Wednesday, February 27, 2008

Di Landasan Yang Sama Rata

Manifesto Pilihanraya sesebuah parti, pada saya, memainkan peranan penting seperti mana broseur profail syarikat - memberi 'first impression' terhadap imej, kredibiliti dan kewibawaan organisasi tersebut. Sebagai pengamal Komunikasi Korporat selama lebih 15 tahun, saya melihat kesungguhan, inisiatif dan kualiti sesebuah organisasi tercermin melalui kolateral sebegini.
Benar, yang baik memerlukan kos untuk menzahirkannya. Namun andaian bahawa untuk menerbitkan broseur korporat yang berkualiti adalah 'mahal' merupakan mitos yang disebarkan oleh agensi pengiklanan/PR yang sama ada tiada pengalaman ataupun sekadar 'mencekik' darah.
Dengan pelancaran manifesto parti pemerintah, saya mengambil inisiatif untuk mengumpulkan empat (4) manifesto parti utama yang akan bertanding dalam Pilihanraya 2008 nanti. Di sini ingin juga saya memberi komen berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya terhadap rekabentuk dan penyampaian setiap manifesto. Saya tidak akan membicarakan tentang isi setiap manifesto kerana seperti posting saya yang terdahulu, "Just Do The Job, Dammit!!!" :)
Anda boleh mengakses setiap manifesto yang tertera di sini, yang diterbitkan sama ada dalam format PDF atau HTML biasa. Hanya klik pada imej-imej di bawah.
SELAMAT, AMAN, MAKMUR
Tidak dinafikan bahawa inilah manifesto yang kelihatan paling profesional sekali --- untuk standard 'gomen'. Ianya tersusun kemas, dihiasi illustrasi dan grafik yang menyenangkan mata dan mudah dibaca. Namun pada saya, pemaparan foto-foto pemimpin parti yang terlalu banyak adalah seakan 'overkill'. Saya kurang menyenangi mana-mana usaha untuk terlalu 'mengagungkan' pemimpin kerana ia mungkin membawa kepada ketaksuban. Saya rasa imej-imej pencapaian kerajaan selama 50 tahun ini sudah cukup untuk 'menyatakan', seperti imej Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan seumpamanya.
Fail manifesto ini boleh didapati dalam bentuk PDF dalam berbilang bahasa dan ianya pantas untuk dimuat turun (lebih kurang 5.2MB).
MENUJU NEGARA BERKEBAJIKAN
Satu perkembangan yang sihat. Manifesto parti ini kelihatan profesional. Usaha mereka mengeluarkan organisasi ini dari imej 'kampung' dan 'Islam ortodoks' dan menumpukan lebih kepada pembangunan negara dan insianiah yang seiring mula menampakkan hasil. Sedikit ironi kerana saya menjangkakan parti inilah yang akan memaparkan imej-imej pemimpin mereka dalam sebesar-besar pixel yang ada. Namun penggunaan imej-imej Presiden dan Mursyidul Am mereka adalah amat minima sekali (dan kecil pula)! 'First impression' yang diberikan adalah mereka serius kali ini dan wajar diberi perhatian.
Dari segi layout, masih kelihatan 'gomen'. Penggunaan 'font' huruf memberi gambaran yang terlalu santai. Pengulangan 'kolaj' di bahagian atas (kiri atau kanan) setiap mukasurat menunjukkan bahawa manifesto ini asalnya dibuat menggunakan MS PowerPoint yang mana hanya sesuai untuk persembahan slaid di dalam boardroom dan bukannya sebagai bahan bercetak. Untuk format PDF ini, saya mengandaikan bahawa mereka hanya 'convert' fail PowerPoint yang ada ke dalam bentuk PDF dan ini menjadikan saiz failnya terlalu besar (15.1 MB). Takkanlah tiada langsung ahli/penyokong parti ini yang mahir (atau setidaknya tahu) menggunakan perisian khusus untuk penerbitan seperti Adobe Illustrator atau Quark Xpress? Saya juga mempersoalkan kenapa fail PDF ini tidak dihoskan di server laman web organisasi/akhbar mereka, sebaliknya menggunakan khidmat hosting fail pihak ketiga. Memuat turun fail ini mengambil masa 12 minit, yang mana pada saya tidak efisien. Sebagai perbandingan, saya memuat turun 'updates' untuk Macintosh sebesar 150MB dalam masa kurang dari 20 minit sahaja!
HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA
Kulit hadapan manifesto parti ini sama seperti parti pemerintah, yakni meletakkan imej pemimpin mereka secara 'overblown'. Komen saya adalah sama dengan komen untuk 'Selamat, Aman, Makmur'. Saya tidak dapat komen dari segi layout kerana yang ada hanyalah dalam format HTML dan boleh dicapai melalui laman web organisasi ini (yang tidak begitu kelihatan profesional, seakan 'tangkap muat' sahaja).
Kenyataan di laman web parti ini mengatakan bahawa edisi cetak manifesto mereka masih belum siap ketika waktu saya menulis sekarang. Ini seakan 'potong stim' kerana hakikatnya jika mereka telah mempunyai format bercetak zahir (yang mungkin telah diedarkan kepada umum 'by hand'), ianya hanya mengambil masa kurang sejam untuk 'convert' broseur mereka ke dalam bentuk PDF dan 'upload' ke laman web organisasi mereka. Kurang inisiatif? Kurang serius? Inilah gambaran yang diberikan terhadap organisasi mereka.
LAPAN ISU KRITIKAL
Terus terang, saya tidak langsung menemui manifesto khusus parti ini (yang seumpama parti yang lain) baik dalam bentuk PDF mahupun HTML. Yang saya temui hanyalah Kenyataan Akhbar Ketua Setiausaha mereka bertarikh 23 Februari 2008 yang ada menggariskan 'lapan isu kritikal' yang akan mereka tangani andai diberikan kemenangan. Malah yang saya temui adalah kenyataan bahawa parti mereka 'underfunded' dan memohon bantuan orangramai. Huh? Mungkin tindakan mereka berterus terang wajar dipuji namun ia memberikan impak besar terhadap imej parti ini sendiri - sama ada mereka tidak tahu membangunkan dana atau tidak arif menguruskan kewangan (mungkin mereka boleh dapatkan khidmat perunding seperti Zaidi Ismail atau Azha Syazri). :)
Adakah saya akan memilih parti yang memaparkan imej sebegini untuk mewakili saya? Adakah anda akan membeli produk dari sebuah syarikat yang meminta sedekah dari pengguna untuk menampung kos operasi? Nuff said.
BALIK-BALIK IKLAN YANG SAMA JER
Saya mendapat ilham menulis posting ini dari dua sumber - setelah melihat iklan TV parti pemerintah dan amaran salah seorang menteri kabinet terhadap 'blogger'. Walaupun saya memerangi sebarang kenyataan fitnah, propaganda dan fakta yang diselewengkan, saya rasa sudah tiba masanya diberi 'landasan yang benar-benar adil' kepada semua pihak untuk 'mengiklankan' organisasi mereka melalui setiap cabang media, baik media cetak mahupun media elektronik.
Tentunya polisi iklan yang disiarkan wajib ditetapkan dan diikuti, seperti tidak menyerang peribadi atau memperlekehkan pihak yang lain. Tumpukan hanya pada:
(a) Pemaparan kredibiliti parti
(b) Manifesto Pilihanraya masing-masing
Pihak media juga, sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat mereka, mungkin boleh membenarkan sekurang-kurangnya satu (1) slot/insert sehari bagi setiap parti secara percuma seperti berikut:
(a) Half-page, B&W (without loading) untuk akhbar bersaiz 'panjang' seperti New Straits Times, Berita Harian dan seumpamanya.
(b) Full-page, B&W (without loading) untuk akhbar bersaiz tabloid seperti The Star, Harian Metro, Malay Mail dan seumpamanya.
(c) Iklan TV 30 saat di antara jam 7 malam hingga 10 malam
(d) Iklan Radio 30 saat di antara jam 12 tgh hingga 6 petang
Setiap parti boleh membayar sekiranya mereka memilih untuk menambah slot/insert pada setiap hari.
Jika ini boleh dizahirkan, pada saya selain memberikan imej positif terhadap parti pemerintah, ia juga akan dapat membendung 'fitnah dan propaganda' yang dilemparkan melalui web, internet dan SMS.
Dan memastikan kesemuanya benar-benar bertanding mengikut kemampuan sendiri Di Landasan Yang Sama Rata. 

No comments: