Friday, March 11, 2011

Setelah Dirogolnya Caenis

Nota: Entri ini adalah berbentuk observasi umum dan tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu atau pasangan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum.

__________________________

Arakian suatu ketika dahulu di zaman Greek purba, di sebuah bandar tepian pantai bernama Thessaly, seorang gadis jelita bernama Caenis berlari menyusuri pasir sambil kakinya mencecah ombak yang datang dan pergi.

Kegirangan dan kejelitaan Caenis diperhatikan dari jauh oleh Poseidon, Dewa Lautan.

Apabila keghairahannya memuncak, Poseidon terus menyerang Caenis, membaringkannya di atas pasir dan mengoyak baju yang dipakai gadis jelita itu

"DIAM!"; kata Poseidon dan seterusnya merogol Caenis sehingga gadis itu lemas terkulai tidak berdaya.

Selepas itu, Poseidon merasa kesal dengan tindakannya dan membenarkan Caenis meminta apa saja sebagai tebus perkosaan tersebut.

Caenis berkata; "Jadikan aku seorang lelaki yang kebal dan gagah agar aku tidak akan diperkosa atau dimalukan sebegini lagi".

Caenis kemudiannya dimetamorphosis sebagai Caenus, seorang Lelaki.

*************************

Dalam sesuatu perhubungan Lanang-Inang (dibaca: lelaki-wanita) selalunya Si Lanang akan kekal Lanang dan Si Inang akan berserah pada nasibnya sebagai seorang Inang bila saja sesuatu ketidakadilan berlaku - seperti kisah pemerkosaan Caenis tadi.

Si Lanang selalunya akan disebelahi oleh rukun hukum hakam yang menuntutnya sebagai ketua. Selalunya hukum ini akan dimanipulasi Lanang untuk terus-terusan menyetrap Inang.

Bila saja Inang cuba mempertahankan haknya, Lanang akan menakut-nakutkan Inang dengan dosa api neraka andai Inang tidak menurut perintahnya.

"JANGAN JADI INANG NUSYUZZZ!!!!"; jerit Lanang sambil melayangkan sela pada Inang yang sedang berlinangan airmata.

Sehari kemudian, Lanang cuba memujuk Inang yang disakiti.

"Inang mahu apa, nanti Lanang belikan"; pujuk Lanang lembut.

Masa berlalu. Kelahi dan baik semula. Kado dipersembahkan. Kelahi dan baik semula. Kado dipersembahkan. Kelahi dan baik semula. Kado dipersembahkan. Berulang-ulang.

Lanang masih lagi dengan honarnya memperlakukan Inang sesuka hati. Malah adakalanya bila Inang merasa tidak berupaya, Lanang akan memaksa Inang menerima penetrasinya. Inang merasa seperti diperkosa.

Namun apa boleh buat, Inang hanyalah Inang. Kalau terkhilaf ujar, nanti dipelempang pula. Itupun kalau tak pula ditakutkan dengan balasan api neraka.

Inang mengalami transformasi psikologi dari seorang wanita periang kepada seseorang yang gusar, takut-takut dan hanya memendam rasa. Inang berevolusi menjadi seseorang yang amat berlainan dari asalnya.

Inang sebenarnya bukan lagi Inang.

*************************

Caenis yang telah menjadi Caenus pada satu hari telah diserang oleh segerombolan centaur (haiwan separuh kuda separuh manusia). Walaupun beliau cuba melawan, namun Caenus akhirnya tewas juga. Satu melawan sepuluh.

Ketika mayat Caenus diturunkan ke lahad untuk dikebumikan, semua yang ada di pusara tersebut tergeramang.

Ini kerana jasad Caenus telah berubah semula kepada asal.

Semula menjadi seorang Wanita.

Tanpa Syarat, Tanpa Balasan (Bhg 2, Merangkap Sekuel Tak Dirancang)

Nota: Entri ini adalah berbentuk observasi umum dan tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu atau pasangan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum.

Sila klik SINI untuk Bahagian Pertama.

__________________________

Entri blog ini pada asalnya tidak seharusnya wujud. 'Bahagian Pertama' entri ini tidak pernah dikarang untuk memungkinkan satu sekuel.

Malah 'Bahagian Pertama' tersebut sebenarnya merupakan sekuens intiha untuk suatu Trilogi - 'It's What I Wrote, Not What I Meant!' diikuti 'Tiga Perkataan, Jutaan Rasa, Satu Sumber' dan berakhir dengan 'Tanpa Syarat, Tanpa Balasan'.

Saya telah menulis secara aktif di alam siber sejak tahun 2001. Ada rakan yang dengan setia mengikutinya - untuk ini saya ucapkan terima kasih.

Ada juga rakan yang sudi berbincang - sama ada untuk memperbetul atau menambah nokok sesuatu subjek yang dibincang demi menjadikannya bertambah bernas - itu juga saya titahkan syukran.

Tetapi bila ada yang cuba saya sampaikan itu 'Sesat Dalam Terjemahan' oleh pembaca yang kemudiannya cuba mempraktikkan apa yang difahami (secara khilaf) dalam kehidupan beliau sehingga mungkin meninggalkan rentetan efek negatif - itu membuatkan saya gusar.

Dan kesal.

"He hurt you. He raped you. He talked bad about you on his Facebook. He screamed at you, belittled you and never once conveyed his appreciation for everything you've sacrificed for him. Why are you letting him take you for granted"?

"Please don't say that. Yes, he did all that to me. I don't have a choice. I wanted to leave. But he begged me to stay. Still, I want to leave him. Soon".

"Yeah right. Then you went on and gave him an item costing RM1,800 as a gift. You paid for your vacation with him too. Overseas. For what? You're leaving him, anyway"!

"But... but... you're the one who wrote about 'Unconditional Love', isn't it? To keep on giving and to never expect anything in return? I'm learning from what you wrote. I learned it from YOU".

Saya terdiam. Tak tahu apa yang patut dijawab.

Pertama sekali, Trilogi tersebut pada dasarnya ditulis sedemikian rupa demi membolehkan pembaca melakukan intepretasi sendiri berdasarkan takuk persepsi yang selesa dilungsuri.

Anda boleh membacanya dengan membayangkan bahawa 'Cinta' yang dimaksudkan tersebut merupakan cinta insani seorang lelaki kepada seorang wanita.

Atau cinta material terhadap alam semulajadi, karier, keluarga, sahabat, kucing dan seumpamanya.

Atau jika anda berfikir seperti saya ketika menulis Trilogi tersebut - anda akan memaklumi bahawa ianya berkisar pada Cinta seorang hamba kepada Al-Khaliq.

Secara mutakhir, itulah pondamen serta nawaitu saya sebenarnya.

Dan asas mutlak Trilogi berkenaan.

Namun 'Cinta Tanpa Syarat' bukanlah harus dijadikan alasan rapuh untuk terus menerus memberikan segalanya kepada dia yang kita kononnya cintai.

Kerana walaupun mungkin anda memiliki 10 alasan untuk terus menyintai dan memberikan segalanya, terdapat 100 alasan lain yang mengatakan bahawa adalah jauh lebih baik untuk anda meninggalkan saja manusia yang terang-terangan hanya mempergunakan anda - sama ada untuk kebendaan material ataupun sekadar untuk seks.

'Cinta Tanpa Syarat' juga bukanlah alasan untuk terus menerus berada dalam pembohongan diri ('self denial'). Kerana anda hanya menipu diri sendiri dengan meletakkan pretensi palsu bahawa kononnya anda masih bersama beliau atas dasar 'cinta'.

Dalam proses pembohongan diri tersebut, anda juga sama ada dengan sedar atau tanpa sedar telah membohongi semua putaran basyar dalam bundaran hidup kita - ibubapa, saudara, rakan, handai, taulan, kesemuanya.

'Cinta Tanpa Syarat' bukanlah alasan untuk terus berada dalam pembohongan ini.

Sama ada anda berani mengakuinya atau tidak, segala runtunan merakah yang telah dilakukan pada hujungnya akan bertumpu pada sezarah titik fokus akhir yang hakiki.

Hakikatnya anda adalah terlalu LEMAH.

LEMAH untuk bangun merubah keadaan.

Oleh itu janganlah menggunakan 'Cinta Tanpa Syarat' sebagai alasan.

Terutama apabila anda sendiri tahu bahawasanya apa yang anda rasai, alami dan hadapi dengan manusia tadi langsung bukannya suatu Cinta!

Wednesday, March 9, 2011

'Dunia Yang Ku Cari' 1995

Pada 2 November 1995, dua insan telah memulakan jejak langkah ke arah satu penghidupan baru.

Inilah suatu perjalanan yang pasti ditempuhi oleh semua makhluk Tuhan.

Suatu perjalanan menuju impian dan kehendak naluri yang terasas.

Suatu perjalanan menempuh rimba indah dan ranjau tajam.

Suatu perjalanan ke arah pencarian abadi.

Dalam hidup mencari destini tetap
Padanya mengembara
Meneroka, meliar
Padanya penuh warna dan irama
Padanya putih pasti
Dan lampai indah
Padanya bibir manis menggigit
Padanya hati penuh suci
Dunia yang ku cari

(Mohammed Hashim, Seberang Perak, 10/9/1967)

Klik SINI untuk menonton video (Bahagian 1-4)





© 1995 Asrul Muzaffar Mohammed, All Rights Reserved

(Aneh) Bila Mahu Menulis Semula!

Entri terakhir yang saya tulis sebelum ini ialah pada 21 Disember 2010, mengenai 'Daud dan Bathsheba' - lakaran hakikat bahawa semua yang terjadi ada hikmah yang mungkin belum mampu digarap ketika ini dan hanya terdaya dicalik lama kemudiannya.

Dah lebih 2 bulan rasanya tiada sebarang bagan benak ini dapat tertinta secara lahiriah.

Akhir minggu lepas, saya menukar foto profil Facebook kepada sebuah citra berbentuk konseptual. Walaupun ide asalnya dicuri dari poster filem 'Desperado' (hehehe) namun masih daya memiliki mesej sendiri.

Saya menamakan citra ini sebagai 'Remorse' (Keinsafan).

Pistol merupakan simbolisme sebuah alat keperkasaan yang boleh membunuh, mempengaruhi oknum untuk menuruti perintah dan setidaknya bak kata Generasi-Y, nampak 'cool' ketika menggenggamnya.

Umpamanya dengan sebuah alat keperkasaan seperti pistol dalam tangan untuk dimanfaatkan, citra ini merupakan refleksi diri yang akur dan insaf terhadap diryah dan kekhilafan lalu.

Walau mungkin 'kuasa' itu masih ditangan, namun keinsafan tadi telah 'menahan' diri untuk tidak kembali menggunakannya.

Bukanlah untuk mengatakan jangan langsung menggunakan pistol ini kelak. Apa yang telah berlaku merupakan pengajaran agar lebih berhati-hati di masa hadapan. Agar pistol itu hanya digunakan bila benar-benar perlu sahaja.

Seorang bekas rakan serumah ketika di U.K. sekitar 1990-1992 dahulu mengeluarkan komen terhadap citra ini. Katanya; "Asrul, as usual, you always have to be different". Saya tersengih membacanya.

Merenung semula akan evolusi diri, saya kira ketika remaja kita selalunya cuba untuk berkelumpuk dengan mereka yang popular. Untuk merasakan bahawa diri 'tergolong' dalam suara ramai dan tidak mahu dichop sebagai 'deviant'.

Namun saya tidak begitu. Sebolehnya saya cuba menjadi 'lain'. Bila orang diam, saya bangun bertepuk. Bila orang bangun bertepuk, saya diam.

Mungkin ketika itu saya masih tercari-cari diri, mengebek personaliti dan halatuju hidup yang masih agak kabur.

Segala perlakuan untuk menjadi 'lain' itu seakan kandas dengan berakhirnya zaman sebagai studen.

Bukanlah saya mengatakan bahawa perkahwinan, karier atau anugerah arek yang diterima sejak itu sebagai sawar.

Malah semua itu merupakan penetapan titik fokus hidup yang lebih utuh - menjadikan urip ini lebih bermakna.

Cuma anggaplah saya seperti seekor ular yang masih bersalin kulit dari masa ke semasa. Mungkin hidup, karier, pemikiran dan impian diri ini memerlukan metamorphosis sekali lagi.

Mungkin telah tiba masanya untuk menjadi 'lain' semula.

Mungkin menjadi 'lain' dengan suatu Keinsafan baru. Lebih gagah namun semakin merunduk.

Dengan pistol masih ditangan, tentunya! :)