Friday, February 29, 2008

Kredibiliti Bukan Sekadar Pada Rupa

Merujuk ke posting Di Landasan Yang Sama Rata, ada yang bertanya kenapakah bila diletakkan gambar ketua organisasi besar-besar dikatakan boleh "mengundang ketaksuban"?

Mungkin saya tidak semestinya betul, namun strategi meletakkan gambar pengasas atau ketua sesebuah organisasi pada kolateral korporat/produk seakan sudah menjadi 'trend' di Malaysia. Mungkin pengasasnya syok sendiri, gila glamour atau perasan hensem/lawa. Mungkin juga ingin meniru membuta-tuli kaedah yang dilakukan oleh ahli perniagaan barat seperti Donald Trump yang mempromosikan diri sendiri sebagai jenama (Donald Trump adalah kes yang berbeza).
Saya pernah buat kenyataan sewaktu satu pembentangan kepada klien bahawa pengusaha kosmetik Malaysia begitu gemar meletakkan wajah sendiri. Sila rujuk iklan-iklan Sendayu Tinggi sebagai contoh terbaik. Saya faham andainya strategi pemasaran awal mereka melakukan sedemikian  berdasarkan bentuk pengedaran produk yang memerlukan orang mengenali siapa di sebalik organisasi/produk berkenaan. Namun setelah bertahun-tahun beroperasi, imej yang diberikan bila saja strategi ini dikekalkan adalah 'syok sendiri'. Atau 'gila glamer'.
Pernahkah anda melihat wajah-wajah Gianni Versace, Giorgio Armani, Yves Saint-Lauren dan seumpamanya pada iklan produk kosmetik mereka? Ini kerana nama-nama ini meletakkan paksi kredibiliti syarikat dan produk menggunakan NAMA dan bukannya wajah mereka. Wajah mampu berkerut berkerudut namun nama, jika dijenamakan dengan baik (serta pematuhan kualiti produk yang konsisten), akan kekal sampai bila-bila sebagai legasi.
Begitu juga argumennya dengan layout manifesto parti pemerintah tadi. Seperti yang saya telah nyatakan, andai diletakkan imej KLCC atau Putrajaya yang diambil menggunakan sudut fotografi yang artistik misalnya, sudah cukup untuk memberi ilustrasi kredibiliti parti berkenaan. Semua orang telah mengenali beliau. Baca paper, tonton TV, poster tepi jalan --- semua ada gambar dia. Parti pemerintah bukanlah beliau dan beliau bukanlah parti pemerintah. Beliau merupakan tonggak utama yang dilantik untuk menampilkan segala wawasan, pengalaman dan kepakarannya demi membawa parti (dan seluruh negara) ke arah kecemerlangan.
Ketaksuban yang paling baik contohnya ialah perbuatan mengagung-agungkan ketua sesuatu pertubuhan agama seperti Al-Arqam satu masa dahulu. Jika anda menaiki teksi syarikat mereka contohnya, serata ceruk teksi akan ditampal dengan wajah pengasasnya. Bila pemandunya buka dompet untuk memulangkan wang baki, kelihatan gambar beliau lagi terselit di celah-celah (gambar anak isteri pemandu tadi pun tidak diletakkan). Bagaimana di rumah mereka, wallahualam. Mungkin poster gambar pengasasnya menjadi wallpaper di kesemua dinding rumah. Yang lucunya, mungkin golongan yang sama juga adalah antara yang mencemuh perlakuan anak-anak muda menampal poster-poster artis di bilik tidur!
Dalam konteks inilah saya memahami kewajaran fatwa mengharamkan sebarang pemaparan imej Rasulullah s.a.w. Pemaparan imej Baginda mula dilakukan beratus tahun setelah kewafatan Junjungan Besar ini dan antara manuskrip awal (yang diketahui) melakukannya ialah Kitab Jami'al Tawarikh (1310). Ini bermakna Islam mengkehendakkan pengikutnya menilai agama tersebut pertama-tamanya melalui ISI dan SPIRITUAL, bukannya semata-mata kerana keperibadian Rasulnya. Islam harus dilihat sebagai satu pakej lengkap dan bukannya melalui serpih, stereotaip atau cabang tertentu. Dan tentunya bukan melalui pakaian atau ukuran betapa berbuihnya seseorang itu melafazkan ayat-ayat Al-Quran/Hadith di dalam sesuatu ceramah. 
Argumen yang sama juga saya unjurkan untuk kes manifesto parti pemerintah dan hehehe... Sendayu Tinggi. Kredibiliti sesebuah organisasi diukur melalui pencapaian organisasi tersebut. Kelebihan 'deliverables' diukur dengan kualiti produk, khidmat pengguna dan sumbangan kepada masyarakat. Bukannya memberi fokus utama kepada Ketuanya.
Bayangkan jika Ananda Krishnan menghiasi setiap iklan Maxis. Atau Mendiang Lim Goh Tong untuk iklan Genting...
Bagaimana pula dengan pendekatan saya?
Kajian kes yang ingin saya utarakan ialah, well... CHANTEK. Pendekatan ini sebenarnya selaras dengan konsep dan pengarahan seni keseluruhan buku ini, namun saya rasa sesuai untuk dijadikan contoh.
Memandangkan CHANTEK diterbitkan oleh sebuah kementerian kerajaan, seperti biasa, kami harus meletakkan gambar Menteri dan Ketua Setiausahanya pada kata-kata aluan di permulaan buku. Sebagai 'melarikan diri' dari pendekatan konvensional yang selalunya dilakukan oleh badan Kerajaan (yang membawa kepada stereotaip 'tahap gomen'), kami mengunjurkan konsep yang tidak langsung memaparkan gambar-gambar mereka, namun cukup untuk 'menyatakan'.
Untuk kata-kata aluan Menteri, setiausaha beliau pada mulanya seakan sudah bersedia menyatakan bahawa "Datuk Seri sibuk" bila saya memulakan perbualan telefon meminta nasihat tentang jadual sesi fotografi CHANTEK. Mungkin setiausaha tadi terkejut kerana mungkin juga inilah pertama kali sebuah agensi meminta untuk memotret MEJA Menteri dan bukannya Menteri itu sendiri! Dan saya juga meminta sekeping 'name tag' Menteri untuk sesi fotografi tadi. Bila ditanya kenapa, saya menyatakan "Nanti kalau Datuk Seri terlupa bawa name tag, tunjuk jer halaman kata-kata aluan dia dalam CHANTEK...."
Pendekatan yang sama kami lakukan untuk Ketua Setiausaha kementerian tadi. Asalnya kami meminta dipinjamkan 'brooch' atau tudung kegemaran beliau, tapi beliau menyatakan dia tidak mempunyai mana-mana favorit. Jadi kami hanya menggunakan Kad Perhubungan (Calling Card) beliau. Mungkin namanya tidak begitu dikenali, jadi kami 'memasukkan' sama pangkatnya. Sekali lagi, cukup untuk 'menyatakan'.
Untuk 'The Number One Man', asalnya kami menginginkan satu sesi fotografi bersama beliau yang mana konsepnya tidak memaparkan wajah beliau secara langsung. Namun oleh kerana faktor kesibukan dan kesuntukan masa, kami berkeputusan untuk mengambil imej sepotong nama penuhnya yang tertera dalam editorial sebuah majalah dan diadun dengan beberapa imej lain menggunakan Photoshop. Imej nama tadi disulam dengan perkataan-perkataan yang diasosiasikan dengan pembangunan seperti 'empowerment', 'strategic' dan sebagainya.
Secara ringkas, selain melarikan diri dari kebiasaan, kami berpendapat bahawa kredibiliti dan sumbangan seseorang individu (atau organisasi) bukanlah terletak di raut wajah seseorang namun melalui 'ruh' atau 'spiritual' yang mendiami individu tersebut. Apa yang di dalam. Bukannya yang di luar. Don't judge the book by its cover, dude...
Inilah sebenarnya yang menjadikan seseorang atau sesebuah organisasi itu CHANTEK...
Sebagai trivia, inilah antara julung-julung (mengikut pengetahuan saya) 'The Number One Man' bersetuju memasukkan kata-kata aluan beliau dalam sebuah buku 'coffee-table' terbitan kerajaan. Menurut salah seorang setiausaha beliau yang mana saya temui beberapa kali di pejabatnya (ya... saya telah ke sana...), 'The Number One Man' itu sendiri telah meneliti mock CHANTEK dan seterusnya memberi persetujuan. Ini merupakan suatu penghormatan kepada seseorang seperti saya.
Trivia juga, mungkin CHANTEK adalah satu-satunya buku terbitan kerajaan yang tidak langsung memaparkan foto wajah mana-mana pemimpinnya!
Kepada yang baru mengakses BandarUtopia@Blogspot, CHANTEK merupakan buku 'coffee-table' yang pasukan saya usahakan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2007. Hanya menunggu masa (terbantut kerana prioriti Pilihanraya) untuk dipasarkan, anda boleh membaca mengenai 'di belakang tabir' buku ini melalui link-link berikut:

Bila dan di mana CHANTEK akan dilancarkan dan seterusnya berada di pasaran, tunggu saja pengumuman menerusi ruang ini!

Thursday, February 28, 2008

BandarUtopia@Blogspot

Saya akui mulanya saya agak skeptikal untuk menggunakan blog.
Ini kerana saya dapati kebanyakan blog yang ada lebih cenderung berbentuk 'diari' yang mana penulisannya seakan syok sendiri. Saya teringat satu ketika dahulu, sebelum Revolusi Internet meletup-letup, remaja menyimpan rekod seharian melalui sebuah buku yang bergelar 'Diary' yang mana isinya adalah begitu sulit dan peribadi. Buat yang wanita, mungkin akan memulakan setiap entri dengan "Dear Diary, Hari ini aku dimarahi lagi oleh Cikgu... bla bla bla".
Di era millenia, diari masih lagi relevan, cuma bezanya segala yang ditulis boleh dibaca oleh berbilion pengguna ruang siber!!!
Atas cadangan dan dorongan 'blood brother' saya yang memiliki blognya sendiri bernama SuratDalamBotol, saya akhirnya mengalah.
Blogspot dan Yahoo!Groups memiliki kelebihan dan kekurangan sendiri, terutamanya dari segi penyebaran posting melalui emel. Walaupun teknologi RSS (Really Simple Syndication) mempunyai merit, namun masih kurang orang menggunakannya berbanding emel. Lagipun melalui emel via Yahoo!Groups, sebarang respons boleh disalur terus ke mailbox penulis asal.
Namun Yahoo!Groups kekurangan dari segi customization. Ini saya kira merupakan antara tarikan utama Blogspot yang mana anda boleh 'menghias' blog anda tanpa limit sampai letih - baik dari segi template ataupun 'add-ons' (seperti kaunter lawatan, chatbox dan sebagainya).
Begitu juga dari segi indeks posting yang mana Blogspot menggunakan 'label' berpandukan isi sesuatu posting. Jadi sekiranya anda ingin mendapatkan semua posting berkenaan CHANTEK misalnya, anda cuma perlu klik label 'Chantek' untuk akses - sesuatu yang tidak dipunyai Yahoo!Groups.
Oleh yang demikian, saya akan mula menulis secara serius ke Blogspot tetapi dalam masa yang sama mengirimkan satu salinan bagi setiap posting ke Yahoo!Groups. Walau begitu, saya sarankan anda yang sudi membaca nukilan saya selama ini melalui Yahoo!Groups untuk melawat Blogspot saya sekali sekala atau lebih baik, melanggani RSS nya.
p.s. Dalam pada itu, dipersilakan juga melawat dan berkenal-kenalan menerusi AsrulMM@MySpace (ini adalah promosi dari Alyssa pula!!!)

Wednesday, February 27, 2008

Di Landasan Yang Sama Rata

Manifesto Pilihanraya sesebuah parti, pada saya, memainkan peranan penting seperti mana broseur profail syarikat - memberi 'first impression' terhadap imej, kredibiliti dan kewibawaan organisasi tersebut. Sebagai pengamal Komunikasi Korporat selama lebih 15 tahun, saya melihat kesungguhan, inisiatif dan kualiti sesebuah organisasi tercermin melalui kolateral sebegini.
Benar, yang baik memerlukan kos untuk menzahirkannya. Namun andaian bahawa untuk menerbitkan broseur korporat yang berkualiti adalah 'mahal' merupakan mitos yang disebarkan oleh agensi pengiklanan/PR yang sama ada tiada pengalaman ataupun sekadar 'mencekik' darah.
Dengan pelancaran manifesto parti pemerintah, saya mengambil inisiatif untuk mengumpulkan empat (4) manifesto parti utama yang akan bertanding dalam Pilihanraya 2008 nanti. Di sini ingin juga saya memberi komen berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya terhadap rekabentuk dan penyampaian setiap manifesto. Saya tidak akan membicarakan tentang isi setiap manifesto kerana seperti posting saya yang terdahulu, "Just Do The Job, Dammit!!!" :)
Anda boleh mengakses setiap manifesto yang tertera di sini, yang diterbitkan sama ada dalam format PDF atau HTML biasa. Hanya klik pada imej-imej di bawah.
SELAMAT, AMAN, MAKMUR
Tidak dinafikan bahawa inilah manifesto yang kelihatan paling profesional sekali --- untuk standard 'gomen'. Ianya tersusun kemas, dihiasi illustrasi dan grafik yang menyenangkan mata dan mudah dibaca. Namun pada saya, pemaparan foto-foto pemimpin parti yang terlalu banyak adalah seakan 'overkill'. Saya kurang menyenangi mana-mana usaha untuk terlalu 'mengagungkan' pemimpin kerana ia mungkin membawa kepada ketaksuban. Saya rasa imej-imej pencapaian kerajaan selama 50 tahun ini sudah cukup untuk 'menyatakan', seperti imej Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan seumpamanya.
Fail manifesto ini boleh didapati dalam bentuk PDF dalam berbilang bahasa dan ianya pantas untuk dimuat turun (lebih kurang 5.2MB).
MENUJU NEGARA BERKEBAJIKAN
Satu perkembangan yang sihat. Manifesto parti ini kelihatan profesional. Usaha mereka mengeluarkan organisasi ini dari imej 'kampung' dan 'Islam ortodoks' dan menumpukan lebih kepada pembangunan negara dan insianiah yang seiring mula menampakkan hasil. Sedikit ironi kerana saya menjangkakan parti inilah yang akan memaparkan imej-imej pemimpin mereka dalam sebesar-besar pixel yang ada. Namun penggunaan imej-imej Presiden dan Mursyidul Am mereka adalah amat minima sekali (dan kecil pula)! 'First impression' yang diberikan adalah mereka serius kali ini dan wajar diberi perhatian.
Dari segi layout, masih kelihatan 'gomen'. Penggunaan 'font' huruf memberi gambaran yang terlalu santai. Pengulangan 'kolaj' di bahagian atas (kiri atau kanan) setiap mukasurat menunjukkan bahawa manifesto ini asalnya dibuat menggunakan MS PowerPoint yang mana hanya sesuai untuk persembahan slaid di dalam boardroom dan bukannya sebagai bahan bercetak. Untuk format PDF ini, saya mengandaikan bahawa mereka hanya 'convert' fail PowerPoint yang ada ke dalam bentuk PDF dan ini menjadikan saiz failnya terlalu besar (15.1 MB). Takkanlah tiada langsung ahli/penyokong parti ini yang mahir (atau setidaknya tahu) menggunakan perisian khusus untuk penerbitan seperti Adobe Illustrator atau Quark Xpress? Saya juga mempersoalkan kenapa fail PDF ini tidak dihoskan di server laman web organisasi/akhbar mereka, sebaliknya menggunakan khidmat hosting fail pihak ketiga. Memuat turun fail ini mengambil masa 12 minit, yang mana pada saya tidak efisien. Sebagai perbandingan, saya memuat turun 'updates' untuk Macintosh sebesar 150MB dalam masa kurang dari 20 minit sahaja!
HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA
Kulit hadapan manifesto parti ini sama seperti parti pemerintah, yakni meletakkan imej pemimpin mereka secara 'overblown'. Komen saya adalah sama dengan komen untuk 'Selamat, Aman, Makmur'. Saya tidak dapat komen dari segi layout kerana yang ada hanyalah dalam format HTML dan boleh dicapai melalui laman web organisasi ini (yang tidak begitu kelihatan profesional, seakan 'tangkap muat' sahaja).
Kenyataan di laman web parti ini mengatakan bahawa edisi cetak manifesto mereka masih belum siap ketika waktu saya menulis sekarang. Ini seakan 'potong stim' kerana hakikatnya jika mereka telah mempunyai format bercetak zahir (yang mungkin telah diedarkan kepada umum 'by hand'), ianya hanya mengambil masa kurang sejam untuk 'convert' broseur mereka ke dalam bentuk PDF dan 'upload' ke laman web organisasi mereka. Kurang inisiatif? Kurang serius? Inilah gambaran yang diberikan terhadap organisasi mereka.
LAPAN ISU KRITIKAL
Terus terang, saya tidak langsung menemui manifesto khusus parti ini (yang seumpama parti yang lain) baik dalam bentuk PDF mahupun HTML. Yang saya temui hanyalah Kenyataan Akhbar Ketua Setiausaha mereka bertarikh 23 Februari 2008 yang ada menggariskan 'lapan isu kritikal' yang akan mereka tangani andai diberikan kemenangan. Malah yang saya temui adalah kenyataan bahawa parti mereka 'underfunded' dan memohon bantuan orangramai. Huh? Mungkin tindakan mereka berterus terang wajar dipuji namun ia memberikan impak besar terhadap imej parti ini sendiri - sama ada mereka tidak tahu membangunkan dana atau tidak arif menguruskan kewangan (mungkin mereka boleh dapatkan khidmat perunding seperti Zaidi Ismail atau Azha Syazri). :)
Adakah saya akan memilih parti yang memaparkan imej sebegini untuk mewakili saya? Adakah anda akan membeli produk dari sebuah syarikat yang meminta sedekah dari pengguna untuk menampung kos operasi? Nuff said.
BALIK-BALIK IKLAN YANG SAMA JER
Saya mendapat ilham menulis posting ini dari dua sumber - setelah melihat iklan TV parti pemerintah dan amaran salah seorang menteri kabinet terhadap 'blogger'. Walaupun saya memerangi sebarang kenyataan fitnah, propaganda dan fakta yang diselewengkan, saya rasa sudah tiba masanya diberi 'landasan yang benar-benar adil' kepada semua pihak untuk 'mengiklankan' organisasi mereka melalui setiap cabang media, baik media cetak mahupun media elektronik.
Tentunya polisi iklan yang disiarkan wajib ditetapkan dan diikuti, seperti tidak menyerang peribadi atau memperlekehkan pihak yang lain. Tumpukan hanya pada:
(a) Pemaparan kredibiliti parti
(b) Manifesto Pilihanraya masing-masing
Pihak media juga, sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat mereka, mungkin boleh membenarkan sekurang-kurangnya satu (1) slot/insert sehari bagi setiap parti secara percuma seperti berikut:
(a) Half-page, B&W (without loading) untuk akhbar bersaiz 'panjang' seperti New Straits Times, Berita Harian dan seumpamanya.
(b) Full-page, B&W (without loading) untuk akhbar bersaiz tabloid seperti The Star, Harian Metro, Malay Mail dan seumpamanya.
(c) Iklan TV 30 saat di antara jam 7 malam hingga 10 malam
(d) Iklan Radio 30 saat di antara jam 12 tgh hingga 6 petang
Setiap parti boleh membayar sekiranya mereka memilih untuk menambah slot/insert pada setiap hari.
Jika ini boleh dizahirkan, pada saya selain memberikan imej positif terhadap parti pemerintah, ia juga akan dapat membendung 'fitnah dan propaganda' yang dilemparkan melalui web, internet dan SMS.
Dan memastikan kesemuanya benar-benar bertanding mengikut kemampuan sendiri Di Landasan Yang Sama Rata. 

Tuesday, February 26, 2008

Macau Tower SkyJump 2007

This was shot during my visit to Macau, China in April 2007. The jump is certified by Guinness Book of Records as World's Tallest SkyJump. The video was originally shot in mp4 format and I've converted it to 3gp for web sharing, hence the low quality.

Been there! Done that!

"Just Do Your Job, Dammit!!!"

Pilihanraya datang lagi!!!
Mungkin kali ini sudah tiada (atau kurang hangat) perbincangan 'Bicara Politik' di Relexjap. Tiada lagi Nukilan Palpa Politik Santai dan tiada lagi EpsonSony (wink, wink).
Sebenarnya banyak perkara yang berkaitan dengan politik lokal telah berlaku sejak Pilihanraya Umum yang lalu. Banyak jika ingin dibariskan semuanya di sini. Jambatan bengkok, semburan lada, angkasawan, koridor pembangunan, kenaikan harga minyak, kenaikan tol, mahligai Klang, menguap, bumbung pejabat Kerajaan runtuh, bumbung pejabat Kerajaan bocor, pembinaan kabin (haram) sebuah parti politik di tapak kawasan permainan, perhimpunan (rusuhan?) dan seterusnya, dan seterusnya.
"Mereka yang tidak belajar dari sejarah lampau akan berkecenderungan mengulanginya."


Dalam ruang dan jangka masa singkat ini, ingin saya bariskan beberapa harapan peribadi untuk mana-mana parti yang bakal memenangi Pilihanraya kali ini dan seterusnya membentuk barisan pemerintah.
(a) Politik dan isu menggunakan agama dan kaum sudah ketinggalan zaman, goyah dan tidak begitu relevan lagi sekarang ini. Terus terang, dalam dunia yang mana sempadan sudah menjadi kabur dan segenap basyar mampu berinteraksi tanpa dibelenggui jurang agama atau bangsa mengharuskan kita semua membentuk kesepakatan berbanding perpecahan. Pencarian terhadap 'kebenaran hakiki' harus dihadkan kepada individu dan bukannya secara berkelompok (kalaupun secara berkelompok, tiada harus mendabik dada mengatakan hanya mereka yang benar dan memerangi mereka yang tidak bersependapat). Isu-isu berkaitan antara-agama (interfaith) harus dikendalikan oleh sebuah badan berkecuali yang dianggotai wakil autoriti bagi segenap agama di Malaysia dan bukannya dipolitikkan. Jauh sekali bertindak melulu terlompat-lompat terjerit-jerit di jalanan membawa sepanduk. Begitu juga dengan isu berkaitan kaum. Hentikanlah polemik mencium keris di khalayak atau cabar-mencabar sesama kita. Saya mengimpikan wujudnya satu ketika di mana Ahmad tidak akan bermegah mengatakan "Aku orang Melayu". Atau Ah Chong menjerit "Aku orang Cina". Atau Muthu melaung "Aku orang India". Saya mengimpikan suatu deruan suara senada seirama bersemangat mengatakan "AKU ORANG MALAYSIA".
(b) Pembangunan dan kebajikan masyarakat wajib menjadi prioriti utama. Sebenarnya saya agak tertarik dengan manifesto parti 'bulan' yang menawarkan 'Negara Berkebajikan' andai mereka memerintah. Saya tertarik dengan konsep 'Kerajaan Sebagai Guardian' oleh mereka. Setidaknya ianya adalah suatu kelainan berbanding laungan "negara Islam" atau "hudud" yang sering dimainkan berulangkali bagai piring hitam rosak dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini. Cuma saya harap parti berkenaan dapat menggariskan secara lebih terperinci kaedah atau metoda yang akan digunakan demi merealisasikan manifesto ini, seperti menurunkan harga petrol/gas atau merapatkan jurang miskin-kaya. Andainya manifesto ini tidak memasukkan 'janji-janji' ini pada saya ianya kedengaran cukup berkredibiliti. Namun bila disertakan, ia seakan 'jani-janji' biasa yang sering dibuat bila saja ada Pilihanraya. Komen saya, parti ini, dengan barisan muka (dan minda) baru golongan muda dan profesional mungkin boleh diamati perkembangannya. Harap jangan jadi seperti 'gas Coca Cola' nanti.
(c) Perbincangan-perbincangan Dewan Rakyat diharap akan lebih menjana minda dan menjurus kepada pembangunan. Bukannya berkokok nak mengharamkan artis itu ini hanya kerana beliau mengimprovasi lagu kebangsaan, pasal bocor sebulan sekali atau pasal skirt pendek. Anehnya balik-balik 'orang sama' yang sering berkokok sebegini. Agak memualkan apabila kita menganugerahkan undi kita hanya untuk pak-pak lawak ini berbincang mengenai perkara remeh di suatu ruang yang seharusnya digunakan bagi menganalisa dan membuahkan polisi pembangunan negara.
(d) Hentikan serangan peribadi seperti mengaitkan tentang seseorang yang berkerusi roda sebagai 'bala dari Tuhan'. Serangan peribadi hanya dilakukan oleh mereka yang terdesak.
(e) Calon-calon yang dibatalkan pencalonan kerana tersilap isi borang atau gagal memenuhi syarat sememangnya tidak layak memegang jawatan penting. Kalau perkara asas sebegitupun diambil remeh (dan ada melakukan kesilapan) apatah lagi perkara besar seperti memerintah negara? Kalaupun tidak arif tentang syarat-syarat dan borang, takkanlah tidak ada seorangpun dari penyokong atau pimpinan mereka yang boleh menawarkan khidmat rundingcara (consultancy) dalam hal sebegini?
(f) Wujudkan kempen besar-besaran terhadap keselamatan kanak-kanak dan anti-penderaan yang semakin berleluasa akhir-akhir ini. Ketika menulis ini, saya masih dihantui foto wajah arwah adik Nurin ketika bapanya memasukkan tubuh anak malang itu ke liang lahad. Dan saya berharap adik Sharlinie akan ditemui dalam masa terdekat. Kita tak perlukan kempen 'melepas batuk di tangga' seperti Kempen TakNak yang bernilai jutaan ringgit namun hasilnya boleh dipertikaikan. Kita perlukan pendekatan baru yang mungkin menggabungkan ciri-ciri teaterik, muzik, filem, seminar, pameran dan seumpamanya secara padu dan bukannya secara isolatif.
(g) Keselamatan masyarakat harus dipertingkatkan terutama dengan kebanjiran pendatang asing, penagih dan mat-mat rempit yang berleluasa. Semalam saya mendapat berita bahawa salah seorang jiran saya yang baru berpindah dari bangunan kondo kami (unitnya satu tingkat dengan saya) mati dibunuh dan keretanya (Estima baru) dirompak. Kasihan kerana beliau meninggalkan suami dan tiga orang anak yang masih kecil.
(h) Kerajaan harus lebih telus. Walaupun kini saya kira Kerajaan yang ada berada di landasan yang betul dalam hal ini, banyak lagi yang boleh dipertingkatkan. Semoga tiada lagi kes pembinaan mahligai tanpa CF atau beroperasinya sebuah kedai menjual sate tanpa permit sekian lama hanya kerana kronisme.
(i) Walaupun mungkin secara teori, namun saya masih mempercayai bahawa sesuatu Kerajaan itu adalah "dipilih oleh rakyat dan berkhidmat untuk rakyat". Bukannya berkhidmat untuk wang ringgit atau sekadar memperkembangkan ideologi peribadi.
(j) Kita telah menghantar rakyat Malaysia ke angkasa. OK... done. Orang dah mula membicarakannya. Kanak-kanak dah mula berminat menjadi angkasawan. The national pride part is done. Get over it! Sekarang tumpukan pada pembangunan TEKNOLOGI angkasa lepas dan bukannya untuk menghantar seorang lagi 'poster-boy'. Saya ingin melihat pembangunan balai cerap yang mungkin mampu menyamai Griffith Observatory di USA. Dah kenal Neil Armstrong, Yuri Gagarin, Sheikh Muszaphar? Bagus! Sekarang cuba mengenali Robert Goddard, Carl Sagan, Stephen Hawking, program Apollo, program Skylab dan segala yang berkaitan. Alang-alang berbicara pasal ini, hentikanlah mengirim emel layang tentang 'pendaratan palsu Apollo di bulan' atau kononnya 'Neil Armstrong memeluk Islam'... :)
Akhir kata, kepada sesiapa saja yang terpilih membentuk Kerajaan dan seterusnya membawa kita ke arah Wawasan 2020 yang gemilang....
... JUST DO YOUR JOB, DAMMIT!!!!

Monday, February 25, 2008

Blogspot, RSS, Yahoo!Groups

(a) Atas cadangan (desakan?) my blood brother, Hasrul Halid yang mana sedutan blognya disiarkan dalam HarakahDaily hari ini (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=12607&Itemid=50), saya akhirnya tergerak mendaftarkan BandarUtopia di Blogspot.com. Banyak sebenarnya perkara yang harus ditimbang berat, terutamanya proses memindahkan arkib BandarUtopia di Yahoogroups ke Blogspot. Dan saya masih mempelajari selok-belok HTML coding di Blogspot yang mana umumnya sedikit komplikated berbanding Yahoogroups. Tak apalah, pelan-pelan.

Harap dapat layari http://www.bandarutopia.blogspot.com/ jika terdapat sebarang komen.

(b) Setelah agak ketinggalan keretapi sekian lama, saya baru tergerak untuk mencuba teknologi RSS (Really Simple Syndication) yang 'mengirimkan' maklumat terhadap sebarang info atau kemaskinian baru pada sesuatu website, blog atau podcast. RSS ini seterusnya boleh diakses melalui klien emel seperti AppleMail (saya tak begitu pasti dengan klien emel Windows Vista/Microsoft Outlook yang baru). Jadi saya merasa amat mudah untuk mendapatkan maklumat baru sebegini tanpa perlu membuka (dan mencari) menggunakan web browser. Untuk pengetahuan semua, kedua-dua BandarUtopia di Yahoogroup dan Blogspot boleh dilanggani RSSnya:


(c) Kepada yang menemui posting ini di Blogspot saya, anda boleh layari http://groups.yahoo.com/group/BandarUtopia untuk membaca arkib tulisan saya.


Itu saja buat masa ini...

Tuesday, February 19, 2008

Selamat Datang

Assalamualaikum dan selamat menjengah ke Bandar Utopia!  

Ini merupakan sebuah blog Utopia yang menampilkan ide-ide seorang pria Utopia yang sentiasa percaya bahawa dunia ini adalah lebih indah, bermakna dan penuh misteri jika dibandingkan dengan zahiriah yang ada sekarang.  

Tiada bencana mengundang andai kita bermimpi....apa yang lebih utama ialah mengaplikasi dan merealisasikan mimpi tersebut pada dunia sedar.  Di suatu persimpangan, mimpi dan realiti pasti bertemu.Inilah batu asas Bandar ini.

Dan sepintas lalu, acap kalinya mimpi dan realiti perlu bersetubuh. Hanya dengan itu manusia dapat merangkak, berdiri, berjalan dan hidup sebagai manusia.

Ini hanyalah satu kerlingan ke dalam hidup seorang insan biasa dengan ide dan pemikiran biasa, yang mencari keabadian melalui Net. Manusia datang dan pergi, namun pemikiran dan ide bertulis kekal.

Anda adalah tetamu saya, dan anda bebas merayau di Bandar ini mengikut kehendak hati. Jangan takut sekiranya anda sesat, kerana sesungguhnya alam Utopia memang mengkehendakkan anda sesat di dalamnya. Sememangnya ia tiada penghujung. Tiada sempadan. Namun cahaya di hujung mimpi tetap bersinar. Pergilah ke arahnya andai anda sudah puas merayau dan sesat!

Ih Dinathirothal Mustaqim.