Tuesday, February 26, 2008

"Just Do Your Job, Dammit!!!"

Pilihanraya datang lagi!!!
Mungkin kali ini sudah tiada (atau kurang hangat) perbincangan 'Bicara Politik' di Relexjap. Tiada lagi Nukilan Palpa Politik Santai dan tiada lagi EpsonSony (wink, wink).
Sebenarnya banyak perkara yang berkaitan dengan politik lokal telah berlaku sejak Pilihanraya Umum yang lalu. Banyak jika ingin dibariskan semuanya di sini. Jambatan bengkok, semburan lada, angkasawan, koridor pembangunan, kenaikan harga minyak, kenaikan tol, mahligai Klang, menguap, bumbung pejabat Kerajaan runtuh, bumbung pejabat Kerajaan bocor, pembinaan kabin (haram) sebuah parti politik di tapak kawasan permainan, perhimpunan (rusuhan?) dan seterusnya, dan seterusnya.
"Mereka yang tidak belajar dari sejarah lampau akan berkecenderungan mengulanginya."


Dalam ruang dan jangka masa singkat ini, ingin saya bariskan beberapa harapan peribadi untuk mana-mana parti yang bakal memenangi Pilihanraya kali ini dan seterusnya membentuk barisan pemerintah.
(a) Politik dan isu menggunakan agama dan kaum sudah ketinggalan zaman, goyah dan tidak begitu relevan lagi sekarang ini. Terus terang, dalam dunia yang mana sempadan sudah menjadi kabur dan segenap basyar mampu berinteraksi tanpa dibelenggui jurang agama atau bangsa mengharuskan kita semua membentuk kesepakatan berbanding perpecahan. Pencarian terhadap 'kebenaran hakiki' harus dihadkan kepada individu dan bukannya secara berkelompok (kalaupun secara berkelompok, tiada harus mendabik dada mengatakan hanya mereka yang benar dan memerangi mereka yang tidak bersependapat). Isu-isu berkaitan antara-agama (interfaith) harus dikendalikan oleh sebuah badan berkecuali yang dianggotai wakil autoriti bagi segenap agama di Malaysia dan bukannya dipolitikkan. Jauh sekali bertindak melulu terlompat-lompat terjerit-jerit di jalanan membawa sepanduk. Begitu juga dengan isu berkaitan kaum. Hentikanlah polemik mencium keris di khalayak atau cabar-mencabar sesama kita. Saya mengimpikan wujudnya satu ketika di mana Ahmad tidak akan bermegah mengatakan "Aku orang Melayu". Atau Ah Chong menjerit "Aku orang Cina". Atau Muthu melaung "Aku orang India". Saya mengimpikan suatu deruan suara senada seirama bersemangat mengatakan "AKU ORANG MALAYSIA".
(b) Pembangunan dan kebajikan masyarakat wajib menjadi prioriti utama. Sebenarnya saya agak tertarik dengan manifesto parti 'bulan' yang menawarkan 'Negara Berkebajikan' andai mereka memerintah. Saya tertarik dengan konsep 'Kerajaan Sebagai Guardian' oleh mereka. Setidaknya ianya adalah suatu kelainan berbanding laungan "negara Islam" atau "hudud" yang sering dimainkan berulangkali bagai piring hitam rosak dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini. Cuma saya harap parti berkenaan dapat menggariskan secara lebih terperinci kaedah atau metoda yang akan digunakan demi merealisasikan manifesto ini, seperti menurunkan harga petrol/gas atau merapatkan jurang miskin-kaya. Andainya manifesto ini tidak memasukkan 'janji-janji' ini pada saya ianya kedengaran cukup berkredibiliti. Namun bila disertakan, ia seakan 'jani-janji' biasa yang sering dibuat bila saja ada Pilihanraya. Komen saya, parti ini, dengan barisan muka (dan minda) baru golongan muda dan profesional mungkin boleh diamati perkembangannya. Harap jangan jadi seperti 'gas Coca Cola' nanti.
(c) Perbincangan-perbincangan Dewan Rakyat diharap akan lebih menjana minda dan menjurus kepada pembangunan. Bukannya berkokok nak mengharamkan artis itu ini hanya kerana beliau mengimprovasi lagu kebangsaan, pasal bocor sebulan sekali atau pasal skirt pendek. Anehnya balik-balik 'orang sama' yang sering berkokok sebegini. Agak memualkan apabila kita menganugerahkan undi kita hanya untuk pak-pak lawak ini berbincang mengenai perkara remeh di suatu ruang yang seharusnya digunakan bagi menganalisa dan membuahkan polisi pembangunan negara.
(d) Hentikan serangan peribadi seperti mengaitkan tentang seseorang yang berkerusi roda sebagai 'bala dari Tuhan'. Serangan peribadi hanya dilakukan oleh mereka yang terdesak.
(e) Calon-calon yang dibatalkan pencalonan kerana tersilap isi borang atau gagal memenuhi syarat sememangnya tidak layak memegang jawatan penting. Kalau perkara asas sebegitupun diambil remeh (dan ada melakukan kesilapan) apatah lagi perkara besar seperti memerintah negara? Kalaupun tidak arif tentang syarat-syarat dan borang, takkanlah tidak ada seorangpun dari penyokong atau pimpinan mereka yang boleh menawarkan khidmat rundingcara (consultancy) dalam hal sebegini?
(f) Wujudkan kempen besar-besaran terhadap keselamatan kanak-kanak dan anti-penderaan yang semakin berleluasa akhir-akhir ini. Ketika menulis ini, saya masih dihantui foto wajah arwah adik Nurin ketika bapanya memasukkan tubuh anak malang itu ke liang lahad. Dan saya berharap adik Sharlinie akan ditemui dalam masa terdekat. Kita tak perlukan kempen 'melepas batuk di tangga' seperti Kempen TakNak yang bernilai jutaan ringgit namun hasilnya boleh dipertikaikan. Kita perlukan pendekatan baru yang mungkin menggabungkan ciri-ciri teaterik, muzik, filem, seminar, pameran dan seumpamanya secara padu dan bukannya secara isolatif.
(g) Keselamatan masyarakat harus dipertingkatkan terutama dengan kebanjiran pendatang asing, penagih dan mat-mat rempit yang berleluasa. Semalam saya mendapat berita bahawa salah seorang jiran saya yang baru berpindah dari bangunan kondo kami (unitnya satu tingkat dengan saya) mati dibunuh dan keretanya (Estima baru) dirompak. Kasihan kerana beliau meninggalkan suami dan tiga orang anak yang masih kecil.
(h) Kerajaan harus lebih telus. Walaupun kini saya kira Kerajaan yang ada berada di landasan yang betul dalam hal ini, banyak lagi yang boleh dipertingkatkan. Semoga tiada lagi kes pembinaan mahligai tanpa CF atau beroperasinya sebuah kedai menjual sate tanpa permit sekian lama hanya kerana kronisme.
(i) Walaupun mungkin secara teori, namun saya masih mempercayai bahawa sesuatu Kerajaan itu adalah "dipilih oleh rakyat dan berkhidmat untuk rakyat". Bukannya berkhidmat untuk wang ringgit atau sekadar memperkembangkan ideologi peribadi.
(j) Kita telah menghantar rakyat Malaysia ke angkasa. OK... done. Orang dah mula membicarakannya. Kanak-kanak dah mula berminat menjadi angkasawan. The national pride part is done. Get over it! Sekarang tumpukan pada pembangunan TEKNOLOGI angkasa lepas dan bukannya untuk menghantar seorang lagi 'poster-boy'. Saya ingin melihat pembangunan balai cerap yang mungkin mampu menyamai Griffith Observatory di USA. Dah kenal Neil Armstrong, Yuri Gagarin, Sheikh Muszaphar? Bagus! Sekarang cuba mengenali Robert Goddard, Carl Sagan, Stephen Hawking, program Apollo, program Skylab dan segala yang berkaitan. Alang-alang berbicara pasal ini, hentikanlah mengirim emel layang tentang 'pendaratan palsu Apollo di bulan' atau kononnya 'Neil Armstrong memeluk Islam'... :)
Akhir kata, kepada sesiapa saja yang terpilih membentuk Kerajaan dan seterusnya membawa kita ke arah Wawasan 2020 yang gemilang....
... JUST DO YOUR JOB, DAMMIT!!!!

1 comment:

Hasrul Halid said...

Pekh! yang ni memang sempoi!