Thursday, April 28, 2011

Simpati Untuk Al-Hallaj

Bayangkan pada suatu hari kita sedang berjalan-jalan di Pavilion Bukit Bintang. Tiba-tiba ada seorang Mamat berpakaian serabut mundar mandir berlari sana-sini berteriak menempelak "AKULAH KEBENARAN! AKULAH TUHAN!". Apa persepsi pertama anda terhadap Mamat tersebut?

Kita kini hidup di dalam era kurang-percaya diri, atau 'insecurity'.

Kita mudah gusar bila menerima emel atau SMS mengatakan bahawa kopi latte di Starbucks kononnya bercampur emulsfier berasaskan haiwan.

Kita cepat seronok bila mendengar latahan kononnya pelajar sekolah agama terlihat kalimah Al-Quran di biji buah durian.

Kita mudah tersentak bila menerima khabar angin kononnya tarian Poco-Poco mengagungkan agama menyembah roh dari Jamaica.

Kita lantas marah bila mendengar mitos kononnya lagu 'Baby' oleh Justin Bieber itu menghina agama Islam.

Tapi itulah hakikatnya - kita rasa kurang percaya-diri bila ada sanggahan terhadap sesuatu yang kita telah genggami turun temurun.

Tetapi agama bukanlah sesuatu yang boleh diobjektifkan. Sebarang langkah untuk 'meng-objektifkan' agama akan menelanjangi agama itu dari segala kekaguman, kudus dan rasa kecil insan yang seharusnya dirasa apabila berhadapan dengan Pencipta.

Mungkin sebab itulah golongan Ahli Sunnah begitu obses dengan hukum hakam dan fatwa. Kerana hukum hakam dan fatwa boleh diobjektifkan. Boleh dizahir depan mata, dipraktik, dibincang, ditelaah.

Mungkin sebab itulah kita meminati filem 'Khurafat', 'Senjakala' atau 'Santau' - kerana segala kepercayaan kita terhadap 'perkara ghaib' di-objektifkan, dipertonton dan diiyakan dengan jelas di hadapan mata.

Kerana kita hidup di dalam era kurang-percaya diri. Kita sentiasa mahukan 'bukti' bahawa apa yang kita percaya itu adalah Kebenaran hakiki.

Sufisme, Tarekat, Tasa'uf (atau apapun terma yang ingin dipanggil) bukanlah sesuatu untuk masyarakat umum. Terutama masyarakat yang telah terasuh untuk hanya berfikir secara objektif dan dipaksa menerima secara literal apa saja yang dikatakan oleh Tok-Tok Guru.

Bila berbicara tentang Pencipta, yakinilah bahawa "Wa lam yaqullahu kuffuan Ahad". Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. Tiada sesuatu pun perkara yang telah, sedang atau akan terlintas di kepala manusia adalah sama dengan-Nya.

Dia tidak 'bertutur' dalam Bahasa Arab, Aramik, Hebrew atau Latin (walaupun Dia yang menciptakan bahasa tersebut). Malah bila disebutkan bahawa Dia 'bersemayam', 'berkata' atau 'murka' - kita WAJIB percaya bahawa Dia tidak melakukannya seperti yang kita lakukan.

Bila saja Al-Husayn Mansur Al-Hallaj (858-922) mengatakan bahawa "Ana Al-Haqq", ia bukanlah bermaksud bahawa beliau dan Tuhan telah 'bersatu' secara literal.

Al-Hallaj merujuk kepada suatu situasi di mana segala kedhaifan, keegoan dan ciri duniawi yang ada pada beliau telah hilang lesap apabila ruang hati avatar-nya dikosongkan agar hanya 'tinggal' Kekasihnya semata-mata.

Suatu dimensi di alam metafizikal di mana diri beliau mampu 'lena beradu' dalam 'pelukan' maha kasih Maha Kekasih.

Sesuatu yang amat peribadi.

Sesuatu yang maha indah dan tak mampu diperjelaskan oleh kata-kata atau sebarang bahasa yang wujud di muka bumi.

Sesuatu yang hanya miliknya dan Kekasih yang amat dirindui.

Kekhilafan Al-Hallaj ialah kerana menghebahkannya kepada masyarakat umum suatu rahsia yang hanya sepatutnya dikongsi di antara beliau dan Kekasihnya.

Sebarang gerakan Sufisme, Tarekat atau Tasa'uf yang cuba menghebahkan aktiviti mereka, cuba menarik ramai pengikut, mengajar menyembah kubur guru yang dikatakan 'karamah' atau mengangkat pengasas gerakan itu melebihi darjat Rasulullah sendiri - maka gerakan itu mungkin tidak lebih dari sebuah gerakan devian.

Malah mana-mana guru yang beria-ria melakukan publisiti di kalangan pengikutnya bahawa "Wei... semalam aku dah bersatu dengan Tuhan secara harfiah", maka guru itu tak ubah seperti seorang nabi palsu.

Kerana Dia bukan kita.

Tapi kita adalah Dia.

Monday, April 25, 2011

Bayangan Tarimu

Satu ketika dahulu, nenek moyang kita melihat Tarian sebagai suatu upacara suci. Ianya bukanlah sekadar berhibur atau aktiviti menjalin tubuh fizikal dalam keramaian. Namun ia merupakan suatu ritual kehidupan penyatuan insan. Sebagai metafora kasih sayang dua hati. Sebagai imejan konflik dualistik antara manusia dengan Tuhan.

"Kau membuat ku terpikat kepadamu. Dengan gaya yang menarik, pesonakan diriku".

Sedetik muzik berkumandang, hati-hati insan bertemu di Lantai Tarian. Masing-masing melentuk liuk tubuh mengikut alunan tempo dan irama. Dentuman bass menggegar dada. Tiada satu pun lenggok yang formal. Masing-masing mempunyai gaya tersendiri. Melayan hati.

"Dan kini cintaku mula ku rasai. Untukmu gadis".

Dari ratusan tubuh berpusing pusang di Lantai Tarian, di mana lampu-lampu aneka warna gemerlap dipayungi asap dari mesin yang memedihkan mata, tiba-tiba suatu tubuh memasuki fokus mata.

Tubuh yang melangsungkan Tarian mengikut peribadi yang tersendiri. Ceria tapi masih sopan. Ramah tapi masih malu-malu. Menjemput tapi masih seakan menghindari.

Serentak itu kita terlupa akan ratusan tubuh yang lain di Lantai Tarian. Yang ada hanyalah kita dan dia.

"Dan di dunia ini, hanya engkau dan aku. Tiada apa yang pasti menghalangnya".

Mulanya mungkin agak janggal untuk menyamakan rentak derap Tarian kita dengannya. Bila dia ke kanan, kita ke kiri. Kadangkala hampir terpijak kaki. Kadangkala hampir tersondol siku. Segalanya kelihatan canggung. Kelihatan tidak akrab.

"Ingin ku bisikkan kata manisku. Harap kau mengerti maksud di hatiku".

Muzik bertukar. Dia mahu meninggalkan Lantai Tarian. Tangan dia dicapai. Digenggam. Seakan mencadangkan agar Tarian dihentikan seketika. Agar memulakan segalanya semula. Agar derap langkah lebih tersusun. Lebih cendana. Lebih anggun. Lebih seiringan.

Namun muzik terus berkumandang. Tarian harus terus. Tak boleh tercalar. Tak boleh bernoktah.

"Datanglah oh gadis yang ayu. Menarilah bersama denganku. Ikutlah irama dan lagu. Tunjukkanlah gaya Tarianmu".

Tiba-tiba seakan destini memanggil, segala derap langkah kita jadi seiringan dengannya. Dua bibir menguntum senyum. Dua pasang mata akhirnya bertemu. Dua calit hati akhirnya bersatu. Riang terasa dalam hati.

Walau apa rentak muzik yang mendatangi kemudiannya, kita dan dia bersumpah akan kekal berada di Pentas Tarian selama-lamanya. Hingga akhir nanti.

"Tari dan lagu pasti akan berakhir. Dengan wajah yang gembira, ku balas dengan mesra".

Muzik tiba-tiba terhenti. Berdua teragak-agak apa yang harus dilakukan kini. Sekilas kita menyedari bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini. Secara lahiriahnya seakan tiada lagi derap Tarian yang boleh dilangsungkan. Seakan impian telah ternoktah.

"Kini hatiku kau bawa bersama. Bersamamu gadis. Hatiku rasa pilu bila mengenangkanmu. Tak tahu bila kan bermesra lagi".

Yang tinggal hanyalah rasa rindu dan sepalit memori indah ketika bersamanya di Lantai Tarian. Sejuta lapan ratus ribu sembilan ratus tujuh puluh purnama yang lalu.

Dan apabila rindu datang bertamu, Lantai Tarian seakan mengundang semula Tarian bersama. Dengan lagu dahulu. Dan (mungkin) derap langkah yang baru. Yang (mungkin masih) seiringan. Yang (mungkin masih) mengembalikan kuntum senyuman.

"Ingin ku bisikkan kata manisku. Harap kau mengerti maksud di hatiku. Datanglah oh gadis yang ayu. Menarilah bersama denganku. Ikutlah irama dan lagu. Tunjukkanlah gaya Tarianmu".

Malam ini hanya kita berdua di Lantai Tarian.

"Dan di dunia ini..."

Aku mencapai tanganmu. Engkau menyambutnya erat. Tersenyum memandangku. Itulah senyuman yang telah berkurun ku rindu.

"...hanya engkau dan aku..."

Sudikah engkau menari denganku?

"...tiada apa yang pasti menghalangnya..."

Selama-lamanya?

© Lirik lagu 'Bayangan Tarimu' dari album Carefree, 'Kebebasan', 1979. Hakcipta terpelihara

Wednesday, April 6, 2011

Kias Fansuri: 95xpOSx

Setelah diri celik dan mengenal apa itu Ringgit dan Dolar, saya diperkenalkan kepada komputer secara ekstensif dengan penggunaan sistem operasi DOS dan perisian Wordstar. Ianya begitu asas, begitu terus, begitu lurus.

Tak lama kemudian, saya membeli sebuah komputer peribadi untuk kegunaan di rumah dengan sistem operasi Windows 95. Saya bereksperimen, merobek, memasang semula, menggodam, mengkaji.

Berpuluh-puluh buku saya beli dari yang dikhususkan kepada pengguna baru sehinggalah yang telah mahir. Perisian-perisian seperti Microsoft Office, Norton Utilities, Netscape, McAfee Anti-Virus, Windows C++, Visual Basic, Java semuanya saya tebak seperti beruk yang mendapat bunga.

Ketika Windows 98 dilancarkan, komputer saya mewajarkan 'upgrade' kerana menurut Microsoft sokongan terhadap Windows 95 akan ditamatkan tak lama selepas itu. Ada perisian yang dahulunya boleh digunakan, tidak lagi boleh dilatam seperti dahulu.

Bila Windows ME tiba dipasaran, saya teragak-agak untuk 'upgrade' kerana khabar awam menyatakan bahawa sistem operasi itu bermasalah.

Saya kekal menggunakan Windows 98 sehinggalah Windows XP diperkenalkan. Akhirnya, fikir saya, permasalahan dan isu pemecutan sistem-sistem operasi terdahulu dapat diminimakan. Walaupun migrain skrin biru, virus, spyware dan seumpamanya masih wujud, saya tetap menyokong Windows XP kerana ia kelihatan mudah. Pada pandangan pertama.

Mungkin kekalnya saya dengan Windows XP adalah kerana saya menyangka sudah tiada pilihan lain sebaiknya.

Sehinggalah saya diperkenalkan kepada Mac OSX Leopard.

Saya masih menggunakan Windows XP untuk komputer peribadi di rumah.

Namun untuk bekerja, memerah otak atau melakukan segala macam perkara 'advance' yang hanya mampu dilakukan komputer, saya tetap memilih Mac OSX, yang kini telah dibangunkan kepada versi Snow Leopard.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan saya andai ada mereka yang masih memilih untuk menggunakan Windows 95. Perubahan adalah sesuatu yang sukar.

Tapi bagi yang masih memilih menggunakan Windows 95, janganlah pula disanggah mereka yang memilih untuk menggunakan sistem yang lebih baik, lebih maju dan lebih sesuai dengan cara hidup, pemikiran dan sosiologi dunia kontemporari.

Bagi yang telah lanjut menggunakan yang terkini seperti Windows 7 sekalipun, rasanya tak perlulah terlalu prejudis terhadap mereka yang masih menggunakan Windows XP, ME, 2000, NT, 98 atau 95 (atau 3.1). Mungkin ada perkara yang boleh dipelajari dari sistem-sistem operasi terdahulu.

Ketaksuban dan keegoan akan kekal bersarang walau sistem operasi apapun yang dipilih untuk diamalkan.

Jika anda dah terlalu biasa dengan Windows 98, janganlah pula cuba mengandaikan bahawa pengguna Windows XP, 7 atau Mac OSX juga memilih untuk menjalani kehidupan seharian seperti anda.

Jangan hanya kerana anda diiktiraf Sifu Windows 98, terus pula anda mencaci dan memperlekehkan Sifu-Sifu sistem yang lain.

Hakikatnya mungkin Sifu-Sifu yang lebih muda, lebih luas minda namun kurang tumbuh rambut di muka itu memiliki kepakaran, cara berfikir dan ilmu yang lebih tinggi dan terkini dari anda.

Yang penting ialah berkompromi, menggembleng tenaga bersama ke arah dunia yang lebih baik. Lebih aman. Lebih makmur.

Tak kiralah sistem operasi manapun yang anda pilih.

Penghujungnya hanyalah bertumpu dan menjurus kepada matlamat yang SATU.

Monday, April 4, 2011

Yusuf Dan Zulaikha

Nota: Entri ini merupakan Bahagian Akhir trilogi yang bermula dengan 'Daud Dan Bathsheba' diikuti 'Setelah Dirogolnya Caenis'.

Ia adalah berbentuk observasi umum dan tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu atau pasangan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum.

________________________________

Beberapa minggu lepas saya mengikuti rombongan pengantin wanita dalam suatu 'Istiadat Menghantar'. Setelah tiba dan mengambil tempat, Doa Pengantin pun dibacakan oleh Imam dan sekelian undangan mengaminkannya.

Doanya (merupakan bacaan standard di mana-mana majlis akad nikah atau resepsi pengantin) lebih kurang berbunyi begini:

"Ya Allah kurniakanlah restu dan kasih sayang di antara kedua pengantin ini serta eratkan hubungan keduanya sepertimana telah Engkau hubungkan antara Adam dan Hawa, Ibrahim dan Siti Hajar, seperti Yusuf dan Zulaikha.... dan seperti Baginda Muhammad s.a.w. dan Khadijah..."

Selesai santapan halwa Nasi Minyak, tetamu rakan taulan semeja mula berborak kosong. Saya teringat pada Doa Pengantin yang dibacakan tadi dan spontan melakukan statemen berani mati:

"Eh... you all tahu kalau ikutkan Al-Quran, Nabi Yusuf dan Zulaikha TAK PERNAH BERKAHWIN, TAK PERNAH ADA HUBUNGAN CINTA dan lebih dari itu, Zulaikha MERUPAKAN ISTERI ORANG? Kita ni macam dok aminkan doa supaya bini orang buat affair jer..."

Isteri saya membalas statemen berani mati saya tadi dengan satu renungan tajam, seolah menyatakan yang tersirat di sebalik bola matanya yang nyaris tersembul keluar - "Why do you always have to say the wrong things at the wrong place and time?"

Namun itulah hakikatnya. Bukan sahaja Al-Quran tidak langsung menyatakan bahawa Nabi Yusuf dan Zulaikha pernah bercinta atau berkahwin, malah segala Hadith Sahih Rasulullah dan Kitab Perjanjian Lama juga tiada menyebutnya.

Anda juga mungkin terkejut jika saya menyatakan bahawa nama 'Zulaikha' itu sendiri tidak pernah disebut dalam Al-Quran. Beliau hanya dirujuk sebagai 'Imra'ah Al-Aziz' (Isteri Pembesar).

Manakala Kitab Genesis Rabbah juga merujuk beliau sebagai 'Isteri Potiphar'. Nama 'Zulaikha' hanya muncul dalam kitab-kitab tafsir dan buku agama selepas Kurun Ke 17.

Jadi siapakah 'Zulaikha'? Dari mana usulnya?

Surah Yusuf, surah ke 12 dalam Al-Quran (111 ayat) bermula dengan kisah mimpi akan tunduknya "sebelas bintang, matahari serta bulan" terhadap Yusuf (ayat 3-6) dan seterusnya mengisahkan kecemburuan saudara-saudaranya hingga tergamak menolak beliau ke dalam perigi (ayat 7-18). Yusuf akhirnya ditemui oleh sekumpulan musafir, dijualkan mereka kepada seorang Pembesar Mesir dan membesar di negara itu (ayat 19-22).

Kisah 'Zulaikha' atau dalam Al-Quran digelar 'Imra'ah Al-Aziz' hanya bermula pada ayat 23, dengan menceritakan 'godaan-godaan' wanita tersebut yang kebetulan isteri kepada lelaki yang membeli Yusuf sebagai hamba.

Ayat 24 pula (kemungkinan asas di mana 'plot romantika' Yusuf-Zulaikha kemudiannya diperkembangkan sekitar kurun 16) menyatakan:

"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa" (Surah Yusuf, ayat 24)

Ayat 25 hingga 29 merupakan episod 'kejar-mengejar keliling rumah', baju Yusuf dikoyak dari belakang oleh Imra'ah Al-Aziz dan bagaimana perbuatan tersebut kantoi setelah suaminya pulang.

Setelah Yusuf dibuktikan tidak bersalah, ayat 30-50 mengisahkan 'gosip lancang mulut tak berinsuran kaum wanita' negeri itu terhadap Imra'ah Al-Aziz, bagaimana wanita-wanita berkenaan terkesima dengan kehenseman Yusuf sampai terpotong jari dan akhirnya membawa Yusuf kepada pilihan untuk dipenjarakan daripada terus-terusan menerima 'godaan' wanita-wanita tersebut.

Ayat 51-54 pula seakan memberikan pengakhiran 'gembira' terhadap episod kekalutan Yusuf dan Imra'ah Al-Aziz, di mana wanita tersebut (dan wanita-wanita Mesir mulut lancang jari kudung) mengakui kesalahan mereka serta memohon keampunan Tuhan.

Selepas ayat 55, ayat-ayat seterusnya sehinggalah Surah Yusuf berakhir dengan ayat 111, tidak lagi menyebut perihal Imra'ah Al-Aziz berkenaan apatah lagi menamakannya sebagai 'Zulaikha'.

Bagaimanakah mitos fiksyen percintaan Yusuf-Zulaikha kemudiannya muncul dan akhirnya membuatkan Imam-Imam kontemporari terus 'tersalah faham' kononnya mereka berdua pernah bercinta/berkahwin sehingga bertindak 'mengabadikan' nama mereka dalam Doa Pengantin?

Mungkin jawapannya terkandung dalam kitab 'HAFT AWRANG' (bermaksud 'Tujuh Takhta') yang ditulis sekitar tahun 1468-1485 oleh Nuruddin Abdul Rahman Jami (1414-1492) seorang penulis dan penyair Parsi.

Adalah dipercayai bahawa nama 'Zulaikha' itu adalah rekaan tinta Jami sendiri!

Jami seolah-olah mengunjurkan bahawa Yusuf juga ada menyimpan rasa cinta terhadap Zulaikha walaupun wanita tersebut merupakan isteri orang. Di sebabkan 'keadaan status' yang tidak mengizinkan serta takut akan kemurkaan Tuhan, Yusuf memilih untuk memendamkan saja 'cinta sejati' beliau dengan Zulaikha.

(Andai saja komputer, Internet dan Facebook wujud ketika itu, mungkin Yusuf akan meletakan status perhubungannya sebagai 'It's Complicated', ahaks!)

Rasa cinta tersebut dikatakan bersambut apabila Zulaikha juga semakin hari semakin sayang semakin murung kerana berada dalam rasa gundah merana akibat terpaksa berjauhan dengan Yusuf, lelaki yang sebenarnya amat beliau cintai. Zulaikha menangis saban hari yang kemudiannya beranjak menjadi minggu, bulan dan tahun sehinggalah mata beliau kabur.

Namun dalam kejauhan tersebut, Zulaikha gembira kerana cinta dan gairahnya terhadap Yusuf secara tak langsung telah menemukan wanita itu dengan Kekasih Yang Maha Abadi. Konsep ini seterusnya diperkembangkan lagi oleh ahli-ahli Sufi seperti Mahmud Gami (1765-1855) dan merupakan antara intipati utama dalam kisah-kisah mitos 'Punjabi Qissa' yang disampaikan secara lisan oleh pedagang-pedagang Arab, Iran dan Afghanistan ke Asia Tenggara.

Pendekkan cerita, mitos 'Punjabi Qissa' ini kemudiannya melintang jalan dan menyelinap masuk ke dalam Doa untuk pasangan pengantin-pengantin baru, digunapakai Tok-Tok Imam dan diaminkan para undangan sehinggalah ke hari ini.

Bak kata pepatah klise "Andai kamu menyintai seseorang, lepaskanlah dia. Andai dia kembali padamu maka dialah milikmu selamanya. Andai tidak, maka dia tidak mungkin sebenarnya pernah" - mitos cinta Yusuf-Zulaikha dalam 'Haft Awrang' berakhir dengan 'happy ending' bak kebanyakan filem-filem Hindustan.

Al-kisahnya satu hari Zulaikha yang sudah berumur, berkedut, kematian suami dan selama ini menangisi cinta terlihat kelibat seakan-akan Yusuf di suatu lorong sibuk di tengah kota. Dengan tangisan kegembiraan, Zulaikha berlari ke arah kelibat lelaki yang berzaman dicintainya itu.

"Yusuf..."; Zulaikha memanggil.

Lelaki itu menoleh kepadanya. Benar sangkaan Zulaikha, itulah Yusuf, lelaki yang juga menyintainya.

Bertentanglah dua pasang mata yang menerbitkan rindu abadi sekian lama. Rasa cinta kembali bersemi.

"Di manakah hilangnya segala riak girang kehidupan di wajahmu?"; tanya Yusuf berbaur sayu.

"Semuanya hilang setelah aku berjauhan denganmu..."; jawab Zulaikha dengan airmata berlinangan di pipi.

"Di manakah pula hilangnya cahaya indah di matamu?"; tanya Yusuf lagi.

"Semuanya tenggelam dalam tangisan airmata darah setelah aku kehilanganmu..."; jawab Zulaikha penuh kekesalan.

Kata Yusuf; "Cinta ini telah sekian lama membuatku berpaling dari nafsu dan dosa. Namun hatiku tidak pernah berpaling darimu. Sesungguhnya aku juga amat menyintaimu. Takdir Tuhan telah menemukan kita dan dengan takdirNya juga hati kita kembali bersatu semula akhirnya".

Bagaikan suatu magika, segala kedut raut wajah Zulaikha yang telah dimamah usia kembali bercahaya, kembali muda.

"Hanya satu pintaku, Yusuf"; kata Zulaikha penuh harapan. "Aku ingin bersamamu selamanya dari saat ini".

Malaikat kemudiannya mendatangkan wahyu dari Pencipta Yang Maha Mengasihani:

"Sesungguhnya Kami telah mendengar tangisan dan doa Zulaikha (termasuklah) segala kedukaan, ibadat dan keluhannya. Dengan ini Kami membebaskan jiwanya. Dan dengan ini juga Kami menyatukan engkau abadi bersamanya"

Sesungguhnya tak perlu mencari teman seindah Sulaiman, jika diri tak secantik Balqis.

Tak perlu mengharap kekasih seteguh Ibrahim jika hati tak sekuat Sarah.

Akhir sekali, usahlah mendamba cinta semurni Yusuf andai kasih tak setulus Zulaikha.

________________________________

(Nota: Prosa 'pertemuan semula' Yusuf-Zulaikha merupakan tafsiran peribadi saya sendiri berdasarkan terjemahan puisi dari kitab mitos fiksyen 'Haft Awrang' tulisan Nuruddin Abdul Rahman Jami.

'Episod', puisi serta 'wahyu' di atas adalah merupakan ilham tinta Jami dan bukanlah terkandung dalam Al-Quran. Harap maklum)