya saya akan berterus terang kalau saya merasa pihak media akan membakul sampahkan Kenyataan Akhbar yang tiada memiliki sebarang nilai berita. Seperti kes di atas.

Pada saya mudah - kalau saya terlintas untuk bertanya akan sesuatu kemusykilan, kebarangkalian pihak media bertanyakan soalan yang serupa (atau yang lebih mendesak) adalah tinggi.

Terimalah hakikat bahawa seseorang Pengarang Berita menerima beribu-ribu Kenyataan Akhbar setiap hari yang meminta pertimbangan untuk disiarkan di dalam penerbitan mereka. Menurut seorang rakan 'insider', hampir 60% dari Kenyataan Akhbar yang diterima akan dibakul sampahkan atau terpaksa diedit secara keseluruhan.

Jadi apakah 'tips' utama dalam memastikan Kenyataan Akhbar anda diterima?

ANDA HARUS BERFIKIR DAN MENULIS SEPERTI SEORANG JURNALIS. Itu saja.

Walaupun anda dibayar gaji oleh syarikat, anda TIDAK BOLEH menulis Kenyataan Akhbar dari perspektif syarikat semata-mata. Mungkin syarikat telah membelanjakan berjuta-juta untuk sesuatu projek atau produk, Mungkin itulah pencapaian terbesar syarikat anda. Bos anda mungkin menyalak menghebah rata-rata dengan bangganya akan betapa canggih projek atau produk tersebut.

Tapi ia tidak bermakna jurnalis atau pengarang berkongsi pendapat yang serupa dengan anda. Atau bos anda.

Sebagai contoh, kereta melanggar ayam tidak mempunyai nilai berita. Ayam melanggar kereta hingga kemek, mungkin. Tapi ayam dilanggar kereta yang dipandu Perdana Menteri, jika diolah dengan kreatif, boleh menjadi bahan muka hadapan akhbar... ahaks!

Selagi anda tidak dapat menentukan sudut atau nilai berita terhadap projek atau produk yang ingin anda hebahkan, rasanya tak perlulah buang karan menelefon meja berita berkali-kali hingga mereka naik muak.

Jurnalis mencari berita. Jadi permudahkan kerja mereka. Jangan menulis Kenyataan Akhbar yang syok sendiri kemudian menelefon meja Pengarang sambil berlagak seperti ianya patut dipaparkan di muka hadapan.

Tetapi, yang membezakan antara Konsultan atau Pengamal Komunikasi Korporat yang sebenar dengan mereka yang hanya nak cekik darah klien/makan gaji buta ialah Kreativiti.

Secara ringkas, jika anda berjaya menjual ais kepada sekawan keluarga Eskimo, maka anda sememangnya kreatif!

No comments: