Terlebih dahulu, ingin saya nyatakan di sini bahawa umumnya saya tidak begitu mempercayai hal-hal mistik, tahyul dan khurafat yang agak kental bersarang dalam sosio-budaya masyarakat Malaysia.
Ini termasuklah yang berkaitan dengan hantu, air jampi, pukul orang dengan topi keledar dan penyapu untuk menghilangkan ketagih rokok, UFO, Bermuda Triangle, keramat, guna-guna, pukau untuk curi kad ATM, diculik bunian, berkahwin dengan bunian, pinjam pinggan mangkuk untuk kenduri dari bunian dan segala yang sewaktu dengannya.
Saya banyak menulis tentang ini di BandarUtopia@Yahoo!Groups yang mana kebanyakannya mempunyai subjek trademark 'Enuma Elish (E2)'. Ketika itu (malah sekarang ini) saya cuba berbincang mengenai pentingnya menerapkan Metoda Pemikiran Saintifik sebelum membuat sesuatu keputusan atau mempercayai sesuatu berita. Bentuk pemikiran ini juga boleh diterapkan kepada sesuatu kepercayaan warisan untuk memastikan kejituan sesuatu yang nenek moyang kita anggap sebagai kepercayaan mutlak. Selagi ianya boleh disangkal, pada saya, ianya masih belum mutlak.
Walau begitu, saya tidaklah terlalu sombong menjadi skeptik tegar kerana sejauh mana saya mempercayai bahawa setiap insiden 'paranormal' atau 'mistikal' itu sebenarnya memiliki penjelasan yang lebih mudah (dan tiada kena mengena dengan hantu tetek atau pocong), saya juga akur bahawa masih banyak lagi rahsia alam yang belum diketahui manusia.
Cuma kita tidak harus terus saja mengaitkan sesuatu perkara yang tidak kita fahami kepada 'ehsan makhluk halus'.
Menjejakkan kaki di negeri yang kaya dengan tradisi Puja Pantai, Mak Yong, ritual Wayang Kulit dan Main Puteri, tidak dapat tidak, membuat diri merasa seolah-olah diserap masuk ke dalam sebuah alam mistikal.
Batu Cincin Dari Gua
Pengalaman ini sebenarnya dialami ketika kali pertama beraya di Kelantan setelah bergelar laki orang. Ketika itu ada seorang lelaki (kini arwah) yang dikatakan boleh berkomunikasi dengan bunian yang akan 'memberitahu' tentang lokasi batu-batu cincin yang tertanam jauh di dalam dinding gua.
Namun ketika rombongan kami mengikut beliau meneroka sebuah gua di sekitar Gua Musang, kami tidak menemui apa-apa kerana menurutnya gua itu telah 'dicemari oleh pembuat maksiat dan penyeru nombor ekor'. Mungkin juga kerana beliau sedar ada seorang skeptik dalam rombongan tersebut yang bertanya 'terlalu banyak soalan' malam sebelumnya :)
Sewaktu berhari raya di Kelantan baru-baru ini, salah seorang bapa saudara menunjukkan sebutir batu cincin yang ditemuinya ketika mengikuti salah satu kembara tersebut. Tanpa bateri, batu cincin ini mengeluarkan cahaya merah terang apabila dibasahkan dengan air.
Puja Keramat
Salah satu aturcara Aidilfitri 1429 ialah menghadiri perhimpunan keluarga Long Gaffar di Kampung Saring, Pasir Puteh. Long Gaffar merupakan pemerintah negeri Kelantan dari tahun 1762-1775 dan dipercayai merupakan waris sebenar kesultanan negeri tersebut sekarang.
Kami dibawa melawat kubur Tengku Bendahara yang dikatakan menjadi 'keramat' dan sering dikunjungi oleh pemuja-pemuja nombor ekor tanpa mengira bangsa.
'Bakat' Istimewa
Salah seorang saudara dikatakan boleh berkomunikasi dengan haiwan ketika kecil. Saudara sedarah beliau yang lain pula dikatakan mampu mengetahui 'dosa' seseorang sebaik sahaja menyentuh kulit orang tersebut. Adakah termaktub gen-gen keluarga terhadap 'bakat unik' ini yang masih belum mampu ditebak sains? Ataukah sekadar kepercayaan massa (mass belief) seperti mana dakwaan melihat ayat-ayat Al-Quran di langit?
Saya mulanya ingin mengambil foto dua gadis berkenaan (yang kini sudah remaja) dan memaparkannya di blog ini, namun rasa seperti menceroboh privasi pula! Yang pasti, saya tidak dapat menguji kebenaran bakat mereka kerana, hmmm, haram bagi bukan muhrim bersentuhan, kan?
Hilaian Pada Pukul Tiga Pagi
Sekitar pagi Hari Raya kedua, saya dan beberapa orang lagi dikejutkan oleh hilaian wanita. Walaupun kurang pasti sama ada hilaian itu datangnya dari dalam atau luar rumah, saya tidak begitu ambil pot sangat tentangnya dan menyambung tidur.
Keesokkan harinya saya mendapati bahawa hilaian itu datangnya dari Bibik keluarga saya yang bermimpi dikejar hantu!
Al-kisah, anak saudara saya pada senja itu menangis tanpa henti. Oleh itu Bibik keluarganya berkata; "Kalau mau kacau, janganlah kacau anak kecil ini. Pergilah kacau yang besar macam Bibik Su (Bibik keluarga kami)". Oleh itu, mungkin tertanam kesedaran saikologi tanpa sedar pada Bibik kami bahawa malam tersebut beliau akan 'diganggu' hantu sehingga terbawa-bawa dalam mimpi!
Pendeknya, kalau kita percaya bahawa tubuh manusia terdedah kepada rasukan 'semangat' dan 'makhluk halus', maka itulah yang akan kita persepsikan bila saja rakan sekelas tiba-tiba dilanda histeria. Tindakan seterusnya mungkin dengan memanggil pawang atau bomoh berjampi serapah untuk 'menghalau' semangat tersebut. Tidak terlintas pula bahawa rakan kita itu sebenarnya 'tension' dengan masalah keluarga, pembelajaran atau cintan-cintun sehingga tak terkawal!
Namun jika kita percaya bahawa tubuh manusia adalah dipengaruhi oleh faktor saikologi yang bergantung kepada cuaca, persekitaran dan fatig seseorang, kita akan mendapatkan rehat yang cukup, bawa bertenang, menyelesaikan masalah dengan rasional atau setidaknya mengambil preskripsi tertentu.
Sesuatu itu hanya akan berlaku menurut apa yang kita percayai!
Nota: Fotografi untuk Mak Yong dipetik dari laman UNESCO dan Wayang Kulit dari Arkib Negara Malaysia. Pocong pula dari Blog Hantu.