Ada beberapa organisasi, mungkin kerana kononnya mahu mengekang bajet, mengamalkan polisi Tiga Sebutharga dalam memilih kontraktor atau agensi untuk pelaksanaan projek, pembelian barangan atau apa-apa tugasan sekalipun. Selalunya pemilihan dibuat berdasarkan sebutharga yang paling rendah.
Saya akur andainya organisasi ini ingin membeli, contohnya, skru atau nat yang memiliki spesifikasi tertentu (dan diimport oleh berbilang lemon syarikat).
Tapi bila kita berbicara perihal tugasan yang bersangkut dengan Kreatif, pada saya ini merupakan polisi yang tidak relevan dan dalam banyak kes, BODOH.
Namun polisi BODOH ini tidak berakhir di sini. Selepas pemilihan dilakukan, agensi yang berjaya kadangkala terpaksa melalui satu lagi proses yang dipanggil Sesi Rundingharga, di mana setiap perincian kos dalam sebutharga akan digodam habis-habisan. Selalunya juga, klien tersebut akan menekan (dan mungkin memandai menetapkan) kos total yang mereka rasa patut dibayar.
Di penghujung Sesi Rundingharga ini, selalunya 'pengerusi' sesi tersebut akan mengeluarkan statemen berikut.
"Ini projek pertama syarikat awak dengan kami. Jadi fikirkan tentang faedah jangka panjang. Kalau awak boleh selesaikan tugasan ini dengan baik, lain kali kami akan panggil syarikat awak lagi. Jangan pula ingat kami nak menekan awak. Kami cuma menjalankan tugas".
Kemudian, ayat klise yang menimbulkan kemeluatan dalam diri pun dilancangkan.
"Walaupun kita dah potong kos, tapi pastikan kualiti kekal, OK?"
Saya akan beri analogi kenapa proses Tiga Sebutharga, lebih-lebih lagi Sesi Rundingharga, tidak harus dikenakan kepada sebilangan besar tugasan Komunikasi Korporat.
Bayangkan ada sebuah organisasi yang ingin mendapatkan khidmat penulisan dan penyebaran Kenyataan Akhbar. Setelah pengumuman tender dilakukan, lima syarikat mengemukakan sebutharga masing-masing.
Syarikat A meletakkan kos RM8,000.00 untuk tugasan ini.
Syarikat B, juga RM8,000.00.
Syarikat C, RM5.000.00.
Syarikat D, RM2,000.00.
Syarikat E, RM3,500.00.
Kalau hanya berdasarkan kos yang tertera dalam sebutharga masing-masing, tentunya anda akan memilih Syarikat D yang meletakkan kos termurah.
Namun adakah perbandingan seperti ini tepat?
Ini kerana hakikatnya:
Syarikat A merupakan sebuah agensi pengiklanan multinasional yang memiliki premis pejabat di KLCC. Kos RM8,000.00 tersebut adalah tidak termasuk kos untuk menyebarkan Kenyataan Akhbar tadi kepada media dan memantau hasilnya kelak (seperti media mana yang menyiarkan Kenyataan Akhbar tadi).
Syarikat B merupakan agensi perhubungan awam yang memiliki pengkhususan dalam Hubungan Media. Mereka memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini dan hasil kerja mereka tidak pernah menghampakan.
Syarikat C pula adalah agensi pengiklanan umum yang tidak mempunyai kepakaran dalaman terhadap bidang ini. Mereka terpaksa mengambil Konsultan luar untuk melaksanakan tugasan ini.
Syarikat D merupakan agensi cendawan tumbuh yang amat sedikit (atau tiada langsung) pengalaman dalam apa jua perihal Komunikasi Korporat sekalipun. Diasaskan oleh seorang Datin, isteri kedua seorang Dato'.
Syarikat E pula sebenarnya adalah orang perseorangan yang beroperasi dari kediaman sendiri, namun memiliki kepakaran dalam hal ehwal media.
Sekiranya klien ingin memastikan pemilihan yang benar-benar tepat, pengumuman tender (atau jemputan untuk sebutharga) harus dilakukan dengan lebih selektif. Pastikan hanya agensi yang berada dalam liga yang sama sahaja dijemput menyertai tender.
Namun malangnya ini tidak berlaku di Malaysia. Lebih malang lagi, polisi ini telah dilaksanakan sekian lama merata-rata hinggakan banyak organisasi memandangnya sebagai 'Standard Procedure'.
Klien dan organisasi yang ingin mendapatkan khidmat atau melaksanakan tugasan Komunikasi Korporat harus sedar bahawa jika anda membayar Kekacang anda akan mendapat Beruk!
No comments:
Post a Comment