Friday, February 29, 2008
Kredibiliti Bukan Sekadar Pada Rupa
Merujuk ke posting Di Landasan Yang Sama Rata, ada yang bertanya kenapakah bila diletakkan gambar ketua organisasi besar-besar dikatakan boleh "mengundang ketaksuban"?
Mungkin saya tidak semestinya betul, namun strategi meletakkan gambar pengasas atau ketua sesebuah organisasi pada kolateral korporat/produk seakan sudah menjadi 'trend' di Malaysia. Mungkin pengasasnya syok sendiri, gila glamour atau perasan hensem/lawa. Mungkin juga ingin meniru membuta-tuli kaedah yang dilakukan oleh ahli perniagaan barat seperti Donald Trump yang mempromosikan diri sendiri sebagai jenama (Donald Trump adalah kes yang berbeza).
Saya pernah buat kenyataan sewaktu satu pembentangan kepada klien bahawa pengusaha kosmetik Malaysia begitu gemar meletakkan wajah sendiri. Sila rujuk iklan-iklan Sendayu Tinggi sebagai contoh terbaik. Saya faham andainya strategi pemasaran awal mereka melakukan sedemikian berdasarkan bentuk pengedaran produk yang memerlukan orang mengenali siapa di sebalik organisasi/produk berkenaan. Namun setelah bertahun-tahun beroperasi, imej yang diberikan bila saja strategi ini dikekalkan adalah 'syok sendiri'. Atau 'gila glamer'.
Pernahkah anda melihat wajah-wajah Gianni Versace, Giorgio Armani, Yves Saint-Lauren dan seumpamanya pada iklan produk kosmetik mereka? Ini kerana nama-nama ini meletakkan paksi kredibiliti syarikat dan produk menggunakan NAMA dan bukannya wajah mereka. Wajah mampu berkerut berkerudut namun nama, jika dijenamakan dengan baik (serta pematuhan kualiti produk yang konsisten), akan kekal sampai bila-bila sebagai legasi.
Begitu juga argumennya dengan layout manifesto parti pemerintah tadi. Seperti yang saya telah nyatakan, andai diletakkan imej KLCC atau Putrajaya yang diambil menggunakan sudut fotografi yang artistik misalnya, sudah cukup untuk memberi ilustrasi kredibiliti parti berkenaan. Semua orang telah mengenali beliau. Baca paper, tonton TV, poster tepi jalan --- semua ada gambar dia. Parti pemerintah bukanlah beliau dan beliau bukanlah parti pemerintah. Beliau merupakan tonggak utama yang dilantik untuk menampilkan segala wawasan, pengalaman dan kepakarannya demi membawa parti (dan seluruh negara) ke arah kecemerlangan.
Ketaksuban yang paling baik contohnya ialah perbuatan mengagung-agungkan ketua sesuatu pertubuhan agama seperti Al-Arqam satu masa dahulu. Jika anda menaiki teksi syarikat mereka contohnya, serata ceruk teksi akan ditampal dengan wajah pengasasnya. Bila pemandunya buka dompet untuk memulangkan wang baki, kelihatan gambar beliau lagi terselit di celah-celah (gambar anak isteri pemandu tadi pun tidak diletakkan). Bagaimana di rumah mereka, wallahualam. Mungkin poster gambar pengasasnya menjadi wallpaper di kesemua dinding rumah. Yang lucunya, mungkin golongan yang sama juga adalah antara yang mencemuh perlakuan anak-anak muda menampal poster-poster artis di bilik tidur!
Dalam konteks inilah saya memahami kewajaran fatwa mengharamkan sebarang pemaparan imej Rasulullah s.a.w. Pemaparan imej Baginda mula dilakukan beratus tahun setelah kewafatan Junjungan Besar ini dan antara manuskrip awal (yang diketahui) melakukannya ialah Kitab Jami'al Tawarikh (1310). Ini bermakna Islam mengkehendakkan pengikutnya menilai agama tersebut pertama-tamanya melalui ISI dan SPIRITUAL, bukannya semata-mata kerana keperibadian Rasulnya. Islam harus dilihat sebagai satu pakej lengkap dan bukannya melalui serpih, stereotaip atau cabang tertentu. Dan tentunya bukan melalui pakaian atau ukuran betapa berbuihnya seseorang itu melafazkan ayat-ayat Al-Quran/Hadith di dalam sesuatu ceramah.
Argumen yang sama juga saya unjurkan untuk kes manifesto parti pemerintah dan hehehe... Sendayu Tinggi. Kredibiliti sesebuah organisasi diukur melalui pencapaian organisasi tersebut. Kelebihan 'deliverables' diukur dengan kualiti produk, khidmat pengguna dan sumbangan kepada masyarakat. Bukannya memberi fokus utama kepada Ketuanya.
Bayangkan jika Ananda Krishnan menghiasi setiap iklan Maxis. Atau Mendiang Lim Goh Tong untuk iklan Genting...
Bagaimana pula dengan pendekatan saya?
Kajian kes yang ingin saya utarakan ialah, well... CHANTEK. Pendekatan ini sebenarnya selaras dengan konsep dan pengarahan seni keseluruhan buku ini, namun saya rasa sesuai untuk dijadikan contoh.
Memandangkan CHANTEK diterbitkan oleh sebuah kementerian kerajaan, seperti biasa, kami harus meletakkan gambar Menteri dan Ketua Setiausahanya pada kata-kata aluan di permulaan buku. Sebagai 'melarikan diri' dari pendekatan konvensional yang selalunya dilakukan oleh badan Kerajaan (yang membawa kepada stereotaip 'tahap gomen'), kami mengunjurkan konsep yang tidak langsung memaparkan gambar-gambar mereka, namun cukup untuk 'menyatakan'.
Untuk kata-kata aluan Menteri, setiausaha beliau pada mulanya seakan sudah bersedia menyatakan bahawa "Datuk Seri sibuk" bila saya memulakan perbualan telefon meminta nasihat tentang jadual sesi fotografi CHANTEK. Mungkin setiausaha tadi terkejut kerana mungkin juga inilah pertama kali sebuah agensi meminta untuk memotret MEJA Menteri dan bukannya Menteri itu sendiri! Dan saya juga meminta sekeping 'name tag' Menteri untuk sesi fotografi tadi. Bila ditanya kenapa, saya menyatakan "Nanti kalau Datuk Seri terlupa bawa name tag, tunjuk jer halaman kata-kata aluan dia dalam CHANTEK...."
Pendekatan yang sama kami lakukan untuk Ketua Setiausaha kementerian tadi. Asalnya kami meminta dipinjamkan 'brooch' atau tudung kegemaran beliau, tapi beliau menyatakan dia tidak mempunyai mana-mana favorit. Jadi kami hanya menggunakan Kad Perhubungan (Calling Card) beliau. Mungkin namanya tidak begitu dikenali, jadi kami 'memasukkan' sama pangkatnya. Sekali lagi, cukup untuk 'menyatakan'.
Untuk 'The Number One Man', asalnya kami menginginkan satu sesi fotografi bersama beliau yang mana konsepnya tidak memaparkan wajah beliau secara langsung. Namun oleh kerana faktor kesibukan dan kesuntukan masa, kami berkeputusan untuk mengambil imej sepotong nama penuhnya yang tertera dalam editorial sebuah majalah dan diadun dengan beberapa imej lain menggunakan Photoshop. Imej nama tadi disulam dengan perkataan-perkataan yang diasosiasikan dengan pembangunan seperti 'empowerment', 'strategic' dan sebagainya.
Secara ringkas, selain melarikan diri dari kebiasaan, kami berpendapat bahawa kredibiliti dan sumbangan seseorang individu (atau organisasi) bukanlah terletak di raut wajah seseorang namun melalui 'ruh' atau 'spiritual' yang mendiami individu tersebut. Apa yang di dalam. Bukannya yang di luar. Don't judge the book by its cover, dude...
Inilah sebenarnya yang menjadikan seseorang atau sesebuah organisasi itu CHANTEK...
Sebagai trivia, inilah antara julung-julung (mengikut pengetahuan saya) 'The Number One Man' bersetuju memasukkan kata-kata aluan beliau dalam sebuah buku 'coffee-table' terbitan kerajaan. Menurut salah seorang setiausaha beliau yang mana saya temui beberapa kali di pejabatnya (ya... saya telah ke sana...), 'The Number One Man' itu sendiri telah meneliti mock CHANTEK dan seterusnya memberi persetujuan. Ini merupakan suatu penghormatan kepada seseorang seperti saya.
Trivia juga, mungkin CHANTEK adalah satu-satunya buku terbitan kerajaan yang tidak langsung memaparkan foto wajah mana-mana pemimpinnya!
Kepada yang baru mengakses BandarUtopia@Blogspot, CHANTEK merupakan buku 'coffee-table' yang pasukan saya usahakan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2007. Hanya menunggu masa (terbantut kerana prioriti Pilihanraya) untuk dipasarkan, anda boleh membaca mengenai 'di belakang tabir' buku ini melalui link-link berikut:
Bila dan di mana CHANTEK akan dilancarkan dan seterusnya berada di pasaran, tunggu saja pengumuman menerusi ruang ini!
Labels:
Chantek,
Komunikasi Korporat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
cantik! dan kreatif. satu pembaharuan. :)
Post a Comment